ALOR STAR 17 Jun – Kerajaan Kedah akan mengusahakan projek mega ternakan ikan patin di Tasik Pedu, Kuala Nerang dekat sini sebagai usahanya menjadikan negeri ini sebagai ‘Belanda Malaysia.’
Menteri Besar, Azizan Abdul Razak berkata, projek dianggarkan menelan perbelanjaan RM15 juta itu akan mendapat suntikan pelabur dari Amerika Syarikat yang telah menyatakan minat mengenainya.
“Ini merupakan antara rancangan awal untuk meningkatkan lagi sektor pertanian di Kedah selaras menjadikan negeri ini sebagai ‘Belanda Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Konsul Diraja Thailand di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12, Pas Kedah yang kini menerajui pentadbiran negeri berjanji akan menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri pertanian tersohor seperti Belanda.
Sebagai rekod, Belanda merupakan sebuah negara yang saiznya lebih kecil daripada Pahang tetapi mampu menjadi pengeluar dan pengeksport hasil pertanian kedua terbesar di dunia.
Azizan berkata, kerajaan negeri juga akan menggalakkan penduduk agar menternak ikan patin dan talapia di dalam sungai-sungai Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka.
Dalam hal ini, kata beliau, kerajaan negeri akan membantu penternak daripada segi memasarkan hasil keluaran ternakan mereka itu termasuk ke luar negara.
”Kerajaan negeri akan memainkan dua peranan iaitu memperkenalkan projek pertanian kepada penduduk dan memberi pasaran kepada mereka,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuannya dengan Konsul Jeneral Manopchai Vongphakdi pula, Azizan berkata, antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai kerjasama dua hala dalam bidang pertanian antara Kedah dan Thailand.
Katanya, kerjasama bilateral itu termasuk pertukaran dan perkongsian pengalaman serta teknologi yang digunakan mereka dalam industri berkenaan