Jabatan Pertanian mahu majukan lokasi dikenal pasti dengan penternakan ikan dan udang secara komersial

KUCHING: Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) mengenal pasti lapan kawasan dengan keluasan hampir 80,000 hektar untuk menubuhkan zon industri akuakultur Sarawak (ZIAS).

Kawasan itu terletak di Rambungan di sini seluas 260 hektar, Tanjung Manis (430 hektar), Belawai (2,500 hektar), Loba Samerang (845 hektar) dan Sungai Mesidap (1,140 hektar) yang terletak di Sarikei.

Jurucakap bahagian perikanan darat JPS berkata, kawasan lain yang sudah dicadangkan ialah Batang Ai (9,000 hektar) di Sri Aman, Bakun (60,000 hektar) di Kapit dan Sundar/Awat-Awat (500 hektar) di Limbang.

Beliau berkata, jabatan mendapati ZIAS berpotensi untuk ternakan udang harimau, kerapu harimau, udang putih dan siakap secara komersial.

“Hanya Rambungan dan Tanjung Manis sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan manakala kawasan lain masih dalam peringkat kajian,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini semalam.

Jurucakap JPS itu berkata, zon industri akuakultur (ZIA) Rambungan akan bermula bulan depan dan ia akan dibangunkan syarikat swasta bagi penternakan udang harimau.

Rambungan terletak kira-kira 100 kilometer dari sini dan ZIA itu membabitkan kawasan Simpang Ayam, Arang Telok, Simpang Tiga, Arang Pedoman serta Rayu.

Mengenai ZIAS, penubuhannya bertujuan memastikan pembangunan industri perikanan darat yang sistematik dan khusus.

Pada masa yang sama, ZIAS dijangka dapat mengelakkan pencemaran alam sekitar dan menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam industri pertanian.

“Kerajaan juga berharap ZIAS akan meningkatkan pengeluaran ikan negeri, selain pendapatan penduduk kawasan luar bandar,” katanya.

Katanya, Batang Ai pula memang sudah terkenal sebagai kawasan ternakan talapia dan empurau yang dijual sehingga RM200 sekilo berdasarkan gred.

Namun kawasan itu tetap dicadangkan sebagai ZIA bagi memastikan potensinya sebagai pengeluar ikan lebih menyerlah pada masa depan.

Bagi Bakun pula, ia dijangka ZIA yang terbesar di negeri ini dan kos membangunkannya membabitkan perbelanjaan yang tinggi.