Jun 2009


MELAKA 23 Jun – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) disaran memberi tumpuan dalam menghasilkan mesin berteknologi tinggi bagi membantu golongan petani di negara ini meningkatkan pendapatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, agensi itu juga perlu memastikan mesin yang dikeluarkan mampu dijual pada harga berpatutan serta mengurangkan kos pengeluaran.

“Kita mahu lebih ramai penyelidik MARDI menjalankan penyelidikan dalam menghasilkan jentera atau mesin yang boleh membantu petani meningkatkan hasil pertanian masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Mekanisme Pertanian dan Makanan Kebangsaan 2009 di sini hari ini.

Menurutnya, pada masa ini, MARDI berjaya mereka cipta sebanyak 110 mesin dan peralatan berteknologi moden untuk kemudahan petani.

Ujarnya, usaha itu penting untuk membolehkan golongan terbabit meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan makanan sekali gus membantu kerajaan mengurangkan pergantungan ke atas import makanan dari luar negara.

“Atas usaha itu juga, kita berjaya menghasilkan satu teknologi baru yang mana kesemuanya dikumpulkan dalam pangkalan data berbentuk cakera padat (CD) dan direktori.

“Teknologi tersebut dinamakan Ag-Food Machinery Dir bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai mesin pertanian, pemprosesan makanan dan bukan makanan,” kata beliau.

ag_01.1

ROHANI Abd. Karim (empat dari kiri) memberi makanan kepada ikan tilapia hitam dalam satu sangkar Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakulter di Tasik Temengor, baru-baru ini.



GERIK 23 Jun – Produk filet (isi ikan) tilapia keluaran Trapia Malaysia Sdn. Bhd. (Trapia Malaysia) akan memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) mulai Ogos ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abd. Karim berkata, ia merupakan kejayaan hasil misi perdagangan disertai syarikat berkenaan di Pameran Makanan Laut Boston, AS pada Mac lalu.

“Kejayaan memasuki pasaran AS yang merupakan pengimport filet tilapia terbesar dunia berikutan misi perdagangan yang disertai Trapia Malaysia dan Jabatan Perikanan dalam pameran di Boston Mac lalu.

“Nilai dagangan yang termeterai dianggarkan RM30 juta setahun,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek tersebut di Tasik Temenggor dekat sini kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub dan Pegawai Daerah Hulu Perak, Datuk Abdul Karim Osman.

Menurut Rohani, buat masa ini projek itu mampu mengeluarkan kira-kira 5,000 tan metrik filet tilapia setahun dan dijangka meningkat sehingga 40,000 tan metrik pada 2013.

Sementara itu, Pengarah Trapia Malaysia, Lai Sead Ping berkata, projek penternakan ikan tilapia hitam memberi impak besar dan mampu menjana pendapatan ratusan juta ringgit setahun.

“Sebagai tanggungjawab sosial korporat, kami mahu manfaatnya turut dinikmati penduduk tempatan khususnya dari sekitar daerah Hulu Perak,” katanya sambil mengakui hanya mengambil penduduk tempatan sebagai pekerja.

Dalam masa sama, menurut Sead Ping, pihaknya berhasrat membantu anak-anak tempatan yang berminat, menceburi bidang ternakan ikan tilapia.

Buat permulaan, katanya, Trapia Malaysia akan melatih 20 perintis di kalangan siswazah dan usahawan tempatan melalui skim pertanian kontrak.

Jelas beliau, usaha tersebut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perikanan, Kerajaan Negeri Perak dan Kolej Komuniti Gerik.

“Kami akan memberi latihan insentif selama enam bulan kepada pelatih terbabit tentang teknik dan prosedur penternakan ikan tilapia hitam.

“Saya difahamkan borang permohonan untuk memohon skim berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.

wj_01.1

MOHD. Tamrin Mohammad memperkenalkan produk minyak kelapa dara jenama Mega Alif di Johor Bahru, baru-baru ini – utusan/ishak rahmad



JOHOR BAHRU 18 Jun – Banyak rahsia dan khasiat minyak kelapa dara telah tersebar bukan sahaja di rantau Asia, malah ke seluruh dunia.

Kelapa dahulunya sering dikaitkan dengan kolestrol kerana dibayangi pelbagai persepsi buruk yang memudaratkan kesihatan tetapi sebenarnya buah ’serbaguna’ ini mempunyai banyak khasiat.

Hakikatnya, kelapa mempunyai banyak kelebihan serta 1001 khasiat kepada orang ramai dan ia terbukti berkualiti untuk memperbaiki mutu kesihatan.

Mengetahui potensi minyak kelapa dara yang boleh berkembang lebih jauh, Mohd. Tamrin Mohammad, 45, mengambil inisiatif untuk mempelajari kaedah memproses sendiri minyak kelapa dara itu.

Beliau yang sebelum ini merupakan seorang pembekal kelapa nyata tertarik untuk memproses minyak kelapa dara selepas menghadiri satu pameran mengenai pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2004.

Menurutnya, beliau pernah terdengar mengenai penghasilan minyak kelapa dara tetapi tidak tahu cara yang betul untuk menghasilkannya.

”Saya mengalami beberapa siri kegagalan eksperimen apabila santan yang diproses untuk menghasilkan minyak itu basi dan tiada sebarang minyak yang berjaya dihasilkan.

”Perkara itu terus berlanjutan sehingga menyebabkan saya kerugian ribuan ringgit kerana santan yang digunakan rosak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Mohd. Tamrin yang merupakan pemilik Mega Alif Manufacturer berkata, beliau akhirnya berjaya menemui cara yang betul untuk menghasilkan minyak kelapa dara dengan menggunakan kaedah penyejukbekuan.

Katanya, santan segar yang sudah diperah tanpa menggunakan air perlu dibungkus dalam bekas plastik dan dibekukan sebelum dikeluarkan semula untuk direndam dalam air bagi menghasilkan minyak.

”Mungkin sesetengah pihak mengatakan mereka mampu untuk menghasilkan minyak kelapa dara dalam tempoh enam ke lapan jam tetapi saya mampu menghasilkannya dalam tempoh kurang daripada dua jam.

”Kaedah yang saya gunakan ini nyata berkesan dan ia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa,” jelasnya.

Mohd. Tamrin berkata, antara kelapa yang sesuai digunakan untuk penghasilan minyak kelapa dara daripada jenis kelapa kampung, mawar, pandan, matag dan Rina.

Katanya, bagi menghasilkan minyak kelapa dara yang berkualiti, pengusaha harus menggunakan kelapa yang betul-betul masak bagi memastikan hasilnya mencapai piawaian yang dikehendaki.

”Setiap hari saya menggunakan kira-kira 4,000 biji kelapa untuk dijadikan minyak kelapa dara dan dijual kepada orang ramai dan kadangkala jumlah itu tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan.

”Setakat ini, bekalan kelapa mencukupi dan kebanyakannya saya peroleh daripada para petani di sekitar Batu Pahat dan Kluang serta Jabatan Pertanian Negeri,” katanya.

Katanya, setiap proses penghasilan dan pembungkusan minyak kelapa dara dilakukannya sendiri dengan menggunakan mesin yang direka khas.

”Dengan menggunakan jenama Mega Alif, saya telah menghasilkan beberapa jenis produk berasaskan minyak kelapa dara antaranya minyak kelapa dara perisa oren, minyak angin dan sabun.

”Saya juga sedang berusaha untuk mempelbagaikan lagi produk berasaskan kelapa dara dan antara yang sedang diusahakan ialah syampu, losyen badan dan produk kosmetik,” katanya.

KUALA LUMPUR 18 Jun – Masih belum boleh dikomersial sebelum kajian mendalam selesai dilaksanakan.

Itulah status terkini tanaman Stevia – sejenis pokok yang boleh digunakan sebagai alternatif kepada penggunaan gula.

Hasil kajian awal mendapati ia tidak mengandungi kalori serta amat sesuai untuk pesakit diabetes walaupun rasa manisnya sehingga 300 kali ganda berbanding gula biasa.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim berkata, penyelidikan dan pembangunan (R&D) awal oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenainya telah memasuki peringkat akhir dan bakal diumumkan menjelang hujung tahun ini.

Antara fokus R&D awal itu adalah bagi mengkaji kesesuaiannya dari segi agronomi, teknologi kejuruteraan, pengurusan dan kos tanaman.

“Kami hendak pastikan hasil kajian itu kelak akan memberi manfaat kepada kumpulan sasar sebelum boleh dikomersialkan.

“Untuk makluman dua bahan ekstrak stevia iaitu Steviosit dan Revadiosit A sudah berada di negara ini.

”Ia digunakan oleh sebuah syarikat tempatan sebagai pemanis bagi menggantikan gula yang diimport dari China,” katanya menjawab soalan Dr. Che Rosli Che Mat (Pas – Hulu Langat) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Rohani, antara masalah utama yang dihadapi dalam penanaman stevia yang berasal dari Rusia adalah tanaman itu memerlukan waktu siang lebih panjang iaitu sehingga 13 jam dan keadaan ini tidak terdapat di Malaysia yang mana waktu siangnya singkat.

“Jadi kita terpaksa mencari kaedah terbaik, mungkin memasang lampu bagi memberi keperluan cahaya sepatutnya untuk stevia.

”Bentuk fizikalnya juga seperti pokok teh yang memerlukan tenaga buruh yang ramai bagi menuai daunnya,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat tiga ladang yang mengusahakan tanaman stevia secara persendirian iaitu di Muazzam Shah, Pahang; Ladang Kubu Padang Terap, Kedah dan Muar, di Johor.

Menjawab soalan tambahan Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (Pas – Kuala Krai) yang bertanyakan mengenai kesan sampingan pengambilan stevia, Rohani berkata, sekiranya diambil berterusan ia boleh menyebabkan masalah kekurangan gula dalam darah (hypoglycemia).

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat telah mengklasifikasikan tanaman itu sebagai selamat.

wu_01.1

Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Bainun serta Raja Nazrin Shah melawat sekitar taman herba selepas majlis perasmian Taman Herba Negeri Perak di Kampung Kepayang, Simpang Pulai, Perak, baru-baru ini. – UTUSAN/HANAFI KHAMIS



IPOH 18 Jun – Dari sebuah kawasan bekas lombong terbiar, tanah seluas 22 hektar di Jalan Simpang Pulai-Gopeng kini menjadi Taman Herba Negeri Perak dan bakal menjadi Muzium Herba Negara.

Pada mulanya kawasan tersebut dibangunkan sebagai pusat pemerhati tanaman sayur dan tanaman singkat masa sejak tahun 1987.

Bagaimanapun pada tahun 2002, atas kehendak Menteri Besar Perak pada masa itu, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali, kawasan itu ditukarkan fungsinya sebagai Taman Herba Negeri Perak.

Sejak itu, taman herba tersebut melalui proses transformasi dengan penambahan pelbagai spesies herba dari semasa ke semasa.

Sehingga kini, koleksi pokok herba yang ditanam di kawasan tersebut mencecah 525 spesies yang terdiri daripada spesies tempatan dan luar negara.

Spesies popular yang boleh didapati di Taman Herba Negeri Perak ialah misai kucing, kunyit bonglai, kacip fatimah dan tutup bumi rimba.

Selain itu spesies seperti emas cotek, jerangau, rempah padang, kunyit, serai wangi, bebuas lagundi, panah durjana, kucing galak, kayu manis, kulim pala, lengkuas, pala dan bunga cengkih juga ditanam di kawasan tersebut.

Semua tanaman tersebut ditanam di atas kawasan tanah bekas lombong bijih timah seluas lapan hektar.

Pengunjung taman ini juga boleh meninjau lokasi taman herba dengan menaiki trem persiaran yang bergerak menggunakan traktor untuk mengelilingi kawasan taman.

Di samping lawatan ke taman-taman herba pelbagai kategori, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti rekreasi seperti memancing ikan dan berkayak di tiga kolam bekas lombong berkeluasan 14 hektar di taman ini.

Keindahan kawasan ini dengan haruman herbanya sudah tentu mendamaikan jiwa sehingga mampu menyuntik ketenangan rohani dan jasmani.

Menurut Pengarah Pertanian Perak, Arifin Abdul Latif, dengan potensi yang ada, taman herba ini mampu berkembang menjadi muzium herba yang unik di negara ini.

Kata beliau, lebih menarik ialah taman herba ini ibarat hutan herba dalam bandar kerana kedudukannya berdekatan dengan Bandar Raya Ipoh dan bandar Kampar.

”Sebagai hutan herba dalam bandar, orang ramai boleh mempelajari mengenai pokok herba tanpa perlu mengembara jauh ke hutan belantara,” katanya.

Arifin berkata, dengan adanya taman herba ini, diharap ia dapat menarik minat penduduk negeri ini untuk terlibat dalam tanaman herba yang kini mempunyai banyak permintaan ekoran perkembangan industri spa dan mengurut.

Taman Herba Negeri Perak dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam satu majlis penuh meriah, baru-baru ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim.

Hasmin Hakim Hasbullah menunjukkan mesin kuih karas rekaannya yang telah dikomersialkan.



Pertumbuhan industri kecil dan kecil dan sederhana (IKS) terutama pemprosesan makanan amat bergantung kepada automasi atau mesin bagi meningkatkan produktiviti mereka.

Bilangan IKS dijangka meningkat menjelang 2010 selaras dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mewujudkan 10,000 usahawan baru.

Industri pemprosesan makanan merupakan salah satu industri utama yang diberi perhatian dalam Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3).

Industri pemprosesan makanan merupakan penyumbang ke lapan terbesar eksport negara yang mewakili 2.6 peratus daripada jumlah eksport negara bagi sektor pembuatan.

Banyak agensi kerajaan misalnya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terlibat secara aktif dalam menghasilkan mesin dan peralatan pemprosesan makanan dan minuman, khususnya bagi produk tradisional yang memerlukan teknologi pembuatan yang unik dan proses mekanisasi yang rumit di mana kerja penyelidikan dan pembangunan perlu dijalankan secara bersepadu.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Samsudin Ahmad berkata, pihaknya telah menghasilkan pelbagai jenis mesin dan peralatan bagi menghasilkan makanan tradisional.

“Antaranya adalah mesin menghasilkan lemang, emping, kuih karas, rempeyek, kuih ros, tabaloi, baulu cermai, cakar ayam, keropok lekor, sate, batang buruk, biji rotan, karipap, mesin mengekstrak isi durian dan jus buah-buahan.

“Kebanyakan mesin yang dihasilkan oleh MARDI telah dikomersialkan dan mendapat sambutan menggalakkan di kalangan usahawan IKS,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Misalnya mesin menghasilkan lemang, kuih karas, ros, keropok lekor dan sate telah digunakan oleh usahawan IKS seluruh negara.

Terkini pihak MARDI telah menghasilkan tiga lagi produk untuk membangunkan IKS tempatan iaitu mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu, mesin menggoreng keropok mudah susun dan mesin serba guna bagi mengekstrak citrus dan mengasing biji benih cili.

Mesin memproses kuih tradisional empat dalam satu hasil rekaan pegawai penyelidik Pusat Mekanisasi dan Automasi MARDI, Hasmin Hakim Hasbullah berupaya menghasilkan empat jenis kuih tradisional dengan hanya menggantikan acuan.

“Mesin yang pada mulanya direka untuk kuih karas didapati sesuai bagi menghasilkan maruku, roti jala dan putu mayam.

“Ini secara tidak langsung boleh memberikan pilihan kepada usahawan kecil menghasilkan kuih tradisional mengikut permintaan tanpa menggunakan mesin yang banyak,” katanya.

Mesin ini telah mula digunakan oleh sebuah IKS bagi menghasilkan kuih karas.

Pegawai penyelidik dari pusat yang sama dan mencipta mesin serba guna bagi mengekstrak sitrus dan mengasingkan biji benih cili, Masniza Sairi berkata, mesin berkenaan pada mulanya direka untuk menghasilkan jus dokong.

“Bagaimanapun dokong adalah buah-buahan bermusim jadi saya memikirkan untuk mempelbagaikan kegunaannya bagi mengekstrak jus limau dan mengasingkan biji benih cili,” katanya.

Menurut Masniza, mesin berkenaan berupaya menghasilkan jus sitrus tanpa memecahkan biji yang menyebabkan jus berasa pahit.

Bagi mengasingkan biji benih cili, getah penggelek akan digantikan mengikut kesesuaian.

“Mesin ini dapat mengurangkan kos, menjimatkan masa dan tidak rumit jika dibandingkan proses secara manual.

“Jika sebelum ini ramai pekerja yang diperlukan, bau yang tidak menyenangkan, tugas yang rumit untuk proses mengasingkan biji benih cili,” katanya.

Bagi memajukan dan mengenengahkan mesin dan peralatan pemprosesan makanan dan minuman kepada golongan sasar seperti IKS makanan, pengeluar dan pengedar mesin, pengeksport dan individu yang ingin menceburkan diri dalam industri makanan, MARDI dengan kerjasama agensi kerajaan dan badan profesional akan menganjurkan persidangan mekanisasi pertanian dan makanan peringkat kebangsaan.

Persidangan berkenaan akan diadakan pada 22 hingga 25 Jun di Hotel Renaissance, Melaka.

Sepanjang persidangan pelbagai teknologi dan mesin bagi pemprosesan makanan dan pertanian akan dibincangkan menerusi pembentangan kertas kerja dan pameran bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk meninjau lebih dekat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Teknikal MARDI di talian 03-8941 8070, faksimile 03-8941-3512 atau: ncafm@mardi.gov.my.

ag_02.1

NURUL Faizah Jamaludin menunjukkan alat pempasteur kompak mudah alih.


PEMPASTEURAN merupakan salah satu proses penting dalam pembangunan industri makanan atau minuman bagi menjamin produk yang dihasilkan benar-benar bersih dan selamat.

Aktiviti itu sebenarnya telah mula diperkenalkan di Perancis sejak tahun 1917 bagi tujuan mempasteur produk makanan berasid rendah.

Bagaimanapun di Malaysia, usaha mengkomersialkan teknologi tersebut masih belum dilaksanakan secara meluas.

Namun sejak kebelakangan ini, penyertaan menggalakkan masyarakat dalam industri makanan telah menarik minat ramai pengusaha untuk mengaplikasikan teknologi berkenaan.

Ini kerana berbanding pemanas konvensional seperti dandang atau stim, teknik pempasteuran adalah lebih cekap. Menerusinya, hampir kesemua tenaga dapat diserap ke dalam makanan secara seragam untuk mempercepatkan peningkatan suhu dan sekali gus menjimatkan kos.

Cara itu juga dapat mengurangkan aktiviti mikro organisma yang boleh merosakkan makanan agar ia dapat disimpan lebih lama dalam suhu yang rendah.

Melihat kepada kepelbagaian manfaat teknologi pempasteuran berkenaan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memperkenalkan alat pempasteuran kompak mudah alih.

Dikenali sebagai Pempasteuran Haba Ohmik, mesin tersebut dilengkapi dengan peralatan seperti sel pemanas ohmik, sistem pengurusan bendalir dan juga sistem kawalan pemanasan.

Menurut penyelidiknya, Prof. Ir. Dr. Norman Mariun, mesin itu sesuai digunakan untuk proses mempasteur produk makanan dalam bentuk cecair seperti jus minuman, sos, kicap, susu dan sebagainya.

menjimatkan

”Secara praktikalnya, mesin yang menggunakan tenaga elektrik termaju ini mempunyai dua tiub pengepam masuk dan keluar bagi tujuan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

”Bagi sel pemanasan pula, ia berfungsi untuk mengawal capaian suhu sama ada cepat atau lambat bergantung kepada produk yang ingin dipasteur,” katanya selepas majlis pembentangan hasil penyelidikannya di Fakulti Kejuruteraan UPM, Serdang baru-baru ini.

Beliau yang membangunkan teknologi tersebut bersama tiga orang lagi penyelidik memberitahu, proses rekaan produk itu telah mula dijalankan sejak tahun 1997 dan siap sepenuhnya pada tahun 2004.

Antara kelebihan mesin tersebut adalah penggunaannya mengekalkan kualiti makanan, bersih, menjimatkan tenaga sehingga 50 peratus, tiada kebocoran tenaga dan selamat.

”Kapasiti penggunaan dan rekaan mesin ini boleh diselaraskan mengikut keperluan serta permintaan sesebuah industri,” jelasnya yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah) di Fakulti Kejuruteraan UPM.

Melihat kepada potensi mesin tersebut, ia sesuai digunakan oleh pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya dalam sektor makanan dan minuman.

Untuk menjalankan operasinya, pengguna hanya perlu menentukan kelajuan pam serta menetapkan suhu di bahagian sel pemanasan ohmik mengikut bahan yang hendak dipasteur.

Mesin tersebut kemudian akan menghasilkan haba dari rentasan elektrik dan seterusnya menyerap ke dalam makanan untuk menjadikannya panas dengan pantas dan sekata.

Kebiasaannya, makanan yang telah dipasteur perlu disejukkan dengan segera ke dalam alat pendingin selepas pendedahan kepada haba.

Menarik mengenai mesin itu, ia hanya akan menjana haba mengikut keperluan pempasteuran dan kelebihan itu pastinya akan dapat mengurangkan pembaziran tenaga.

Di samping itu, pengguna juga tidak perlu menunggu lama untuk memastikan mesin tersebut panas kerana suhunya boleh dikawal secara terus menerusi paparan skrin yang disediakan.

Dari segi kos analisis pula, penggunaan alat pempasteuran ohmik ini hanya melibatkan nilai 1.5 sen seliter berbanding sistem lain seperti suntikan stim (lima sen seliter), piring pemanas boleh laras (tiga sen seliter) dan suntikan stim dengan pemulihan haba (2.4 sen seliter).

Bukan itu sahaja, kekuatan peralatan yang digunakan juga mampu memberi ketahanan kepada mesin tersebut untuk berfungsi dalam jangka masa yang panjang.

Pihak UPM kini sedang giat menjalankan kerjasama dengan beberapa pihak konsultan dan syarikat teknologi tempatan bagi meluaskan pasaran produk berkenaan.

Produk teknologi yang sedang dalam proses mendapatkan hak paten itu sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah kecemerlangan seperti pingat emas di pertandingan Idea Penemuan Produk Baru (IENA) 2008 di Jerman dan juga Anugerah Produk Inovatif Malaysia 2008.

Untuk perancangan masa hadapan, UPM bercadang mempertingkatkan keupayaan mesin itu menerusi tawaran fungsi yang lebih baik seperti menggunakan tenaga elektrik berfrekuensi tinggi.

Isu keli yang memakan sisa najis khinzir di Perak baru-baru ini bukan sahaja menggemparkan masyarakat bahkan mencalar imej penternak keli dan mengakibatkan permintaan ikan keli di pasar borong menurun empat kali ganda.

Namun ada kesan positif daripada isu tersebut, pembeli telah mula berhati-hati memilih keli yang benar-benar diyakini bersih dan halal sebelum dibeli.

Dari perspektif penternak, sekiranya sumber makanan keli hanya bergantung kepada pelet semata-mata pasti semua penternak akan mengeluh mengenangkan kos makanan yang begitu tinggi dan membebankan.

Pelbagai pihak cuba mencari formula untuk mengurangkan kos makanan bagi membantu mengembalikan keuntungan kepada penternak. Ramai penternak yang telah gulung tikar dan putus asa dengan penternakan yang dijalankan.

Perintis Agrotech Centre tampil memberikan kaedah alternatif kepada penternak. Salah satu kaedah terkini yang mendapat sambutan ialah kaedah Pro-Asli.

Ia bukanlah teknik pemakanan lengkap tetapi satu kaedah pemakanan alternatif yang menggabungkan sumber semulajadi dan bioteknologi yang berupaya mengurangkan kebergantungan ikan kepada pelet dan dapat mengurangkan kekerapan pemberian makanan.

Produk Pro-Asli

‘Pro’ berasal dari istilah probiotik yang membabitkan agen-agen biologi akan bertindak membantu tumbesaran ikan dengan memperbaiki sistem penghadaman dan pencernaan.

‘Asli’ pula adalah makanan semulajadi dan asal ikan yang dibentuk di dalam air untuk menjimatkan kos makanan. Kedua-dua kaedah ini merupakan gabungan teknologi dari Jepun dan Thailand.

Dua matlamat utama ProAsli iaitu mengurangkan kos makanan ikan dan meningkatkan keuntungan penternak. Terdapat tiga bahan utama di dalam kaedah ini iaitu Bio-Mineral (membentuk makanan semulajadi), Bio-Vita (membantu tumbesaran dan serapan protein tinggi) dan Bio-Aqua (merawat air dan mengekalkan sumber makanan asli di dalam air).

Bio-Mineral

Formula khas untuk membentuk makanan semulajadi di dalam air. Ia merupakan pati sumber mineral, protein, lumut, garam galian dan plankton yang diaktifkan menjadi sumber makanan asli di dalam kolam ternakan.

Fungsi utama adalah untuk menggalakkan pertumbuhan makanan asli seperti zooplankton, fitoplankton, protein dan alga kepada ikan sekali gus mengurangkan kadar pemberian makanan sokongan yang lain.

Bio-Mineral hanya diaktifkan di peringkat awal sahaja di mana air ternakan bukan sahaja untuk ikan hidup tetapi sebagai sumber makanan kepada ikan. Makanan semulajadi yang dibentuk dapat mengurangkan kekerapan dan kadar pemberian makanan kepada ikan.

Bio-Vita

Formula khas untuk meningkatkan dan memaksimumkan daya serapan protin dan nutrisi terhadap makanan yang dimakan. Serapan nutrisi yang maksimum akan dapat mengurangkan kadar pemberian pelet.

Fungsi utama membantu mempercepatkan tumbesaran ikan dengan memperbaiki mikro-flora ikan, memperkuatkan antibodi bagi mengurangkan kematian akibat penyakit dan meningkatkan kualiti ikan.

Juga sesuai digunakan pada ternakan ikan air tawar yang lain seperti patin, tilapia, puyu dan sebagainya.

Ada juga di kalangan penternak yang masih ingin menggunakan pelet sepenuhnya hanya menggunakan Bio-Vita untuk mempercepatkan tumbesaran dan meningkatkan kualiti tekstur ikan.

Bio-Vita perlu digaul bersama pelet pada kadar antara lima dan lapan peratus daripada berat pelet selama tiga kali seminggu. In kerana Bio-Vita berkesan untuk merawat dan memulihkan sistem mikroflora ikan sehingga 48 jam.

Bio-Aqua

Formula khas untuk merawat air dari berbau dan berpenyakit serta memperkayakan sumber mineral di dalam air ternakan. Fungsi utama adalah untuk merawat air dari berbau, menukarkan najis ikan kepada lumut, mengurangkan kadar ammonia dan kekerapan penukaran air ternakan.

Penggunaan Bio-Aqua juga dapat membantu penternak ikan air tawar yang sering berhadapan dengan kadar kematian yang tinggi akibat dari serangan penyakit di dalam kolam serta masalah bau air dari kolam ternakan.

Bio-Aqua dituang 2 minggu sekali ke dalam kolam ternakan sebagai rawatan kepada air bagi mengurangkan kadar ammonia serta rawatan penyakit bagi ikan.

Harga Produk

Satu set ProAsli yang mengandungi 10 liter Bio-Mineral, lima liter Bio-Aqua dan lima kilogram (kg) Bio-Vita sesuai untuk 3,000 ekor keli sehingga sedia dituai.

Harga produk tersebut amat munasabah di mana satu set Pro-Asli sesuai untuk ternakan 3000 ekor ikan. Kos keseluruhan makanan (ProAsli dan pelet) bagi satu kg ikan masih rendah iaitu RM1.20 – RM1.50 berbanding RM4.00 – RM4.50 bagi penggunaan 100 peratus pelet.

Kelebihan

Sambutan dari penternak keli amat luar biasa terutamanya di kalangan penternak yang telah merasai keperitan menternak menggunakan pelet.

Ramai juga penternak baru telah mencuba kaedah ini dan memberikan respons yang positif selain membantu penternak menjimatkan kos makanan dan meningkatkan keuntungan.

Kaedah ProAsli juga meningkatkan tekstur daging ikan lebih pejal, ikan lambat rosak, tidak hanyir dan berkualiti tinggi. Berdasarkan respon pengguna, produk tersebut amat berkesan kerana dapat mengurangkan kadar pemberian pelet dan penukaran air ternakan.

Tempoh Tuaian

Dari segi tumbesaran ikan, tempoh tuaian dilihat masih menepati standard ternakan komersial iaitu antara 100 dan 120 hari walaupun mungkin sedikit lewat berbanding pemakanan 100 peratus pelet.

Pasaran

Perintis telah merangka gerak promosi ke seluruh Negara bermula pada awal bulan Mei yang lepas. Sehingga kini, pasaran telah berkembang pesat ke seluruh Semenanjung dan merancang untuk menembusi pasaran Sabah dan Sarawak pada Julai ini. Kebanyakan pemasaran dijalankan oleh penternak yang menjadi pengedar berdaftar kepada Perintis. Sekurang-kurangnya pendapatan hasil jualan dapat memberikan ‘wang saku’ kepada mereka sementara menunggu hasil tuaian. Ramai yang telah mendaftar sebagai pengedar untuk kegunaan sendiri atau untuk pasaran setempat.

Dengan margin keuntungan dari 20 peratus ke 87.5 peratus, Perintis mempelawa lebih ramai lagi para penggiat pertanian menyertai program pengedar yang dijangka akan mendapat sambutan yang hebat berikutan dari siri promosi yang dilakukan oleh pihak Perintis.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut atau ingin menjadi pengedar untuk produk tersebut, bolehlah menghubungi talian 03-6187 3796 atau 019-6634527.

wt_01.1

Mohd. Hashim Abdullah (kiri) melihat sisa tanaman jagung yang dijeruk menjadi silaj mengikut kepakaran MARDI yang boleh dijadikan bahan makanan kambing.



BACHOK 12 Jun – Menternak kambing Boer secara komersial yang mula menarik perhatian ramai di negeri ini menelan kos pengurusan makanan yang tinggi dan bekalan pula kerap tidak menentu.

Justeru para penternak dinasihatkan turut terlibat sama dalam projek pertanian jangka pendek seperti tanaman jagung, keledek dan kacang tanah yang boleh membantu mereka mengurangkan kos itu dan mempelbagaikan punca rezeki.

Langkah mengintegrasi bidang penanaman dan penternakan haiwan ini akan mengurangkan pergantungan sepenuhnya terhadap makanan proses di pasaran yang melibatkan kos yang tinggi dan membebankan, sekali gus mempelbagaikan punca pendapatan mereka.

Timbalan Ketua Setiausaha (Usahawan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah berkata, teknologi penternakan ini boleh diperoleh dengan memanfaatkan peranan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

MARDI sedia membimbing mereka bagaimana mengatasi masalah itu yang dapat membantu meningkatkan keuntungan mereka.

Beliau berkata, langkah yang menguntungkan perlu diteroka dengan mengoptimumkan sumber sedia ada seperti tanah, tenaga kerja dan infrastruktur ladang serta berkeupayaan untuk kitar semula bahan sampingan yang terhasil dari komponen tanaman yang diusahakan.

”Pada masa yang sama kawasan untuk tanaman makanan ternakan seperti penanaman pokok petai belalang dan rumput berzat perlu diusahakan bagi penghasilan makanan konsentrat yang diperlukan sebanyak 200 hingga 300 gram bagi setiap ekor kambing,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Hashim berkata, kepelbagaian usaha perlu dilakukan bagi menjimatkan kos dan pada masa yang sama ia akan memberi keuntungan pendapatan yang lebih berbanding melaksanakan penternakan yang tidak menggunakan teknologi pertanian yang terkini.

”Teknologi untuk menghasilkan silaj (tumbuhan yang dijeruk) boleh dipelajari di MARDI Telong di mana sisa tanaman jagung dipotong semasa berusia 60 hari selepas hasilnya dituai,” ujar beliau.

Katanya, sisa tanaman itu dipotong pendek antara 3 hingga 15 sentimeter menggunakan mesin pemotong dimasukkan dan dipadatkan dalam dram plastik yang dialas dengan plastik sepenuhnya dan ditutup rapat supaya kedap udara.

”Ia disimpan selama satu bulan sebelum dijadikan bahan makanan kepada kambing. Bahan ini mempunyai nilai pH kurang daripada 4.5 dengan kandungan asid laktik antara 3 – 13 peratus dan asid butirik kurang daripada 0.2 peratus di mana nilai zatnya adalah sama dengan tumbuhan asalnya sebelum dijeruk.

”Ia boleh bertahan hingga beberapa tahun lamanya manakala sisa tanaman keledek dan kacang tanah boleh diberi terus kepada ternakan,” ujarnya.

Mohd. Hashim berkata, permintaan daging kambing Boer amat tinggi dan ia perlu direbut peluang oleh petani yang mengusahakan projek penanaman jangka pendek untuk menternak dengan sistem yang lebih sistematik.

Beliau berkata, sisa buangan atau najis ternakan itu pula seharusnya diproses oleh petani untuk dijadikan baja organik bagi menyuburkan tanaman yang mereka usahakan.

Menurutnya, mereka yang berminat untuk menjadi usahawan ternakan ini boleh menghubungi mana-mana agensi pertanian yang berdekatan dan mendapatkan pembiayaan Agro Bank menerusi pinjaman kredit Mikro atau mendapatkannya daripada Tabung Ekonomi Usahawan (Tekun) tanpa perlu mengemukakan penjamin atau cagaran.

”Apa yang penting setiap projek yang dilaksanakan akan memberi impak yang menguntungkan pengusaha dan pemberi pinjaman. Agensi pertanian hanyalah agen pemudah cara, pembimbing dan pembekal kepakaran,” katanya.

Utusan Malaysia difahamkan seekor kambing Boer yang matang boleh menjangkau harga jualannya melebihi RM1,000 bergantung kepada saiz dan jantinanya.

Sementara itu, para petani lega dan berterima kasih dengan bimbingan khidmat nasihat dalam bidang penternakan, kepakaran dan pelbagai bantuan dari beberapa agensi pertanian terhadap usaha penternakan kambing yang dilaksanakan.

Pengerusi Persatuan Penternak Kambing Negeri Kelantan Cawangan Bukit Awang, Razali Mamat berkata, penubuhan persatuan turut membolehkan aktiviti pemeliharaan dilaksanakan secara sistematik dengan menggunakan teknologi pertanian terkini yang boleh didedahkan secara menyeluruh.

Beliau berkata, usaha yang dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Kawasan Pertanian (IADA) Kemasin Semerak yang membantu penternak di kawasan operasinya menyediakan kemudahan bangsal pemeliharaan, baja rumput dan enjin pam air turut memberi semangat kepada penternak dalam meningkatkan kapasiti projek yang diusahakan.

”Malah penyediaan induk secara pawah oleh agensi berkenaan dan Jabatan Veterinar yang banyak membantu membangunkan kaedah pembenihan baka, ubatan dan rawatan serta khidmat kepakaran adalah rentasan penting yang akan mendidik penternak kambing negeri ini untuk berdikari mengusahakan projek penternakan secara komersial,” katanya.

Razali yang turut menternak 350 kambing Boer dan Jamnapari dalam kawasan seluas 0.92 hektar di Kampung Gong Guchil di Pasir Puteh sejak empat tahun lalu yakin usaha penternakan secara berkelompok akan menjadikan negeri ini sebagai pembekal daging dan baka kambing yang produktif pada masa akan datang.

Beliau berkata, penternak mempunyai dua pilihan sama ada ingin menjual daging atau mendapat sedikit keutungan dengan menjual baka yang berkualiti kepada pembeli atau mereka yang berminat untuk menternak kambing.

wu_01.1

Zainun Ahmad bersama isterinya, Mashyitah Arshad memetik pucuk gajus untuk dipasarkan di sekitar kawasan Pokok Sena dan Kuala Nerang.



POKOK SENA 15 Jun – Bagi sesetengah orang, hidangan makanan mereka dirasakan seolah-olah tidak akan lengkap jika tidak disertakan dengan ulam-ulaman.

Pelbagai jenis ulam menjadi pembuka selera yang digemari bukan sahaja oleh penduduk kampung, tetapi warga kota yang sanggup mencarinya di merata-rata tempat terutama untuk dinikmati bersama nasi.

Antara jenis ulam yang paling digemari oleh masyarakat di negara ini ialah pucuk gajus.

Pucuk gajus yang juga dikenali sebagai ‘jambu golok’ ini mempunyai rasa yang sedikit kelat tetapi sedap dimakan terutama apabila dicicah dengan budu atau sambal belacan.

Melihat kepada potensi perniagaan yang boleh diusahakan daripada pokok gajus yang berasal dari Brazil itu, seorang peniaga sayur, Zainun Ahmad, 44, mengusahakan tanaman berkenaan di belakang rumahnya di Kampung Bukit Lada di sini.

Zainun memberitahu, dia menanam sebanyak 600 pokok gajus di atas tanah seluas 0.4 hektar sejak beberapa tahun lalu bagi mengambil pucuk untuk dijadikan ulam.

Menurutnya, dia memilih untuk menanam pokok yang hampir pupus itu kerana ia mudah dijaga selain mempunyai permintaan pasaran yang tinggi.

“Pengusaha tanaman ini juga tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan hasil kerana pokok gajus cepat berpucuk.

“Ia biasanya boleh mula dikutip dalam masa lapan bulan atau sembilan bulan sahaja selepas ditanam,” katanya di sini baru-baru ini.

Zainun memberitahu, pucuk gajus yang dijual pada harga 50 sen seikat kepada pemborong begitu laris sehingga dia hanya mampu memenuhi permintaan di sekitar kawasan Pokok Sena dan Kuala Nerang, dekat sini sahaja.

“Kebiasaannya saya memetik pucuk gajus dalam masa dua atau tiga hari sekali. Setiap kali dipetik, saya dapat menjual hingga 500 ikat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, dia menyarankan orang ramai yang meminati bidang perniagaan pertanian supaya memilih penanaman pokok gajus yang mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya.

Orang ramai yang berminat untuk menceburi bidang itu atau ingin maklumat lanjut mengenainya daripada Zainun boleh menghubungi talian 017-4622496 atau 017-4620971.

wt_01.1

SITI HAWA AKOB (kiri) bersama rakannya di kawasan Projek Agropolitan Tanjong Gahai, Kuala Lipis, semalam. – utusan / Haris Fadilah Ahmad



KUALA LIPIS 11 Jun – Orang tua-tua pernah berkata, berbudi kepada tanah tidak akan rugi.

Berpegang kepada prinsip itulah, kira-kira 50 peserta Projek Agropolitan di Tanjung Gahai dekat sini, kini hampir pasti bergelar usahawan tani.

Meskipun projek tanaman nanas dianggap asing bagi peserta terbabit namun berkat kesungguhan dan keyakinan untuk bebas daripada kepompong kemiskinan, para peserta terbabit kini boleh menarik nafas lega dan menghitung nikmat rezeki yang bakal digenggam.

Mereka membuktikan bahawa jika mempunyai minat, hasrat untuk mengubah kehidupan yang lebih selesa pasti tercapai meskipun terpaksa bergelut dengan kesukaran pada peringkat awalnya.

Sejak dimulakan 15 bulan lalu, projek tanaman nanas (Ananas comocus) seluas 14 hektar itu kini mengeluarkan hasil dan peserta memperoleh pulangan berbaloi setelah produk berkenaan dipasarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Nanas merupakan tanaman utama dalam Projek Agroplitan Gahai yang mencakupi kawasan seluas 222.58 hektar di bawah penyelenggaraan Kerajaan Pahang dan Risda.

Penyelia projek tanaman nanas itu, Yusaini Anor Mat Amin berkata, peserta tidak menyangka tanaman nanas secara komersial itu mampu memberi pulangan lumayan walaupun pada peringkat awalnya mereka tidak begitu yakin memandangkan ia projek perintis di bawah penyelenggaraan Risda.

”Sebanyak 2,500 buah nanas matang dapat dituai sebelum diserahkan kepada FAMA untuk dijual dengan harga 60 sen sekilogram,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail melakukan lawatan kerja ke ladang tanaman nanas komersial di Projek Agropolitan Gahai baru-baru ini.

Hadir sama Pegawai Risda Lipis, Rooslan Gazali.

Menurut Yusaini, kini sebanyak 420,000 pokok nanas menanti masa untuk dituai serta dipasarkan manakala 80,000 anak benih (sulur) dalam proses untuk dipindahkan ke ladang bagi tanaman seterusnya.

Katanya, seramai 12 peserta projek mengikuti kursus teknikal nanas, pengurusan ladang, penggredan buah dan pasaran menerusi bimbingan Risda, Lembaga Nanas Malaysia (LNM) dan Agro Chemical Sdn. Bhd.

Sementara itu, seorang peserta projek, Siti Hawa Akob, 52, ketika ditemui gembira dan bersyukur kerana setelah bertungkus lumus mengurus tanaman nanas sejak ditempatkan di projek itu, ia membuahkan kejayaan.

”Saya terbabit dengan projek tanaman nanas tanpa sebarang kemahiran langsung. Bagaimanapun, setelah menjalani kursus anjuran Risda dan LNM banyak pengetahuan diperoleh serta memudahkan lagi mengurus tanaman ini,” katanya.

Siti Hawa memberitahu, kejayaan projek itu dapat meningkatkan pendapatan keluarganya sekali gus mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan sejajar dengan matlamat projek itu sendiri.

Rakannya, Sabariah Jalil, 38, berkata, mereka bekerja sehari suntuk untuk menjaga tanaman berkenaan termasuk merumput, membaja, mengawal ancaman tikus, membubuh hormon pada benih, memetik sehinggalah mengumpul nanas untuk pasaran.

”Kami begitu gembira dan penat pun hilang apabila melihat hasil dipetik dan dipasarkan,” katanya.

Ibu kepada dua orang anak itu seterusnya memberitahu, hasil jualan nanas itu akan diisi dalam satu dana manakala selebihnya akan diagihkan oleh Risda kepada seramai 50 peserta projek itu.

Seorang peserta, Sharipah Deraman, 34, menegaskan pembabitannya dalam projek tanaman nanas di Projek Agropolitan Gahai mengubah kehidupan keluarganya yang selama ini dibelenggu kemiskinan.

”Syukurlah, kehidupan kami beransur berubah berbanding tinggal di kampung dulu yang diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

Beliau menambah, peranan aktif agensi Risda termasuk wakil rakyat memberi sinar baru kepada peserta Projek Agropolitan Tanjong Gahai untuk muncul sebagai usahawan tani pada masa akan datang.

wu_03.1

Paridah Abdullah dibantu suaminya Roslan Sahidon bagi menghasilkan produk kopi herba Qaisara yang kaya dengan pelbagai khasiat di Alor Setar.



ALOR SETAR 11 Jun – ”Tiada jalan mudah dalam bidang perniagaan, hanya perlu bersabar jika masalah datang menimpa.”

Itulah kata-kata pengasas kopi herba Qaisara, Paridah Abdullah, 42, mengenai rahsia kejayaannya dalam menghasilkan produk kopi herba yang mula mendapat tempat di pasaran tempatan.

Mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam bidang perniagaan, menjadikannya cekal dalam menempuh cabaran bidang tersebut.

“Sejak muda lagi saya sudah bergiat dalam bidang perniagaan dan saya tidak tahu buat kerja lain selain berniaga.

“Berniaga sudah menjadi darah daging saya dan saya bernasib baik, niat untuk mempunyai produk sendiri tercapai juga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Paridah, kopi herba Qaisara yang mula menjengah pasaran pada Julai 2008 adalah hasil usahanya serta suami, Roslan Sahidon, 48, yang banyak memberi galakan dalam bidang perniagaan ini.

“Saya berazam untuk menghasilkan kopi herba yang 100 peratus dihasilkan oleh orang Islam.

“Selain memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, saya mahu produk kopi herba Qaisara yang kaya dengan pelbagai khasiat dikongsi oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Jelasnya, antara ramuan herba yang terkandung dalam kopi herba Qaisara ialah pokok belimbing tanah, senduduk, tutup bumi, hamba raja, serta pueraria marifica.

“Kopi ini sesuai diminum untuk seisi keluarga dan kini pihak kami menumpukan untuk mempromosikan produk ini kepada penggemar produk herba di negara ini.

“Saya juga bertuah kerana terpilih untuk menjadi usahawan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang banyak membantu usahawan kecil seperti saya,” katanya.

Ujarnya, MADA banyak memberi tunjuk ajar bagaimana untuk menjalankan perniagaan berasakan produk herba ini.

Paridah memberitahu, selepas menghasilkan produk kopi herba Qaisara itu, dia bercadang untuk menghasilkan teh berperisa mangga serta makanan serat berasaskan beras bagi menambah produk keluarannya di pasaran tempatan.

“Masyarakat kita memang pentingkan penjagaan kesihatan dan saya akan terus menghasilkan produk-produk bagi membantu mereka yang menitik beratkan penjagaan kesihatan.

“Selagi saya berdaya bidang perniagaan akan terus menjadi sumber rezeki utama saya,” katanya yang boleh dihubungi di nombor 017-4045267.

PASIR PUTEH 3 Jun – Pembuatan keropok tradisional selalunya dikaitkan dengan perusahaan ‘belakang rumah’ yang banyak melibatkan penduduk terutama di pinggir pantai dengan penghasilan secara kecilan dan pasaran yang terhad.

Mohd. Kamil Salleh, 44, di Kampung Dalam Ru, dekat sini awalnya, merupakan salah seorang daripada mereka apabila dia mula melibatkan diri 19 tahun lalu ketika berusia 25 tahun kerana meminati bidang perniagaan.

”Keropok mudah diusahakan, semua orang mungkin boleh melakukannya terutama yang tinggal berdekatan dengan sumber bekalan ikan seperti di sini berhampiran dengan Pantai Bisikan Bayu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sekian lama beliau menghasilkan keropok dengan kaedah memasak cara konvensional dan penggunaan mesin yang terbatas menyukarkannya untuk meningkatkan pengeluaran dan memperluaskan pasaran.

Bagi meneroka pendekatan lebih komersil, beliau berusaha mengumpul modal agar perniagaannya lebih berkembang dan keluar daripada kepompong gelaran peniaga kecil.

Menurutnya, modal yang dikumpulkan hasil jualan pelbagai jenis keropok akhirnya membolehkan beliau mendirikan kilang pemerosesan di halaman rumahnya yang sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada jiran-jirannya yang berdekatan.

Keropok keluarannya ternyata mempunyai kelebihan dengan menggunakan resepi sendiri bagi mengadun bahan-bahan seperti isi ikan, pati sagu, kanji, gula dan garam.

Katanya, walaupun mudah menghasilkan keropok tetapi sukar untuk menjamin kualiti berterusan dan keupayaan memenuhi permintaan bagi mencari pasaran tetap untuk bertapak kukuh, dikenali ramai pemborong dan pembeli.

Mohd. Kamil berkata, keropok keluarannya mengekalkan jenama berdaftar Keropok Ikan Cap Ikan Parang Empat Bintang Dari Kelantan yang sudah diedarkan ke seluruh negara, di samping turut diedarkan di Singapura dan di Selatan Thailand.

Menurutnya, ekoran permintaan yang semakin memberangsangkan mendorongnya membina sebuah kilang yang lebih moden menggunakan teknologi pemerosesan terkini dan tersusun di satu lot tanah berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Ru.

Katanya, kilang itu dibangunkan di kawasan seluas 0.4 hektar adalah mengikut piawaian pembinaan kilang IKS yang menekankan peningkatan kapasiti pengeluaran dan kebersihan.

”Saya bersyukur kerana usaha saya ini disokong oleh Pejabat Pembangunan Kawasan Pertanian (IADA) Kemasin Semerak yang menyenaraikan sebagai pengusaha Industri Asas Tani (IAT) dengan menyalurkan bantuan untuk mengembangkan perniagaan.

Mohd. Kamil berkata, selain peralatan mesin memotong keropok, mesin menguli, pengisar ikan, IADA melengkapkan keperluan dengan meja keluli, kukusan untuk 36 dulang, mesin penongkolan, tong fiber 800 liter dan tempat ampaian 260 acak untuk mengeringkan keropok.

Beliau berkata, bagi melengkapkan kilang IAT bengkel basah bernilai RM31,000 bagi kerja menguli, menongkol, memotong dan sebagainya dibina dan dilengkapi dengan bengkel kering bernilai RM80,000 bagi kerja pembungkusan dan penyimpanan produk siap diwujudkan.

”Kilang ini turut dilengkapi tandas dan surau bagi kemudahan 15 pekerja tetap yang berkerja enam hari dalam seminggu,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, kilangnya berjaya menghasilkan sebanyak 500 kilogram (kg) sehari dengan nilai harga RM3,500 berasaskan harga jualan RM7 bagi setiap kg.

Sementara itu, Pengarah IADA Kemasin Semerak Shamsuddin Mat Saat berkata, pejabatnya bersedia membantu usahawan kecil meningkatkan kapasiti pengeluaran mereka tetapi bergantung kepada kaji selidik potensi kejayaan pengusaha dan bajet kewangan yang diperuntukkan kerajaan persekutuan.

Katanya, keutamaan diberikan kepada pengusaha yang menghasilkan produk berdaya maju dan memiliki premis sendiri untuk memproseskan bahan akan diberi bantuan mesin pemerosesan, kepakaran dan khidmat bimbingan serta pemantauan yang berterusan.

”Setiap usahawan yang dipilih sebagai peserta akan dihantar mengikuti pelbagai kursus yang bersesuaian dengan harapan mereka memperoleh ilmu dan teknologi baru berkaitan bidang keusahawan yang diceburi mereka,” katanya.

Shamsuddin berkata, pada tahun lalu seramai 35 usahawan yang dibimbing oleh IADA Kemasin Semerak berjaya menghasilkan produk masing-masing dengan nilaian keseluruhan sebanyak RM3.3 juta dan purata pendapatan setiap peserta mencapai RM3,200.

”Pada tahun ini IADA berharap peningkatan pendapatan usahawan yang dibimbing terus meningkat sekurang-kurangnya menghampiri RM4,000 untuk setiap bulan,” katanya.

wu_01.1

Che Saudah bersama anaknya, Che Norma membungkus belacan madu yang siap diproses di Kuala Sungai Baru , Kuala Perlis, baru-baru ini.



KUALA PERLIS 3 Jun – Madu merupakan cecair manis yang terdapat dalam sarang lebah atau bunga yang digunakan secara turun-temurun untuk perubatan tradisional dan minuman penambah tenaga.

Kini perkataan madu digunakan secara meluas terutama oleh petani dan peniaga bagi menggambarkan sesuatu produk yang manis atau sedap.

Tidak hairan di beberapa tempat atau kawasan kita dapat mendengar perkataan madu yang digunakan secara meluas untuk hasil pertanian seperti nangka madu, buluh madu dan jagung madu.

Tetapi bagi seorang pengusaha belacan di Kuala Perlis di sini, dia tidak ketinggalan menggunakan perkataan madu apabila menghasilkan belacan madu.

Timbul pertanyaan kenapa ia dipanggil belacan madu? Adakah belacan yang dihasilkan itu menggunakan ramuan khas atau pembuatnya mencampurkannya dengan madu?

Pengusaha belacan madu Kuala Sungai Baru, Kuala Perlis di sini, Che Saudah Hamzah, 49, berkata, perkataan madu digunakan olehnya bagi menggambarkan kelainan belacan yang dihasilkan menggunakan resipi turun-temurun oleh arwah bapanya.

Katanya, belacan yang dihasilkan itu menggunakan udang biasa yang ditangkap di sekitar pantai Kuala Perlis tetapi warna dan rasanya berlainan dengan belacan yang dihasilkan pengusaha sekitar kawasan tersebut.

”Setiap pembuat belacan di sekitar sini mempunyai cara masing-masing untuk membuat belacan,” katanya ketika ditemui di sini.

Che Saudah memberitahu, dia mengusahakan belacan madu sejak tahun 2001 secara kecil-kecilan di rumahnya.

”Sebelum ini saya dan arwah bapa membuat secara kecil-kecilan. Ketika itu saya belum mempunyai mesin untuk mengisar udang yang dijemur dan terpaksa menumpang di rumah pengusaha lain.

”Tetapi kini selepas beberapa tahun orang ramai menerima dengan baik belacan madu sehingga mendapat permintaan menggalakkan. Malah tambahan nama madu itu sendiri memberi kelainan kepada belacan yang dihasilkan,” ujarnya.

Katanya, disebabkan sambutan yang menggalakkan kini dia dibantu enam orang pekerja termasuk anaknya sendiri, Che Norma Chek Saleh, 22 tahun.

”Belacan madu yang dijual mendapat pasaran sehingga ke Johor, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Perlis dan Kedah.

”Jenama belacan madu ini sangat popular sehingga ada pihak yang meniru bekas bungkusan dan jenama yang kami usahakan,” jelasnya.

Difahamkan terdapat lebih 20 pengusaha yang membuat belacan di sepanjang Kuala Perlis menuju ke Kuala Sungai Baru di sini.

Menurut Che Saudah, bagi menghasilkan belacan yang sedap dan tidak terlalu hitam atau busuk, udang yang menjadi bahan utamanya perlu dijemur mengikut masa yang ditetapkan.

”Jika cuaca mendung atau hujan belacan tidak dapat dibuat kerana udang yang dijemur akan rosak dan rasa belacan akan berlainan.

”Kebiasaannya udang yang dibeli akan dijemur dua kali sebelum dikisar sehingga lumat,” katanya.

Dalam tempoh sehari, Che Saudah boleh menghasilkan 400 kilogram belacan tetapi ia bergantung kepada keadaan cuaca.

Selain menjual belacan, Che Saudah turut menjual hasil laut yang lain seperti keropok ikan, kicap soya dan pelbagai jenis ikan kering.

ag_01.1

EPAL Manalagi antara jenis epal Ba’Kelalan terbesar setakat ini.



MEMILIH sesuatu yang unik bukanlah laluan mudah untuk ditempuhi. Namun seorang warga emas di pedalaman Sarawak membuktikan setiap keazaman yang disulam usaha gigih pastinya membuahkan hasil.

Ketika penduduk lain gigih mengusahakan tanaman padi bukit, Tagal Paran atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tagal memilih epal sebagai tanaman di tanah ladangnya di Ba’ Kelalan, Miri.

Kini populariti ladang epal seluas tiga hektar yang diusahakannya sejak lebih 20 tahun lalu itu ‘mengatasi’ populariti beras Adan, beras berkualiti tinggi yang juga ikon produk dari penempatan suku kaum Lun Bawang itu.

Kejayaan tersebut menjadikan lelaki berusia 75 tahun itu sebagai individu ‘terpenting’ dan paling popular setiap kali masyarakat Ba’ Kelalan menerima kunjungan pelawat.

“Tiada orang lain yang akan dicari, mereka semua mahu mendengar cerita epal daripada Pak Tagal,” ujar salah seorang penduduk.

Setiap tahun, ribuan pelancong berkunjung ke Ba’ Kelalan. Masa paling sibuk adalah ketika Festival Menuai Epal yang diadakan pada bulan Jun dan Disember setiap tahun.

Ba’ Kelalan yang berada pada ketinggian kira-kira 1,000 meter dari aras laut itu mempunyai suhu rendah sepanjang tahun yang membolehkan epal dan tanaman seperti strawberi, anggur dan tomato hidup di situ.

Umum menyedari kewujudan epal di Ba’ Kelalan tetapi tidak ramai yang mengetahui keistimewaan epal tempatan itu. Tidak kurang juga yang mengkritik dan mengatakannya tidak cukup saiz, tidak manis dan rupanya kurang menarik.

Tetapi bukan itu yang dipersetujui oleh 20 wakil media pada lawatan ke Rata Farm Sdn. Bhd. milik Pak Tagal semasa ekspedisi Isuzu Dura-Mission, baru-baru ini.

Pengalaman memetik dan menikmati kerangupan epal segar di ladang yang terletak bersebelahan dengan lapangan terbang kecil itu meninggalkan kenangan manis buat kami semua.

Hasil kaedah pertanian yang dipertingkatkan, empat jenis epal iaitu Manalagi, Tropikal, Anna dan Rome Beauty yang ditanam di situ hampir menyamai kualiti epal yang diimport.

Menurut Pak Tagal, sebanyak 1.5 tan epal dituai daripada 3,000 pokok epal pada setiap musim. Namun, jumlah itu hanya cukup untuk pasaran di sekitar Miri, Lawas dan Brunei.

”Permintaan sangat tinggi dan antara yang paling mendapat sambutan adalah epal jenis Manalagi kerana rasanya yang manis dan bau yang harum. Ia dijual pada harga RM10 sekilogram.

‘Dari segi saiz epal di sini tidaklah terlalu kecil. Berat lebih kurang 200 gram sebiji dan yang paling berat pernah dituai adalah 500 gram,” jelas Pak Tagal lagi.

Selain rasa yang sedap, keistimewaan epal Ba’Kelalan juga adalah kerana mempunyai dua musim sedangkan di negara-negara beriklim sejuk lain epal hanya berbuah sekali setahun.

Rahsianya melalui teknik ‘musim sejuk tiruan’ yang dilakukan dengan menanggalkan daun-daun pokok secara manual. Selepas daun ‘digugurkan’, pokok epal biasanya akan berbunga dan berbuah semula.

“Teknik ini hanya boleh dilakukan beberapa minggu selepas musim menuai,” jelas beliau.

Selain itu, kelebihan epal Ba’Kelalan juga adalah kerana penggunaan racun serangga yang minimum, malah langsung tidak menggunakan pengilat lilin seperti kebanyakan buah -epal yang diimport.

Cuma cabaran utama pada masa kini adalah kerja-kerja pemasaran kerana kawasan itu bergantung kepada pengangkutan udara tiga kali seminggu (MASWings) manakala jalan darat hanya boleh dimasuki dengan pacuan empat roda.

Namun Pak Tagal percaya kedudukan Ba’ Kelalan yang terletak bersebelahan dengan Sabah, berhampiran sempadan Brunei dan Indonesia menjadikan kawasan di sekitar tiga buah kampung di situ berpotensi untuk dikembangkan sebagai pusat tanaman epal.

”Sebenarnya kami masih menantikan jalan raya yang dapat menghubungkan kami dengan pekan terdekat iaitu Lawas atau Miri.

”Laluan darat yang dibina akan membantu merubah masa depan epal di Ba’ Kelalan,”ujarnya penuh harapan.

Tambah beliau, sistem perhubungan yang baik juga dapat membantu memudahkan kajian dan penyelidikan dilakukan di situ. Buat masa ini, tugas menguruskan ladang bergantung kepada pengalaman dua pekerja Indonesia yang dibawa masuk dari Jawa Timur.

“Saya percaya banyak pihak di luar sana yang berminat untuk datang membuat kajian pertanian di sini,” jelasnya sambil menuding jari ke arah sekumpulan pelajar yang berada di tengah ladang.

Bioindustri

Mereka adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Bioindustri, Universiti Putra Malaysia (UPM-Kampus Bintulu) yang sedang menjalani latihan praktikal selama dua bulan di Ba’ Kelalan.

Salah seorang pelajar, G. Sivarajan M. Ganesan ketika ditemui berkata, projek perintis UPM itu bertujuan mengkaji aspek-aspek penting berkaitan penanaman epal di kawasan itu.

Kajian yang dilakukan termasuk pemeriksaan kesesuaian tanah, keamatan cahaya, kandungan klorofil daun dan mengenal pasti baka-baka yang terbaik.

Ujarnya, setiap anggota kumpulan dibahagikan tugasan tersendiri dan sebarang penemuan, perkembangan dan hasil kajian yang diperolehi dalam tempoh itu akan dibawa pulang ke makmal universiti untuk dianalisis pensyarah.

“Selain itu kami juga merekodkan jenis-jenis penyakit yang menyebabkan kecacatan dan kemerosotan pada pokok-pokok epal,” jelasnya lagi.

Bagi Nur Atikah Mohd. Azman, 22, epal Ba’ Kelalan mempunyai potensi untuk dikomersialkan secara meluas sekiranya mendapat suntikan teknologi pertanian yang berterusan.

Ujarnya, proses kacukan baka-baka yang sedia ada dengan baka liar atau baka dari luar negara pasti membawa kepada penghasilan baka yang lebih baik.

“Buat masa ini kacukan hanya dilakukan antara anak-anak pokok epal liar dengan empat baka sedia ada. Buah berkualiti terbaik biasanya hasil kacukan tiga jenis baka,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, proses itu tidak akan tercapai dalam jangka masa yang singkat. Sebaliknya memerlukan penyelidikan dan kajian pertanian yang mendalam.

Walaupun terpisah jauh dari dunia luar, Nur Atikah dan rakan-rakan yang masih mempunyai masa sebulan di Ba’ Kelalan mengakui kesempatan ‘mengenali’ pokok-pokok epal di situ sebagai pengalaman yang sangat berharga.

“Kami menghabiskan masa sepanjang hari di kebun epal Pak Tagal. Walaupun ladang ini tidaklah terlalu luas, tetapi banyak perkara yang boleh kami pelajari,” akuinya.

Asal-usul epal di Ba’ Kelalan

Menyelusuri sejarah epal di Ba’ Kelalan menemukan Mega dengan Andrew Balang Paran atau lebih dikenali sebagai Pak Balang. Nama beliau terpahat sebagai individu yang bertanggungjawab membawa masuk epal ke tengah-tengah Kepulauan Borneo itu.

Menurut Pak Balang, segalanya bermula pada tahun 1974 semasa beliau melawat Batu Malang, Indonesia.

“Ketika berada di sana saya lihat pokok-pokok epal tumbuh segar dengan buah-buah yang ranum. Terlintas di fikiran untuk membawa pulang dan menanamnya di kebun saya.

“Kira-kira 10 pohon ‘diseludup’ melalui lapangan terbang Miri ketika itu. Puas juga saya memujuk pegawai kastam di lapangan terbang untuk ‘melepaskan’ pokok-pokok berkenaan ketika diperiksa,” ujarnya.

Selepas beberapa tahun, epal yang ditanam dan dibaja dengan tahi lembu itu mula membuahkan hasil. Tetapi ketika itu buahnya agak kecil, masam dan pohonnya mudah diserang penyakit.

Bekas kakitangan kerajaan pertama di Ba’ Kelalan itu sempat membiak kira-kira 300 pokok epal sebelum menyerahkan ladang berkenaan kepada abangnya sendiri, Pak Tagal, yang menguruskan ladang sehingga ke hari ini.

Menurut Pak Balang, tugas yang dipikul abangnya tidak mudah kerana pokok-pokok epal berada dalam keadaan tenat akibat diserang penyakit. Malangnya juga pada ketika itu, jabatan pertanian tidak dapat membantu kerana mereka tidak tahu apa-apa pasal epal.

Menyedari pokok-pokok epalnya berada dalam keadaan tenat, Pak Tagal kemudian berangkat ke Batu Malang untuk mempelajari kaedah penanaman epal secara lebih lanjut.

Kini, Pak Tagal tersenyum bangga di atas setiap keringat yang dititiskan ke tanah ladangnya. Harapan beliau adalah untuk melihat lebih banyak ladang epal dibuka di bumi Ba’ Kelalan.

« Laman SebelumnyaLaman Berikutnya »