KUCHING 20 Mei – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan perlu agresif membantu nelayan di negara ini termasuk menyalurkan maklumat kawasan tumpuan ikan yang dirakam oleh satelit bagi meningkatkan hasil.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof berkata, negara ini mempunyai satelit bukan sahaja untuk tujuan saintifik tetapi boleh diguna pakai bagi pertanian dan perikanan.
Menurutnya, satu daripada tujuannya yang boleh digunakan dalam industri perikanan ialah mengenal pasti kawasan yang terdapat banyak plankton dan sudah pasti lokasi itu tumpuan ikan.
”Kita sedar kos nelayan untuk ke laut tinggi dengan keperluan minyak serta bahan-bahan lain dan jika tidak membawa pulang hasil akan merugikan.
”Maka, dengan maklumat yang disalurkan oleh LKIM atau Jabatan Perikanan, para nelayan boleh fokus untuk menangkap ikan di kawasan yang dinyatakan tanpa berasa ragu memandangkan kawasan yang dirakam satelit itu sememangnya tumpuan ikan,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memancing ikan laut dalam anjuran Semariang Angler di di sini.
Sehubungan itu, beliau menyarankan persatuan-persatuan nelayan berhubung dengan LKIM atau Jabatan Perikanan untuk mencari kaedah melaksanakan serta mengaplikasikan penggunaan satelit bagi industri perikanan negara.
Katanya, agensi kerajaan yang mempunyai satelit sentiasa menyalurkan maklumat kepada LKIM dan Jabatan Perikanan mengenai gambaran lokasi yang mempunyai banyak plankton dan berharap agensi-agensi tersebut menyebarkannya kepada sama persatuan atau nelayan persendirian.
Tambahnya, penggunaan satelit dalam industri perikanan telah digerakkan di Semenanjung oleh LKIM dan berharap kaedah seumpama itu turut dilaksanakan di Sarawak.
”Saya yakin kaedah seumpama ini dapat membantu nelayan-nelayan untuk meningkatkan hasil mereka memandangkan kaedah tersebut telah terbukti dengan kejayaan-kejayaan industri perikanan di Jepun dan Eropah,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Fadillah mengingatkan para nelayan supaya meningkatkan pengetahuan mereka mengenai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) supaya dapat mengikuti perkembangan dan teknologi yang digunapakai dalam menangkap ikan.
Menurutnya, di luar negara, para nelayan tahu menggunakan komputer dan peralatan itu disediakan di dalam bot masing-masing bagi mendapatkan maklumat atau gambaran lokasi ikan menerusi bantuan satelit.
”Jika peralatan tersebut terpaksa menelan kos yang tinggi, para nelayan dan LKIM serta Jabatan Perikanan perlu bekerjasama mencari mekanisme yang boleh digunakan bagi mendapat maklumat yang kemudiannya disalurkan kepada persatuan-persatuan nelayan di seluruh negara,” katanya.