Agro - Info Buletin


wu_03.1

Sabry Ahmad (kanan) melihat jentera pembajak yang diterima oleh petani pada majlis Matching Grant di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beseri Padang Besar, Perlis, semalam.



 

PADANG BESAR 29 Okt. – Suami isteri yang terdiri daripada petani layak mendapat diskaun 50 peratus untuk membeli jentera dan peralatan pertanian berharga RM20,000 secara serentak di bawah program ‘matching grant’ atau geran sepadan.

Bagaimanapun, pasangan tersebut mesti menjadi ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan potongan separuh harga itu hanya layak diperoleh setiap lima tahun sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Perlis, Sabry Ahmad berkata, di bawah bantuan itu setiap individu hanya boleh membeli barangan berkenaan yang maksimum harganya RM10,000.

Katanya, kemudahan itu disediakan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam usaha melonjakkan keluaran hasil pertanian tempatan ke arah mengurangkan import.

Menerusi potongan harga 50 peratus itu, katanya, petani terlibat boleh mendapatkan mesin rumput, jentera membajak dua roda, pam air ke sawah dan mesin penyembur racun atau penyembur benih padi.

“Jika suami mahu membeli jentera membajak dua roda yang berharga RM10,000 untuk kegunaan di sawahnya, mereka cuma perlu membayar RM5,000 kerana separuh harga lagi dilunaskan oleh kementerian.

“Bagi mendapatkan mesin penyembur racun atau penyembur benih padi juga dengan separuh harga, ia boleh dibuat atas nama isterinya pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Jentera dan Peralatan Kecil di Bawah Program Matching Grant di PPK Beseri di sini hari ini.

Pada majlis itu, 34 petani menerima jentera dan peralatan kecil pertanian iaitu mesin rumput, jentera membajak dua roda, mesin penyembur racun atau penyembur benih dan pam air ke sawah berharga RM155,000 yang separuh daripada harganya telah dibayar oleh kerajaan.

Menyentuh faedah yang diraih oleh ahli PPK Beseri menerusi geran itu, Sabry menyatakan, sehingga kini bayaran separuh harga bagi jentera dan peralatan pertanian itu sudah dimanfaatkan oleh 120 ahli PPK berkenaan.

“Sejak bantuan geran sepadan ini bermula 2008, ahli PPK Beseri yang memanfaatkan bantuan ini ialah 120 orang. Harga sebenar barangan itu RM688,450. Disebabkan separuh harga dilunaskan kerajaan, petani cuma membayar RM343,225.

“Pembelian bagi 2009 itu pula hanya di peringkat kedua buat ahli PPK Beseri. Masih ada lagi ahli PPK ini akan membeli barangan berkaitan juga dengan separuh akhir untuk peringkat ketiga nanti,” jelasnya.

JERANTUT 30 Okt. – Penduduk di sini digesa memanfaatkan halaman rumah mereka dengan aktiviti berkebun menerusi pemberian Kit Bumi Hijau (KBH) yang diagihkan pejabat pertanian daerah masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee berkata, pemberian KBH antara strategi mengurangkan perbelanjaan harian selain menyuntik sikap bercucuk tanam di kalangan penduduk.

Langkah itu juga, katanya, dapat menggalakkan orang ramai makan sayur segar dan menambah pendapatan keluarga jika hasil tanaman boleh dipasarkan.

”Manfaatkan tanah lapang di kawasan rumah secara optimum untuk tanaman sayur-sayuran bagi menjimatkan perbelanjaan khususnya menyediakan keperluan makanan harian.

”Usaha ini sekali gus menjadikan halaman rumah dan persekitaran tempat tinggal dengan landskap yang indah dan hijau,” katanya ketika merasmikan Kempen Bumi Hijau di Taman Kelisa Emas, di sini semalam.

Pada majlis itu, Lee menyampaikan sebanyak 65 KBH yang lengkap dengan peralatan berkebun, baja dan anak benih kepada penduduk Taman Kelisa Emas.

Hadir sama Pegawai Pertanian Daerah, Mohd. Ariffin Saraila; Penghulu Mukim Pedah, Wan Shamsuri Wan Abdul Jalil; Pegawai Perpaduan Daerah, Tahar Musa dan Pengerusi Rukun Tetangga Taman Kelisa Emas, Shukri Abu Seman.

Menurut Lee, usaha Jabatan Pertanian menerusi pemberian KBH juga untuk menggalakkan penduduk memperbanyakkan pengeluaran bahan makanan sekali gus menambah pendapatan.

Katanya, amalan menghijaukan persekitaran dengan tanaman makanan menjadi kelaziman di negara Barat selain tarikan pelancong.

”Jangan mempersia-siakan KBH yang diagihkan Jabatan Pertanian dan jadikan ia (bercucuk tanam) sebagai amalan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Ariffin memberitahu, agihan KBH akan dilaksanakan di 21 kawasan penempatan di daerah ini membabitkan 1,300 peserta.

”Bagi peringkat awal, sebanyak 11 lokasi dipilih membabitkan 281 peserta,” katanya.

Katanya, kempen Bumi Hijau merupakan serampang dua mata yang bukan sahaja untuk menjimatkan perbelanjaan harian malah hasil tanaman boleh dipasarkan untuk menjana pendapatan keluarga.

KANGAR 31 Okt. – Industri ternakan ketam nipah melalui sistem ‘kondominium’ akan diperkenalkan di Perlis tidak lama lagi bagi memperluaskan kegiatan akuakultur di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Sabry Ahmad, berkata melalui sistem itu ketam nipah yang biasanya diternak dalam kolam akan diternak dalam laci khas bertingkat ala sebuah kondominium.

Beliau berkata, Perlis adalah negeri pertama akan melaksanakan projek ternakan itu secara meluas melalui kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan sebuah syarikat Al Taqif Aqua and Trading (Al Taqif).

Katanya, modal asas bagi ternakan ketam nipah itu ialah RM10,000 termasuk set kondominium yang mempunyai 252 laci ternakan dan setiap penternak boleh mendapat pulangan antara RM700 dan RM800 sebulan.

Sabry yang ditemui selepas majlis pelancaran industri ternakan ketam nipah oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu, berkata Al Taqif yang menjadi pembekal set kondominium itu akan mengadakan kontrak perladangan dengan para penternak bagi membolehkan syarikat itu membeli ketam nipah yang telah pun dituai.

Pengarah Urusan Al Taqif, Musa Osman berkata, syarikat itu menjadi peneraju ternakan ketam nipah kaedah kondominium atau Compact Crab Farming System dan kaedah itu telah dipatenkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Beliau yakin industri ternakan itu berdaya maju berikutan permintaan yang tinggi terhadap ketam nipah terutama sebagai makanan golongan elit di hotel terkemuka.

Sebelum itu, Dr. Md. Isa semasa melancarkan industri ternakan itu berharap penduduk Perlis memanfaatkan projek itu bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya, golongan ibu tunggal dan peserta program pembangunan rakyat termiskin (PPRT) digalakkan menyertai projek itu dan berharap mereka melakukannya secara bersungguh-sungguh.

Menteri Besar turut meninjau demonstrasi masakan berasaskan ketam nipah serta meninjau projek percubaan ternakan ketam nipah itu dalam sebuah bangunan di Dataran Usahawan, Kampung Bakau di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail dan Pengurus Besar PKENPs, Zulkifli Ahmad.

ag_02.1

Rohani Abdul Karim memberi makan ikan tawar yang diusahakan sebuah syarikat usahasama Malaysia-Norway, Trapia Malaysia Sdn. Bhd. di Tasik Banding di sini, baru-baru ini.



NEGERI Perak sememangnya cukup terkenal dengan pelbagai jenis ikan air tawar. Bagi ramai penggemarnya, ikan yang didapati dari sungai, tasik dan bekas lombong di negeri ini mempunyai kelainan daripada segi rasa jika dibandingkan ikan air tawar di tempat lain.

Ikan air tawar seperti kelah, temoleh, baung, kelabau, tengas, loma, tengalan, sebarau dan lampam sungai merupakan sebahagian daripada spesies yang sentiasa mendapat permintaan tinggi.

Untuk mendapatkan bekalan ikan air tawar tidaklah sesukar mana memandangkan ia banyak dijual di pasar-pasar serata negeri terutama di Hulu Perak iaitu pengeluar utama ikan pekasam.

Begitu juga dengan udang galah yang mendiami lubuk-lubuk di beberapa sungai seperti Sungai Perak, Sungai Kinta dan Sungai Kampung Dew di Kamunting, Taiping, Perak.

Keenakan ikan air tawar serta udang galah sungai ini menyebabkan permintaannya semakin meningkat walaupun sumbernya semakin berkurangan.

Permintaan yang tinggi terhadap ikan air tawar turut mendorong peningkatan harga sehinggakan boleh mencecah ratusan ringgit bagi setiap kilogram.

Namun sejak kebelakangan ini, ikan air tawar mulai diancam kepupusan malahan ada di antara jenis ikan berkenaan hanya boleh diperoleh di kawasan tertentu, itupun dengan bilangan yang sangat sedikit.

Berdasarkan kajian yang dijalankan penyelidik beberapa universiti tempatan, kini terdapat kurang daripada separuh jumlah ikan air tawar di semua sungai, tasik dan bekas lombong di Perak berbanding lima tahun dulu.

Hasil kajian berkenaan turut mendapati hanya beberapa kawasan di negeri ini yang masih menyimpan spesies seperti tengas, loma, tengalan dan sebarau.

Faktor pencemaran, pembuangan sisa toksik, penyeludupan dan penggunaan bahan kimia serta bom ikan dilihat antara punca pengurangan ikan air tawar.

Penurunan ketara populasi ikan jenis ini diakui sendiri beberapa orang nelayan. Masing-masing mendakwa usaha mereka kebelakangan ini langsung tidak memberi pulangan setimpal.

Abdul Razali Hashim, 42, berkata nelayan kini amat sukar untuk mendapat ikan air tawar seperti sebarau, kelah dan jelawat.

Jarang sekali nelayan sepertinya dapat menangkap ikan yang beratnya melebihi dua kilogram kerana ikan berkenaan semakin berkurangan.

”Biasanya saya mendapat ikan sebarau, kelah dan jelawat yang beratnya dalam dua kilogram sahaja.

”Dulu, mengail seharian sangat memuaskan tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ikan yang diperoleh hanya cukup makan sahaja,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Zainuddin Abu, 45, berkata kebanyakan nelayan di Tasik Temenggor, Gerik, kini terpaksa mendapatkan pekerjaan lain kerana ikan yang ditangkap tidak lagi mendatangkan pulangan lumayan.

Pihak berkuasa khususnya Jabatan Perikanan perlu memainkan peranan dalam mengelakkan ancaman kepupusan ikan air tawar namun bagi Zainuddin, sikap tamak manusia turut menjadi punca.

”Sejak dulu saya sekali pun tidak pernah mengambil anak-anak ikan atau ikan bersaiz kecil dari tasik. Namun saya percaya tidak ramai yang sanggup melepaskan semula tangkapan mereka itu.

“Apa yang saya tahu, konsep tangkap dan lepas ikan-ikan air tawar yang kecil atau masih anak tidak dipraktikkan. Atas sebab itulah anak-anak ikan terancam dan tidak sempat membesar,” katanya.

Bagi Abdullah Arbaini, 45, beliau terpaksa memastikan bekalan ikan tawar untuk restoran ikan bakarnya di Ipoh sentiasa mencukupi namun mengakui sejak setahun lalu, ia bukanlah satu tugas yang mudah.

”Sebagai sebuah restoran yang menghidangkan ikan bakar, saya perlu pastikan bekalan ikan seperti tilapia dan sebagainya mencukupi.

Pengarah Perikanan Perak, Sani Mohd Isa, ketika ditanya tentang isu ini mengakui kepupusan pelbagai spesies ikan air tawar di negeri ini memerlukan perhatian serius semua pihak sama ada kerajaan mahu pun orang awam.

“Pengurangan spesies ikan air tawar berpunca daripada pelbagai faktor tetapi kita tidak harus lupa permintaan yang tinggi terhadap hidupan itu turut mendorong pengurangan mendadak jumlahnya ketika ini.

“Kita juga bimbang jika ada spesies ikan yang pupus sebelum pihak berwajib berjaya menyelamatkannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Biarpun belum dianggap kritikal namun usaha berterusan mengatasi kepupusan ikan air tawar di Perak sedang dilaksanakan.

Selain mewartakan beberapa peraturan menangkap ikan di kawasan tertentu, Jabatan Perikanan Perak secara aktif menggiatkan usaha membangunkan baka induk dan mengeluarkan benih ikan air tawar melalui Pusat Perikanan Darat (PPD) di Banding.

PPD Banding yang dibina pada 1997 itu kini menjadi sebahagian daripada inisiatif dan komitmen berterusan kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini.

“Banding dipilih kerana ia cukup istimewa. Tasik Temenggor yang mengelilingi kawasan ini kaya dengan lebih 30 spesies ikan air tawar yang sudah tidak ditemui di tempat lain di negara ini.

“Ia kini menjadi pusat membangunkan baka induk dan mengeluarkan benih pelbagai spesies ikan air tawar seperti kelah, temoleh, baung, tengas, loma, tengalan, sebarau dan lampam sungai,” kata Sani.

PPD Banding yang beroperasi sepenuhnya pada 1 Nov 2006 juga berperanan sebagai pusat pengembangan yang memberi khidmat nasihat teknikal, pusat sumber maklumat dan rujukan.

Ia juga menggiatkan usaha memindahkan teknologi dalam pembenihan ikan selaras dengan pembangunan industri akuakultur negara.

Menurut Sani, proses pembenihan ikan di pusat ini dijalankan secara saintifik menerusi pembiakan aruhan iaitu proses yang melibatkan induk ikan yang belum matang sepenuhnya akan disuntik dengan hormon tertentu.

Jelas beliau, kaedah pembiakan aruhan biasanya digunakan untuk membiakkan ikan-ikan yang tidak dapat membiak di dalam sangkar.

“Ia bertujuan mempercepat proses kematangan dan ovulasi telur, meninggikan kemandirian (kadar hidup) anak-anak ikan, meningkat dan mempercepat pengeluaran benih ikan secara besar-besaran atau komersial serta memperoleh baka ikan berkualiti tinggi,” jelasnya.

Melalui teknik ini, Sani berkeyakinan kepupusan spesies ikan air tawar yang dihadapi ketika ini mampu dikawal bahkan beliau percaya, PPD Banding akan menjadi pemangkin pengeluaran ikan-ikan air tawar dalam beberapa tahun akan datang.

Apa pun, komitmen Jabatan Perikanan Perak diteruskan dengan pelaksanaan Pelan Pengurusan Tasik Temenggor yang bertindak memulihara sumber perikanan selain mengelak kepupusan ikan air tawar di tasik itu.

”Tasik Temenggor yang berkeluasan 152 kilometer persegi mempunyai keistimewaan tersendiri kerana beberapa spesies ikan air tawar yang terdapat di tasik ini sudah tidak ditemui di tempat lain.

“Melihat kepada kelebihan tasik ini, maka Jabatan Perikanan mewujudkan Pelan Pengurusan Tasik Temenggor kerana khuatir aktiviti penangkapan ikan menggunakan jaring dan pancing sekiranya tidak dikawal akan mengancam spesies ikan air tawar di sini,” katanya.

Di bawah pelan ini, Jabatan Perikanan telah memperkenal Zon Pemuliharaan, Zon Perikanan Rekreasi dan Zon Komersil.

Kata Sani, pihaknya sudah mula mengguna pakai Zon Pemuliharaan merangkumi bahagian utara Tasik Temenggor meliputi kawasan seperti Sungai Kejar, Sungai Tiang dan Sungai Gadong.

Pihak swasta turut memainkan peranan dalam memulihara spesies yang semakin pupus bahkan ada yang sanggup membuat pelaburan berskala besar semata-mata untuk memastikan ekosistem ikan air tawar Perak terus terpelihara.

Turut membantu usaha pemuliharaan ikan air tawar ialah konglomerat pembinaan dan hartanah terkemuka, MK Land Berhad yang sejak dua tahun lalu telah mewujudkan kawasan perlindungan bagi ikan itu.

Ini berkonsepkan penglibatan penduduk setempat, merangkumi masyarakat Orang Asli, yang akan mengawasi keseluruhan kawasan yang dikenal pasti itu.

“Dengan pertambahan jumlah spesies ikan air tawar yang kini semakin merosot populasinya, ia secara tidak langsung akan memberikan pulangan lumayan kepada penduduk setempat kerana harga pasaran ikan air tawar yang tinggi,” kata pengerusi MK Land Berhad Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar pada majlis pelancaran projek berkenaan baru-baru ini.

Di samping itu, usaha mengkomersialkan spesies ikan air tawar khususnya tilapia seperti yang dilakukan sebuah syarikat usahasama Malaysia-Norway, Trapia Malaysia Sdn Bhd di Tasik Banding, wajar dijadikan contoh kerana usaha itu secara langsung meningkatkan kapasiti pembiakan ikan berkenaan.

Satu keadaan agak ironi ialah walaupun menghadapi ancaman kepupusan, Perak ialah pengeluar utama negara dalam sektor akuakultur terutama ternakan ikan dalam sangkar bagi tilapia hitam dan merah, patin dan keli.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim baru-baru ini berkata, Jabatan Perikanan mensasarkan pengeluaran hasil akuakultur negara sebanyak 507,558 tan metrik menjelang tahun 2010 dan daripada jumlah itu, sebanyak 137,400 tan metrik pengeluaran dari Perak.

Kawasan ternakan perairan Tasik Temengor sahaja dijangka akan menghasilkan pengeluaran sebanyak 40,000 tan metrik setahun daripada aktiviti ternakan ikan dalam sangkar menjelang 2013, katanya. — Bernama

ag_01.1

Menggunakan mesin membolehkan kerja-kerja mengasingkan biji durian dilakukan dengan lebih mudah dan bersih.


RAJA buah, durian (Durio zibethinus L). adalah salah satu buah yang sangat digemari di kalangan rakyat negara ini. Aromanya yang menggoda, menjadikan buah ini menjadi popular dimakan segar.

Selain itu, isi durian diproses untuk menghasilkan bermacam-macam jenis makanan seperti dodol wajik, coklat, gula-gula, sos dan bahan perisa.

Bagaimanapun, apabila tiba musimnya buah menjadi terlalu banyak dijual di tepi-tepi jalan dan harganya akan merudum.

Pada masa sama, industri durian lebih tertumpu kepada penjualan buah mentah dan tidak ada mesin khas atau alat khas untuk pemprosesan secara besar-besaran.

Pemprosesan besar-besaran merujuk kepada bagaimana mengasingkan biji durian dengan isinya yang selama ini dilakukan secara manual.

Kerja-kerja ini memerlukan tenaga yang ramai dan mengambil masa yang lama dan rumit.

Di samping itu, pes durian yang diperoleh cara ini juga kurang bersih dn sudah tentu tidak menepati piawaian kebersihan makanan yang ditetapkan.

Oleh itu, selaku, peneraju dalam teknologi dan mekanisasi pertanian dan teknologi makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan satu inovasi mesin yang dikenali sebagai Mesin Pengasing Biji Durian.

Ciri-ciri mesin

Mesin dibangunkan untuk memekanisasikan proses pengasingan biji durian. Durian telah digunakan dalam penghasilan pelbagai produk makanan yang berperisa durian seperti dodol durian, ais krim, kuih dan sebagainya.

*Bahagian utama mesin ialah mekanisme drum yang diperbuat daripada jaringan rod keluli tahan karat. Drum yang berputar ini menggunakan prinsip daya emparan untuk melepaskan biji daripada isi tersebut.

*Sistem penyembur angin berkelajuan tinggi digunakan untuk membersihkan isu durian yang melekat pada rod-rod tersebut.

*Mesin ini hanya memerlukan seorang pengendali dan tidak memerlukan kemahiran tinggi untuk mengendalikannya.

*Mesin ini digerakkan oleh motor dengan kelajuan boleh laras.

*Bahagian-bahagian mesin mudah dipasang dan dileraikan serta mudah dicuci dan diselenggara.

*Pemprosesan boleh dilakukan secara berterusan untuk pengeluaran pes yang maksimum.

*Boleh memproses sehingga 150 kilogram (kg) isi (ulas) dalam masa sejam.

Penggunaan

*Pengendali memasukkan lebih kurang lima kg ulas durian ke dalam bekas (hopper) pengisian.

*Kemudian, mesin dihidupkan dengan kelajuan yang dimasukkan sederhana tadi akan berguling di dalam drum yang berputar

*Selepas lebih kurang lima minit, sebahagian daripada biji durian akan terkeluar dengan sendirinya daripada mesin ini bekas (hopper) outlet biji.

*Isi durian atau pes dikumpulkan dalam hopper outlet.

*Biji-biji durian yang tertinggal boleh dikeluarkan secara manual dan proses ini diulangi untuk ulas-ulas seterusnya.

Keistimewaan

*Mesin ini direka khas untuk pemprosesan is durian kerana kebanyakan mesin pengasing biji yang terdapat di pasaran di reka untuk pelbagai jenis buah, tetapi jika digunakan untuk durian, hasilnya tidak begitu memuaskan.

*Pes durian yang hasilkan tidak mengandungi serpihan biji-biji durian.

*Pes durian yang dihasilkan lebih bersih. Mesin inj mengelakkan berlakunya pencemaran pada pes, dengan meminimumkan pengendalian secara terus.

*Kadar perolehannya lebih tinggi berbanding penggunaan mesin pengasingan serbaguna yang terdapat di pasaran.

*Lebih kurang 60 peratus biji durian dapat dikeluarkan daripada mesin dengan sendirinya.

Potensi komersial

Mesin ini sesuai digunakan oleh usahawan kecil dan sederhana (IKS) yang juga berperanan sebagai sebagai peraih/penjual buah durian mentah.

Pemprosesan buah durian kini boleh dijalankan untuk dibekalkan kepada industri pemprosesan hasilan durian di pasaran.

Kos pengeluaran boleh dikurangkan kerana mesin ini sangat mudah digunakan.

wu_01.1

Sari Sidan menunjukkan dua botol nira yang sudah diperoses untuk minuman.


Setiap kali tiba Ramadan, nira nipah tidak ketinggalan mendapat tempat istimewa di kalangan para penggemarnya. Rasanya yang enak seperti air laici menjadikan nira nipah sangat popular di kalangan masyarakat Islam sebagai minuman berbuka puasa.

Disebabkan permintaannya yang tinggi, muncul ramai pengusaha nira nipah di kawasan ini bagi memenuhi kehendak pasaran.

Antara kawasan yang menghasilkan minuman tersebut ialah mukim Sungai Durian, Kota Setia, Sungai Ranggam dan Teluk Piai.

Nira nipah mula diperkenalkan di pasaran negeri Perak sekitar tahun 1990.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri ketika itu, Datuk Mohd. Nazri Abdul Rahim yang menghadiri satu majlis jamuan kerajaan negeri Kedah tertarik dengan rasanya lantas teringat terdapat banyak pokok nipah tumbuh meliar di mukim Kota Setia dan Sungai Durian di Hilir Perak.

Sekembalinya ke Perak, beliau telah mengarahkan Jabatan Pertanian negeri menghantar 45 penduduk dari kedua-dua mukim itu untuk mengikuti kursus singkat cara memproses air nira nipah di Sedaka, Yan, Kedah.

Bermula dari detik itu, air nira nipah menjadi perusahaan baru penduduk kampung negeri ini sekali gus menambah pendapatan mereka.

Sebelum ini, hanya daun nipah tua dijadikan atap sementara daun yang muda dijadikan rokok daun.

Khasiat minuman air nira nipah yang dikeluarkan daripada tangkai buahnya yang dicantas itu dikatakan boleh mengurangkan penyakit kencing manis, melawaskan perut, memudahkan membuang air kecil dan menurunkan suhu panas dalam badan selain bertindak sebagai minuman pemberi tenaga.

Selain diminum begitu sahaja, air nira juga boleh dijadikan manisan atau gula yang dibekukan selain bahan perasa dalam ais krim serta dicampurkan dalam pulut, kuih seri muka dan kuih talam.

Pun begitu, kebanyakan pengusaha lebih menumpukan kepada kerja-kerja memproses air nira untuk dijadikan minuman.

Seorang pengusaha nira nipah, Sari Sidan, 49, berkata, ada beberapa pantang larang sebelum seseorang itu mengambil nira nipah.

Antaranya, mereka tidak boleh bercakap besar, tidak boleh memakai minyak wangi dan memastikan badan sentiasa berkeadaan bersih.

”Sesiapa yang nak ambil nira tak boleh pakai minyak wangi dan bercakap perkara tak baik apabila berada di sisi pokok nipah, nanti nipah mogok tak mahu keluarkan nira ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sari berkata, harga bagi segelas nira nipah dijual RM1.60 manakala RM2.50 untuk setiap satu botol yang bersaiz 500 mililiter.

wj_03.1

GOLONGAN wanita Gerakan Persatuan Wanita Felda Maokil 1, Segamat, menjalankan aktiviti membuat tauhu sebagai punca pendapatan sampingan.



SEGAMAT 11 Sept. – Jika golongan lelaki sibuk di ladang mengerjakan tanaman kelapa sawit atau getah, kaum ibu di Felda Maokil 1 turut mempunyai aktiviti sampingan untuk meningkatkan pendapatan keluarga.

Bernaung di bawah Gerakan Persatuan Wanita Felda Maokil 1, seramai lima orang kaum ibu di tanah rancangan itu kini aktif mengusahakan perusahaan membuat tauhu.

Menurut salah seorang pengusahanya, Janariah Kimun, 47, perusahaan itu baru sahaja dimulakan pada akhir tahun lalu dan ia merupakan salah satu program ekonomi kepada masyarakat Felda.

”Idea untuk memulakan perusahaan ini memang sudah lama difikirkan kerana memang ada keperluan bagi masyarakat untuk mendapatkan tauhu yang diyakini halal.

”Untuk itu, kami telah menyertai kursus membuat tauhu yang dianjurkan di Felda Pemanis dan dari situ kami mula belajar dan membeli dapur serta peralatan,” katanya.

Pada masa ini, mereka mampu memproses sebanyak 30 kilogram kacang soya untuk menghasilkan sebanyak 500 keping tauhu, katanya.

”Alhamdulillah, permintaan untuk hasil keluaran kami ini mendapat sambutan yang menggalakkan.

”Kami berhasrat untuk turut memasarkan produk tauhu ini keluar dari gugusan Felda Maokil,” katanya.

Selain itu, Janariah turut berterima kasih kepada pihak pengurusan Felda dan Jabatan Pertanian kerana telah banyak membantu dalam memberi galakan dan ilmu kepada pihaknya dalam menjayakan perusahaan itu.

PENGELUAR dan pembekal kurma serta makanan import terkemuka, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob), menjangkakan pertumbuhan jualan 20 peratus setiap tahun menerusi kompleks kilang barunya di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, yang beroperasi sejak Januari tahun ini.

Pemilik dan pengasasnya, Datuk Yusuf Taiyoob, berkata dengan memiliki kilang serba canggih di tapak seluas dua hektar itu membabitkan pelaburan RM25 juta, syarikatnya boleh menyimpan jumlah stok makanan sejuk beku lebih tinggi bila-bila masa menggunakan teknologi moden.

Secara tidak langsung, katanya, ia juga dapat mengurangkan kos operasi syarikat yang selama ini terpaksa menyewa gudang bagi menempatkan stok dan bekalan dalam kuantiti besar.

“Kilang ini mampu menempatkan 7,000 tan atau 400 kontena stok makanan sejuk dan kering pada satu-satu masa, yang diimport dan diproses semula dengan jenama Yu Ta singkatan nama Yusuf Taiyoob.

“Ia menjadikan kilang ini sebagai pusat pengeluaran dan pembekalan bahan makanan basah dan kering terbesar di utara Semenanjung sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura,” katanya.

Yusuf berkata, pihaknya merancang membina kilang baru bersebelahan kilang sedia ada di Bukit Minyak yang mampu menampung lebih 15,000 tan stok makanan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pembinaan kilang itu akan membabitkan kos pelaburan kira-kira RM20 juta di tanah seluas 2.8 hektar sekali gus. Ia mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Mengenai persiapan syarikat memenuhi permintaan bekalan kurma dan produk makanan lain pada Ramadan dan Aidilfitri ini, Yusuf berkata, sebanyak 3,000 tan pelbagai jenis kurma diimport untuk pasaran negara ini.

Ia tidak termasuk produk makanan lain seperti bahan mentah untuk membuat kuih dan masakan seperti rempah-ratus dan kacang serta makanan kering yang diimport dan diedar secara borong kepada lebih 3,000 pengedar di seluruh negara.

“Syarikat mencatatkan pertumbuhan jualan 20 peratus setiap tahun dan didorong faktor pelanggan kami yang mengetahui kualiti produk kami yang bermutu dan dijual pada harga berpatutan,” katanya.

Bagi menambah nilai produknya, beliau berkata, syarikat membuka kedai konsep dikenali sebagai Souq Al-Arabia di Lebuh Pantai, Pulau Pinang baru-baru ini yang menjual semua jenis barangan keluaran Yusuf Taiyoob secara eksklusif.

Sekurang-kurangnya empat lagi cawangan kedai seumpama itu akan dibuka di Kuala Lumpur dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, pembukaan kedai konsep itu membabitkan kos pelaburan kira-kira RM300,000 dan bergantung kepada lokasi selain perlu memiliki stor simpanan sejuk bagi menyimpan stok bekalan.

SEKALI makan, pasti hendak lagi! Itulah kata-kata tepat untuk menggambarkan keenakan keju mozzarella buatan tempatan yang dihasilkan daripada susu kerbau dipercayai yang pertama di negara ini.

Produk itu yang dihasilkan di sebuah premis terpencil, Friendly Farms Sdn Bhd (Friendly Farms) di Kampung Nyior Chabang, Langkawi, Kedah semakin mendapat perhatian ramai selepas pertama kali diperkenalkan akhir tahun lalu.

Rahsia keju mozzarella diminati ramai walaupun usianya belum genap setahun, terutama selepas mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis mengenainya di dalam blognya yang popular www.chedet.com.

Diusahakan bersama oleh Michael Bruschi, 53, dan isterinya, Norzana Ghazali, 25, keju mozzarella mendapat permintaan tinggi daripada hotel terkemuka sekitar Langkawi, termasuk Four Seasons Resort Langkawi dan The Datai Langkawi.

Bruschi, ahli perniagaan berasal dari Itali yang berpengalaman dalam pembuatan keju berkata, pada peringkat permulaan Friendly Farms lebih menumpukan kepada aktiviti menjual daging halal dan organik.

“Bagaimanapun, selepas melihat pasaran keju mozarella boleh berkembang di negara ini, kami mengusahakannya secara kecil-kecilan sebelum ia kini muncul sebagai produk utama Friendly Farms.

“Selain keju mozarella, kami memasarkan ‘fior di latte’ (produk makanan diperbuat daripada susu lembu) dan potongan daging di bawah jenama sama.

“Semua produk kami dihasilkan secara buatan tangan di premis sendiri yang beroperasi dalam kampung tradisi Melayu dengan menggunakan tenaga kerja daripada penduduk tempatan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, keju mozzarella dari Friendly Farms turut menjadi pilihan utama ekspatriat di Langkawi, termasuk yang tinggal di kapal persiaran mewah di Telaga Harbour Park.

Sementara itu, Norzana yakin keju mozzarella dihasilkan syarikatnya mampu berkembang ke peringkat antarabangsa kerana kualitinya lebih baik, termasuk jika dibandingkan dengan produk pengeluar utama mozzarella dunia, Itali.

“Selepas mencuba, ramai tidak percayai mozzarella sebaik ini boleh dihasilkan daripada susu kerbau yang diternak di negara ini, dan sejak itu permintaan hampir tidak henti-henti dan bertambah setiap hari.

“Sehingga kini kami mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 kilogram mozzarella sehari dan ia bergantung kepada bekalan susu kerbau dari Taman Kerbau Langkawi milik Jabatan Perkhidmatan Haiwan berdekatan,” katanya.

Beliau berkata, keju mozzarella bersifat lembut dan berwarna putih serta boleh diparut untuk taburan serata, berstruktur serat, bersifat cair ketika panas, selain anjal apabila ditarik dan mempunyai bau serta rasa yang lembut.

“Kami berpegang teguh pada prinsip keju mozarella yang bagus hanya boleh dihasilkan daripada susu yang baik. Susu yang baik dihasilkan daripada kerbau ternak yang terawat dengan sempurna.

“Kami berbangga kerana berjaya menghasilkan keju bermutu dan lazat seperti keluaran negara lain, malah lebih baik lagi,” katanya yang yakin perniagaan berkenaan akan berkembang maju di Malaysia dalam tempoh terdekat.

Norzana berkata, mereka yang ingin mencuba keju mozzarella yang berkelembapan tinggi dan kerap digunakan dalam hidangan pizza boleh mendapatkannya terus daripada Friendly Farms dengan harga promosi antara RM100 dan RM150 sekilogram.

wt_02.1

Mohd. Ariffin Daud menunjukkan dua buah tukil yang selalu digunakan untuk menahan belut di kawasan bendang di Kampung Paman, Kemaman.



Demi sesuap nasi Mohd. Ariffin Daud, 40, dari Kampung Paman di sini tetap tabah melakukan pekerjaan menangkap belut meskipun kadang-kala ia sering dianggap jijik oleh sesetengah orang.

Beliau melakukannya kerana menyedari ia adalah pekerjaan halal selain mampu menambah pendapatan sekeluarga.

Menyedari hakikat itulah, setiap petang pukul 6.30 Mohd. Ariffin dengan beberapa batang tukil (sejenis alat tangkapan belut) meredah rumput ditepi bendang yang terletak tidak berapa jauh dari rumahnya untuk menahan belut.

Pada kebiasaannya beliau akan menahan sehingga 40-50 tukil di beberapa petak bendang dan juga tali air.

”Ini dilakukan kerana pada kebiasaannya belut keluar pada waktu malam untuk mencari makan.

”Tukil yang ditahan akan dilumur dengan ikan yang dibakar dan cara sedemikian mampu memikat belut berkenaan masuk ke dalam tukil yang ditahan.

”Tukil diperbuat daripada paip PVC yang berukuran lilitan 3 inci serta panjangnya 3 kaki,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Paman di sini baru-baru ini.

Untuk menangkap belut, Mohd. Ariffin yang lebih dikenali ‘Pak Pin’ di kalangan penduduk setempat berkata, tukil akan diletak pada petak sawah dengan mencondong tukil berkenaan.

Pada bahagian bawah tukil pula akan ditutup dengan plastik manakala bahagian lain akan ditebuk lubang kecil bagi membolehkan belut memasuki tukil.

”Belut kemudian akan meloloskan diri lantaran badannya yang licin apabila terhidu aroma ikan bakar didalam tukil berkenaan,” katanya.

Mohd. Ariffin berkata, tukil yang ditahan pada pukul 6.30 petang akan diangkat pada keesokan harinya mulai pukul 7.00 pagi.

Adalah menjadi perkara biasa setiap kali tukil diangkat beliau akan memperolehi belut seberat antara 10 dan 15 kilogram, adakalanya menjangkau hingga 25 kilogram.

”Pada kebiasaannya belut lebih suka bermain ditanah berpaya atau tali air yang berlumpur yang mengandungi rumput kering di dasarnya.

”Kawasan itu juga menjadi tempat permainan ikan kecil dan besar dan sekali gus menjadi makanan belut,” katanya.

Mohd. Ariffin menambah, selepas ditangkap beliau akan menjual belut di beberapa restoran dan kedai makan berhampiran.

”Setiap kilo belut saya jual dengan harga RM15.00. Setakat ini mereka berpuas hati dengan harga yang ditawarkan,” katanya.

Katanya, bagi menampung tempahan pelanggan yang semakin meningkat saya terpaksa bekerja lebih serta menambah lebih 50 buah tukir lagi.

”Alhamdulillah, setakat ini saya masih mampu untuk memenuhi permintaan pelanggan. Ini kerana dengan keadaan bendang yang begitu luas ini, spesies belut masih banyak di kawasan ini,” tambahnya.

Mohd. Ariffin menambah jika terdapat permintaan meningkat, pekerjaan menangkap belut dibantu oleh anak-anaknya.

Katanya, pembabitan anak-anak diperlukan kerana menyedari ia tidak mampu dilakukan secara keseorangan.

” Saya sebenarnya sering melatih serta menunjuk tempat tempat yang menjadi tempat belut bermain kepada anak-anak,” katanya.

Menurut Mohd. Ariffin kini anak-anaknya sudah mahir dengan tempat belut apatah lagi belut suka bermain dibendang dan tanah paya.

Mengenai khasiat belut, beliau berkata, ia boleh dijadikan sup, dagingnya manis serta berkhasiat.

Selain itu belut juga boleh membantu melancarkan perjalanan darah, mati pucuk dan juga mereka yang dihinggapi penyakit angin ahmar.

”Sesetengah penduduk di negeri ini melumatkan daging belut untuk dicampur dengan kuah laksa Terengganu.

”Ini kerana ianya begitu sesuai berbanding dengan ikan kerana kemanisannya,” katanya.

Bapa kepada 9 orang anak yang berusia antara 4 bulan hingga 20 tahun ini begitu yakin menahan tukir di bendang lebih baik daripada memelihara belut di kolam.

Ini kerana dia tidak perlu menghabiskan wang yang banyak untuk membeli makanan belut sekiranya belut dijadikan ternakan.

”Ada ketikanya selepas memperolehi belut pelanggan akan sampai untuk mengambil tempahan mereka atau atau membelinya,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau mempelajari cara menangkap belut daripada rakan rakannya ketika sama-sama tinggal di Kelantan.

Katanya, ia terjadi berikutan di negeri tersebut ramai penggemar belut manakala sebahagian lagi menjadikannya sebagai pekerjaan dalam kehidupan seharian.

GERIK 7 Ogos – Sebuah syarikat bertaraf bumiputera, Eco Tilapia Sdn. Bhd. (ETSB) melabur sebanyak RM4.1 juta bagi mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar di Tasik Temenggor di sini.

Pengarah Urusan ETSB, Mohd. Yussof Kassim, berkata, buat masa ini, syarikat mempunyai 600 sangkar bersaiz 96 meter padu setiap satu yang mampu mengeluarkan kira-kira 1,200 tan ikan tilapia merah dalam satu musim.

Beliau berkata, syarikat juga menghasilkan dua tan ikan tilapia setiap hari untuk dihantar kepada pelanggan tetap sekitar Gerik, Lenggong dan Ipoh.

”Kami juga turut menghantar bekalan ikan segar ke pasaran Singapura menerusi pembekal yang dilantik,” katanya ketika ditemui di kawasan ternakan ikan milik Eco Tilapia di Tasik Temengor, Banding, di sini semalam.

Mohd. Yussof berkata, ladang ternakan ikan dalam sangkar berkenaan beroperasi sejak 1 Ogos 1988 dengan 20 unit sangkar terbiar milik Jabatan Perikanan Perak.

Menurutnya, hasil tunjuk ajar pihak Jabatan Perikanan, beliau mula belajar menternak ikan tilapia merah dan berjaya mengeluarkan hasil dalam masa tiga bulan.

“Semuanya bermula sekadar suka-suka dan tambahan produk kepada pelancong yang datang ke chalet yang saya usahakan di Pulau Tikus, Tasik Temengor.

“Berikutan kejayaan projek ekopelancongan itu, saya berazam untuk memperluaskan lagi ternakan dalam sangkar.

”Pada masa itu, saya merupakan pengusaha pertama projek ternakan ikan tilapia merah dalam sangkar,” katanya.

Menurut Mohd. Yusoff, selain membantu kerajaan meningkatkan pengeluaran sumber bekalan makanan negara, projek berkenaan turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Katanya, sehingga kini, seramai 12 penduduk di sekitar Gerik dan Tasik Temengor diambil bekerja di syarikat berkenaan bagi memastikan pengeluaran produk berada dalam keadaan baik dan mampu memenuhi permintaan.

PETALING JAYA 12 Ogos – Kedai- kedai perniagaan runcit milik peniaga Melayu diancam kepupusan sekiranya tiada usaha dilakukan untuk menyelamatkan mereka.

Tinjauan yang dilakukan mendapati kira-kira 12,000 peniaga Melayu kini dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ untuk meneruskan perniagaan tersebut, kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Alattas.

Malah, tambah beliau, dianggarkan kira-kira 480 buah kedai runcit milik golongan berkenaan kini dalam proses dilelong.

Syed Ali berkata, peniaga runcit khususnya golongan Melayu tidak mampu lagi meneruskan kelangsungan operasinya setelah lebih 40 peratus jualan dalam pasaran dikuasai oleh pasar-pasar raya besar.

”Keadaan ini mungkin tidak berlaku sekiranya kerajaan mengawal penubuhan pasar-pasar raya besar di negara ini khususnya di bandar-bandar.

”Sekarang, yang menanggung akibatnya adalah peniaga kecil Melayu yang hanya mampu meraih pendapatan tidak lebih RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

”Sedangkan, pasar-pasar raya besar mampu meraih jualan sebanyak RM1 juta sehari,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lebih menyedihkan apabila kebanyakan peniaga runcit itu terpaksa bergantung kepada pasar-pasar raya berkenaan untuk mendapatkan bekalan barang kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding kedai borong.

”Kita ambil contoh, kalau peniaga membeli barang A dengan harga RM1 di pasar raya, sudah tentu dia akan menjual semula pada harga RM1.10.

”Jadi, macam mana peniaga hendak menjual barangan mereka kalau harga di pasar raya jauh lebih murah daripada kedai runcit?,” tambah beliau.

Syed Ali berkata, disebabkan masalah ini, perniagaan tersebut bukan lagi menjadi gelanggang perniagaan di kalangan kaum Cina, yang kini beralih kepada pasar-pasar mini.

Beliau berkata, dalam usaha menangani permasalahan itu DPMM telahpun mengusulkan cadangan dalam bentuk kertas kerja kepada kerajaan.

Katanya, kertas cadangan itu telah diserahkan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop empat bulan lalu.

Antara cadangan DPMM termasuk mahukan kerajaan memberi inovasi dan kreativiti baru kepada perniagaan tersebut dengan mengambil kira teras model ekonomi baru yang memberi fokus meningkatkan pendapatan peniaga-peniaga kecil.

Ini termasuk mewujudkan pusat borong bersepadu, gudang dan sistem pengurusan inventori untuk golongan berkenaan.

”Kita masih menunggu jawapan daripadanya. Jika langkah ini tidak dilaksanakan, peniaga runcit akan lenyap,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menaruh harapan agar kerajaan menghalusi cadangan itu bagi menyegerakan usaha membantu masalah perniagaan runcit Melayu yang semakin tenat.

Presiden DPMM itu juga melahirkan rasa kecewa kerana para pelabur asing diberi hak untuk memonopoli perniagaan peruncitan di negara ini dalam segala aspek.

Beliau mempersoalkan kewajaran pemilik-pemilik pasar-pasar raya besar di negara ini yang dibenarkan menyewa premis dan kiosk di dalam pasar raya pada kadar yang tinggi kepada peniaga tempatan.

Syed Ali berkata, di luar negara pun, pasar-pasar raya tidak dibenarkan beroperasi di bandar besar tetapi di Malaysia hampir setiap bandar dan pekan ada pasar raya.

wt_02.1

Fatimah Mat Hassan menunjukkan sebahagian asam gelugur yang dijemur berhampiran rumahnya di Kampung Masin, Pasir Akar, Besut.



BESUT 12 Ogos – Bak kata pepatah orang tua-tua dahulu ‘ikan di laut, asam di darat akhirnya bertemu juga di dalam periuk’.

Ternyata antara ikan dengan asam iaitu asam gelugur sejenis perencah masakan tradisonal yang paling digemari oleh suri rumah sejak dari dulu lagi sememangnya tidak dapat ‘dipisahkan.’

Sungguhpun begitu, asam gelugur yang sangat diperlukan untuk pelbagai jenis masakan seperti ikan singgang dan gulai kini dikatakan sukar diperoleh di kampung-kampung.

Ini kerana kekurangan orang ramai untuk mengusahakannya disebabkan pendapatan dari hasil buah itu tidak begitu lumayan.

Dalam hal ini, seorang warga emas, Fatimah Mat Hassan, 65, yang lebih dikenali ‘Mak Timah Asam Gelugur’ dari Kampung Masin, Pasir Akar di sini gigih memanfaatkan buah gelugur yang senang diperoleh di hutan kampungnya.

Buah gelugur yang gugur dari pokoknya selepas ia masak sudah tentu akan terbiar begitu sahaja jika tidak diambil untuk dibuat asam gelugur.

Fatimah berkata, walaupun pendapatan tidak lumayan, tetapi pekerjaan yang dilakukan secara sampingan amat menggembirakan.

Menurutnya, permintaan kaum suri rumah terhadap asam gelugur begitu menggalakkan mungkin disebabkan kepingan asam itu semakin berkurangan sekarang.

Beliau berkata, biarpun perisa makanan tradisi itu sukar diperoleh, tetapi ia tetap menjadi pilihan kaum ibu kerana asam tersebut lebih menyelerakan dalam masakan tertentu jika dibandingkan dengan perisa lain.

”Buah-buah gelugur yang masak itu dipotong secara kecil-kecilan atau dihiris secara kepingan untuk dibuat asam gelugur.

”Sebelum dijemur, kepingan gelugur itu dicelup dengan air garam supaya ia tahan lama dan biasanya asam gelugur ini dijemur antara dua atau tiga hari,” katanya yang mempunyai tujuh orang anak.

Warga emas itu menambah, buah gelugur itu seperti juga buah durian, rambutan dan duku yang diperoleh mengikut musim.

”Buah ini tidak ada sepanjang masa menyebabkan orang lain tidak berminat untuk mengusahakan asam gelugur selain ia sukar didapati di kampung kecuali di hutan,” ujarnya.

wu_01.1

JOHARABI Muhamad menunjukkan bungkusan ikan pekasam keluaran syarikatnya.



LENGGONG 16 Ogos – Apabila disebut ikan pekasam, perkara pertama yang pasti terlintas di fikiran kita ialah ikan air tawar yang mempunyai rasa masam-masam masin dan begitu enak jika dimakan dengan nasi panas.

Jika dahulu ikan pekasam hanya popular di kalangan penduduk di utara Semenanjung, kini ia semakin mendapat permintaan yang tinggi di kalangan para penggemarnya sehingga berjaya menembusi pasaran luar negara.

Di Perak, terdapat beberapa pengusaha Melayu yang terlibat dalam menghasilkan produk istimewa ini dan antaranya ialah Joharabi Muhamad, 35.

Menurut Joharabi, idea untuk mengkomersialkan ikan pekasam adalah atas dorongan ibunya, Zairom Che Wok, 60.

Pada mulanya kata ibu muda ini, dia belajar membuat ikan pekasam dan menjualnya secara kecil-kecilan tetapi sambutan menggalakkan yang diterima membuatkannya nekad untuk membesarkan perniagaan tersebut.

“Idea untuk menjual ikan pekasam timbul selepas saya meluahkan rasa bosan tinggal di rumah kepada ibu. Selepas berkahwin, saya berhenti kerja di kilang dan menjadi suri rumah.

“Idea daripada ibu yang memang pandai membuat ikan pekasam akhirnya menjadi sumber pendapatan kepada saya sekeluarga kini. Alhamdulillah, ikan pekasam yang dibungkus di bawah label ‘Pekasam Wanita Utara’ kini sudah menembusi pasaran China, Brunei dan Indonesia,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Pekan Kuak di sini baru-baru ini.

Jelas Joharabi, selain digoreng garing dan dimakan dengan nasi panas, menu makanan menggunakan ikan pekasam juga boleh dipelbagaikan seperti dimakan dengan pulut dan ubi kayu rebus.

Malah katanya, ikan pekasam juga boleh dimasak gulai lemak atau dijadikan serunding yang pastinya enak dimakan bersama ketupat.

“Pekasam sebenarnya boleh dijadikan rendang seperti juga ayam dan daging. Hanya buang tulang belakang ikan dan campurkan dengan rempah ratus serunding, rasanya sangat enak,” katanya.

Usaha Joharabi bertambah mudah apabila dibantu oleh suaminya, Meor Shahili Meor Hassan, 41.

Mereka memerlukan 300 kilogram ikan air tawar seperti ikan loma, sepat, lampam, puyu dan tilapia setiap hari untuk membuat pekasam.

Untuk menghasilkan ikan pekasam yang bermutu katanya, proses pertama yang perlu dilakukan ialah ikan disiang dan perutnya dibuang sebelum diletak garam dan diperam selama dua minggu.

Kemudiannya, ikan itu dibersihkan dan digaul dengan serbuk beras yang dikisar halus.

Selepas itu, ikan dimasukkan ke dalam tong besar yang ditindih dengan benda berat dan disimpan selama dua minggu lagi sebelum dibungkus.

“Sebenarnya, lagi lama ikan diperam, rasanya akan lebih enak. Ikan pekasam boleh disimpan lama kerana ia sudah diawet,” katanya.

Menurut Meor Shahili pula, untuk memastikan ikan pekasam yang dibuat ‘menjadi’ dan mempunyai rasa yang sedap, hanya ikan-ikan segar yang dibekalkan oleh pemborong akan digunakan.

“Saya sangat menitikberatkan kebersihan dalam proses menghasilkan ikan pekasam bagi memastikan produk yang dipasarkan benar-benar berkualiti.

“Ramai yang mengatakan ikan pekasam berbau busuk kerana diperam. Saya mahu mengubah persepsi ini. Jika kita menggunakan ikan segar dan menjaga kebersihan tempat menyediakannya, ia tidak akan berbau busuk,” katanya

Pekasam Wanita Utara dijual pada harga RM3.50 untuk 200 gram dan sekiranya pelanggan membeli secara pukal, mereka boleh mendapatkannya pada harga borong RM2.80 untuk 200 gram.

wt_01.1

Pemburu ikan kelah terpaksa berkhemah untuk menangkap ikan air tawar di lubuk Sungai Pengau, Hulu Tembeling, Jerantut, baru-baru ini.


JERANTUT 21 Ogos – Menangkap ikan air tawar sebenarnya tidak semudah yang disangkakan apatah lagi ia merupakan spesies liar yang hanya terdapat di tengah- tengah hutan rimba.

Bagi penduduk daerah ini, kegiatan menangkap ikan air tawar sering dilakukan di Sungai Tembeling dan Sungai Pahang kerana kedua-dua sungai tersebut kaya dengan spesies bernilai tinggi.

Memandangkan sebahagian Sungai Tembeling dan Sungai Pahang termasuk di dalam hutan Taman Negara yang merupakan kawasan larangan menangkap ikan, kegiatan itu tertumpu di anak-anak sungai yang terdapat di hutan Hulu Tembeling dekat sini.

Dalam kebanyakan ikan air tawar, kelah menjadi spesies paling popular berbanding ikan air tawar lain kerana keenakan rasanya dalam masakan.

Kelah biasanya diburu di lubuk dan air terjun berbatu yang terletak jauh di dalam hutan dan hanya ‘pemburu’ yang benar-benar kental mampu menghadapi segala cabaran yang sedia menanti.

Salah sebuah tempat yang menarik dan menjadi habitat ikan kelah di pedalaman Hulu Tembeling ialah di hulu Sungai Pengau.

Di hulu sungai berkenaan terdapat dua habitat ikan kelah, keli dan baung yang berkumpul di Lubuk Kayu Ara dan Lata Pegawai yang terletak sejauh lima jam perjalanan dari Hutan Lipur Sungai Pengau.

Kebiasaannya penduduk Hulu Tembeling memburu ikan kelah di anak sungai sebagai kegiatan masa lapang pada hujung minggu selain bersantai menikmati keindahan hutan sambil mencari buah-buahan hutan seperti taban, perah, bangkong dan berangan.

Pada musim kemarau, ikan kelah dan beberapa spesies lain keluar dari lubuk untuk mencari makanan yang terdiri daripada buah-buahan hutan seperti neram, maris, ara, perah, jambu air dan mata lembu yang gugur di permukaan air sungai.

Ketika itu, beribu-ribu kelah pelbagai saiz berkeliaran di lubuk Sungai Pengau yang menambat hati penggemar ikan air tawar.

wt_01.2

Seorang penduduk menunjukkan spesies ikan kelah seberat 10 kilogram yang diperoleh di Sungai Tembeling, Jerantut, baru-baru ini.


Tidak hairanlah penggemar ikan air tawar begitu teruja dan sanggup meredah hutan berhari-hari lamanya semata-mata untuk menangkap seberapa banyak spesies berkenaan yang cukup enak dimasak gulai asam tempoyak dan pais ikan.

Meskipun kelah amat enak, namun untuk menangkapnya bukan kerja mudah.

Aktiviti memburu ikan kelah perlu dilakukan bermula pada awal pagi dengan menyusur arus berbatu Sungai Pengau yang dingin airnya.

Pemburu kelah akan membawa joran, jala, anak panah dan penutup muka sebagai peralatan asas menangkap ikan berkenaan.

Perjalanan selama lima jam ke hulu sungai memang memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi.

Mengalami kecederaan di kaki akibat terpijak batu tajam dan terserempak dengan binatang buas yang keluar mencari makan merupakan perkara lumrah kepada pemburu kelah.

Tidak cukup dengan berjalan kaki, pemburu kelah terpaksa membuat rakit untuk menyusur di kawasan arus dalam dan memunggah peralatan makanan serta khemah untuk persiapan bermalam di hulu sungai di Hutan Lipur Pengau.

Menurut seorang pencari ikan, Baba Ibrahim, 56, kebiasaan pemburu kelah akan bergerak secara berkumpulan antara lima hingga sepuluh orang bagi tujuan keselamatan.

”Kita membawa makanan secukupnya untuk berkhemah antara dua hingga tiga malam bagi mencari kelah yang banyak di Lubuk Kayu Ara dan Lata Pegawai yang memang cukup dikenali di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Pengau baru-baru ini.

Menurut Baba, kaedah menangkap kelah mempunyai pelbagai cara seperti menyelam bergilir-gilir ke dasar lubuk dan celah batu untuk menembak haiwan itu dengan panah besi.

”Kaedah lain adalah dengan memancing dan menjala di kawasan tersebut,” katanya.

Seorang remaja, Zamrizal Zulkefli, 19, memberitahu, dia biasanya memburu kelah pada hujung minggu bersama rakan-rakan sekampungnya di Sungai Tembeling.

”Kepenatan kami menjelajah hulu Sungai Pengau dan berkhemah berbaloi apabila ada di kalangan kami mendapat kelah,” katanya.

Bagaimanapun, Zamrizal menjelaskan, atas dasar memahami peraturan pihak berkuasa, mereka melepaskan semula anak kelah ke lubuk sungai demi pemuliharaan jangka panjang dan mengekalkan ekosistem hutan berkenaan.

Rakannya, Shahradin A. Karim, 43, berkata, kelah, keli dan baung yang ditangkap dijadikan lauk-pauk untuk makanan pada waktu malam sambil bersantai menikmati suasana hutan rimba berkenaan.

”Kegiatan menangkap ikan juga dilakukan pada waktu malam kerana kelah dan beberapa spesies lain kerap keluar mencari makanan di Lubuk Kayu Ara pada waktu itu.

”Biasanya, kami menggunakan lampu suluh dan mengambil sikap berhati-hati kerana bimbang terserempak dengan ular,” katanya.

Shahradin menjelaskan, kelah yang ditangkap akan disalai serta diagihkan di kalangan rakan untuk dibawa pulang ke rumah bagi hidangan sekeluarga.

Bagi seorang penduduk Kampung Pengau, Ahmad Omar, 42, ekspedisi memburu kelah di hulu Sungai Pengau walaupun bertujuan berseronok dan bersantai tetapi ia perlu dirancang lebih awal untuk mengelakkan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Katanya, menangkap ikan air tawar memerlukan kecekalan, kesabaran dan kemahiran kerana pelbagai cabaran dan halangan yang bakal dilalui di tengah-tengah hutan rimba itu.

« Laman SebelumnyaLaman Berikutnya »