LKIM perkenal kaedah terkini jana hasil kualiti tinggi

BERTANI di tengah lautan, pendapatan mampu mencecah sekitar RM5,000 hingga RM25,000 sebulan menjadikan pengusaha itu layak digelar petani kaya, apatah lagi hidup di kawasan yang kos sara hidupnya sangat rendah.

Sekali dengar, bagai sukar untuk dipercayai. Namun, selepas dihitung secara logik memang selayaknya mereka mampu memperoleh pendapatan sebanyak itu, jika kena dengan cara dan menggunakan kaedah yang betul.

Itulah senario yang bakal dinikmati lebih 100 penduduk di sekitar Semporna dan ramai lagi di kawasan perairan Sabah apabila projek pengkulturan rumpai laut menggunakan teknologi terkini diperkenalkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Meskipun perusahaan rumpai laut sudah dimulakan sejak berpuluh tahun di situ, namun selama ini hasilnya sering tidak menentu, malah ada yang langsung tidak membuahkan hasil kerana sering berdepan dengan masalah ketidakstabilan cuaca, selain teknologi yang tidak menjamin kualiti pengeluaran.

Ini kerana, sejak sekian lama, pengusaha rumpai laut menggunakan kaedah selari atau dikenali sebagai ‘long line’ yang selalu mendedahkan tanaman itu kepada banyak risiko termasuk kerugian akibat tali yang digunakan putus, selain menyebabkan ia tenggelam ke dasar laut.

KAKITANGAN LKIM memeriksa keadaan rumpai laut yang dibiak menggunakan sistem raga.

Selain itu, kualiti rumpai laut yang menggunakan kaedah lama itu juga rendah serta kuantiti penghasilannya yang tidak menentu akibat diancam hidupan laut seperti penyu yang gemar memakan tanaman itu terutama ketika ia dalam proses matang.

Menyedari industri rumpai laut semakin mendapat permintaan tinggi terutama dari negara pengeluar produk pemakanan dan kesihatan, LKIM sentiasa mencari alternatif menghasilkannya dalam kuantiti yang besar di samping memastikan ia bebas daripada semua risiko itu.

Dengan bantuan dan komitmen bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Ismail Abdul Rahman, pelbagai kajian dan ujian dibuat bagi memastikan penanaman rumpai laut mampu mendatangkan hasil lumayan kepada pengusahanya.

Selepas beberapa percubaan, LKIM memilih untuk menggunakan sistem raga iaitu pembiakan rumpai laut di dalam raga bagi menggantikan sistem ‘long line’, namun ia juga tidak membuahkan hasil lantaran turut berdepan risiko utama iaitu raga yang terbalik tiap kali laut bergelora.

NASIR Sarail sedang menyiapkan raga yang dibekalkan LKIM.

Mengambil masa selama tiga bulan bagi mencari kaedah terbaik menggunakan sistem raga, Ismail berjaya menemui penyelesaian kepada penggunaan sistem raga dengan mengubah suai raga asal dan menambah kepingan kayu dan diikat secara jahitan untuk menjadikannya lebih kukuh.

Hasilnya, teknologi raga dengan pengubahsuaian itu berjaya menghasilkan rumpai laut yang bukan saja bebas daripada ancaman risiko lain tetapi juga mempunyai kualiti yang setaraf malah lebih tinggi daripada negara pengeluar tetap rumpai laut seperti Filipina.

Berbalik kepada keuntungan yang bakal menjana pendapatan lumayan kepada pengusaha, Ismail berkata, setiap ekar pembiakan rumpai laut secara sistem raga boleh memberi pulangan paling minimum sebanyak RM5,000 sebulan.

“Kebanyakan peserta projek prausahawan di perairan Sabah mempunyai purata lima ekar kawasan pembiakan rumpai laut. Jika ia diusahakan secara betul dan mengikut prosedur yang sepatutnya, ia mampu menjana pendapatan sehingga RM25,000 sebulan tiap seorang. Ia bukan mustahil.

“Malah, selepas dihitung keuntungan yang boleh dijana daripada pertanian ini, negara sebenarnya mampu memperoleh sehingga RM1.5 bilion pendapatan setahun jika semua kawasan pembiakan rumpai laut menggunakan kaedah yang sama,” katanya.

Bagi menambahkan keyakinan pembeli rumpai laut dari negara luar, LKIM sudah berusaha mendapatkan bantuan Sirim, Mardi, Jabatan Pertanian dan Fama untuk meletakkan gred khas supaya dapat bersaing dengan rumpai laut dari Filipina.

Selepas melihat sendiri kejayaan yang terbukti hasil penggunaan sistem raga, kebanyakan pengusaha rumpai laut secara ‘long line’ kini sudah tidak sabar untuk menukar sistem itu kepada penggunaan raga, cuma masih menunggu bantuan bagi pembelian raga.

Nasib agak menyebelahi mereka kerana kejayaan yang ditunjukkan itu sudah meyakinkan Agro Bank untuk menyuntik dana sebagai pinjaman sebanyak RM20,000 tanpa cagaran dan penjamin bagi 100 peserta untuk memulakan projek itu di bawah skim prausahawan.

Keuntungan daripada pembiakan rumpai laut juga dijangka akan melonjakkan keuntungan yang lebih lumayan kerana permintaannya yang sangat tinggi. Ia terbukti apabila harga bagi rumpai laut kering yang sebelum ini hanya RM2 sekilogram (kg) sudah mencecah hampir RM7 sekarang dan ia dijangka akan meningkat kepada RM10 dalam masa beberapa bulan akan datang.

Selain itu, Ismail berkata, perusahaan rumpai laut sangat mudah dan tidak memerlukan modal pusingan yang besar. Benih atau bibit rumpai laut hanya dibeli untuk kali pertama dan untuk seterusnya, pengusaha boleh menggunakan sebahagian daripada hasil yang sudah matang.

“Modal untuk membeli raga pula hanya tidak sampai RM250 satu raga. Ia mampu bertahan antara 10 hingga 15 tahun. Dalam tiga hingga empat kali pengeluaran, kos pembelian raga sudah dapat diperoleh semula.

“Pembajaannya juga mudah. Tak perlu keluar sebarang belanja kerana rumpai laut dibaja secara semula jadi dengan lumut daripada batu karang. Ia memang banyak di kawasan pembiakan ini,” katanya.

Mengenai peluang jualan, Ismail berkata, permintaan terhadap rumpai laut sangat tinggi kerana ia terbukti boleh menghasilkan hampir 500 produk termasuk makanan, perubatan dan kegunaan harian. Malah, katanya, difahamkan beberapa kilang di China terpaksa ditutup kerana kesukaran mendapatkan bahan mentah rumpai laut.

“Jika rumpai laut Sabah berjaya digredkan, saya yakin bila-bila masa saja ia boleh menembusi pasaran China dan beberapa negara Eropah lain. Saya tak rasa kita ada masalah memasarkannya.

“Tambahan pula, teknologi yang kita gunakan boleh dikatakan terunggul di dunia menjadikan kualitinya sangat tinggi,” katanya.

Justeru, melihat kepada semua peluang yang ada dan keuntungan yang bakal dijana, Ismail mengharapkan kerjasama kerajaan supaya memandang serius projek ini yang boleh dijadikan satu penjanaan ekonomi yang menguntungkan kepada negara.