MELAKA Kebanyakan golongan muda khususnya yang belum mempunyai pekerjaan di negeri ini tidak berminat menceburi bidang pertanian kerana menganggap bidang itu tidak mempunyai masa depan.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan berkata, tanggapan negatif itu menyebabkan kurangnya penyertaan mereka dalam industri pertanian, sekali gus dimonopoli oleh golongan lebih tua.
Menurutnya, perkembangan itu sedikit sebanyak dipengaruhi sikap sesetengah ibu bapa yang bekerja sebagai petani dan tidak mahu anak mereka mengikuti jejak langkah menceburi bidang pertanian.
“Kita tidak senang melihat kawasan tanah pertanian terbiar di negeri ini kerana tidak ada anak muda untuk menyambung usaha ibu bapa yang sudah tua.
“Mungkin ini disebabkan kejayaan pembangunan kita sehingga petani menganggap anak mereka tidak wajar menjadi petani seperti mereka, tanggapan ini amat tidak benar sama sekali,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, keadaan itu turut dibuktikan apabila hanya 10 peratus daripada 16,683 anggota peladang di negeri ini terdiri daripada golongan muda.