Dia yang juga salah seorang ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kawasan Ayer Melintas, Tasik Gelugor, Pulau Pinang kini mula terkenal sebagai salah seorang pembekal puyuh daging terbesar di negeri itu.

Salasiah ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini berkata, dia memulakan projek itu secara besar-besaran setelah menyertai LPP beberapa tahun lalu.

Pada peringkat permulaan dia hanya menternak kira-kira 30,000 ekor puyuh daging dan telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna di Pulau Pinang dan negeri lain.

Salasiah memberitahu, sebelum puyuh dibesarkan anak-anak puyuh dibeli daripada seorang pembekal di Kedah.

Bagi menjimatkan kos, di samping menternak puyuh daging, dia juga membela puyuh telur bagi mendapatkan telurnya.

Kemudian telur tersebut pula diproses melalui proses penetasan bagi mendapatkan anak-anak puyuh secara usaha sendiri.

Katanya, projek ini boleh menjamin masa depan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

”Jika kita buat sambil lewa sudah pasti ia tidak menghasilkan pendapatan lumayan” katanya.

Salasiah berkata, walaupun projek itu memerlukan kos yang besar berikutan kenaikan bahan makanan ternakan itu, ia masih menguntungkan.

Dengan menjual seekor puyuh daging dengan harga antara RM1.20 hingga RM1.80 kepada pemborong dia masih mendapat untung.

Menurutnya, walaupun bahan makanan ternakan itu meningkat daripada RM46 kepada RM57.70 setiap beg berisi 50 kilogram perniagaan masih menguntungkan.

Katanya, setakat ini dia berjaya menjual kira-kira 1,000 hingga 10,000 ekor puyuh sebulan dengan menghasilkan pulangan kira-kira RM4,000 bersih.

Dengan hasil jualan itu, Salasiah dapat meringankan beban keluarga di samping menyahut saranan kerajaan menggalakkan rakyat berjimat cermat.

”Jika setengah orang berminat dengan projek pertanian seperti sayur-sayuran, saya lebih berminat mengusahakan ternakan puyuh daging kerana ia menjamin masa depan,” jelasnya.

Dia juga menyimpan cita-cita untuk meneruskan projek itu biarpun berbagai cabaran yang datang bagi membuktikan wanita juga mampu menyahut seruan kerajaan meningkatkan keperluan makanan.

Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan bekalan daging secara terus bolehlah menghubungi Salasiah melalui talian 04- 5733549.