40 peserta di kalangan penduduk miskin dipilih untuk terbabit dalam projek tani LPP Melaka
ALOR GAJAH: Satu daripada agenda utama yang diberi tumpuan Ketua Menteri, Datuk Mohd Ali Rustam untuk merealisasikan wawasan menjadikan Melaka negeri maju pada 2010, adalah membantu golongan kurang bernasib baik dan membasmi kemiskinan.
Justeru, tidak menghairankan pelbagai projek dirancang dan dilaksanakan kerajaan menerusi jabatan dan agensi berkaitan bagi merealisasikan wawasan itu sepanjang beberapa tahun lalu. Hasilnya, Melaka kini boleh berbangga kerana berjaya muncul antara negeri yang bebas daripada masalah kemiskinan.
Satu daripada agensi dan jabatan yang aktif membantu kerajaan negeri adalah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang dipimpin Nurlizah Muhamad selaku pengarahnya. Sehingga ini, beberapa projek sudah dilaksanakan dan antara yang berjaya membuahkan hasil adalah projek penanaman jagung manis Taiwan.
Projek ini, menurut Nurlizah, dimulakan sejak awal tahun ini dan empat kampung dipilih sebagai perintis iaitu Kampung Jeram Masjid Tanah dan Kampung Paya Datuk di Alor Gajah, manakala dua lagi di Kampung Selandar dan Kampung Penghulu Mat di Merlimau, Jasin.
Katanya, buat permulaan, pihaknya membangunkan kawasan seluas 16.18 hektar bagi projek ini di kampung berkenaan, dengan setiap kampung mempunyai keluasan sebanyak 4.04 hektar, manakala bilangan peserta adalah seramai 10 orang bagi setiap kampung.
“Penduduk yang dipilih adalah peserta projek pembangunan rakyat termiskin (PPRT) dan bilangan mereka adalah seramai 40 orang,” katanya selepas majlis penyerahan keuntungan tanaman jagung manis Taiwan kepada dua peserta projek oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Amirudin Yusof, di sini, baru-baru ini.
Keuntungan itu adalah hasil sulung ladang jagung manis Taiwan di Kampung Jeram Masjid Tanah, dekat sini. Selepas mengambil kira semua kos berkaitan, setiap peserta projek ini menikmati perolehan sebanyak RM306.85 seorang.
Hadir sama, Timbalan Pengarah LPP Yazid Mahat; Pengurus Besar LPP Alor Gajah, Azmi Mahmud; Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) negeri, Ahmad Yussseri Zakaria dan Pengurus Projek, Nur Akmal Sahid.
Nurlizah berkata, pihaknya memilih jagung Taiwan bagi projek membantu golongan terbabit kerana ia berupaya memberi pulangan hasil yang cepat iaitu dua bulan selepas ditanam, selain mudah untuk dikembangkan berbanding tanaman lain.
Katanya, menerusi projek itu, LPP meletakkan sasaran penanaman sebanyak empat kali setahun atau tiga bulan sekali dengan perolehan yang mampu dijana dianggarkan kira-kira RM10,768 bagi sekali tuaian untuk kawasan seluas 4.04 hektar.
“LPP memperuntukkan sebanyak RM40,000 untuk membuka ladang jagung itu bagi membolehkan pesertanya diambil bekerja, sebelum menguruskannya sendiri pada masa depan. Pada masa depan, kita bercadang menambah keluasan ladang ini bagi meningkatkan perolehan.
“Selain itu, kita juga bercadang membeli mesin memproses jagung supaya peserta dapat menikmati keuntungan yang lebih baik berbanding dijual terus secara tongkol kepada pembeli,” katanya.
Pemantauan projek dilakukan PPK di tiga-tiga daerah di Melaka.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, tuaian sulung projek tanaman jagung manis di Kampung Jeram itu berjaya mencatatkan perolehan sebanyak RM10,768 hasil jualan 24,580 tongkol jagung manis.
Katanya, sebanyak 80 peratus atau RM3,068 daripada hasil keuntungan itu diagihkan kepada 10 peserta PPRT terbabit manakala, PPK mendapat RM767.12.
“Hasil keuntungan ini boleh dipertingkatkan lagi tidak lama lagi apabila mesin memproses jagung yang ditempah LPP tiba sekali gus membolehkan produk itu diproses sendiri untuk dijual sebagai jagung manis kukus atau produk lain,” katanya.
Amiruddin berkata, kaedah pertanian itu didapati paling berkesan membantu peserta PPRT berdikari dan menaikkan ekonomi mereka dan seterusnya membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan.
Selepas Kampung Jeram, proses penuaian akan diadakan di Kampung Paya Datuk dan Kampung Penghulu Mat dalam tempoh terdekat ini.
Sementara itu, seorang peserta projek, Juliana Soosai, 46, berterima kasih dengan bantuan dihulurkan itu yang dianggapnya tepat pada masanya bagi meringankan bebanan beliau membesarkan tujuh anak.
Ini berikutan, suaminya, M Palaventhiran tidak lagi berupaya bekerja sejak empat tahun lalu akibat kecederaan belakang selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya, dekat Ayer Keroh.
“Saya berterima kasih kepada LPP kerana sudi menghulurkan bantuan ini. Jika saya masih kuat mungkin saya berminat bekerja di ladang jagung berkenaan. Ketika ini saya mempunyai dua anak yang sudah bekerja, tetapi pendapatan mereka kecil sekali gus menyebabkan saya saya tidak tergamak meminta wang dari mereka.
“Pada saya, apa yang dilakukan LPP ini amat bermakna bagi saya sekeluarga,” katanya.
Seorang lagi peserta, Sarudin Dalib, 43, juga merakamkan ucapan terima kasih kepada LPP atas daya usaha mereka memperkenalkan projek itu kerana ia sedikit sebanyak berjaya mengurangkan beban yang ditanggungnya ketika ini.
“Saya terpaksa menumpang di rumah kakak di Taman Seri Bayu kerana masalah kesihatan, jika sihat, saya juga bercadang bekerja di ladang itu untuk mendapatkan pulangan lebih. Saya gembira kerana usaha dilakukan LPP ini mampu membantu saya dan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Nurlizah berkata, selain tanaman jagung, LPP negeri juga sudah membimbing 40 peserta PPRT untuk menternak 160 ekor kambing di daerah Jasin kerana projek berkenaan berupaya memberikan pulangan lumayan.
“LPP negeri bercadang menambah bilangan peserta projek PPRT bagi ternakan kambing di daerah lain pula supaya ia dapat membantu mereka menambah pendapatan dan membimbing mereka menjadi penternak berjaya,” katanya.
FAKTA NOMBOR: Projek Tanaman Jagung PPRT Kampung Jeram, Masjid Tanah
# 4.04 Hektar keluasan kawasan
# 24,580 – Jumlah tongkol jagung
# RM10,768.00 – Jumlah Pendapatan
# RM306.85 – Pendapatan setiap peserta
# 44 sen setongkol – Harga jualan.
September 24, 2008 at 8:14 am
salam sejahtera,
Saya sedang menjalankan penyelidikan berkenaan penyakit pada jagung (Fusarium ear rot) di malaysia. Boleh emailkan saya alamat pekebun yang terlibat atau pegawai yang boleh saya berurusan bagi mendpatkan sampel jagung tersebut…Variety yang digunakan juga menarik minat saya dan berkait rapat dengan projek yg sedang saya lakukan..
Oktober 4, 2008 at 12:20 pm
salam ain,
saya juga tertarik dgn kajian yg dijlnkn itu..boleh berkongsi maklumat?
Oktober 10, 2008 at 7:38 am
Fusarium ear rot adalah penyakit yang disebabkan oleh kulat (nama saintifiknya Fusarium spp). Laporan terkini menunjukkan species patogen penyakit tersebut masih tidak jelas. Kajian ke atas penyakit tersebut juga kurang ditekankan di Malaysia, sedangkan penyakit ini memberi kesan yang mendalam kepada pengeluaran jagung. Jika saudara/i mahu maklumat yang lebih jelas boleh la secara personal email kepada saya di id izzati@science.upm.edu.my.
kepada penulis blog ini atau sesiapa yang boleh membantu…saya still menunggu maklumat yang diperlukan..seperti representative person yang boleh saya hubungi…harap dapat membantu. Ini berguna kerana sebelum saya ke melaka, saya ingin mengetahui growth stage pokok jagung berkenaan…kerana peringkat yang terbaik untuk saya observe penyakit ini adalah seminggu sebelum harvest (tuai). terima kasih. harap boleh membantu..
Januari 16, 2009 at 7:16 pm
kalau nak byk tongkol boleh kurang lagi?
019-6637123