BAGI mengukuhkan komitmennya untuk memartabatkan bidang pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil pelbagai langkah menubuhkan pusat-pusat kecemerlangan yang akan memberi fokus kepada pembangunan sektor tersebut menggunakan pendekatan teknologi.Selain pusat kecemerlangan, UPM yang memiliki kawasan ladang luas, juga memanfaatkan aset tersebut dengan memberi nilai tambah dengan menstrukturkannya supaya dapat digunakan untuk pelbagai tujuan.
Pengurusan UPM telah menaik taraf Bahagian Ladang yang telah wujud sejak 1971 lagi dan menukar namanya kepada Taman Pertanian Universiti (TPU), pada 1 Disember 2001 dan berfungsi untuk menyediakan kemudahan pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan dalam bidang pertanian untuk pelajar, kakitangan dan orang ramai.
Taman tersebut dibahagikan kepada pelbagai seksyen iaitu Kejuruteraan Ladang.
Dengan adanya pembahagian seksyen tersebut, TPU mempunyai tugas dan peranan yang jelas bagi untuk makluman orang ramai.
Seksyen-seksyen itu pula bukan hanya memberi perkhidmatan kepada kakitangan dan pelajar, tetapi juga kepada masyarakat.
Di antara kesemua seksyen yang diwujudkan di bawah TPU, Seksyen Penyelidikan dan Agroteknologi antara yang menarik untuk diuar-uarkan memandangkan ia amat penting sebagai cabang penyelidikan.
Berpandukan kepada matlamatnya untuk terlibat dalam penyelidikan dan pengajaran bidang pertanian, seksyen tersebut banyak menjalankan kursus dalam bidang pertanian menjadikannya kian di kenali.
Bagi mereka yang berminat untuk menceburi bidang pertanian dan ingin maklumat atau bimbingan awal, berjinak-jinak dengan aktiviti yang dianjurkan oleh seksyen tersebut mungkin satu jawapan terbaik.
Ini kerana seksyen tersebut terlibat penyelaras projek pertanian terkawal penanaman dan pengeluaran cendawan yang mendapat sambutan menggalakkan, serta Penyelaras projek pertanian tepat menggunakan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan Sistem Maklumat Geografi (GIS).
Seksyen tersebut juga terlibat sebagai penyelaras projek pertanian persekitaran terkawal yang melibatkan tanaman teknologi fertigasi dan hidronik.
Pada masa sama, seksyen tersebut juga berfungsi menyediakan penyelidikan dalam teknologi biji benih dan kultur tisu, penganjuran latihan teknologi berasaskan ICT dan menyediakan ruang penyelidikan pensyarah dan pelajar.
Satu lagi usaha yang dijalankan termasuk menyediakan bahan rujukan perladangan di Pusat Sumber TPU dengan sistem rujukan secara elektronik pada masa akan datang.
Menurut Ketua Seksyen, Salbiah Md Tap, pihaknya memberi tumpuan kepada pembelajaran dan bimbingan serta penyelidikan termasuk menawarkan kursus pertanian kepada orang ramai.
”Kami banyak menerima penyertaan daripada orang ramai yang berminat dalam teknik penanaman cendawan dan sentiasa mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Justeru bagi menampung keperluan, fungsi dan minat orang ramai dalam bidang pertanian, seksyen tersebut mempunyai pelbagai kemudahan antaranya Kompleks Seksyen Penyelidikan dan Agroteknologi yang dibangunkan di atas kawasan seluas 3.5 hektar yang mula beroperasi pada awal 2006.
Antara kemudahan yang terdapat di kompleks tersebut termasuk Makmal Kultur Tisu, Rumah Tropika yang terdiri daripada rumah lindungan, rumah kalis serangga, dan rumah teduhan.
Kemudahan lain termasuk Makmal Teknologi Biji Benih, Makmal GPS/GIS dan Rumah Cendawan.
Pengunjung yang melawat kawasan ini berpeluang melihat sendiri sayur-sayuran yang ditanam menggunakan teknologi persekitaran terkawal menggunakan sistem titis atau autopot.
Menurut Salbiah, kursus penanaman cendawan tiram kelabu yang popular dijalankan di Rumah Cendawan yang mempunyai kemudahan antaranya mesin mengadun media tanaman, alat pengewapan, dan rak penanaman.
Selain itu, Taman Aroma turut disediakan di bawah Unit Latihan di TPU merangkumi kawasan seluas 0.26 hektar. Taman ini merupakan sebahagian daripada Taman Hortikultur Terapi.
Taman tersebut yang digunakan untuk tujuan pengajaran, penyelidikan dan pameran dan dibuka kepada umum.
Taman yang mula ditanam dengan pelbagai tanaman pada Julai 2003 dipenuhi dengan pokok-pokok wangi yang berjumlah 34 jenis semuanya.
Daripada jumlah itu, pokok renek berjumlah 16 jenis, pokok memanjat (lima), herba (lima), pokok bersaiz sederhana (empat) dan pokok orkid (empat).
Kawasan ini juga diperindahkan dengan landskap yang menarik dengan penekanan kepada santai dan kawasan berehat dengan pembinaan bangku dan meja, laluan batu refleksi urutan kaki, air terjun, wakaf dan pejalan kaki.
Namun menurut, Salbiah aktiviti paling popular di seksyen tersebut ialah Kursus Asas Pengeluaran Cendawan Tiram Kelabu (Pleurotus sajor -caju) yang mana setakat ini sudah menarik minat beratus peserta.
Peserta yang yang menyertai kursus berpeluang pengetahuan merangkumi penerangan kaedah asas penanaman, menyediakan media tanaman dalam polibeg, penyuntikan benih, memetik , memetik dan penyediaan benih.
Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti pertanian Taman Pertanian Universiti khususnya yang ingin menyertai kursus penanaman cendawan boleh menghubungi 03-89467286, 89467318.