HARI ini, berjuta penduduk dunia bersatu menunjukkan sokongan mereka terhadap kepentingan pemuliharaan kepelbagaian biologi untuk menjamin bekalan makanan yang berterusan bagi generasi kini dan akan datang.

Sempena sambutan Hari Kepelbagaian Biologi dunia hari ini, masyarakat umum di negara ini perlu mengetahui akan pentingnya pemuliharaan kepelbagaian biologi itu.

Malah, menyedari betapa pentingnya sumbangan kepelbagaian biologi terhadap pembangunan pertanian dan makanan dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Program Alam Sekitar (UNEP) sudah menubuhkan Konvensyen Kepelbagaian Biologi pada 1992, di Rio de Janeiro, Brazil.

Konvensyen ini adalah bermatlamat memulihara, mengguna secara lestari dan berkongsi sama sumber kepelbagaian biologi. Salah satu program kerja konvensyen ini adalah Kepelbagaian Biologi Pertanian, bermatlamat memastikan pembangunan pertanian secara lestari dapat dibangunkan.

Pada ketika ini, persidangan kesembilan konvensyen ini sedang berlangsung di Bonn, Jerman. Salah satu isu utama pada persidangan ini ialah untuk menilai kembali kesan pertanian kepada kepelbagaian biologi dan juga meneliti sumbangan kepelbagaian biologi terhadap bekalan pertanian dan makanan dunia.

Persidangan kali ini diadakan bersamaan tarikh sambutan Hari Kepelbagaian Biologi dunia hari ini. Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Kepelbagaian Bio dan Pertanian’. Tema ini dipilih untuk menyedarkan masyarakat dunia betapa kepelbagaian biologi dan pertanian saling bergantung dan memerlukan.

Di Malaysia, sambutan juga diadakan dengan mengadakan seminar kesedaran awam anjuran Mardi, di Serdang. Seminar ini dijayakan bersama ‘Bioversity International’, bertujuan meningkatkan kesedaran awam betapa perlunya membangun pertanian secara lestari, bukan sekadar memulihara kepelbagaian biologi malah menjamin bekalan makanan dunia mencukupi, dapat menjaga kesejahteraan warga pertanian dan seterusnya meningkatkan keselesaan warga dunia dalam abad ke-21 dan masa akan datang.

Dalam erti kata lain, krisis makanan yang dirasai sekarang adalah sekadar mengingatkan kita betapa krisis pemakanan yang lebih besar lagi akan mendatang sekiranya kita gagal mengurus sumber kepelbagaian biologi kita dengan sebaik mungkin.

Bagi membincang lanjut isu ini, kita perlu melihat kepada peranan pendebungaan iaitu salah satu sumbangan daripada ekosistem yang amat bermakna kepada kehidupan kita. Pelbagai jenis hidupan terbabit dalam menjayakan proses pendebungaan ini.

Sumbangan ejen pendebungaan hanya satu contoh di mana peranan kepelbagaian biologi amat diperlukan bagi menjamin kehidupan yang selesa untuk masa sekarang dan akan datang.

Dengan itu, kepentingan kepelbagaian biologi ejen pendebungaan adalah seiring dengan kepentingan kepelbagaian genetik serta spesis di dalam menjamin bekalan makanan berterusan untuk generasi sekarang dan generasi akan datang.

Ejen pendebungaan membantu ekosistem dengan memudahkan proses pembiakan pelbagai spesis tanaman dan tumbuhan. Sebahagian daripada tumbuhan ini adalah punca makanan kepada manusia.

Data penyelidikan kini menunjukkan khidmat pendebungaan ini sangat tinggi nilainya kepada ekologi, ekonomi dan sosial.

Sebagai contoh, koko bergantung sepenuhnya kepada ejen pendebunga untuk menjayakan proses pendebungaan. Dengan menjayakan proses yang amat penting kepada kitaran hidup koko, ejen pendebunga bertanggungjawab memastikan pokok koko dapat hidup berterusan dan menghasilkan biji koko yang amat ternilai dari segi ekonomi.

Dari segi sosial pula, ejen pendebunga ini memastikan kita dan anak cucu kita tidak dapat berasa nikmat coklat. Begitu juga nikmah buah-buahan lain, yang bergantung kepada ejen pendebungaan untuk menjayakan proses pendebungaan.

Contoh ejen pendebunga itu ialah serangga, burung dan kelawar. Di antaranya, serangga adalah ejen yang amat penting. Pelbagai jenis serangga terbabit secara langsung di dalam mendebungakan lebih sepertiga daripada jumlah pokok dan tumbuhan yang menjadi sumber makanan kita.

Lebah, lalat, kumbang, rama-rama dan kupu-kupu adalah sebahagian daripada serangga utama yang terbabit dalam menjalankan proses pendebungaan ini. Di antaranya, lebah yang paling utama.

Dianggarkan lebih 80 peratus daripada jumlah serangga yang terbabit dalam proses pendebungaan adalah terdiri dari lebah. Ini membuktikan lebah bukan sekadar menghasilkan madu yang nikmat khasiatnya kita semua maklum, tetapi juga memainkan peranan di dalam mendebungakan pelbagai jenis sumber makanan kita.

Dengan ini pemuliharaan kepelbagaian jumlah lebah amat penting dalam usaha menjamin bekalan sumber makanan kita akan berterusan.

Lebah terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu lebah bersengat (Apis species) dan lebah tidak bersengat (contohnya, Tirgona sp). Malaysia amat bertuah dianugerahkan dengan kepelbagaian biologi lebah yang amat tinggi, sama ada lebah bersengat atau tidak bersengat.

Lebah tidak bersengat juga dikenali sebagai kelulut. Ia adalah ejen pendebunga utama bagi pokok hutan. Ia juga mudah untuk diuruskan bagi menjalankan khidmat pendebungaan kepada pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan.

Di AS, fenomena kehilangan koloni lebah dikesan dan menyebabkan industri buah-buahan di negara itu terancam. Fenomena ini dikatakan berpunca daripada lebah mengalami tekanan yang melampaui had kemampuan menjalankan proses pendebungaan kerana beberapa faktor negatif yang disebutkan sebelum ini.

Di Eropah, kepelbagaian jumlah lebah sedang berkurangan atas alasan yang sama. Di Malaysia, pemerhatian awal juga menunjukkan kepelbagaian jumlah kelulut berkurangan di sesetengah kawasan yang terbabit dengan pembangunan.

Pakar pemakanan di seluruh dunia sekata dan bersetuju supaya tindakan segera dapat diambil untuk mengurangkan masalah kehilangan kepelbagaian jumlah ejen pendebunga yang utama ini.

Tindakan memulihara kepelbagaian jumlahnya adalah perlu bagi mengelak masalah bekalan makanan dunia terancam.

Di AS, senat Amerika meluluskan rang undang-undang penjagaan habitat ejen pendebunga. Ia bertujuan memastikan habitat kepelbagaian jumlah ejen pendebunga terjaga. Di Eropah, langkah yang sama juga sudah dimulakan.

Di Malaysia, usaha mengumpul maklumat mengenai ejen pendubunga serta memulihara kepelbagaian jumlah ejen pendebunga terutama kelulut dimulakan dalam RMK-9 ini.

Mardi sudah membangunkan sistem komputer untuk meneliti ekologi ejen pendebunga di kawasan buah-buahan. Maklumat diperoleh akan dapat membantu menyediakan kaedah terbaik dalam memulihara kepelbagaian jumlah ejen pendebunga di kawasan buah-buahan di negara ini.

Di samping itu, usaha penyelidikan juga sedang dijalankan untuk menilai khidmat pendebungaan yang disediakan oleh ejen pendebunga serangga di kawasan buah-buahan.

Kesan kehilangan ejen pendebunga ke atas sumber bekalan makanan kita adalah satu petunjuk betapa kehilangan kepelbagaian biologi akan mengancam jaminan makanan kita. Kepelbagaian biologi adalah keperluan asas kepada pembangunan pertanian lestari.

Di dalam contoh ini, kepelbagaian jumlah ejen pendebunga diperlukan untuk menjamin pengeluaran makanan secara lestari. Ia seiring dengan peranan kepelbagaian genetik dan spesis, bagi meningkatkan lagi hasil dan produktiviti pertanian.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik Mardi – Dr Mohd Norowi Hamid