MASYARAKAT kini kian menyedari dan membuka mata mengenai khasiat serta sumber protein yang boleh diperoleh daripada pelbagai spesies ikan air tawar yang banyak menghuni sawah, sungai, tasik dan bekas lombong di negara ini.

Bagaimanapun, ancaman kepupusan spesies berkenaan menimbulkan satu fenomena baru kepada hidupan itu, sekali gus memberi kesukaran untuk generasi kini mendapatkan sumber ikan air tawar yang mencukupi bagi menampung permintaan orang ramai.

Faktor pencemaran, pembuangan sisa toksik, penyeludupan dan penggunaan bahan kimia serta bom ikan dilihat antara faktor utama mempengaruhi kepupusan spesies seperti kelah, temoleh, baung, kelabau, tengas, loma, tengalan, sebarau dan lampam sungai.

Justeru, Jabatan Perikanan memainkan peranan dengan menubuhkan Pusat Perikanan Darat (PPD) Banding, Grik, Hulu Perak. Ia antara PDD diwujudkan di negara ini sebagai tanggungjawab untuk membangunkan baka induk dan mengeluarkan benih ikan air tawar tempatan.

PPD yang dibina pada 1997 dengan kos RM6 juta dan beroperasi mulai November 2006 itu dijadikan sebagai ‘klinik dan pusat jagaan’ kepada spesies ikan air tawar.

Selain untuk tujuan pemuliharaan, penubuhan PPD turut mensasarkan pengeluaran benih ikan air tawar asli tempatan sebanyak 10 juta ekor setahun kerana jumlah itu dijangka dapat menampung permintaan bagi memastikan kesinambungan hidupan spesies ikan.

Ketua PPD Banding, Bakri Miswan, berkata pusat itu juga memainkan peranan sebagai pusat pengembangan yang memberi khidmat nasihat teknikal dan pusat sumber maklumat serta rujukan kepada kumpulan sasar, membekal benih ikan air tawar kepada penternak dan melepaskan anak ikan ke sungai atau tasik.

“Pusat itu menjalankan program membekal benih ikan kepada golongan sasaran bertujuan mempelbagai aktiviti ekonomi bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Selain nelayan setempat, kami turut menggunakan khidmat masyarakat Orang Asli untuk menjaga serta memulihara anak ikan yang dilepaskan ke tasik daripada aktiviti pencerobohan serta penangkapan ikan secara haram,” katanya.

Ternyata usaha itu disambut baik di kalangan penduduk Orang Asli yang kini bukan dilihat sebagai penduduk primitif sering berpindah randah, sebaliknya mula membuka minda melihat sebarang sumber untuk menambah punca pendapatan dengan menggabungkan kemahiran tradisional dengan kemajuan teknologi yang diberi Jabatan Perikanan.

Tok Batin Sungai Chiong, Chali Itam ketika ditemui Berita Harian di perkampungan itu baru-baru ini berkata, penduduk kampung berkenaan menyambut baik usaha kerajaan serta Jabatan Perikanan menjalankan projek pelepasan benih ikan tawar ke sungai kerana banyak membantu memberi sumber pendapatan kepada penduduk.

“Kebanyakan daripada penduduk kampung menjalankan kegiatan menangkap ikan dan sememangnya jika tiada usaha memulihara spesies ikan air tawar, ia akan mengalami masalah kepupusan.

“Melalui program itu, sekurang-kurangnya kami dapat bergantung dengan pendapatan sebagai nelayan kerana ia boleh memberi pulangan lumayan sehingga mencecah RM100 sehari hasil daripada jualan ikan air tawar kepada penduduk luar,” katanya.

Chali berkata, ada lebih 100 keluarga di Kampung Chiong yang hanya menumpukan kegiatan pertanian seperti bercucuk tanam dan menangkap ikan untuk mencari sumber pendapatan.

“Kami kini mula menjalankan ternakan ikan secara tidak langsung walaupun tanpa menggunakan sangkar atau kolam khas kerana ikan dibiakkan melalui habitat mereka sendiri.

“Kami diberi tugas mengadakan rondaan dan memantau pembesaran ikan itu dengan memastikan tiada kegiatan pencerobohan dan penangkapan ikan secara haram selain memastikan habitat ini terpelihara daripada sebarang pencemaran.

“Walaupun bukan secara rasmi, tetapi itu menjadi tanggungjawab kami sebagai penduduk asal di tasik ini,” katanya.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya, penduduk kampung (Orang Asli) mempunyai ‘tugas khas’ untuk membantu pemuliharaan ikan air tawar selain memberi pendapatan sampingan yang lumayan.

“Kebanyakan spesies ikan terutama kelah dan temoleh semakin sukar diperoleh dan nilai pasarannya melambung tinggi. Ia menjadi kegemaran ramai pihak terutama penggemar ikan hiasan serta masyarakat Cina. Jadi pihak berkenaan perlu mengambil inisiatif lebih awal untuk membendung sebarang kegiatan tidak diingini bagi melindungi hidupan itu,” katanya.

FAKTA: Pusat Perikanan Darat

# Ditubuhkan dengan kos RM6 juta.

# Sasaran hasilkan benih 10 juta ekor ikan air tawar setahun

# Dijadikan pusat khidmat nasihat teknikal dan sumber maklumat serta rujukan