Kenaikan harga getah ubah corak kehidupan penghuni Felda Pemanis Dua, mampu peroleh pendapatan empat angka
SEGAMAT: Kehidupan peneroka Felda yang terbabit dalam penanaman kelapa sawit dan getah di seluruh negara kini semakin baik berbanding ketika mereka baru memulakan usaha tanaman komoditi itu.
Kebanyakan mereka kini mampu memperoleh pendapatan empat angka sebulan bergantung kepada kebijaksanaan menguruskan ladang masing-masing yang disumbangkan oleh kenaikan bahan komoditi di pasaran dunia.
Sehubungan itu, mereka yang terpilih menjadi peneroka Felda yang dipelopori bapa pembangunan negara, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, perlu bersyukur kerana penempatan ke tanah rancangan Felda berjaya mengubah nasib mereka.
Kini pelbagai bentuk pembangunan bukan saja untuk meningkatkan tahap ekonomi peneroka ditekankan kerajaan melalui menteri yang dipertanggungjawabkan iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malah membabitkan banyak aspek lain termasuk pendidikan, keagamaan dan kemasyarakatan.
Tidak dinafikan, sebelum menyertai tanah rancangan Felda tahap hidup peneroka agak sederhana malah ramai di antara mereka yang berjaya bangkit daripada tahap kehidupan lama yang dahulunya berpendapatan rendah.
Sebagai contoh, Peneroka Felda Pemanis Dua di sini, yang kini mengaut keuntungan daripada hasil titik peluh mengusahakan ladang getah dan sebelum ini mereka mengalami pelbagai cabaran berikutan harga tidak menentu bahan komoditi berkenaan.
Mereka kini sudah tidak menjual getah cair sejak beberapa tahun lalu kerana harga getah beku sudah mencecah harga bersih RM3.34 sekilogram (kg) berbanding RM1 sebelum ini. Peneroka menjual hasil getah mereka di Pusat Mengumpul Getah (PMG) di Felda berkenaan.
Mereka menoreh di ladang seluas empat hektar yang mampu menghasilkan getah beku 1,500 kg(1.5 tan) hingga lebih 3,000 kg (3 tan) sebulan.
Peneroka Felda Pemanis Dua, Kamisan Robi, 45, berkata dalam sehari ladang getah seluas empat hektar itu mampu mengeluarkan getah beku di antara 150 hingga 300kg bagi setiap peneroka.
Bagaimanapun, katanya, kini tidak ramai peneroka Felda yang mampu keluar menoreh disebabkan beberapa faktor termasuk umur yang sudah meningkat dan kesihatan.
“Kebanyakan mereka mengupah orang melakukan kerja itu sama ada di kalangan peneroka, anak peneroka atau buruh asing dengan kadar antara RM0.80 sen hingga RM1.20 sen sekilogram.
“Harga upah bergantung kepada keadaan pokok sama ada tua atau muda serta pelan torehan (tas) sama ada pelan A, B atau C selain bergantung juga sama ada pelan torehan masih rendah atau sudah tinggi, ” katanya.
Isteri peneroka, Tupsiah Ibrahim, 53, berkata peningkatan pengeluaran getah beku dan harga yang agak tinggi membolehkan kehidupan mereka bertambah baik.
Katanya, kenaikan harga getah beku itu banyak membantu mereka terutama ketika kenaikan harga bahan api serta bahan makanan.
“Kami bersyukur semua usaha yang dijalankan sebelum ini akhirnya membuahkan hasil. Kami berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin kepada masalah yang dihadapi peneroka seperti kami, ” katanya.
Kerani Timbang PMG, Rukiah Hussein 43, berkata beliau berbangga apabila tiba musim daun getah subur peneroka dapat mengeluarkan getah beku pada jumlah yang banyak.
Katanya, jika tiba musim, getah beku melimpah ruah di dalam stor dan waktu itu hasil yang diperoleh peneroka lebih baik dari hasil yang diperoleh pada hari-hari biasa.
Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) yang juga Pengerusi PMG Felda Pemanis Dua, Wakimon Amir, 55, berkata untuk memastikan harga getah beku stabil, getah beku yang ingin dijual perlu bebas dari pelbagai bahan asing.
Katanya, jika pihak kilang yang membeli getah beku mendapati ada getah beku yang dimasukkan bahan asing seperti batu, pasir atau kulit getah torehan kemungkinan mutu Kandungan Getah Kering (KGK) getah beku berkenaan boleh merudum.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan peneroka di Felda itu supaya tidak membazir wang sebaliknya berjimat cermat dan kerap menabung untuk persediaan jika harga getah beku menurun selain bila sampai waktunya pokok getah ditebang untuk ditanam semula.
Katanya, ketika pokok getah ditanam semula Felda hanya memberi wang sara hidup kepada setiap peneroka di antara RM700 atau RM800 sebulan, jika mereka mahu menambah pendapatan, mereka perlu melakukan kerja lain.
FAKTA:
# Harga bersih getah beku dibayar kepada peneroka RM3.34 sen sekilogram
# Sehari jumlah getah beku dikeluarkan di antara 150 hingga kira-kira 300 kilogram setiap empat hektar ladang.
# Sebulan getah beku dikeluarkan 1,500 hingga lebih 3,000 kilogram.
# Getah beku dihantar ke Pusat Mengumpul Getah (PMG) kemudian dijual ke kilang getah Pasir Besar Negeri Sembilan dan kilang getah Felda Pasak Kota Tinggi.