PUSAT pengumpulan kenaf pertama di negara ini akan dibuka di Bachok, Kelantan bulan ini bagi menguruskan pemprosesan dan pemasarannya, sejajar dengan rancangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk menggalakkan penanaman tanaman berkenaan.

Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pemasaran (CPMC) seluas 0.5 hektar di Beris Lalang itu akan dikendalikan Symphony Advance Sdn Bhd (SASB) dengan kerjasama Lembaga Tembakau Negara (LTN).

Pengarah Urusan SASB, Iman Shah Ismail, berkata syarikat itu melabur hingga RM1 juta untuk mendirikan pusat itu dan merancang membuka lebih banyak CPMC.

“Kami tidak merancang membina sebuah CPMC besar, sebaliknya banyak pusat bersaiz optimum berhampiran dengan ladang kenaf. Kami mengenal pasti tapak di Kelantan dan Terengganu.

“Pusat itu akan dibuka selaras jadual penanaman kenaf ECER dan LTN,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat ECER, semalam.

Serbuk kenaf digunakan dalam bahan komposit, manakala pokok kenaf diperkenalkan sebagai tanaman ladang menerusi ECER disebabkan potensi besar pokok yang kaya dengan serabut itu.

Pokok itu boleh diproses menjadi kertas, pakaian, bahan binaan, aksesori kereta dan biofuel.

Pengeluaran SASB sekarang berjumlah 1,000 tan sebulan. Ia diunjurkan meningkat kepada 3,000 tan menjelang September tahun ini dan 10,000 tan menjelang 2009.

Syarikat itu mula mengeksport serbuk kenaf Februari lalu ke negara perindustrian iaitu Jepun dan Korea.

“SASB meramalkan permintaan yang amat besar bagi kenaf di seluruh dunia terutama dalam penggunaan bagi bahan komposit. Ia kerana kenaf adalah pokok dan bahan organik perindustrian mesra alam yang diiktiraf oleh Protokol Kyoto sebagai berupaya mengurangkan pemanasan global.

“Syarikat boleh menikmati insentif cukai khas apabila ia dieksport ke Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat,” kata Iman Shah.

Beliau berkata, disebabkan kenaikan harga minyak mentah dan berikutan itu kenaikan harga polipropilena dan poliethilena, permintaan bagi kenaf yang juga bahan gantian akan meningkat.

SASB adalah sebahagian Kumpulan Syarikat Kumpulan AqilQisti, yang mempunyai operasi dalam industri media, teknologi, pertanian dan akuakultur.

Menerusi ECER, kawasan sasaran bagi penanaman kenaf adalah kira-kira 10,000 hektar. Ia dijangka meningkatkan pendapatan 10,000 penanaman tembakau dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.