Pasaran ubi keledek jenis terbaru diperluas pasaran di 12 pasar tani untuk menjadikan makanan alternatif kepada rakyat

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) kini giat mempromosi ubi keledek jenis ‘vitato’ di pasar tani dan pasar raya terpilih di seluruh negara, sebagai usaha meluaskan pemasaran bahan itu dan menjadikannya makanan pilihan rakyat.

Pengarah Bahagian Pengeluar Segar Fama, Rohizad Ridzwan, berkata ia dipasarkan di 12 pasar tani sekitar Lembah Klang, masing-masing dua pasar tani di Johor dan Pulau Pinang serta 12 cawangan pasar raya Giant iaitu 10 di sekitar Lembah Klang dan dua di Pulau Pinang.

“Kami yakin vitato akan mendapat sambutan kerana selain rasanya yang sedap dan berkhasiat, ia juga sesuai dimakan mereka yang menghidap penyakit diabetes.

“Harga jualan vitato juga murah iaitu RM1 sekilogram sepanjang sebulan tempoh promosi. Kumpulan sasaran kami adalah pengunjung pasar tani, pasar raya dan bakal usahawan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran promosi ubi keledek vitato di Pasar Tani Mega, di sini.

Pelancaran itu dianjurkan Fama dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Hadir sama, Pengarah Fama Selangor, Che Ghani Che Wan dan Pengarah Mardi Selangor, Dr Zainal Abidin Hassan.

Rohizad berkata, bagi mempromosikan bahan itu, Mardi bertanggung jawab dalam kajian, LPP dan PPK terbabit dari segi pengeluaran manakala Fama akan menguruskan soal pemasaran.

“Ini pendekatan yang kami gunakan secara berterusan supaya kami dapat menjalin kerjasama lebih erat dengan pengguna dan pengusaha,” katanya.

Beliau berkata, ubi keledek dapat menggantikan sumber karbohidrat lain, juga boleh dipelbagaikan dengan menambah hasil produknya termasuk kerepek, tepung, makanan bayi dan sos.

“Kami sudah ada pengusaha yang terbabit dengan pembuatan kerepek berasaskan produk ini iaitu sebuah syarikat di Sepang dan Kedah serta syarikat yang berminat menghasilkan sos cili dan kini kami masih mencari usahawan untuk pembuatan tepung,” katanya.

Pihak yang berminat, katanya, digalakkan menghubungi Fama, LPP atau PPK bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

Vitato atau nama saintifiknya ‘Ipomoea Batatas’ yang diisytiharkan pada 12 Jun 2007 adalah hasil penyelidikan Mardi kaya dengan bahan anti-oksidan seperti ‘beta karotena’ dan Vitamin A yang boleh mengelakkan kerosakan sel serta DNA, menghalang penyakit kanser dan kecacatan pada janin serta melambatkan proses penuaan.

Selain itu, ia mengandungi serabut diet dan zat kalium tinggi yang mampu mengelakkan penyakit diabetes, sembelit dan kemungkinan berlakunya kanser usus besar.

Tumbuhan itu boleh ditanam di beberapa jenis tanah antaranya tanah ‘bris’, tanah lombong serta tanah asid sulfat dan ia mengambil masa empat bulan untuk membesar sebelum boleh dituai.