JOHOR BAHRU Kerajaan negeri berhasrat memperbanyakkan program lawatan sambil pelajar ke luar negara bagi golongan usahawan tani di negeri ini sebagai usaha memberi pendedahan mengenai teknik pertanian berteknologi tinggi.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Abd. Aziz Kaprawi berkata, beliau yakin langkah itu akan membuka ruang bagi para petani dan peladang meningkatkan lagi hasil pengeluaran pertanian masing-masing.

“Lawatan sambil belajar ini akan membolehkan kita mendapat pemahaman yang lebih mendalam mengenai kaedah pertanian terkini.

“Dengan melawat negara seperti Thailand, ia akan dapat memberi peluang kepada para usahawan tani kita untuk menimba ilmu baru di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Masyarakat Petani, Penternak dan Nelayan di Hotel M. Suites di sini semalam.

Program anjuran Jabatan Pertanian Negeri itu turut melibatkan penyertaan pelbagai pertubuhan termasuk Pertubuhan Peladang Negeri, Persatuan Nelayan Negeri serta Persatuan Peniaga Pasar Tani.

Menurut Abd. Aziz, kerajaan sememangnya berhasrat untuk membantu meningkatkan produktiviti pertanian dan matlamat tersebut memerlukan kerjasama erat golongan usahawan tani.

“Kita perlu kenal pasti masalah-masalah yang berlaku untuk menjalankan penambahbaikan dalam sektor pertanian.

“Dengan ada kerjasama antara petani dan kerajaan, saya yakin kita dapat bangunkan pertanian dengan lebih cemerlang di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, usahawan tani kini amat bertuah kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada mereka yang didapati benar-benar serius menceburinya.