BACHOK: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang dekat sini, yang mempunyai kontrak ladang bagi membekalkan 300 tan cili setahun kepada gergasi makanan, Nestle (M) Berhad, kini mendapat bantuan dan sokongan teknikal, syarikat berkenaan untuk mula memproses sendiri puri cili.

Pengarah Eksekutif Pengeluaran Nestle, Dr Magdi Batato, berkata projek puri cili itu bertujuan mengoptimumkan pengeluaran cili segar menerusi skim perladangan kontrak.

“Melalui cara ini, kita mampu meminimumkan pembaziran cili segar dan meningkatkan kualiti serta kos keseluruhan. Ia bukan saja memberi manfaat kepada peladang tetapi memenuhi Matlamat Pembangunan Milenium PBB.

“Perjanjian ini merangkumi penggunaan kepakaran, sumber dan kemudahan Nestle dalam bidang pemprosesan cili, bagi membolehkan PPK ini mengeluarkan cili memenuhi kualiti mengikut spesifikasi Nestle serta industri pemprosesan cili negara ini,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian pada Seminar Transformasi Industri Cili dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Pemasaran Hasil Tempatan antara Nestle dan PPK Bukit Awang di sini, semalam.

MOU itu disaksikan Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dr Azmi Setapa. Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Mariam Mas Yaacob.

Dr Magdi berkata, MOU itu juga selaras usaha Nestle bagi mendapatkan bahan mentah daripada sumber pertanian tempatan serta membantu mencipta peluang kepada petani tempatan.

“Nestle yakin perjanjian yang dijalin ini mampu membantu PPK Bukit Awang menstabilkan harga ladang dan projek ini dapat memberi pulangan nilai untuk semua pihak.

“Program ini juga adalah lanjutan kepada Program Mentor Nestle, bagi membangunkan Industri Kecil Sederhana (IKS) dalam industri makanan dan ke arah meningkatkan kualiti yang memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya.

Menerusi kontrak ladang 300 tan cili segar setahun menerusi pengeluaran dan pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (APB) oleh 300 ahlinya, PPK Bukit Awang kini muncul antara pembekal utama cili segar kepada Nestle untuk pengeluaran produk syarikat itu yang dipasarkan ke seluruh dunia.

Sementara itu, Mariam berkata, pelaksanaan projek terbabit mampu meningkatkan taraf hidup peladang dengan meraih pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.

Katanya, LPP yakin mampu mampu melahirkan 10,000 usahawan dalam bidang ini serta menjana nilai RM2,461 bilion ataupun RM4,100 sebulan.