KANGAR 24 Jun – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menyarankan kerajaan supaya mengambil langkah segera bagi meningkatkan pendapatan negara dan rakyat terutama dalam bidang pertanian.

Baginda bertitah, negara tidak boleh terlalu bergantung kepada barangan import terutama dalam produk berasaskan makanan.

“Pertanian memberikan pulangan hasil yang tinggi dan Perlis juga tidak ketinggalan dalam sektor itu terutama dalam subsektor pengeluaran padi.

“Usaha-usaha tertentu perlu dilakukan untuk meningkatkan pendapatan dalam sektor ini, misalnya membangunkan tanah-tanah terbiar dengan tanaman pertanian,” titah baginda.

Raja Perlis bertitah demikian sempena perasmian pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-12 di sini hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah.

Raja Perlis percaya sekiranya semua pihak dapat bersatu tenaga dan idea, matlamat untuk menjadikan Perlis sebagai pengeluar utama produk berasaskan makanan di negara ini akan tercapai.

Baginda turut mengingatkan para peniaga di negeri ini supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya ekoran kenaikan harga minyak.

“Perbuatan tidak bertimbang rasa itu akan membebankan rakyat yang tidak berkemampuan,” titah baginda.

Baginda juga berharap semua perancangan program dan projek di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dapat dilaksanakan mengikut jadual.

“Pembangunan ekonomi juga mestilah seimbang dengan pembentukan rohani dan jasmani. Ia perlu supaya gejala sosial seperti keruntuhan moral dan masalah mat rempit dapat diatasi,” titah baginda.