KUALA LUMPUR 17 Jun – Pakar-pakar dalam bidang pertanian diminta memainkan peranan aktif sebagai penasihat, di samping memberi motivasi kepada golongan petani dalam proses menggunakan teknologi baru.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, negara-negara yang maju dalam bidang pertanian telah menggunakan kaedah pengembangan pertanian sebagai alat untuk memindahkan teknologi.
“Kita mengalu-alukan golongan pakar untuk membimbing petani sehingga mampu menggunakan teknologi baru dan berjaya dalam bidang yang mereka ceburi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengembangan Pertanian 2008 (AGREX) di sini hari ini.
Teks ucapan Mustapa dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ibrahim Mohamed.
Mustapa berkata, golongan petani memerlukan pengetahuan dan bimbingan daripada pakar-pakar untuk membantu mereka memahami maklumat yang disediakan semasa menggunakan teknologi baru.
Menurut beliau, institusi pengajian tinggi juga perlu berperanan membantu menaikkan tahap sektor pertanian.
Dalam perkara ini katanya, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mewujudkan Kajian Asas Untuk Sains Pertanian bagi menambah kursus-kursus dalam bidang pertanian.