PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mencuba keenakan KopieSatu.



SEJAK sekian lama kopi telah diterima sebagai sajian minuman harian yang cukup lazat dan menyegarkan di seluruh dunia.

Kegilaan yang kadang-kadang boleh dianggap sebagai ketagihan terhadap keenakan rasanya menjadikan penggemar kopi tidak senang duduk jika tidak dapat menikmati minuman tersebut.

Biasanya, ia disediakan secara panas atau sejuk. Sesuai di minum pada bila-bila masa tidak kira pagi, petang atau malam.

Kopi yang diminum setiap hari itu terhasil menerusi pemprosesan biji kopi yang dipanggang, digoreng, dikisar dan kemudiannya diadun bersama bahan penambah perisa bagi kesempurnaan rasanya.

Biji kopi yang hadir dalam pelbagai variasi seperti Arabica, Mocha dan Robusta menjadikan minuman tersebut mempunyai rasa serta aroma yang unik dan tersendiri.

Sesetengah pihak mungkin mengelaskan kopi sebagai minuman golongan kelas atasan. Namun hakikatnya ia diminum oleh semua peringkat lapisan masyarakat. Cuma mungkin kualitinya berbeza-beza.

Justeru, memandangkan permintaan terhadap kopin ini cukup tinggi, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah mengambil inisiatif memperkenalkan kopi berimej Malaysia.

Menggunakan jenama KopieSatu, ia mula dilaksanakan pada tahun 2003. Idea menghasil dan memperkenalkan produk berimej tempatan tersebut telah dilontarkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut Pengurus Hab Pusat Operasi KopieSatu, Shikh Maidin Abdul Kadir, projek tersebut bertujuan mewujudkan satu standard kopi berkualiti tinggi menggunakan jenama Malaysia.

“Menerusi jenama ini, kita mahu rakyat tahu bahawa negara ini sudah mempunyai produk kopi bertaraf lima bintang setanding dengan kopi antarabangsa.

“Selain itu, kita juga berharap agar golongan bumiputera menggunakan peluang ini untuk mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya ketika di temui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menarik mengenai KopieSatu, ia mengetengahkan konsep jualan seperti kafe bergerak yang menggunakan lori untuk bertemu terus dengan pelanggan.

Ketika mula diperkenalkan dahulu, KopieSatu hanya beroperasi menggunakan lima buah lori dengan tawaran enam pilihan menu sahaja.

Atas penerimaan positif, operasi penjualan produk berkenaan kini telah diperluas menggunakan 10 buah lori dengan tawaran 20 jenis kopi.

Setiap hari, kesemua lori ini akan bergerak ke lokasi-lokasi jualan di sekitar Lembah Klang dengan bantuan tenaga kerja seramai 17 orang.

Antara pilihan kopi yang ditawarkan pula adalah seperti Ice Kopie O, Ice Kopie Latte, Honey Ice Latte, Ice Mocha, Ice Chocolate, Ice Blended Cappuccino, Ice Blended Caramel, Hot Cappuccino Honey, Espresso, Kopie O Kaw dan Hot Kopie Latte.

Selain itu, terdapat juga pilihan kopi istimewa yang direka sendiri menggunakan ramuan khas dikenali sebagai Ice Calypso Honey.

“Peringkat awal dahulu, perniagaan KopieSatu hanya mencatatkan jualan sekitar RM200,000 setahun. Namun kini ia telah melonjak kepada RM1.4 juta.

“Maknanya permintaan terhadap produk ini sangatlah menggalakkan dan diterima baik oleh masyarakat,” jelasnya.

Selain jualan di lokasi biasa, KopieSatu turut menerima pelawaan mempromosi produk itu di beberapa program kerajaan negeri, pelancongan dan acara antarabangsa seperti Formula Satu, GT Jepun, Moto GP dan Kejohanan Bot Laju Antarabangsa.

Menerusi moto ‘Keenakan Rasa Untuk Anda’, produk KopieSatu ini menawarkan harga yang berpatutan dengan pengekalan kualiti terbaik.

Harga jualannya adalah dalam lingkungan RM2.60 hingga RM7.90 secawan. Setiap lori dilengkapkan dengan peralatan moden seperti mesin penyedia kopi, pengisar dan pembancuh. Semuanya diimport dari Sepanyol dengan kos RM30,000.

Untuk sumber bahan mentah pula, ia menggunakan 100 peratus biji kopi jenis Arabica di import dari Indonesia.

“Biji kopi ini akan dipanggang dan di adun dengan resipi tersendiri agar menghasilkan kopi berkualiti tinggi mengikut cita rasa tempatan.

“Penyediaan kopi ini akan dilengkapkan pula dengan bahan-bahan tambahan seperti gula, susu segar, coklat dan karamel,” katanya.

Mengenai perancangan pada masa depan, KopieSatu bercadang untuk menambah pilihan menu kopi iaitu Cashew Nut Latte dan Vanilla Latte selain pelbagai jenis teh.

Bagi menarik lebih pelanggan, mereka juga akan memperkenalkan beberapa makanan segera dalam bentuk kuih, kek, roti dan sebagainya.

Sebagai strategi memperluaskan pasaran produk tersebut, pada tahun ini KopieSatu akan membuka peluang perniagaan secara francais berlesen.

Berbeza dengan konsep lori bergerak, francais ini menawarkan aktiviti perniagaan secara kafe atau kiosk statik.

Projek tersebut menyasarkan penyertaan golongan bumiputera, para peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) serta pemilik kedai minuman yang ingin menaik taraf perniagaan mereka.

“Francais ini memerlukan pelaburan sebanyak RM140,000 di mana RM50,000 akan digunakan sebagai wang pusingan dan selebihnya untuk membeli peralatan, bahan mentah dan latihan selama tiga bulan.

“Mereka yang berminat perlu mencari tapak sendiri dengan saiz sekurang-kurangnya tiga meter kali tiga meter,” jelasnya.

Untuk tujuan itu, FAMA bersama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) juga akan memberi sokongan dari segi permohonan dan bantuan kewangan kepada yang memerlukan.

Setakat ini, pihak FAMA telah menerima permohonan yang agak memberangsangkan terutama daripada pengusaha di sekitar Perlis, Kedah, Pahang dan Kuala Lumpur.

“Sasaran FAMA adalah supaya kafe ini diwujudkan di setiap negeri selain berharap lebih ramai golongan remaja menyertai perniagaan ini.

“Ini kerana sebagai rakyat negara ini, kita patut berbangga dengan pencapaian produk kopi kita sendiri,” katanya.

Individu yang berminat menyertai projek tersebut boleh terus mengajukan permohonan kepada pihak FAMA melalui talian 03-58824172 atau 012-2883757.

Fatimah Muhamad Basri menunjukkan mi dan kuah laksa yang dibuatnya di Felda Taib Andak, Kulaijaya, Johor, baru-baru ini.



KULAIJAYA 15 Jan. – Status sebagai ibu tunggal tidak melemahkan semangat Fatimah Muhamad Basri, 28, untuk meneruskan kehidupan.

Bagi menampung kehidupannya bersama anak kesayangan, beliau mengorak langkah menceburi bidang perniagaan sejak dua tahun lalu.

Semuanya bermula secara kecil-kecilan dan kini mi laksa hasil tangan Fatimah dapat dinikmati oleh penduduk sekitar Felda Taib Andak dan kawasan berhampiran.

“Saya memang suka makan laksa dan selalu lihat ibu hasilkan laksa di kampung. Itulah bila bercerai, saya terfikir apa yang boleh dibuat untuk menambah pendapatan.

“Oleh kerana saya suka makan laksa, saya pilih untuk menjual laksa. Tak sangka pula kawan-kawan yang makan laksa buatan saya pun suka dan dari situ saya berazam untuk menjual laksa secara komersial,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Felda Taib Andak di sini baru-baru ini.

Laksa berjenama Puteri buatan Fatimah berbeza daripada laksa biasa kerana ia berwarna kekuningan dan tidak perlu dicelur sebelum dimakan.

Menurut Fatimah, nama Puteri diguna sebagai lambang untuk anak perempuannya, Syasya Alin Namia Mohd. Shahrul, 4, yang menjadi pembakar semangatnya selama ini.

Fatimah yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu berkata, laksanya berbeza kerana ia dibuat daripada tepung gandum dan diuli lama sebelum dimasukkan ke dalam mesin pemotong.

“Ramai yang makan, kata laksa buatan saya berbeza dan tidak mudah muak. Dari situ saya mula yakin untuk membuka perniagaan.

“Menerusi bantuan Jabatan Pertanian dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), saya memperoleh peralatan mesin pemotong, set dapur dan peti sejuk yang bernilai kira-kira RM22,000,” katanya.

Fatimah yang dibantu oleh dua orang pekerja menghasilkan 10 kilogram laksa mentah setiap hari mengikut permintaan.

Bagi memantapkan lagi perniagaannya, Fatimah yang bertugas sebagai pembantu guru Tabika Perpaduan Bandar Putera, Kulaijaya turut menghasilkan empat jenis kuah laksa.

Empat jenis kuah laksa yang dijual secara dingin beku itu adalah laksa Penang, laksa apsnos (ikan tongkol dan sardin tin), laksa Johor dan laksam.

“Kesemua kuah itu boleh dimakan dengan laksa Puteri. Panaskan kuah mengikut menu yang disediakan dan siap untuk dimakan dalam tempoh beberapa minit sahaja.

“Walaupun kuah tersebut dibekukan, rasanya tetap tidak berubah seperti kuah biasa. Satu pek kuah laksa Puteri dijual dengan harga RM8.

“Sementara itu, satu pek laksa mentah untuk tujuh orang makan berharga RM3.50. Itu harga promosi hingga bulan Mac ini,” katanya yang dibantu oleh dua orang pekerja.

Bagi yang ingin menjadi pengedar laksa Puteri bersama kuah itu boleh menghubungi Fatimah (019-7162894 atau 012-7507194).

Johaini Sarju (kiri) membantu pekerjanya memunggah nanas ke atas lori untuk dipasarkan di Kampung Semerah Darat, Semerah, Batu Pahat.



BATU PAHAT 18 Jan. – Dibesarkan dalam keluarga petani dan hidup susah membuatkan Johaini Sarju, 35, nekad untuk mengubah nasib keluarga dengan terus berbudi kepada tanah kerana yakin usahanya itu tidak akan sia-sia.

Seawal usia 16 tahun, Johaini sudah mula membantu ayahnya menanam nanas di kebun mereka di Kampung Semerah Darat, Semerah dekat sini dan terus menjadi petani selepas tamat tingkatan lima tanpa rasa ragu atau ingin bekerja makan gaji di kilang.

Malah anak muda itu tidak pernah terfikir untuk merantau mencari pekerjaan lain kerana yakin sektor pertanian mampu mendatangkan pendapatan tetap dan lumayan sekiranya diusahakan bersungguh-sungguh.

Melihat kegigihan dan ketekunan orang tuanya membanting tulang menanam nanas, Johaini bertekad untuk berjaya menjadi petani dan peraih nanas suatu hari nanti.

Tiga tahun lalu, dia mula menyewa tanah orang kampung yang terbiar dan berjaya menanam sehingga 300,000 pokok nanas Moris di tanah seluas 12 hektar di sekitar kawasan Semerah dan kini tanah yang disewanya melebihi 40 hektar.

Pengalaman ibu bapanya menanam nanas sejak lebih 20 tahun lalu menjadi aset penting untuk dia menjadi petani berjaya apatah lagi sentiasa mendapat sokongan padu daripada isteri, Azlina Enndi, 31, serta ahli keluarga yang lain.

Kini usahanya mampu dibanggakan dan dengan dibantu 16 pekerja, Johaini turut membekalkan kira-kira 10,000 biji nanas ke Kuala Lumpur pada setiap hari kecuali Jumaat.

Menurutnya, selain nanas jenis Moris dan Josephine yang berbuah besar dan manis, pihaknya juga menanam nanas merah yang sering digunakan masyarakat Cina untuk sesuatu keraian.

Johaini mengakui hasil yang diperolehinya cukup untuk membayar gaji pekerja, lori, sewa dan kehidupan mereka enam beranak dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Sahari Jalal memberi makan denak kepada ternakan burung puyuhnya di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor.



KOTA TINGGI 29 Jan. – Pertanian merupakan antara sektor yang menarik untuk diterokai kerana ia bukan sahaja memberikan kepuasan kepada pengusaha malah turut memberikan pulangan lumayan.

Umum mengetahui bahawa sektor pertanian merupakan antara sektor terpenting dalam memacu ekonomi sesebuah negara kerana ia berkait rapat dengan sumber bekalan makanan.

Kesan daripada pertambahan penduduk, permintaan terhadap bekalan makanan di negara ini semakin meningkat dan ia memerlukan lebih banyak pengeluaran bahan mentah untuk menampung keperluan semasa.

Walaupun sektor pertanian sering diperlekehkan, namun tidak kurang juga yang berminat untuk menyertai sektor itu bagi menjadikannya sebagai kerjaya.

Penternakan burung puyuh mungkin tidak sehebat penternakan lembu atau kambing tetapi ia tetap menjanjikan pulangan lumayan kerana permintaan terhadap haiwan itu semakin meningkat sejak akhir-akhir ini sehingga menjangkaui bekalan yang ada.

Seorang pengusaha ternakan burung puyuh, Sahari Jalal, 59 berkata, ternakan puyuh merupakan bidang yang menarik dan menjanjikan pulangan lumayan kerana permintaannya yang tinggi.

“Permintaan di sekitar Kota Tinggi sahaja menjangkau sehingga 2,000 ekor dalam tempoh 20 hari dan ia semakin meningkat pada setiap bulan.

“Permintaan yang tinggi memaksa para pengusaha untuk menambah bilangan ternakan mereka dari semasa ke semasa bagi menampung keperluan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Felda Air Tawar 5, dekat sini baru-baru ini.

Sahari yang lebih dikenali dengan nama Wak Rojak berkata, ternakan puyuh sama seperti ternakan ayam di mana ia terbahagi kepada dua jenis iaitu puyuh daging dan puyuh telur.

Tambahnya, ramai pengusaha memilih untuk menternak burung puyuh daging kerana permintaan terhadap daging adalah lebih tinggi berbanding telur.

Katanya lagi, baka-baka burung puyuh itu diperolehi daripada Pokok Sena, Kedah dan bekalan itu akan diambil setiap 20 hari sekali bagi membolehkan bekalan puyuh tidak terputus.

“Selepas mendapat bekalan, kita akan memberikan suntikan vitamin bersama ubat selesema bagi mengelakkan burung puyuh berkenaan terkena penyakit dan selepas itu diberi minum glukos.

“Burung-burung ini akan diasingkan mengikut usia dan akan diberikan bekalan haba yang cukup bagi mengelakkannya mati kesejukan. Biasanya dalam tempoh 10 hari pertama burung-burung ini tidak boleh diganggu bagi membolehkannya membesar dengan sempurna,” katanya.

Menurut beliau, dalam tempoh seminggu pertama, pemerhatian serius diperlukan bagi mengelakkan jangkitan kulat kerana pada peringkat awal, haiwan tersebut begitu terdedah kepada jangkitan kulat terutamanya di bahagian kaki.

Dia menjelaskan, jangkitan kulat itu juga berkait rapat dengan kekurangan bekalan haba.

Sahari berkata, meskipun tidak sampai setahun menceburi perniagaan itu, permintaan terhadap burung puyuh di daerah itu sangat menggalakkan dan semakin bertambah pada setiap bulan.

Katanya, ada di antara pelanggan ingin mendapatkan burung puyuh hidup dan ada yang ingin yang telah siap diproses.

“Setiap proses dilakukan sendiri, bermula daripada penternakan, penyembelihan, pembungkusan sehingga pengedaran kerana saya hanya menjalankan peniagaan berskala kecil,” katanya.

WAN Adnan Wan Mamat (dua, kiri) dan Shafik Fauzan Sharif (empat, kiri) bersama Suffian Awang (tiga, kiri) menyampaikan kit Bumi Hijau kepada seorang penduduk di Kampung Sri Cempaka, Kuantan, semalam.



KUANTAN 31 Jan. – Seramai 150 penduduk Kampung Sri Cempaka dan Kampung Sepat dekat sini menerima pek bantuan kelengkapan pertanian daripada Jabatan Pertanian bagi menjalankan projek Bumi Hijau di kawasan kediaman masing-masing hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata, pengagihan pek bantuan yang dikenali ‘Kit Bumi Hijau’ itu bertujuan menggalakkan orang ramai bercucuk tanam.

Menurutnya, program tersebut akan mencetus kesedaran masyarakat agar lebih aktif bagi menghasilkan keperluan makanan sendiri selain memanfaatkan tanah lapang di kawasan perumahan masing-masing.

“Program Bumi Hijau adalah salah satu aktiviti yang diperkenalkan kerajaan bagi menggalakkan penduduk bercucuk tanam.

“Melalui program ini, kerajaan negeri bekerjasama dengan agensi dan jabatan berkaitan mengagih benih sayuran kepada penduduk yang berminat,” katanya pada majlis perasmian program Bumi Hijau di Kampung Sri Cempaka di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan, Suffian Awang.

Katanya, langkah mempromosi program berkenaan akan dapat membendung kenaikan harga makanan dengan mempergiatkan aktiviti pertanian di sekitar kediaman masing-masing.

“Saya berharap masyarakat yang tinggal dalam kawasan taman perumahan boleh menjadikan program Bumi Hijau sebagai aktiviti harian sekali gus dapat mengeluarkan sendiri hasil makanan harian.

“Sekiranya penduduk dapat menghasilkan sendiri keperluan itu, saya rasa masalah harga makanan khususnya sayur yang terlalu mahal ketika ini akan dapat diatasi,” katanya.

Selain menggalakkan penduduk mengurangkan kos perbelanjaan barangan dapur, tambah beliau, program Bumi Hijau juga mampu berperanan sebagai platform untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat.

”Penduduk di sesebuah penempatan boleh sama-sama mengusahakan tanaman dan kemudian berkongsi hasilnya,” jelasnya.

Malah, tegasnya, landskap sesebuah kawasan itu bukan sahaja cantik dan bersih tetapi juga mempunyai projek-projek ekonomi yang dapat mengurangkan kos sara hidup.

“Ia juga sekali gus dapat mengurangkan makanan yang diimport di samping menjamin bekalan makanan yang lebih bermutu,” katanya.

Nasi lemak istimewa D’Danish Wan Nasruddin popular di kalangan pelanggan Pasar Tani Taman Sena.



KANGAR 3 Feb. – Pasar tani bukan sahaja menjadi medan jualan pelbagai hasil pertanian tempatan, malah ia juga menjadi landasan kepada individu untuk mengorak langkah lebih jauh dalam dunia perniagaan, terutama golongan belia.

Malah melalui jualan di pasar tani, ramai belia kini mampu menghasilkan produk jenama sendiri dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

Setiausaha Persatuan Usahawan Pasar Tani Perlis, Ku Hasrin Ku Abd. Rahman, 28, tidak mensia-siakan pengalaman yang diperoleh semasa bekerja di kilang dan kini mampu menghasilkan produk minyak kelapa dara yang diproses sendiri dengan jenama Etivico.

Anak muda ini amat serius dalam bidang berkenaan, malah turut membuat makmal sendiri bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk yang dihasilkannya itu.

“Pendidikan yang saya terima dalam bidang teknikal perindustrian ketika belajar di sebuah kolej turut saya gunakan untuk membina mesin bagi pemprosesan minyak kelapa dara,” katanya.

Menurut beliau, jualan minyak kelapa dara pelbagai perisa yang dihasilkan mendapat sambutan amat baik daripada para pelanggan, terutama mereka yang mengetahui pelbagai khasiat yang ada pada produk itu.

Ku Hasrin yang berniaga di Pasar Tani Desa Raya sejak 2007 itu turut menjual rempah ratus dengan jenama sendiri iaitu Rempah Bajet.

Rempah berkenaan dibeli secara borong, kemudian dibungkus semula dalam pek-pek mengikut saiz tertentu sebelum dijual kepada orang ramai.

Sementara itu, Muhamad Irsyad Abdul Razak, 22, pula menjual baja organik di pasar tani sejak tiga tahun yang lalu dan menariknya baja berkenaan dihasilkan sendiri dengan jenama Biodark.

Baja yang berbentuk serbuk dan cecair itu dihasilkan daripada daun-daun dan akar kayu yang terdapat berhampiran kawasan rumahnya.

Pembuatan baja itu dipelajari bapanya melalui kursus-kursus yang dihadiri seperti di Thailand, Indonesia dan Filipina.

“Penjualan baja ini amat menguntungkan tanpa perlu modal yang banyak dan saya boleh menghasilkan baja serbuk dan baja cecair.

‘‘Baja serbuk sesuai untuk daun, bunga dan buah, manakala baja cecair untuk bunga, buah dan menghindari serangga selain tidak membahayakan binatang ternakan,” ujarnya.

Muhamad Irsyad yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bercita-cita untuk meluaskan perniagaan baja organik dan beliau baru sahaja menamatkan kursus persijilan dalam bidang pertanian.

Dalam pada itu, Wan Nasruddin Wan Nidzamuddin, 29, pula dahulunya bergiat secara kecil-kecilan menjual pelbagai jenis makanan ‘snek’, nasi lemak dan minuman di pasar tani.

Berikutan penjualan nasi lemak yang mempunyai resipi istimewa yang diwarisi daripada ibu mertuanya itu mendapat sambutan hebat daripada pelanggan, beliau terpaksa meningkatkan lagi jumlah jualannya.

Kini, nasi lemaknya mempunyai jenama sendiri iaitu D‘Danish, malah turut mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai di negeri ini.

“Menyedari sambutan yang menggalakkan, kami turut melebarkan jualan nasi lemak ini ke daerah lain, malah turut mendapat tempahan untuk majlis-majlis keramaian,” katanya.

Beliau yang berniaga di Pasar Tani Taman Sena di sini sebanyak dua kali seminggu turut menjual ayam goreng dengan resipi tersendiri hasil pengalamannya bekerja di sebuah restoran makanan segera.

NAIB canselor umt, prof. dr. aziz deraman (depan) tertarik dengan penyelidikan kelah yang dijalan di kampus induk universiti berkenaan.



UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) merupakan antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA ) yang ulung dalam penyelidikan mengenai marin dan akuakultur.

Selain pembangunan projek Akuaponik satu lagi tumpuan Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) ialah penyelidikan kelah yang bermula pada 2007.

Ia sejajar dengan tumpuan dan bidang kekuatan universiti terbabit dalam penyelidikan pembiakkaan ikan kelah.

Kelah dipilih kerana ia merupakan spesies yang terancam, dan merupakan spesies ikan sungai semulajadi di Tasik Kenyir.

Malah, spesies berkenaan mempunyai potensi yang sangat tinggi pada aspek pelancongan, rekreasi, ternakan, industri ikan hiasan dan juga sumber protein manusia.

Kelah juga merupakan antara spesies yang bernilai tinggi seperti ikan kelisa dan arowana yang terkenal dalam aspek ikan hiasan.

Insitut yang diberi tanggungjawab dalam penyelidikan ialah Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) yang menjadi peneraju dalam penyelidikan dalam bidang akuakultur.

Menurut seorang penyelidik AKUATROP , Prof. Madya Dr. Abol Munafi Ambok Bolong, tujuan penyelidikan kelah itu ialah untuk program pemuliharaan dan pemeliharaan spesies.

“Habitat asal spesies ini telah diancam dan dilabelkan sebagai spesies terancam selain menghasilkan satu program teknologi pembiakbakaan dan pengurusan induk ikan kelah di Tasik Kenyir,” kata beliau.

Penyelidikan tersebut juga bertujuan menjalinkan kerjasama antara pihak tempatan dan UMT dalam menjalankan program pemuliharaan dan pemeliharaan kelah di Tasik Kenyir. Lebih penting untuk membangunkan ternakan ikan kelah dalam akuakultur di Malaysia dan juga menjadikan UMT sebagai pusat rujukan ke atas kajian ikan kelah.

Beliau yang menjalankan penyelidikan tersebut dengan dibantu oleh seorang pegawai sains dan dua penolong pegawai sains selain tiga pelajar sarjana berkata, spesies kelah yang terlibat dalam projek tersebut ialah Tor tambroides dan Tor dourenensis .

Lebih penting katanya, penyelidikan itu diharap dapat membantu penternak tempatan memelihara ikan kelah dengan menghasilkan program pengurusan ikan kelah yang betul.

Pihaknya juga mahu supaya penyelidikan seumpama itu dapat membantu pengurusan ikan kelah di santuari kelah dari pelbagai aspek seperti pengurusan induk, pengurusan makanan, dan pengurusan kesihatan ikan kelah di Tasik Kenyir.

Setakat ini penyelidikan tersebut masih belum menerima sebarang pembiayaan dan sedang memohon bantuan kewangan melalui dana e-science dan juga Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Untuk jangka panjang projek pembiakbakaan itu diharapkan dapat menghasilkan program pengurusan ikan kelah yang betul dari pelbagai aspek. Ini bermula daripada pengurusan induk, sistem ternakan, pemakanan, kesihatan ikan dan sebagainya bagi memudahkan penternak memahami dan mempelajari penternakan ikan kelah.

Menurut Abol Munafi, AKUATROP juga juga menjalankan kajian ke atas spesies lain dalam mempelbagaikan penyelidikan dan memperluaskan bidang kajian bagi memenuhi kehendak semasa.

Sebelum ini beliau terlibat dalam penyelidikan membiakbaka ikan ketutu.

Kejayaan Ahmat Termizi Dollah Kusni dan isterinya, Jamirah membuktikan industri asas tani melahirkan usahawan berjaya.



Dengan hanya bermodalkan RM50, Ahmat Termizi Dollah Kusni, 50, dari Kampung Bukit Bangkong, Sepang berjaya menjadi jutawan dalam industri kerepek ubi kayu.

Walaupun pernah tiga kali gagal, beliau akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah suatu perniagaan.

Menurut Ahmat Termizi, beliau mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi.

“Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika saya terpaksa menjadi pemandu lori,” katanya ketika ditemui di kilang syarikat Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd di Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.

Nasibnya mula berubah apabila beliau menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd pada tahun 1996.

Ahmat Termizi, Pengarah Urusan syarikat itu, berkata, hari ini beliau mempunyai beberapa lagi anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn Bhd dan Gemba Marketing Sdn. Bhd.

Pada tahun 2004 syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang (GAP) dari Jabatan Pertanian sekali gus membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

PENGALAMAN 20 TAHUN

“Selepas 20 tahun saya bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar dan hari ini hampir 20 peratus daripada keluaran kilang saya seperti kerepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam,” katanya.

Ketika ini kilangnya, yang mempunyai kira-kira 20 pekerja tetap, mampu menghasilkan tiga tan kerepek ubi kayu sehari. Menurut Ahmat, buat masa ini jualan kerepek ubi kayunya dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun iaitu 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala selebihnya untuk pasaran luar negara.

TERNAK KAMBING

Sementara itu seorang lagi pengusaha, Mahathir Talib, 35, yang terbabit dalam bidang ternakan kambing secara komersil di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka berkata beliau yakin sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya potensi sektor penternakan sememangnya amat luas dan masih banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sektor itu.

“Melihat kepada potensi ini saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, bebiri, lembu dan kerbau,” katanya ketika ditemui di ladangnya.

Beliau berkata pada permulaan operasi beliau mempunyai 60 ekor baka betina dan lima ekor baka jantan daripada pelbagai jenis baka kambing seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean serta bebiri Barbados, Lonte dan Malin.

Menurutnya ketika ini syarikatnya menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar.

Mahathir berkata hari ini kambing yang diternaknya berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800kg daging kambing segar setiap minggu.

“Harga kambing ketika ini memang baik dan saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung dengan berat dan baka kambing,” katanya.

Beliau kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang and 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

TIDAK PUTUS ASA

Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, beliau tidak pernah berputus asa kerana yakin bidang ini boleh menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung dan pada pertengahan tahun, beliau membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000.

Setahun kemudian beliau mula membeli lembu pula. Bermula dengan empat ekor dengan modal RM3,200, beliau menambahnya kepada 51 ekor dengan modal RM75,000.

Kata Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit dan jika ia berlaku pastinya kerugian besar yang terpaksa ditanggung bila ternakan mati dalam jumlah yang besar.

“Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu manakala kambing berjumlah 170 ekor,” katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia, katanya.

Melaka antara negeri yang memartabatkan bidang bioteknologi.



KAEDAH moden pembiakan anak benih pokok pisang secara tisu kultur dilihat mampu menjana pembiakan berganda dan sekali gus menyelesaikan masalah kepada peladang yang ingin mengusahakan tanaman pisang secara skala besar dan komersial.

Kalau selama ini peladang sering dihantui bagaimana untuk mendapatkan anak benih dalam jumlah yang besar di samping mampu mengeluarkan hasil berkualiti dan tahan serangan penyakit kini dengan adanya teknologi baru ini masalah itu dijangka dapat diatasi.

Perbadanan Bioteknologi Melaka, melalui anak syarikatnya Invitrotech Sdn. Bhd. kini bergiat aktif meneroka kaedah itu dan semakin menampakkan hasil dalam membantu peladang mendapatkan anak benih pisang dalam jumlah yang banyak, berkualiti dan tahan terhadap serangan penyakit.

Syarikat tersebut, yang ditubuhkan pada 2005 dan mula mengkomersialkan pengeluarannya pada 2007 melalui sebuah makmal di Kawasan Perindustrian MIEL, Masjid Tanah, telah menghasilkan lebih 300,000 anak benih pisang.

Setakat ini, ia memberi tumpuan kepada pengeluaran pisang jenis berangan, tanduk, cavendish, rastali dan nipah.

Kelebihan kaedah tisu kultur

Pengarah Urusan syarikat itu, Sukri Ibrahim berkata di samping benih anak pisang, syarikat itu juga mengeluarkan anak benih tanaman lain seperti herba, yang kini mendapat permintaan tinggi.

Beliau berkata terdapat banyak kelebihan tanaman melalui kaedah tisu kultur antaranya.

* Penghasilan bahan tanaman bermutu tinggi, sihat, bebas penyakit dan seragam dalam jumlah yang besar.

* Spesies tanaman herba yang dibiakkan secara in-vitro didapati kurang variasi di dalam kandungan secondary metabolites berbanding pembiakan biasa.

* Sesuai untuk spesies tanaman yang sukar dibiakkan dan spesies yang hampir pupus.

* Bahan tanaman yang bebas patogen serta disimpan di dalam keadaan in-vitro membolehkan pertukaran sumber genetik organisme yang selamat di antara negara.

Proses tisu kultur

Sukri berkata, proses pertama tisu kultur ialah mengenal pasti pokok induk dan kemudian mengambil tisu pada bahagian tertentu pokok induk itu bagi melalui proses nyah kuman bagi memastikan ia benar-benar bersih untuk diklonkan.

“Daripada satu tisu pokok induk itu, kami akan dapat hasilkan lebih kurang 2,000 pokok anak benih yang sama dengan pokok induk, sebab itulah pemilihan pokok induk itu paling diutamakan,” katanya.

Selepas itu, keratan tisu tadi dimasukkan ke dalam medium seperti agar-agar yang mempunyai nutrien dan hormon tertentu bagi memastikan ia mampu membiak dengan lebih banyak.

Daripada medium berkenaan, keratan tadi akan membiak dan menghasilkan lebih banyak pucuk pokok sebelum dikerat dan dipindahkan ke dalam medium pengakaran bagi mengeluarkan akar daripada setiap pucuk terbabit, katanya.

Apabila setiap pokok itu sudah mengeluarkan akar, ia akan dipindahkan ke pasu kecil yang ditempatkan di dalam kawasan kecil dengan suhu yang sama seperti di makmal tisu-kultur iaitu sekitar 25 darjah Celsius bagi memastikan ia tidak menerima kejutan apabila beralih ke tanah.

Pokok yang telah kuat kemudian akan dipindahkan ke ladang dan proses ini biasanya mengambil masa empat hingga enam bulan.

Beliau berkata pihaknya membekalkan anak benih kepada pelanggan dalam bentuk polibeg dengan saiz pokoknya antara 10 dan 12 inci dengan daun yang berfungsi.

Permintaan tinggi

Bagi tumbuhan herba, Sukri berkata prosesnya sama cuma bahagian mana yang akan dipilih bergantung kepada protokol (cara) untuk membuat proses tisu kultur, misalnya pokok misai kucing (Orthosiphon stamineus) boleh menggunakan keratan pucuk.

Sukri berkata kini tahap pengeluaran syarikatnya adalah antara 70,000 dan 80,000 anak benih sebulan manakala bermula Januari depan pengeluaran akan ditingkatkan lagi kepada 100,000 hingga 150,000 anak benih sebulan.

“Pertengahan tahun depan pula pengeluaran akan ditingkat kepada 200,000 hingga 250,000 sebulan. Sekarang ini kemudahan makmal kami mampu buat sehingga 300,000 pokok sebulan,” katanya.

Beliau berkata anak benih keluaran syarikatnya mendapat permintaan tinggi bukan sahaja di Melaka malah negeri lain seperti Kelantan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Melaka, Datuk Abu Pit mengakui kaedah tisu kultur telah berjaya mengatasi masalah peladang untuk mendapatkan benih anak pisang dalam kuantiti yang banyak.

Beliau berkata, daripada pemerhatiannya terhadap ladang pisang yang diusahakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau yang menggunakan anak benih pisang yang dikeluarkan Invitrotech Sdn. Bhd., berupaya memberi hasil yang baik.

PPK Merlimau mengusahakan ladang seluas 2 hektar di Merlimau dan masing-masing 4 hektar di Kampung Tasik dan Paya Buluh dekat sini, dengan memberi tumpuan kepada pisang Berangan, Tanduk, Lang, Nipah dan Kapas

Noraini Ahmad (kanan) meninjau perusahaan tempe keluaran Perniagaan D’Sinar sambil diiringi Norhedayah Mesiran di kilangnya di Batu Pahat,baru-baru ini.



TEMPE merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa. Setiap kali majlis keraian atau kenduri, pasti tempe tidak ketinggalan dijadikan sebagai salah satu hidangan wajib yang dihidangkan bersama pelbagai juadah lain.

Tempe juga begitu sinonim dengan masyarakat Johor terutama apabila tibanya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Ia merupakan salah satu ramuan untuk memasak juadah hari raya yang dipanggil sayur lodeh di samping menu lain termasuk rendang serta ketupat.

Permintaan terhadap tempe pastinya akan meningkat setiap kali tiba musim perayaan. Tanpa tempe juadah yang terhidang bagaikan tidak lengkap justeru di negeri Johor khususnya di Batu Pahat, menyebabkan pengusaha tempe sering tidak menang tangan.

Kini, zaman telah berubah. Namun tempe tetap menjadi pilihan. Selain menjadi makanan tradisi masyarakat Jawa, tempe kini telah mula dikomersialkan sebagai kerepek tempe yang mudah dan senang didapati meskipun bukan pada musim perayaan.

Menyedari tempe berpotensi besar untuk dikembangkan Norhedayah Mesiran, 34, mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi perusahaan tempe warisan keluarga turun temurun yang dahulunya diusahakan oleh ibunya Mariam Sarkam dan ayahnya Mesiran Rosman.

Sebagai seorang graduan dalam bisnes dari salah sebuah universiti swasta, Norhedayah melihat jauh ke hadapan terhadap potensi produk berasaskan tempe ini. Dengan bantuan seluruh ahli keluarga mereka kini telah selangkah ke hadapan bagi meningkatkan lagi mutu produk.

Bersama adiknya Riduan Mesiran, 29, yang bertindak sebagai Pengurus Operasi mereka telah menubuhkan syarikat Perniagaan D’Sinar yang bertindak sebagai pengeluar dan pengedar kerepek tempe pelbagai perisa.

Jika dahulu ibunya mengusahakan kerepek tempe dengan berbekalkan kudrat empat kerat tanpa bantuan mesin canggih, kini mereka tidak lagi menggunakan ramai pekerja terutama untuk menggoreng tetapi mereka telah mempunyai mesin menggoreng dengan teknologi terkini.

Menurut Nurhedayah, dahulu ibunya hanya membuat tempe biasa yang dibungkus menggunakan daun. Ia sering digunakan dalam pelbagai masakan sejak turun temurun lagi yang merupakan warisan keluarga mereka serta dijual hanya sekitar tempat tinggalnya sahaja.

Bagaiamanapun, sejak lima tahun lalu beliau mula membantu ibunya menguruskan pelbagai hal bagi menjadikan tempe sebagai kerepek dengan pelbagai perisa iaitu ketumbar, kari, lada hitam dan lada serta berusaha untuk dipasarkan lebih jauh.

”Walaupun perusahaan ini sudah lama diusahakan tetapi masih belum dikomersialkan secara besar- besaran. Hanya setelah saya mengambil alih tugas daripada ibu saya barulah saya cuba membuka ruang untuk meluaskan pasaran,” jelasnya.

Bermula dengan RM500 sebagai modal pusingan, beliau kini memiliki modal pusingan mencecah RM30,000 sebulan. Bermula dari situ mereka mengembangkan perusahaan tempe dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa.

Paling menarik, kerepek tempe syarikat mereka lengkap dengan sambal kicap tradisi masyarakat Johor manakala perisa tempe pedas ia dicampur kacang tanah dan ikan bilis goreng.

Dahulu, mereka terpaksa menggunakan tenaga pekerja yang ramai untuk melakukan pelbagai kerja seperti memotong dan menggoreng. Kini mereka telah mempunyai dua mesin pemecah kacang soya, satu mesin pemotong, satu mesin untuk mencampurkan adunan (mixer), satu mesin pengisar kering dan satu kuali keluli tahan karat.

Menurut Norhedayah, dia telah mengikuti kursus teknologi makanan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Johor Bahru untuk menimba ilmu dan meminta khidmat nasihat dalam perusahaan tempe. Ia tidak sia- sia apabila semakin hari perusahaan tempe warisan keluarga ini semakin berkembang.

Ketika memulakan perniagaan ini dahulu mereka hanya mengusahakannya di rumah sahaja dan dibantu oleh dua orang pembantu serta menggunakan tenaga kerja manusia tanpa mesin. Tetapi kini mereka mempunyai bangunan sendiri yang bernilai kira-kira RM40,000.

”Kenangan yang paling menarik ketika mula mengusahakan kerepek tempe ini ialah kami memecahkan kacang soya yang telah siap direbus untuk dibuat tempe menggunakan mesin memproses getah keping dan memotong tempe dengan menggunakan mesin khas,” jelasnya.

Meskipun pada awal pembabitannya dia agak gementar, kini dia mampu tersenyum bangga kerana segala usahanya mula membuahkan hasil dan dilengkapi dengan anggota keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

Menurut Norhedayah, dia berharap dapat menepis persepsi masyarakat terhadap tempe yang dikaitkan hanya untuk masyarakat Jawa.

Justeru, dia bercita-cita

mengetengahkan makanan yang berasaskan soya ini supaya menjadi lebih komersial dan dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

Memandangkan tempe biasa yang bersaiz kecil, dia dan kedua orang tuanya mula membuat kajian sendiri bagaimana untuk menghasilkan tempe dalam bentuk bulat agar senang dipotong dan cantik bila digoreng.

Nurhedayah serta kedua-dua orang tuanya berjaya menemui satu teknik menghasilkan tempe berbentuk bulat iaitu seperti bentuk lemang dan ternyata idea mereka berjaya.

Alat pencetak bulat yang dibuat oleh mereka sekeluarga mampu menjadikan kerepek tempe itu nampak lebih komersial.

”Dengan kerepek tempe tiga perisa ini produk tempe warisan ini berjaya dikembangkan hingga memasuki pasaran Singapura, Brunei dan juga Iran,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, jumlah permintaan yang semakin tinggi memungkinkan beliau mengambil lebih ramai pekerja kerana pekerja yang ada sekarang tidak mencukupi untuk membuat tempahan yang lebih tinggi.

Setiap paket kerepek berisi setengah kilogram kerepek tempe dijual sekitar RM6. Kerepek itu akan dihantar kepada tujuh pemborong tetap di seluruh negeri Johor juga kepada sebuah koperasi di sekitar daerah ini secara tetap.

Tambahnya, kerepek-kerepek berkenaan boleh tahan lebih tiga bulan. Selama ini mereka tidak pernah mendapat maklum balas negatif daripada mana-mana pihak tentang produk keluarannya.

Nurhedayah yang mengusahakan perusahaan tempe ini bersama keluarganya di No. 148 Kampung Sungai Nibong Darat, Semerah, Batu Pahat berharap agar satu hari nanti kerepek tempe keluaran syarikatnya mampu dinikmati oleh semua masyarakat di dalam dan luar negara.

Untuk itu beliau bercita-cita untuk menambah baik lagi teknologi pembuatan agar ia dapat menambah lagi pengeluaran produk. Di samping itu berusaha untuk membuat pembungkusan yang terbaik serta pelabelan dan penjenamaan agar lebih menarik untuk pasaran global.

Selain kerepek tempe, beliau juga mengusahakan kerepek pisang, keledek, keladi yang mana bahan mentah tidak menjadi masalah kerana ia mudah didapati di sekitar kawasan kampungnya dan secara tidak langsung dapat membantu penduduk kampung menjual hasil pertanian mereka

Kegigihan dan kesungguhan Nurhedayah serta ahli keluarga lainnya mengetengahkan produk berasaskan kayang soya dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa telah menarik minat Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad untuk meninjau perusahaan yang mereka jalankan baru-baru ini.

Dalam lawatan itu Noraini berasa kagum dengan idea anak-beranak ini menghasilkan tempe berbentuk bulat yang mana ia adalah teknologi yang mereka cipta sendiri dan belum pernah terfikir oleh orang lain

”Jika sebelum ini saya hanya lihat tempe dibungkus dengan daun dan surat khabar lama. Tetapi kini saya lihat tempe dibuat dalam bentuk bulat seperti lemang yang pertama kali saya lihat, memang menarik dan sesuai untuk dibuat kerepek secara komersial,” jelasnya.

Tambah Noraini, perusahaan tempe warisan keluarga ini merupakan salah satu produk yang mampu menaikkan nama Parlimen Parit Sulong khususnya dan negeri Johor amnya dalam Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) yang merupakan satu kelainan.

Melihat kelainan dan cita-cita keluarga ini untuk memasarkan produk mereka ke seluruh negara dan luar negara, beliau yakin produk ini boleh pergi jauh kerana ia menepati ciri-ciri kebersihan dan amalan pengilangan yang baik.

”Saya yakin produk ini mampu di eksport ke luar negara kerana ia lain dari yang lain dan pihak pengusaha harus cuba untuk membuat pelabelan dan penjenamaan yang sesuai untuk pasaran antarabangsa,” jelasnya.

Tambahnya, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong sedia memberi khidmat nasihat dan bantuan yang sewajarnya bagi membantu Perniagaan D’Sinar mengetengahkan kerepek tempe pelbagai perisa untuk meningkatkan pasaran mereka.

Tumbuhan stevia 200 kali lebih manis berbanding gula tebu

KENAIKAN harga gula mulai 1 Januari lalu, disambut rungutan orang ramai yang sudah menganggapnya sebahagian bahan keperluan utama kehidupan. Seperti dijangkakan, berlakulah masalah kekurangan bekalan gula di pasaran selain pembelian panik oleh pengguna yang selama ini sudah sebati dengan bahan pemanis itu.

Berikutan itu, pelbagai langkah diambil kerajaan untuk mengatasinya dan pada masa sama menyarankan orang ramai mengurangkan jumlah pengambilan gula berikutan peningkatan jumlah pesakit diabetes dan darah tinggi setiap tahun.

Namun, di celah kesibukan kempen mengurangkan manis (gula) dalam makanan dan menambahkan manis dalam senyuman, timbul pula keghairahan beberapa pihak mengetengahkan bahan pengganti seperti madu, gula tiruan dan stevia. Madu dan gula tiruan sememangnya biasa didengari, tetapi stevia?

Stevia adalah sejenis tumbuhan agak baru di negara ini biarpun hakikatnya sudah lama digunakan di sesetengah negara sebagai bahan pemanis. Tumbuhan yang nama saintifiknya Stevia Rebaudiana, digunakan masyarakat Asli Red Indian Guarani di Amerika Selatan sejak 1,500 tahun lalu sebagai pemanis bagi ubat pahit.

Ia turut dikenali sebagai makanan tambahan dan herba merawat penyakit berkaitan kencing manis, obesiti, menurunkan tekanan darah tinggi, melawaskan kencing dan merawat luka terbakar. Namanya bagaimanapun mula menjadi sebutan penduduk tempatan kira-kira lima tahun lalu apabila khasiatnya sebagai pemanis yang sesuai di ambil pesakit diabetes heboh diperkatakan dan akhir-akhir ini dilonjak sebagai berpotensi menjadi tanaman komersial di negara ini.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian, berkata stevia yang berasal dari Paraguay, Amerika Selatan.

“Pokok renek berdaun bujur, batangnya lembut, bunga halus dan gerutu ini juga dikenali sebagai daun manis atau madu kerana mengandungi bahan yang 200 kali lebih manis daripada gula biarpun masih ada rasa pahitnya.

“Stevia mengandungi dua komponen utama pemanis di dalamnya iaitu steviosid dan rebaudiosid A. Kedua-dua bahan pemanis itu akan berkurangan jika tanaman berkenaan dituai lebih awal.

“Jika bahan steviosid dan rebaudiosid A diasingkan dalam proses makmal, maka rasa pahit dalam stevia akan dapat dihilangkan dan ia sesuai untuk dijadikan pemanis tanpa rasa pahit. Rasa pahit yang ada pada stevia kurang digemari sesetengah orang dan menjadi antara halangan utama sebagai makanan pengganti gula,” katanya

Beliau menjelaskan stevia mula dibawa masuk ke negara ini pada 1970-an dan kajian mengenainya berterusan sehingga ke hari ini, namun hanya dikenali ramai sejak lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, stevia sudah dijadikan pengganti gula di Jepun dan menguasai 40 peratus industri pemanis manakala Korea Selatan menjadi negara kedua terbesar menjadikan stevia sebagai bahan pemanis. Di Kanada, India, China, Russia dan Paraguay, bahan pemanis itu diusahakan secara komersial.

Beliau menjelaskan sebelum ini ramai yang meragui khasiat stevia kerana kajian ke atas tikus di makmal mendapati pengambilan bahan pemanis secara banyak dan berterusan menyebabkan haiwan itu mandul.

“Tiada kajian khusus ke atas manusia dilakukan dan jika mahu dibandingkan dengan masyarakat Orang Asli di Paraguay, sukar untuk mendapatkan jawapan yang tepat kerana mereka tidak memakan stevia secara berterusan dan dalam jumlah yang banyak. Masyarakat itu memakan stevia bagi menghilangkan rasa pahit ubat saja dan bukannya dijadikan bahan wajib bagi setiap hidangan.

“Malah, satu masa dulu kerajaan Amerika Syarikat pernah mengharamkan kemasukan stevia sebagai pengganti gula. Namun, pada lewat 2008, pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan stevia sebagai bahan makanan yang selamat dimakan dan dikategorikan sebagai makanan tambahan dan herba bukannya pengganti gula,” katanya.

Kini, berjuta-juta orang di Brazil dan Jepun menggunakan stevia sebagai perisa makanan dan pemanis semula jadi, malah menjadi perisa makanan diluluskan sejak 20 tahun lalu. Penduduk Jepun dikatakan kumpulan pengguna terbesar menggunakan stevia bagi tujuan memaniskan hampir semua produk makanan termasuk jeruk, minuman ringan dan coklat.

Potensi stevia di Malaysia

APAKAH potensi stevia sebagai tanaman komersial di negara ini? Bolehkan ia dijadikan industri bahan pengganti gulai?

Pengarah Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Mardi, Mansor Puteh, berkata Mardi banyak menerima permintaan dan pertanyaan mengenai stevia, khususnya selepas pengumuman kenaikan harga gula.

Namun, baginya herba itu tidak sesuai dijadikan tanaman komersial pengganti gula kerana kurang nilai ekonomi akibat harganya yang rendah, selain kualitinya yang tidak sebaik tumbuhan sama yang dikeluarkan di negara empat musim.

“Untuk mendapatkan sekilogram stevia kering, sekurang-kurangnya lima kilogram daun basah diperlukan iaitu kira-kira RM1.40 sekilogram, manakala kos pengeluarannya mungkin melebihi harga RM7 sekilogram tanaman.

“Mengikut kajian, stevia yang ditanam di negara ini kurang berkualiti kerana cepat berbunga selain perlu dituai lebih awal. Di Malaysia juga, ia biasanya boleh membesar dengan ketinggian satu meter berbanding di negara empat musim yang ketinggiannya mencecah tiga meter. “Justeru, jika ada mana-mana syarikat yang ada niat mahu mengusahakannya secara komersial untuk menjadi bahan penggantian gula, saya suka nasihatkan supaya melupakan saja hasrat itu,” katanya.

Mansor berkata, lebih baik jika tanaman berkenaan diusahakan untuk tujuan pemasaran bahan herba atau makanan tambahan dalam makanan dan minuman kesihatan terutama mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

“Kita mengalu-alukan sesiapa saja yang berminat membangunkan tanaman ini dalam industri herba dan makanan tambahan. Malah, bersedia memberi khidmat nasihat, bantuan serta tunjuk ajar di samping terus menjalankan kajian untuk memperbaiki kualiti serta hasil penuaian stevia di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Tan Swee Lian pula berkata, ada beberapa bahan lain yang dikaji untuk menggantikan gula, namun semuanya didapati tidak sesuai untuk dikomersialkan kerana kos pengeluarannya besar selain masalah mendapatkan bahan mentah.

Antara tumbuhan itu ialah ‘Thamaucoccus’, pokok hutan seperti Kacip Fatimah tetapi ia sukar diusahakan kerana pokok ini amat sedikit mengeluarkan buahnya yang mengandungi bahan pemanis.

Selain itu, madu juga sukar diusahakan secara besar-besaran kerana Malaysia tidak mempunyai kawasan penanaman buah-buahan yang besar seperti di Australia dan Amerika Syarikat untuk membolehkan lebah menyedut nektar daripada bunga pokok buahan berkenaan.

Bagaimanapun, tegas Dr Tan, hanya empat daripada 100 jenis stevia saja yang sesuai dengan cuaca dan persekitaran di negara ini.

Beliau berkata, stevia boleh ditanam dan diusahakan di negara ini tetapi ada beberapa masalah yang perlu diambil risiko pengusahanya kerana tanaman berkenaan boleh mengeluarkan hasil yang baik jika lama terdedah kepada matahari.

“Di negara ini, waktu siang hanya 12 jam, bermakna daun yang dihasilkan kurang terdedah kepada matahari. Namun, Malaysia boleh menuai sebanyak sembilan kali hasil kerana kita panas sepanjang tahun.

“Berbanding negara empat musim, waktu panasnya kira-kira 16 jam dan tuai boleh dibuat sebanyak dua kali dalam tempoh musim panas kira-kira tiga bulan setengah. Oleh kerana kadar kepanasan dan pendedahan terhadap matahari tinggi, maka hasil stevia lebih berkualiti kerana kandungan steviosid dan rebaudiosid A tumbuhan itu lebih tinggi.

“Di negara ini, kita boleh melakukan sistem pemanasan menggunakan lampu seperti dilakukan untuk tumbuhan seperti kekwa atau Chrysanthemum, namun ini tidak dapat dilakukan untuk stevia kerana harganya terlalu rendah, sedangkan penggunaan lampu memerlukan kos yang lebih tinggi,” katanya.

CHE Husin Che Muda (kiri) dan seorang ahli KRT Telaga Batin membantu Ali Ghani (tengah) menanam pokok salad pada projek Akuaponik di Kuala Terengganu.



TIDAK ada yang lebih menggembirakan bagi mereka yang membanting tulang mencari rezeki dengan pendapatan tidak seberapa, melainkan terpilih mendapat bantuan untuk meningkatkan taraf hidup menerusi aktiviti ekonomi.

Apatah lagi bantuan tersebut dihulurkan ketika saat-saat memerlukan, dan ia satu pakej teknologi yang tidak dapat dinikmati oleh ramai orang.

Justeru, bagi Ali Ghani, 54, ia merupakan satu ‘nikmat’ yang patut disyukuri apabila terpilih dalam program Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Telaga Batin.

KRT tersebut telah menerima bantuan Sistem Akuaponik kelolaan Jabatan Perikanan Terengganu, Jabatan Pertanian Terengganu, Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan sebuah syarikat yang berkerjasama membantu membangunkan sistem penternakan ikan secara integrasi dengan tanaman sayur-sayuran secara hidroponik.

”Ia (sistem ini boleh membantu) meningkatkan pendapatan dan tidak sukar untuk mengendalikannya,” kata Ali,54, yang berasal dari Wakaf Tengah, Terengganu.

Dia yang bekerja sebagai tukang rumah bersama sekumpulan ahli KRT Telaga Batin dipilih sebagai peserta projek tersebut bertujuan membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Sistem Akuaponik adalah gabungan antara ternakan akuakultur dan tanaman secara hidroponik (tanaman tanpa tanah) yang menggunakan air buangan daripada tangki ternakan ikan untuk memberi nutrien/baja kepada tanaman.

Akar tumbuhan berfungsi sebagai penapis biologi untuk membersihkan air dan ini membolehkan air tersebut diguna semula untuk ternakan ikan.

Pada awalnya, pihak KRT Telaga Batin telah menghantar permohonan untuk mengusahakan projek ini kepada Akuatrop dan bagi merealisasikannya, satu pertemuan dan perbincangan beberapa pihak telah diadakan.

Perbincangan tersebut melibatkan Akuatrop Jabatan Perikanan Terengganu, Jabatan Pertanian Terengganu, Pengerusi KRT Telaga Batin dan syarikat WHK Intergrated telah diadakan.

Menurut Pengarah Akuatrop, Prof. Dr. Faizah Shaharom, hasil daripada perbincangan tersebut, Jabatan Perikanan Terengganu dan Jabatan Pertanian Terengganu telah bersetuju memberi dana bagi menyiapkan infrastruktur untuk sistem akuaponik ini.

AKUATROP bertindak dalam pemantauan sistem, terutama pengurusan ikan dan tanaman serta membekalkan benih ikan. Pihak KRT Telaga Batin menyediakan tempat untuk pembinaan sistem dan peserta yang akan mengusahakan sistem ini serta memantau perkembangan projek

Sesi penyerahan sistem akuaponik kepada peserta telah diadakan serentak bersama satu sesi taklimat serta latihan ringkas tentang cara-cara pengendalian sistem ini dan telah menarik minta kira-kira 57 orang penduduk di sekitar Kg. Telaga Batin.

Sebagai permulaan hanya tiga orang peserta sahaja telah dipilih untuk mengusahakan projek perintis ini.

Kata Faizah lagi, projek tersebut diwujudkan sebagai sumber pendapatan tambahan kepada kumpulan sasaran iaitu golongan berpendapatan rendah, orang kurang upaya, suri rumah/ ibu tunggal dan pekerja kampung.

Katanya, kos keseluruhan projek fasa satu mencecah RM 30, 000 dengan anggaran pendapatan minimum untuk setiap peserta ialah antara RM300 dan RM500 sebulan.

Sebagaimana menurut Ali, projek tersebut mudah dikendalikan yang mana air daripada tangki ternakan keli disalurkan ke tangki tanaman sayur-sayuran.

Sistem tersebut menghasilkan ikan keli segar dan sayur-sayuran yang bebas daripada racun serangga dan baja kimia.

Katanya, ketika ini projek yang dibangunkan adalah untuk ternakan ikan keli dengan tanaman salad kerinting.

Sebenarnya projek tersebut boleh dimanfaatkan untuk ternakan ikan air tawar terutamanya ternakan ikan tilapia dan juga tanaman sayuran berdaun hijau seperti sawi, kangkung dan kalian.

Menurut Faizah lagi, projek perintis ini masih lagi memerlukan penambaikan dan pihaknya akan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengatasi apa juga masalah yang dihadapi oleh peserta.

Antara perkara yang masih dalam perhatian ialah masalah seperti media tanaman menjadi terlalu lembap (water logged) yang boleh menyebabkan pertumbuhan sayuran terbantut atau mati.

Selain itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu juga telah memberi dana kira-kira RM 40 000 bagi menyiapkan projek fasa dua.

Projek ini juga sedang berjalan di tempat yang sama. Selain itu, pihak Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) juga menyatakan minat untuk melaksanakan projek ini di Rantau Manis, Gua Musang Kelantan.

Menurut Pengerusi KRT Kampung Telaga Batin, Che Husin Che Muda, sejak projek tersebut diwujudkan, KRT Telaga Batin sering menerima kunjungan pelawat daripada institusi kerajaan dan swasta.

Ia seolah-olah menunjukkan Sistem Akuaponik juga oleh dijadikan produk eco-pelancongan.

”Sistem ini cukup menarik dan berinovasi, dan hasilnya adalah organik,” kata beliau.

Apa yang penting katanya ialah , hasil yang dikeluarkan perlu dipasarkan kerana ia akan menjamin peserta mendapat pulangan seperti yang ditetapkan dalam objektif projek.

Mengenai fasa kedua, katanya, jumlah ikan dan tanaman dapat dihasilkan lebih banyak supaya pulangan peserta juga bertambah.

SEBUAH pasar tani menerima kunjungan pelanggan yang menggalakkan di Kangar.



KANGAR 21 Jan. – Berniaga di pasar tani nampak seperti suatu perniagaan yang kecil, namun siapa sangka bahawa pulangan yang dinikmati oleh peniaganya adalah lumayan sehingga mampu meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

Contohnya, jika dahulu Wan Nasruddin Wan Nidzamuddin, 29, berpendapatan hanya RM800 sebulan dengan bekerja sebagai pelayan di restoran makanan segera, kini dia meraih RM3,500 sebulan dengan berniaga makanan di pasar tani.

“Tujuh tahun saya bekerja di restoran dan sering terfikir sampai bila harus bekerja dengan gaji ‘cukup makan’ untuk sara hidup yang semakin tinggi. Justeru saya melakukan penghijrahan dan bertekad untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan,” katanya.

Wan Nasruddin merupakan salah seorang penjual nasi lemak, ayam goreng dan minuman di Pasar Tani Taman Sena di sini sebanyak dua kali seminggu.

Apa yang menggembirakan ialah apabila sambutan orang ramai terhadap nasi lemaknya begitu menggalakkan.

Apa tidaknya, jika dahulu dia hanya menggunakan motosikal untuk berniaga, kini dia sudah mampu memiliki sebuah van dan mempunyai lima pekerja.

Seorang lagi peserta pasar tani, Ramli Omar, 66, adalah antara golongan peniaga veteran yang berniaga di pasar tani dengan menjual ayam yang telah diproses.

Pendapatannya walaupun tidak menentu, namun amat lumayan iaitu pendapatan bersih RM4,000 sebulan dengan berniaga sebanyak enam kali seminggu.

Menurut Ramli, walaupun berniaga ayam yang merupakan produk harga kawalan, namun ia tetap memberi keuntungan kepada para peniaga.

“Di pasar tani, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga kerana ia telah ditetapkan dan sentiasa dipantau, namun itu tidak bermakna ia tidak boleh membawa keuntungan,” katanya.

Namun begitu, dengan faktor usianya yang semakin meningkat, dia berhasrat mewariskan perniagaan itu kepada anak-anaknya kerana percaya perniagaan membawa rezeki yang besar.

Dalam pada itu Sharifah Rohim, 45, yang dahulunya menanam sayur-sayuran kampung berhampiran rumahnya dan terpaksa menolak hasil ladang ke pasar borong dengan pendapatan RM800 sebulan, juga telah beralih ke pasar tani.

Apabila diberi peluang menjual sendiri hasil tanaman di pasar tani, Sharifah berjaya mendapat keuntungan yang berlipat ganda iaitu kira-kira RM650 seminggu.

“Saya menjual sayur enam kali seminggu di pasar tani. Jika dahulu saya cuma menjual hasil tanaman sendiri, kini saya membeli sayur-sayuran daripada orang kampung, sekali gus saya dapat membantu mereka walaupun tanaman yang dihasilkan tidak banyak,” katanya.

Ku Hasrin Ku Abd. Rahman, 28, pula mula berkecimpung dalam aktiviti perniagaan di pasar tani sejak 2007 di Pasar Tani Desa Raya di sini.

Bekas pekerja kilang pembungkusan di Pulau Pinang itu tidak pernah berasa bosan walaupun pada peringkat awal pendapatannya tidak seberapa.

Ku Hasrin kini berniaga produk makanan seperti rempah ratus dan minyak kelapa dara (VOC).

“Keuntungan berniaga lebih lumayan berbanding makan gaji kerana dengan menjual rempah ratus, saya mampu meraih keuntungan RM600 sebulan manakala VOC pula RM3,000 sebulan,” katanya.

Muhamad Irsyad Abdul Razak, 22, pula adalah antara remaja yang gigih berniaga di pasar tani dengan menjual baja organik.

Anak muda ini yang berkecimpung dalam perniagaan di pasar tani sejak tiga tahun lalu berniaga dua kali seminggu dan memperoleh pendapatan bersih RM6,000 sebulan.

“Saya mula berniaga produk ini sebaik sahaja tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan apabila mendapati hasil jualan yang menguntungkan, saya tidak terfikir untuk berhenti berniaga,” katanya.

Berbekalkan semangat yang berkobar-kobar dan keinginan yang kuat untuk meningkatkan perniagaannya, ia membuatkan Muhamad Irsyad berusaha untuk memantapkan diri dengan mengambil kursus persijilan dalam bidang pertanian.

Dari kiri: Arma Mohd. Faizal Abu Bakar, Malissasahila Abd. Manap, Mohd. Azuan Mohd. Alias dan Siti Noraisah Abdullah berbangga dengan produk berasaskan buah salak ciptaan mereka.



BUAH salak kurang digemari terutama di kalangan generasi muda. Mungkin kerana fizikal buah bersisik itu menyerupai kulit ular dan rasa yang agak kelat. Selain itu, pasaran buah itu juga ‘bermusim’ dan peminatnya perlu menunggu musim tertentu bagi mendapatkan bekalan yang diimport dari Kepulauan Jawa dan selatan Sumatera, Indonesia.

Lupakan sebentar tentang rasa dan kepayahan mendapatkan buah eksotik itu. Kita lihat apa khasiat kandunga

nnya. Mengikut kajian, buah salak boleh melambatkan proses penuaan kerana mempunyai bahan anti-oksidan. Selain itu, ia juga mengandungi phytochemical iaitu bahan kimia semula jadi yang mengurangkan risiko penyakit kanser.

Kelebihan tersebut menarik perhatian sekumpulan lima penyelidik Jabatan Seni Kulinari dan Perkhidmatan Makanan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Terengganu untuk membuat kajian. Mereka bergabung tenaga untuk menjadikan buah salak yang selama ini dimakan mentah menjadi bahan alternatif dalam bentuk jus dan kaya.

Usaha membuat jus salak dipikul oleh Siti Noraishah Abdullah, 35, Mohd. Azuan Mohd. Alias, 32, Malissasahila Abdul Manap, 27, Azlina Samsuddin, 27 dan Arma Mohd, Faizal Abu Bakar, 24. Mereka di kalangan 477 pelajar dan pensyarah yang menyertai Pertandingan Ciptaan Inovasi dan Rekaan 2010 (IID 2010) anjuran Institut Pengurusan Penyelidikan di UiTM Shah Alam minggu lalu.

Pensyarah muda tersebut mahu menjadikan jus salak ciptaan mereka sebaris dengan minuman buah-buahan lain yang ada di pasaran. Penyertaan mereka juga atas sokongan UiTM Terengganu yang banyak menyokong usaha pensyarah dan pelajar dalam penyelidikan reka cipta dan inovasi.

”Kami mahu jadikan jus buah ini unik sama ada pada rasa dan nutrisi kandungannya. Sebab itu objektif utama kami adalah untuk mengkomersialkan buah salak. Dapat menarik lebih ramai orang untuk meminati buah salak jika selama ini kurang digemari,” kata Malissasahila.

Idea itu juga didorong oleh kerjasama kerajaan negeri Terengganu dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) sehingga berjaya menghasilkan baka buah salak yang lebih manis, kurang kelat dan tinggi nilai nutrisi. Sekali gus, menjadikan negeri itu sebagai hab pengeluar salak terbesar di negara ini.

Pati

Jus salak ciptaan kumpulan itu hanya menggunakan pati buah salak jenis ST1 yang lebih besar, isi yang tebal dan bersifat jernih.

Ia juga tidak menggunakan sebarang bahan pengawet, pewarna dan campuran lain supaya khasiatnya terjaga.

Ramuan yang sama turut diguna pakai dalam menghasilkan kaya salak berperisa pandan. Mereka sengaja menambah rasa pandan agar kaya salak itu menjadi lebih lazat selain dapat menaikkan aroma.

”Kami menggunakan buah salak jenis ST2 dan ST3 untuk menghasilkan kaya salak ini. Sekali lagi, tidak timbul soal kelat atau tidak sedap kerana ia seperti kaya lain yang ada di pasaran. Sapuan kaya di roti menjadikan hidangan sarapan pagi atau minuman petang anda lebih bermakna pada waktu itu,” tambah Malissasahila.

Inovasi yang dicetuskan menarik perhatian juri IID 2010 yang bersepakat menganugerahkan pingat perak untuk jus manakala gangsa untuk kaya salak. Walaupun gagal meraih pingat emas, mereka berazam untuk membuat lebih banyak kajian berkaitan bahan makanan yang ada di negara ini mengikut potensi pemasaran.

Langkah mempatenkan produk berkenaan juga telah dilaksanakan. Kini kumpulan berkenaan sedang mencari pihak yang berminat untuk memasarkannya termasuk industri kecil dan sederhana (IKS). Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Terenggau di talian 09-8481700 atau emel di armam5885@tganu.uitm.edu.my.

Siapakah Mark Zuckerberg? Berapa ramai yang mengenalinya?

Beliau merupakan seorang pelajar universiti telah mencipta satu laman sosial iaitu Facebook yang seterusnya kini menjadi satu fenomena di seluruh dunia.

Hasil dari penciptaan laman web berkenaan, Mark Zukerberg merupakan salah seorang bilionair muda hasil penemuan yang inovatif.

Mengapa manusia perlu kepada inovasi? Inovasi merupakan cara atau pendekatan baru dalam melakukan sesuatu.

Perkataan inovasi sering dikaitkan dengan proses dan tidak semestinya bergantung kepada ciptaan baru dan ia juga yang merevolusikan tamadun manusia.

Demikian pentingnya inovasi dan pengaruhnya dalam kehidupan manusia dan atas sebab itu jugalah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah diberi tanggungjawab untuk menerajui usaha transformasi, berpaksikan ekonomi dipacu oleh inovasi dengan matlamat meningkatkan daya saing, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi lestari dalam era globalisasi pada tahun ini.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjelaskan betapa pentingnya inovasi dalam Bajet 2010 lalu, beliau telah mengisytiharkan pada tahun ini sebagai Tahun Inovasi dan Kreativiti atau dikenali sebagai Malaysia Inovatif 2010 (MI2010).

Penganjuran MI2010 adalah seiring dengan hasrat Perdana Menteri untuk melakukan perubahan melalui inovasi secara menyeluruh untuk membawa negara ke tahap ekonomi yang lebih maju; ‘Innovative Leadership for 1United, Innovative Malaysia’.

Tujuan MI2010 diadakan adalah bagi meningkatkan kesedaran dan memupuk budaya inovasi di kalangan rakyat Malaysia ke arah penghasilan kekayaan, penjanaan ilmu dan kesejahteraan rakyat.

MOSTI sebagai penyelaras utama dengan penyertaan kementerian-kementerian dan Rakan Inovasi dalam menjayakan MI2010.

Rasanya masih belum terlambat bagi Malaysia memanfaatkan bidang tersebut sebagai pendekatan mencapai model ekonomi baru yang berpaksikan inovasi, kreativiti dan nilai tinggi.

Meskipun wujud beberapa kekangan ke arah itu yang boleh membantutkan iltizam kerajaan, antaranya peruntukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara relatifnya kecil iaitu hanya 0.64 peratus berbanding tiga atau empat peratus di negara maju.

Selain itu, jumlah penyelidik sehingga 11 Januari lalu menunjukkan bahawa nisbah saintis, penyelidik dan jurutera (RSE) bagi 10,000 tenaga kerja adalah 18.2 adalah rendah, masih belum terlambat bagi MOSTI untuk berusaha ke arah itu.

Pada masa sama, inovasi tempatan berhadapan dengan stigma masyarakat bahawa produk import lebih baik dan jauh lebih berkualiti.

Bagaimanapun iltizam itu kementerian dinyatakan oleh menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili yang menyasarkan akan meningkatkan bajet R&D kepada melebihi satu peratus dan lebih menarik mahu meningkatkan jumlah inovasi yang dikomersialkan.

”MOSTI meletakkan sasaran peningkatan sebanyak 10 peratus produk yang dipatenkan tahun ini daripada 160 produk yang dipatenkan (sebelum ini),” katanya.

Ketika ini pula kadar pengkomersialan ialah 3.4 peratus.

MOSTI akan terus mempergiatkan aktiviti R&D dengan berorientasikan keperluan pasaran bagi menghasilkan produk yang mempunyai nilai komersial

Bagi mencapai matlamat tersebut, MOSTI telah mengenal pasti bidang-bidang keutamaan dan bidang pertumbuhan baru seperti tenaga diperbaharui, nanoteknologi, perubahan iklim dan bioinformatik..

Selain usaha pengkomersialan, yang lebih penting daripada itu ialah bagaimana memupuk kreativiti kerana inovasi dan bidang tersebut amat berkait rapat.

Ongkili berkata, usaha akan terus diperhebat bagi memupuk daya kreativiti khususnya di peringkat muda.

Kata beliau, anak tempatan tidak kurang hebatnya dalam pelbagai bidang sehingga mencapai tahap antarabangsa. Mereka sepatutnya menjadi role model kejayaan kepada golongan muda.

Beberapa nama boleh dijadikan contoh tetapi yang lebih penting lebih ramai yang mengikuti jejak langkah mereka yang telah berjaya dan kerajaan memainkan peranan mengembangkan bakat-bakat ini.

Anugerah Inovasi Negara (AIN) yang diadakan sejak beberapa tahun kebelakangan mungkin boleh dijadikan kayu ukur pemupukan daya kreativiti dan penjanaan inovasi tetapi yang lebih signifikan ialah meningkatkan persekitaran kondusif untuk bakat tempatan terus berkarya.

Ramai daripada kita menganggap inovasi ialah produk semata-mata sebaliknya, faktor yang lebih mustahak ialah supaya keupayaan sistem pendidikan dan latihan diberi perhatian bagi memastikan modal insan yang dijana mempunyai pengetahuan, kemahiran dan menepati keperluan pasaran.

”Mungkin sudah sampai masanya pengenalan mata pelajaran mengenai kreativiti, inovasi dan berfikir kreatif ditekankan sebagaimana yang telah dilaksanakan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Korea Selatan dan Singapura yang memandang berat mata pelajaran tersebut dalam sistem pendidikannya,” kata Ongkili.

Beliau menegaskan, inovasi memerlukan empat bahagian iaitu pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta insentif dan pemasaran sebelum faktor luaran lain seperti keadaan ekonomi sekarang ini yang boleh memberikan kesan terhadap industri.

Beliau juga berpendapat, inovasi seharusnya dimasyarakatkan demi memastikan ia dekat di hati rakyat dan mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Memasyarkatkannya terlebih dahulu adalah penting sebelum membudayakannya dalam kehidupan harian.

Justeru, portal MyIdeas (www.myideas.com.my) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri bagi ‘mengutip’ idea dari seluruh pelosok negara, ditapis dan diambil idea-idea yang mempunyai nilai komersial.

Ia merupakan salah satu usaha radikal kerajaan dalam mendekati rakyat bagi memastikan kreativiti dan idea mereka diiktiraf.

Sejajar dengan itu, MOSTI telah mendekatkan inovasi yang dihasilkan kepada pengguna di peringkat akar umbi dan kini terdapat 13 projek komuniti berasaskan inovasi telah dilaksanakan untuk membantu penduduk kawasan luar bandar untuk meningkat pendapatan.

Antara projek yang sedang dilaksanakan di beberapa kawasan Parlimen dan mendapat hasil yang lumayan ialah projek minyak kelapa dara (VCO), baja organik, makanan ternakan haiwan dan projek penternakan ikan kelah.

Pada tahun ini, MOSTI turut merancang untuk memperluaskan program seperti ini di enam puluh kawasan Parlimen yang akan dikenal pasti kelak.

Pendek kata, inovasi tidak seharusnya dilihat kepada aktiviti yang menjurus kepada sains dan teknologi semata-mata.

Inovasi meliputi definisi yang lebih luas di mana ia juga amat penting di dalam bidang pendidikan, kesihatan, perbankan dan sebagainya. Inovasi juga boleh dijadikan sebagai gaya hidup di kalangan rakyat.

Tema bagi MI2010 ialah “Meraikan Kreativiti.”

Program dan aktiviti MI2010 melibatkan 14 kementerian utama meliputi Kementerian Pelajaran; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta dan Kementerian Belia dan Sukan.

Kementerian lain termasuk Kementerian Pelancongan; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pertahanan; Kementerian Kesihatan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Laman Berikutnya »