![]() |
| Para penternak mengutip hasil ternakan mereka di Kampung Fikri, Setiu, Terengganu, semalam. |
SETIU 17 Jun – Terengganu dijangka menjadi pengeluar udang putih terbesar di Pantai Timur dalam tempoh tiga tahun lagi apabila Terengganu Agrotech Development Corp. (TADC) mengusahakan ternakan itu di kawasan seluas 250 hektar di Kampung Fikri dekat sini mulai tahun ini.
Kawasan tersebut bakal dibangunkan dengan kolam ternakan udang putih dari spesies Penaeus Vanname yang kini mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Rozi Mamat berkata, setakat ini sembilan projek perintis dengan beberapa buah kolam yang sedang diusahakan dengan spesies itu memperoleh hasil pengeluaran yang agak memberangsangkan.
Menurutnya, pembesaran projek akuakultur itu secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat terutama kaum nelayan di kawasan berkenaan.
”Buat masa ini kita mempunyai 10 pekerja yang kebanyakannya terdiri daripada golongan nelayan dari kampung ini,” katanya semasa melawat kolam udang di Kampung Fikri di sini semalam.
Rozi menambah, kejayaan udang putih yang diternak sekarang bukan sahaja dilihat daripada hasil pengeluarannya tetapi spesies tersebut juga mendapat pasaran yang baik berbanding udang harimau.
Katanya, sebelum ini kerajaan negeri mengusahakan ternakan udang harimau di kolam yang sama tetapi hasil pengeluarannya kurang memuaskan selain menghadapi pelbagai masalah lain.
”Namun dengan kejayaan yang kita peroleh melalui kolam seluas 0.4 hektar yang mendapat enam hingga tujuh tan metrik menyebabkan kerajaan yakin memajukan kawasan ini dengan ternakan udang putih,” katanya.
Rozi menambah, projek ternakan udang tersebut mula dilaksanakan sejak tahun lepas di kawasan seluas 25 hektar oleh anak syarikat kerajaan negeri dengan menggunakan teknologi moden.
Katanya, dengan menggunakan kaedah menerusi sistem ‘kuasa air yang tinggi’ akan menjadikan udang putih yang diternak di kawasan itu mendapat pasaran baik selain bermutu tinggi dan berdaya maju.
Untuk pelaksanaan projek itu, termasuk kos pembangunan di kolam berkenaan kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM2 juta.
”Apabila projek ini berjalan dengan lancar kita bukan sahaja menjadi pembekal udang putih yang utama malah kita juga dapat mewujudkan modul latihan kepada anak petani serta nelayan di negeri ini untuk menambah pengetahuan mereka dalam bidang ternakan air.
”Ia juga merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk memajukan tanah terbiar dengan melaksanakan projek ternakan udang yang mampu memberi pulangan yang agak lumayan jika diusahakan secara komersial,” ujarnya.
Kos operasi termasuk benih dan makanan udang bagi kolam seluas sehektar menelan belanja RM50,000 dan memperoleh pendapatan antara RM80,000 hingga RM90,000 semusim.
