MINAT: Amirudin (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai sistem torehan intensif rendah (LITS) di Dewan Alamanda, Jasin, baru-baru ini. |
Kaedah LITS tingkat pengeluaran susu tanpa rosakkan pokok, bantu pekebun raih hasil lumayan
JASIN: Kenaikan harga getah di pasaran dunia, baru-baru ini bagaikan rahmat besar kepada golongan penoreh khususnya pekebun kecil di negara ini. Selepas sekian lama, hidup bagaikan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, perubahan yang dinanti-nantikan itu menjelma juga.
Kini kebanyakan golongan berkenaan termasuk di Melaka, boleh dikatakan sudah mula menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Keperitan hidup pada masa lalu, semakin terpinggir dari benak fikiran mereka.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang bertanggungjawab mengurus pembangunan komoditi itu di negara ini juga sudah boleh menarik nafas lega. Sungguhpun begitu agensi kerajaan ini tidak mahu berdiam diri dan kini sibuk merancang serta melaksanakan pelbagai usaha bagi meningkatkan perolehan golongan terbabit.
Satu daripada usaha berkenaan adalah memperkenalkan sistem torehan intensiti rendah (LITS). Kaedah torehan ini mampu meningkatkan pengeluaran susu getah sebanyak 20 peratus bagi setiap hektar sekali gus boleh menambah pendapatan penoreh sehingga RM1,800 sebulan berbanding RM1,000 menggunakan kaedah lama.
Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Kamarul Baharin Basir, berkata pengenalan sistem torehan menggunakan bahan kimia penggalak susu getah G-Flex dan Mortex ini berjaya membantu pengusaha estet dan pekebun kecil negara ini memperoleh pendapatan sekali ganda tanpa merosakkan pokok, selain boleh ditoreh biarpun selepas dua jam ditimpa hujan.
Menerusi kaedah ini, katanya, apa yang perlu dilakukan pekebun ialah memilih bahan tepat bagi kegunaan pokok getah.
“Jika usia pokok itu antara tujuh hingga 10 tahun, pekebun disyor menggunakan bahan penggalak susu Mortex 25 miligram (mg), manakala pokok berusia 11 hingga 15 tahun, digalak menggunakan bahan sama dengan sukatan 50 mg.
“Bahan cecair itu perlu disapu nipis pada permukaan bekas torehan sehari sebelum memulakan torehan baru dan ia tidak akan terjejas biarpun terkena hujan,” katanya selepas majlis pelancaran LITS3 peringkat negeri, di Dewan Alamanda, dekat sini, baru-baru ini.
Majlis dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Amirudin Yusof yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Program sehari itu disertai kira-kira 250 pekebun kecil getah dari daerah Alor Gajah dan Jasin.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Wira Ismail Salleh; Pengerusi LGM, Datuk Dr Michael Dosim Lunjew dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Omar Kaseh.
Dr Kamarul berkata, formula saintifik dalam dua bahan itu boleh menggalakkan pengeluaran susu getah tanpa menjejaskan pokok dan menjimatkan masa penoreh kerana mereka hanya perlu menoreh dua kali seminggu dengan pendapatan sekali ganda berbanding kaedah lama.
Katanya, sistem itu yang sudah diperkenalkan di beberapa negeri seperti Sarawak, Kedah, Perak, Johor dan Melaka, didapati meningkatkan pendapatan penoreh getah kepada RM1,800 berbanding RM1,000 bagi keluasan 2.3 hektar tanaman setiap bulan berbanding kaedah lama.
“Kajian LGM itu dilakukan selepas mendapati banyak pekebun kecil getah di negara ini menggunakan kaedah salah untuk menggalakkan keluaran susu getah seperti menggunakan asid tertentu, merendam pisau getah ke dalam minyak tanah dan menoreh pada permukaan luas, sehingga memendekkan hayat pokok getah.
“Bahan yang disyorkan LGM itu selamat untuk pokok dara, tahan hujan, mampu mengelak kejadian kulit kering serta melanjutkan tempoh ekonomik pokok,” katanya.
Dr Kamarul melahirkan keyakinan pendapatan 24,295 pekebun kecil getah termasuk peserta tanah rancangan Felda dan Felcra yang memiliki keluasan 36,339 hektar kebun getah di negeri ini, mampu meningkat sekali ganda biarpun hanya menoreh getah dua kali seminggu menerusi kaedah baru torehan itu.
Beliau yang sebelum ini sudah mempromosikan sistem itu di beberapa negeri sebelum ini berkata, pekebun kecil getah di Melaka juga berpeluang menggandakan pendapatan apabila kaedah LITS diperkenalkan di beberapa tanah rancangan di Alor Gajah dan Jasin sejak awal tahun lalu.
“Kaedah torehan berusia 10 tahun yang dicipta jurutera LGM ini sudah terbukti kejayaannya sejak diperkenalkan di Sarawak, Perak, Johor dan Kedah tahun lalu,” katanya yang turut mendapat bantuan Ketua Penerangan Persatuan Kebangsaan Pekebun Pekebun Kecil Getah Malaysia, Faiz Abdul Rahman bagi mempromosikan LITS.
Dr Kamarul berkata, berikutan sambutan hangat pekebun kecil, LGM kini meluaskan program itu kepada seramai 631 lagi pekebun di enam lokasi iaitu peserta Felda Kemendor, Felda Hutan Percha, Kampung Chincin, Kampung Gubah di Jasin serta Kampung Machap Baru dan Kampung Brisu di Alor Gajah.
Katanya, bagi menjayakan usaha ini, LGM sudah mengenal pasti kesesuaian penggunaan bahan kimia G-Flex dan Mortex berikutan 25 peratus tanaman di lokasi berkenaan berusia lebih 15 tahun manakala bakinya berusia muda dengan peruntukkan sejumlah RM2.36 juta disediakan.
Sementara itu, seorang pekebun kecil, Kenchana Tumin, 51, dari Ayer Limau, Masjid Tanah, mengakui kaedah penggunaan LITS memberi kesan menakjubkan sejak beliau mengamalkannya tahun lalu.
Beliau yang memiliki kebun getah seluas 3.64 hektar dengan pokok tanaman berusia sekitar 15 tahun, tidak menyangka berjaya memperoleh pendapatan lumayan biarpun hanya menoreh dua kali seminggu berbanding kaedah lama.
“Dulu kalau hujan kita sudah tidak boleh menoreh, tetapi dengan menggunakan kaedah baru ini, saya mampu menggandakan pendapatan. Sebelum ini, saya terpaksa menoreh kawasan kulit yang luas hingga hampir meliputi keseluruhan pokok.
“Tetapi selepas mengikut kaedah ini, saya hanya perlu menoreh sedikit tapi susu getah yang dikeluarkan tetap banyak,” katanya yang terpilih bersama 138 peserta lain dari Masjid Tanah termasuk dari Felda Hutan Percha, Nyalas dan Machap Baru.
Seorang lagi pekebun kecil getah, Mohamad Nazri Salim, 33, dari Kampung Sungai Buloh, Alor Gajah, turut gembira dengan pengenalan LITS itu kerana berjaya meningkatkan pendapatannya berbanding sebelum ini yang setakat ala kadar.
“Bahan penggalak bagi sistem ini berharga RM12 sebotol dan jika kita bijak, ia dapat digunakan pada 400 batang pokok. Bayangkan berapa banyak hasil yang kita peroleh. Saya sendiri sudah tidak malu lagi menjadi penoreh getah di kampung.
Malahan saya mengetuai kira-kira 108 peserta dari Kampung Brisu, Alor Gajah untuk mengikuti program anjuran LGM ini,” katanya.
Mohd Nazri mengakui kini hidup selesa dengan pendapatan baru sebagai penoreh getah lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga getah yang mencecah sehingga RM4.30 sekilogram.
“Saya juga lebih bersemangat menoreh apabila semua syarikat telekomunikasi menyediakan perkhidmatan info harga getah menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (sms), jadi kita boleh menoreh apabila harga getah lebih mahal,” katanya.
Pada masa ini, semua syarikat telekomunikasi memperkenalkan info SMS harga getah. Jadi pekebun boleh mengetahui harga getah semasa menerusi kaedah ini dengan menaip perkataan onGTH dan hantar ke 366600.