Projek diusaha lulusan diploma di UiTM di Kampung Bantayan, Tamparuli jimat tenaga kerja dan beri hasil berganda
TUARAN: Walaupun penanaman sayur-sayuran menerusi kaedah fertigasi sudah lebih dua abad diusahakan di negara maju seperti Amerika Syarikat dan nyata menguntungkan pengusaha, hakikatnya pendekatan itu masih asing di kalangan petani di Sabah.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian besar petani masih mengamalkan kaedah lama, sekali gus dikekang pendapatan terhad selain terpaksa berdepan pelbagai masalah kerosakan tanaman akibat serangan serangga perosak.
Bagaimanapun, kaedah lapuk dalam pertanian mula pupus secara beransur-ansur berikutan usaha pelbagai pihak termasuk kerajaan memperkenalkan formula terkini ke arah mencari pembaharuan di bidang itu.
Hasilnya, penanaman sayur-sayuran menggunakan kaedah fertigasi wujud buat pertama kalinya di daerah ini iaitu di kawasan seluas 0.25 hektar di Kampung Bantayan, Tamparuli sejak setahun lalu.
Penanaman menggunakan kaedah fertigasi sepenuhnya itu diusahakan Cuzzanina Augustine Lubit, 30, lulusan Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terlebih dulu menjalankan kajian mengenai kesesuaian kaedah berkenaan.
Walaupun kaedah fertigasi memerlukan perbelanjaan tinggi untuk dilaksanakan, ia berjaya dikurangkan menerusi kepakaran selain memanfaatkan sepenuhnya bahan gantian yang ada di sekitar kampung.
Usaha itu bermula dengan proses pembajakan tapak dan penyediaan sistem pengairan. Pada awal pelaksanaan, ia menelan belanja RM20,000 sejak dimulakan pada November 2007.
Suami Cuzzanina, Peter Lintar, 36, yang bertindak sebagai juruperunding projek berkata, projek menggunakan kaedah fertigasi sangat berdaya maju jika diusahakan bersungguh-sungguh.
“Kajian menunjukkan proses pembajakan dan pengairan secara serentak terus ke zon tumbuh-tumbuhan dapat menjamin kualiti tanaman dihasilkan bermutu tinggi.
“Tanaman akan menerima baja lengkap yang mempunyai unsur mikro dan makro. Kami mencuba dengan mengusahakan cili, timun Jepun dan tomato.
“Setiap baris batas disediakan mampu memuatkan 144 pokok timun Jepun dan 93 pokok cili. Sebahagian besar benih diperoleh di pekan Tamparuli,” katanya dalam pertemuan di ladang itu, baru-baru ini.
Peter berkata, projek itu mempunyai banyak kebaikan dari segi pemberian nutrien lengkap yang boleh dikawal mengikut kehendak tanaman berdasarkan jenis dan peringkat pertumbuhan.
Fertigasi adalah kaedah pilihan menggantikan formula konvensional dalam menangani masalah tanah mati, tidak subur, masam, berbatu dan tercemar.
Beliau berkata, pembesaran dan persekitaran menjamin kebersihan, selain menghindar masalah penyakit tanaman serta membantu meningkatkan hasil.
“Oleh kerana 60 peratus peralatan penanaman kaedah fertigasi sepatutnya menggunakan besi galvani memerlukan kos tinggi, pengusaha boleh mengurangkan sehingga 80 peratus perbelanjaan dengan memanfaatkan kayu hutan.
“Jika itu dilakukan, petani kampung mampu menceburi bidang itu secara besar-besaran sebagai menggantikan kaedah pertanian lama yang kurang menguntungkan.
“Kebaikan lain projek itu ialah menjimatkan tenaga kerja, meningkatkan hasil sehingga tujuh kali ganda, menjimatkan kos baja tahunan, kos tenaga elektrik dan air,” katanya.
Peter berkata, setiap 1,000 pokok cili ditanam menggunakan kaedah fertigasi mampu memberi kira-kira 4,000 kilogram hasil semusim penuaian dengan nilai pendapatan RM20,000.
Beliau berkata, pasaran cili, timun Jepun dan tomato yang dijangka boleh dituai hasil pertamanya Ogos ini ialah Brunei dan Miri, Sarawak.