KUALA LUMPUR 24 Jun – Dua juta orang dijangka mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 yang memperkenalkan acara baru pertandingan menunggang lembu dan kuda liar atau rodeo.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) sempena MAHA 2008 yang akan berlangsung di Taman Pameran Pertanian Malaysia (TPPM), Serdang dekat sini pada 11 hingga 23 Ogos ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, 40 pakar rodeo dari Australia bakal berentap untuk menjinakkan 20 haiwan liar dalam pertandingan itu.
”Saya yakin pertandingan yang unik ini mampu menarik kedatangan lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran Rodeo Malaysia 2008 di sini hari ini.
Sembilan acara bakal dipertandingkan termasuk menunggang lembu liar serta memburu sasaran hidup seperti kambing sambil menunggang kuda.
Sebarang pertanyaan mengenai Rodeo Malaysia 2008, hubungi Warisan Advertising Sdn. Bhd. di talian 03-42527279/7280 atau faks 03-4252 7281 atau emel admin@rodeomalaysia.com