Salasiah pengedar burung puyuh

Dia yang juga salah seorang ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kawasan Ayer Melintas, Tasik Gelugor, Pulau Pinang kini mula terkenal sebagai salah seorang pembekal puyuh daging terbesar di negeri itu.

Salasiah ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini berkata, dia memulakan projek itu secara besar-besaran setelah menyertai LPP beberapa tahun lalu.

Pada peringkat permulaan dia hanya menternak kira-kira 30,000 ekor puyuh daging dan telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna di Pulau Pinang dan negeri lain.

Salasiah memberitahu, sebelum puyuh dibesarkan anak-anak puyuh dibeli daripada seorang pembekal di Kedah.

Bagi menjimatkan kos, di samping menternak puyuh daging, dia juga membela puyuh telur bagi mendapatkan telurnya.

Kemudian telur tersebut pula diproses melalui proses penetasan bagi mendapatkan anak-anak puyuh secara usaha sendiri.

Katanya, projek ini boleh menjamin masa depan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

”Jika kita buat sambil lewa sudah pasti ia tidak menghasilkan pendapatan lumayan” katanya.

Salasiah berkata, walaupun projek itu memerlukan kos yang besar berikutan kenaikan bahan makanan ternakan itu, ia masih menguntungkan.

Dengan menjual seekor puyuh daging dengan harga antara RM1.20 hingga RM1.80 kepada pemborong dia masih mendapat untung.

Menurutnya, walaupun bahan makanan ternakan itu meningkat daripada RM46 kepada RM57.70 setiap beg berisi 50 kilogram perniagaan masih menguntungkan.

Katanya, setakat ini dia berjaya menjual kira-kira 1,000 hingga 10,000 ekor puyuh sebulan dengan menghasilkan pulangan kira-kira RM4,000 bersih.

Dengan hasil jualan itu, Salasiah dapat meringankan beban keluarga di samping menyahut saranan kerajaan menggalakkan rakyat berjimat cermat.

”Jika setengah orang berminat dengan projek pertanian seperti sayur-sayuran, saya lebih berminat mengusahakan ternakan puyuh daging kerana ia menjamin masa depan,” jelasnya.

Dia juga menyimpan cita-cita untuk meneruskan projek itu biarpun berbagai cabaran yang datang bagi membuktikan wanita juga mampu menyahut seruan kerajaan meningkatkan keperluan makanan.

Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan bekalan daging secara terus bolehlah menghubungi Salasiah melalui talian 04- 5733549.

Tiga rakan usahakan makanan tambahan haiwan ternakan

MUAR 18 Jun – Minat yang mendalam terhadap projek haiwan ternakan mendorong tiga sahabat bergabung tenaga membuka sebuah kilang memproses makanan tambahan untuk lembu, kambing, ayam dan itik yang mula dipasarkan sejak tiga bulan lepas.

Salah seorang rakan kongsi itu, Abdul Latif Baba, 54, berkata, mereka menubuhkan syarikat Prestige Blitz Sdn. Bhd., yang kini memasarkan produk makanan tambahan itu di selatan tanah air.

Dua lagi rakannya yang terlibat sama ialah Yahya Embi, 49, dan Roslinda Sahar, 31.

Dengan bermodalkan RM50,000, mereka menyewa sebuah kilang di Jalan Jeram, Bakri di sini bagi menjalankan perniagaan makanan tambahan itu sejak April lalu.

”Proses menghasilkan makanan tambahan haiwan kambing dan lembu, ia dihasilkan daripada campuran sekam padi, bahan buangan minyak sawit, hampas kelapa, garam dan gula merah, manakala bagi makanan ayam dan itik, ia memerlukan campuran dedak ikan yang siap dikisar.

”Sebagai usaha permulaan, kami berharap permintaan terhadap makanan tambahan ini bertambah kerana bahan ini mendapat pengiktirafan dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kilangnya, di sini hari ini.

Kilang yang diusahakan oleh tiga sahabat itu adalah yang pertama dijalankan oleh usahawan Bumiputera di daerah ini dan mereka dibantu oleh tiga pekerja.

Menurut Abdul Latif, kebanyakan produk makanan tambahan itu dipasarkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selain ada juga yang dijual terus kepada penternak.

Bagi makanan tambahan untuk lembu, ia dijual pada harga RM16 seguni dengan berat 25 kilogram, manakala bagi makanan tambahan kambing, harganya adalah RM18.

Untuk makanan tambahan ayam dan itik pula, ia dijual pada harga RM38 seguni iaitu 25 kilogram.

Abdul Latif memberitahu, pihaknya turut menerima tempahan daripada pembeli dari luar daerah ini termasuk di Segamat, Melaka, Seremban dan Mersing.

”Dua buah mesin yang bernilai RM4,000 digunakan untuk memproses makanan tambahan ini iaitu mesin pembancuh yang mampu memproses sejumlah 120 kilogram bahan makanan pada sesuatu masa.

”Selain itu, mesin pembentuk makanan dalam bentuk kapsul yang memproses satu kilogram bahan untuk tempoh sejam.

“Melalui usahasama ini, saya bertindak menguruskan pemasaran bahan, Yahya pula menjaga operasi kilang, manakala Roslinda menguruskan pentadbiran,” jelasnya.

Bagaimanapun, Abdul Latif melahirkan kebimbangan berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini yang dijangka memberi kesan terhadap harga makanan tambahan itu dalam pasaran.

Katanya lagi, sejak memulakan perniagaan itu April lalu, pihaknya masih mengekalkan harga promosi yang ditawarkan.

Menurutnya, produk keluaran mereka mengandungi bahan-bahan terbaik untuk membantu menambahkan pembesaran haiwan ternakan kerana mengandungi tenaga, kalsium, zat besi, serat serta protein.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai makanan tambahan itu boleh menghubunginya di 012-3410222 atau 016-3418222.

Bapa tunggal ternak kerbau secara fidlot


SUMBER REZEKI: Ku Ramli sentiasa memberi makanan secukupnya kepada kerbau yang dipelihara secara fidlot.

Bekas penanam tembakau beri petua cara jinakkan ternakan sebelum diperah susu

Suatu ketika dulu kerbau diternak untuk dijadikan sebagai tenaga kerja membajak sawah atau kebun. Haiwan itu digunakan kerana ia dikatakan gagah untuk melaksanakan tugas berat selain boleh diajar memahami arahan tertentu.

Kini di negara kita haiwan itu tidak lagi digunakan untuk bekerja berikutan penggunaan teknologi moden yang menyaksikan kemasukan jentera mengambil alih tugas berat berkenaan.

Sejak era pemodenan sektor pertanian diambil alih jentera, kerbau semakin terpinggir apabila tidak ramai lagi penduduk menternak haiwan itu, berbanding ternakan lain, termasuk lembu dan kambing yang sentiasa mendapat tempat, sama ada untuk daging atau susunya.

Keadaan yang sama juga berlaku di negeri ini apabila kerbau yang suatu ketika dulu boleh diukur sebagai kekayaan seseorang, kini semakin pupus. Haiwan itu semakin sukar ditemui termasuk di kawasan sawah di luar bandar.

Bagaimanapun, kepupusan kerbau pada hari ini memberi rezeki kepada seorang penduduk Kampung Raja, Kodiang, yang menjadikan kerbau sebagai ternakan komersial dan menjadikannya sumber pendapatan utama keluarganya.

Ku Ramri Ku Chik, 54, yakin ternakan kerbau mampu memberi hasil pulangan yang lumayan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Beliau yang mula menternak kerbau dan lembu secara kecil-kecilan beberapa tahun lalu tidak pernah merasa jemu untuk meneruskan kegiatan itu kerana berpendapat ia mampu menjamin masa depan jika dilakukan dengan betul dan bijak mengambil peluang yang ada.

Kini beliau menumpukan kegiatannya dengan ternakan kerbau saja untuk menghasilkan susu memandangkan susu kerbau amat sukar diperoleh, sedangkan ia mempunyai penggemarnya sendiri.

“Susu lembu banyak di pasaran berbanding susu kerbau dan sebab itu saya menumpukan kepada penternakan kerbau.

“Kesukaran mendapatkan bekalan menyebabkan susu kerbau mendapat harga yang tinggi, berbanding susu lembu dan ia menjanjikan pulangan baik jika diusahakan secara komersial,” kata bapa tunggal kepada lima anak ketika ditemui baru-baru ini.

Ku Ramri berkata, menternak kerbau agak sukar sedikit berbanding lembu kerana haiwan itu biasanya garang dan memerlukan hubungan yang rapat antara haiwan itu dengan tuannya.

“Jika kita tidak mahir berkomunikasi atau menjinakkannya, agak sukar untuk memerah susunya kerana ia liar dan akan bertindak agresif,” katanya.

Beliau berkata, kerbau ternakannya dipelihara dalam kandang fidlot dan hanya membebaskannya selama dua jam setiap hari bagi membolehkan ia berkubang dalam lumpur kerana ia adalah sifat semula jadi haiwan itu bagi menyejukkan badannya.

“Kerbau tidak boleh dibiarkan berkubang lebih daripada dua jam sehari kerana ia akan menjejaskan berat badannya,” katanya.

Beliau berkata, sebelum mengambil susu semua kerbaunya itu perlu dimandikan terlebih dulu dan menggosok seluruh badan kerbau dan menyiramnya dengan air bersih supaya susu yang diperah bebas daripada pencemaran yang boleh menyebabkan ia cepat basi.

“Apa yang uniknya ialah sebelum susu diperah, kita perlu memberi peluang kepada anaknya menyusu dulu dan selepas itu baru boleh diperah.

“Jika tidak kerbau akan memberontak menyebabkan pengeluaran susu akan terjejas,” kata bekas penanam tembakau itu.

Sejak mengusahakan susu kerbau, pasarannya sungguh menggalakkan malah sering tidak mencukupi kerana permintaannya yang tinggi daripada penduduk setempat serta luar kawasan itu.

Beliau berterima kasih kepada Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang banyak membantunya mengembangkan projek ternakannya itu dan bercadang menambah ternakan kerbaunya bagi memenuhi permintaan yang sentiasa meningkat.

Sementara itu, Juruteknik Pembangunan Usahawan LTN, Mohd Nazri Romli berkata, pihaknya sentiasa membantu Ku Ramri dengan memantau perkembangannya setiap dua minggu dan memberi khidmat nasihat berhubung pengendalian serta sistem pemakanan haiwannya.

“LTN juga memberi penerangan mengenai cara membuat silaj (jeruk campuran batang jagung dengan gula merah dan garam) supaya bekalan makanan itu dapat disimpan selama dua tahun dan ini dapat mengurangkan kos makanan ternakan itu.

“Selain itu, LTN juga akan membesarkan lagi kandang kerbaunya yang kini sudah tidak mampu menampung kapasiti sekarang serta turut memberi mesin penghancur batang jagung bagi memudahkan pekerjaannya itu,” katanya.

Di samping itu, LTN juga akan mempelbagaikan lagi aktiviti penternak berkenaan dengan menjadikan najis kerbau untuk digunakan dalam usaha ternakan cacing bagi mengembangkan usahanya.

INFO: Ternakan kerbau Ku Ramri

  • Kerbau yang diternak adalah kerbau kampung
  • Setiap hari antara tujuh dan 10 kilogram susu dihasilkan dan dijual dengan harga RM10 sekilogram.
  • Setakat ini sebanyak 15 ekor kerbau diusahakan untuk mendapatkan susunya dan selepas tidak produktif ia boleh disembelih untuk dijual dagingnya.
  • Noriz komersialkan makanan dingin beku kuih bakar, baulu

    SEREMBAN 3 Jun – Kuih muih tradisional seperti kuih bakar dan baulu masih mendapat perhatian terutama dengan kegigihan usahawan wanita, Noriz Arizan Ahmad, 39, yang mengkomersialkan produk tersebut dalam bentuk makanan dingin beku segera sejak tiga tahun lepas.

    Hari ini Noriz boleh berbangga kerana produk berjenama Noriz keluaran syarikatnya itu selain mempunyai penggemar tersendiri turut menembusi di pasaraya tempatan seperti di Jusco S2 dan Starfresh di sini.

    Malah keuntungan yang diperoleh untuk kedua-dua produk tersebut juga cukup lumayan, sehingga RM10,000 sebulan bergantung kepada musim terutama pada musim perayaan dan kenduri kahwin.

    “Semuanya berkat daripada bimbingan daripada pihak kerajaan terutama Jabatan Pertanian dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang banyak menghulurkan bantuan membangunkan usahawan bumiputera seperti saya ini.

    “Selain menyediakan bantuan seperti mesin dan khidmat nasihat pihak terbabit turut bekerjasama mempromosikan produk ini,” katanya ketika ditemui di kilangnya di sini hari ini.

    Beliau menubuhkan Noriz Enterprise pada Ogos 2005 dengan hasrat untuk membangunkan ekonomi keluarga setelah lebih 13 tahun bekerja sebagai guru.

    Katanya, ketika masih bekerja, beliau didedahkan kepada penghasilan kuih bakar dan baulu secara tradisional oleh ibu dan ibu mertuanya yang mendapat sambutan hebat.

    “Saya kemudian terfikir alangkah bagusnya jika kedua-dua produk tersebut dikomersialkan dalam bentuk makanan dingin beku tentu ia mendapat perhatian terutama di kalangan warga kota.

    “Produk seperti ini boleh didapati dengan mudah dan dinikmati bila-bila masa saja. Saya memulakan langkah secara kecil-kecilan dulu sehinggalah saya memberanikan diri mengikuti pelbagai kursus berkaitan termasuk pemakanan untuk menambah kepakaran,” katanya.

    Menurut beliau, setelah benar-benar yakin dengan potensi produk tersebut, beliau berusaha mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian.

    “Bantuan yang saya peroleh adalah dalam bentuk mesin memproses makanan tersebut yang banyak membantu meningkatkan pengeluarannya. Seterusnya untuk menampung permintaan yang semakin bertambah, saya terpaksa menyewa sebuah lot kedai di Taman Tuanku Jaafar untuk dijadikan kilang,” katanya.

    Katanya, beliau boleh berbangga dengan usahanya itu kerana ia dilakukan dengan modalnya sendiri sebanyak RM30,000 tanpa memerlukan pinjaman daripada mana-mana bank.

    “Pada peringkat permulaan saya rasa eloklah jika mengusahakan perniagaan ini sendiri secara kecil-kecilan untuk melihat potensinya. Kini saya benar-benar yakin bahawa perniagaan ini mampu melangkah lebih jauh jadi saya berhasrat untuk memperbesarkan ia termasuk membeli mesin yang lebih baik dan besar untuk menampung pengeluaran yang banyak.

    “Saya bercadang untuk mendapatkan pinjaman daripada bank untuk membeli keperluan tersebut,” katanya.

    Tambah Noriz, perancangan masa depannya juga adalah untuk memastikan produk makanan dingin beku Noriz Enterprise memasuki pasar raya tempatan di seluruh negara.

    “Usaha ini memerlukan kesungguhan kerana ia membabitkan pengeluaran yang banyak dan kawalan kualiti yang baik. Semuanya boleh dilakukan jika saya mempunyai mesin yang lebih besar,” katanya.

    Selain mementingkan pengeluaran dan keuntungan, kata Noriz, kualiti juga penting demi memastikan produk makanan tersebut mendapat tempat di hati pengguna.

    “Kuih bakar yang dihasilkan boleh tahan sehingga lapan bulan daripada tarikh pengeluarannya walaupun begitu saya harus pastikan rasanya tetap enak seperti kuih bakar yang dijual segera.

    “Selain cara pembuatan dan resipi, cara pembungkusan turut memainkan peranan kerana ia dapat mengekalkan kesegaran produk,” katanya.

    Beliau juga berpendapat, dalam usaha memperkenalkan produk tersebut, promosi sentiasa memainkan peranan dan atas alasan itu beliau senantiasa menyertai program yang dianjurkan oleh jabatan atau agensi kerajaan.

    “Baru-baru ini saya menyertai MIHAS 2007 (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia) di Kuala Lumpur dan sambutan yang saya dapat memang sangat menggalakkan. Saya juga sering menyertai program Jabatan Pertanian dan Mara kerana saya mempercayai ia adalah langkah terbaik untuk mempromosikan produk ini,” katanya.

    Tinggalkan jawatan doktor kerana cendawan

    JERAI 2 Jun – Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Begitulah halnya dengan Dr. Shirley Ooi, 35, yang sanggup meninggalkan jawatan doktor di Kanada untuk kembali ke Gunung Jerai mengikut jejak langkah bapanya, Ooi Chooi Liang mengusahakan tanaman cendawan shiitake yang bermutu tinggi itu.

    Shirley, 35, yang memang meminati bidang pertanian sejak kecil itu tidak menoleh ke belakang lagi setelah menyedari bahawa cendawan shiitake mempunyai prospek yang tinggi dalam pasaran tempatan sekali gus berpotensi untuk menakluki pasaran dunia.

    Menurut Shirley, shiitake merupakan jenis cendawan yang paling digemari di seluruh dunia kerana kaya dengan pelbagai khasiat.

    “Shiitake mempunyai pelbagai asid amino dan lebih terkumpul berbanding dengan kacang soya, daging, susu atau telur.

    “Cendawan sekecil shiitake mengandungi banyak vitamin, mineral yang diperlukan untuk badan seperti vitamin A, B, B12, C, D dan Niasin menyebabkan ia dihargai kerana mempunyai pelbagai manfaat dalam bidang perubatan di samping rasanya yang lazat,” ujarnya.

    Selain itu, katanya, shiitake juga mengandungi lentinan iaitu agen anti-kanser dan sesuai digunakan sebagai terapi imun untuk kanser paru-paru, usus, serviks dan payudara serta dipercayai mampu merencat semula sel kanser daripada merebak.

    Tambahan pula, kata Shirley, shiitake dapat meningkatkan sistem imun dengan merangsang limfusit dan makrofaj melawan bakteria, virus, sel tumor dan toksin.

    Shirley memberitahu, sewaktu menetap di Kanada dia mendapati bidang pertanian di sana mampu menjadikan pengusahanya kaya-raya dan mereka amat menghormati orang yang menceburkan diri dalam bidang pertanian.

    “Bidang pertanian di sana lebih maju ke hadapan berbanding negara kita dan ramai golongan muda di sana berminat untuk menyertai bidang ini.

    “Jadi saya berharap para graduan yang masih tercari-cari arah kerjaya supaya jangan malu untuk menyertai bidang pertanian ini,” katanya.

    Dia masih mengingati bagaimana kesukaran yang dihadapi bapanya untuk mencari modal bagi memulakan penanaman shiitake sehingga terpaksa menebalkan muka meminjam daripada saudara-mara semata-mata kerana minatnya dalam bidang tanaman cendawan.

    “Ayah saya telah membuktikan bahawa dia berjaya menghasilkan cendawan shiitake yang terbaik di dunia hanya melalui proses pembelajaran sendiri tanpa mengikuti mana-mana kursus.

    “Dia mencuba dan terus mencuba tanpa erti putus asa dan belajar melalui buku serta Internet mengenai cara-cara penanaman shiitake dan akhirnya dia berjaya,” katanya.

    Oleh itu katanya, sesiapa sahaja yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut cara-cara penanaman shiitake, mereka boleh berkunjung ke ladang Agro-Bio Future di Gunung Jerai yang sentiasa terbuka kepada orang ramai.

    Nabil tekad tanam cendawan

    Meskipun bergelar tauke, Nabil Sanusi dan isterinya, Surina Saad tetap turun membantu memetik cendawan untuk dipasarkan.

    “Bukan senang hendak tanam cendawan,” demikian kata-kata yang terpacul dari mulut Nabil Sanusi, sebaik ditanya apakah beliau seronok dan tidak menyesal menceburi industri penanaman cendawan yang kini semakin popular itu.Kata-kata tersebut seakan satu ‘pukulan balas’ kepada mereka yang beria-ia ingin menceburi pertanian khususnya tanaman cendawan kerana membayangkan setiap helaian daun tanaman tersebut sebagai wang ringgit.

    Kepada Nabil, membayangkan sesuatu yang menguntungkan boleh menjadi pendorong dalam setiap perkara yang diusahakan tetapi dengan syarat, perlu mengusai ilmu yang berkaitan untuk menjamin kejayaan.

    Nabil, 37, yang kini terlibat dalam industri automotif pada mulanya hanya ingin mempelbagaikan sumber ekonominya dan memilih cendawan tiram kelabu untuk diusahakan.

    Pada 2005, beliau ditawarkan mengusahakan tanaman orkid di Johor oleh Persatuan Penanam Orkid tetapi atas faktor tertentu dan lokasi yang agak jauh, Nabil menolak tawaran tersebut.

    Namun tekadnya untuk mengusahakan sesuatu yang menguntungkan tidak pernah padam malah, sering terfikir melakukan sesuatu yang terbaik untuk masa depan.

    Takdir telah menentukan beliau menceburi perusahaan tanaman cendawan apabila dipertemukan dengan seorang rakan di Nilai, Negeri Sembilan yang telah mengusahakan tanaman tersebut terlebih dahulu.

    Beliau yang disarankan untuk mencuba bidang tersebut tidak menunggu lama, dan dengan sokongan keluarganya, Nabil mengambil keputusan untuk terlibat secara serius.

    Nabil tidak perlu menunggu lama, sama ada kerana terpaksa menubuhkan syarikat atau membuat pinjaman terlebih dahulu, tetapi seperti kebanyakan usahawan pertanian masa kini, dia terus sahaja memulakan usaha di atas sekeping tanah seluas kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) milik keluarganya di Jalan Ahmad Khushasi, Jenderam Hulu, Sepang, Selangor.

    PelaburanBerbekalkan wang simpanan, Nabil membuat pelaburan awal sebanyak RM200,000 untuk membina tiga rumah cendawan bersaiz 70 kaki x 30 kaki pada awal tahun lalu dan menambah empat rumah lagi secara berperingkat-peringkat.

    Beliau juga mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat khas, NAS Agro Farm pada Oktober tahun lalu untuk menjalankan operasi di kawasan tanah tersebut yang pada asalnya dusun buah-buahan.

    Tanpa meninggalkan kerjayanya sebelum ini, beliau menambah pelbagai kemudahan dan kelengkapan sebagai bukti kesungguhannya untuk terbabit secara serius.

    Nabil yang turut dibantu isterinya, Surina Saad, juga terpaksa menggaji tujuh pekerja termasuk seorang penyelia memandangkan tanaman cendawan memerlukan tumpuan dan kerja yang banyak.

    Ketika ini, dengan pelaburan keseluruhan kira-kira RM400,000, kompleks tanaman cendawan tersebut telah dikembangkan operasinya dengan tujuh rumah cendawan yang memuatkan kira-kira 200,000 polibeg. Rumah itu dilengkapi sebuah bilik suntikan benih, rumah menyediakan polibeg dan alat pengukusan dan alat mencampur adunan substrat (media).

    “Saya juga sedang menyiapkan sebuah makmal menghasilkan benih cendawan menggunakan teknik kultur tisu bagi mengatasi masalah pengusaha untuk mendapatkan benih yang baik,” ujarnya.

    Kelengkapan tersebut, kata beliau, dapat disediakan dengan bantuan peruntukan Jabatan Pertanian sebanyak RM10,000.

    Nabil menjelaskan, beliau akan memberi tumpuan kepada pengeluaran benih, sebagai satu cabang perniagaan baru dalam industri tanaman cendawan supaya pengusaha sedia ada mudah mendapatkan bekalan.

    Bagaimanapun katanya, pengeluaran benih yang boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat hanya akan dikomersialkan seawal-awalnya enam bulan daripada sekarang.

    Ini kerana, beliau perlu terlebih dahulu memastikan benih yang dihasilkan bermutu tinggi sebelum dipasarkan kepada pengusaha lain.

    Mengenai kemungkinan beliau akan menambah kemudahan sedia ada untuk meningkatkan pengeluaran, Nabil berkata, meskipun permintaan terhadap cendawan amat tinggi, tumpuan perlu diberikan kepada tanaman sedia ada.

    “Saya hanya mampu mengeluarkan 50 kilogram (kg) cendawan sehari sedangkan permintaan yang diterima sekurang-kurangnya 150 kg sehari dan kadangkala mencecah 200 kg,” ujarnya.

    Tambahnya, cendawan merupakan tanaman yang sensitif dan memerlukan kawasan bersih sepanjang masa.

    Penggunaan bahan kimia perlu dielakkan sama sekali tetapi pada masa yang sama kawalan penyakit perlu beri keutamaan.

    Katanya, penyakit utama cendawan ialah kulat hijau dan oren dan ia boleh dikesan dengan memerhatikan sebarang perubahan warna pada polibeg yang telah disuntik dengan benih.

    Cendawan katanya, boleh mengeluarkan hasil selepas dua bulan disuntik dan kemudiannya dieramkan.

    Sepanjang tempoh dua bulan setengah berikutnya, kutipan hasil boleh dilakukan enam atau tujuh kali.

    Setiap cendawan yang dipetik pula dianggarkan mempunyai berat antara 80 dan 100 gram.

    Pada masa ini, beliau memasarkan cendawan harga RM7 sekilogram dengan pembeli datang sendiri ke ladangnya untuk mendapatkan bekalan.

    Beliau juga akan cuba mengusahakan tanaman cendawan spesies abalone dan telinga kera yang merupakan cendawan yang sedap dan kenyal.

    Syarikat Nabil juga akan menawarkan kursus kepada mereka yang berminat mendapatkan pengetahuan mengenai aspek penanaman cendawan dan sebuah bangunan khas untuk tujuan itu sedang dibina.

    Dalam pada itu, beliau juga memulakan usaha awal menternak cacing untuk menghasilkan baja kompos dengan memanfaatkan semula bahan substrat yang telah digunakan.

    Sebuah bangunan khas disediakan untuk tujuan itu.

    Selepas lebih setahun beroperasi, usaha Nabil semakin menampakkan sinar yang diharapkan.

    Tetapi bagi mereka yang berminat, dia sekali berpesan, supaya bertahan kerana cendawan bukan satu tanaman yang mudah diusahakan.

    “Saya sendiri pernah dilanda pelbagai masalah terutama serangan penyakit yang memaksa polibeg yang mengandungi benih dimusnahkan selain serangan makhluk perosak,” ujarnya.

    Fakta cendawan

    Tidak mempunyai klorofil.

    lMembiak melalui spora yang bercambah menjadi hyphae (mycelia apabila jumlahnya banyak) yang tidak nampak dengan mata kasar.

    lHypahe yang bercambah membentuk primary mycelia dan kemudiannya secondary mycelia.

    lMengumpul nutrien daripada substrat.

    lBenih cendawan peringkat mycelia tumbuh atas substratnya sendiri seperti sekoi, barli gandum dan habuk kayu.

    lCendawan yang popular ditanam ialah tiram kelabu (Pleurotus sajor-caju).

    Nelayan buka industri keropok

    TEKUN: Antara pekerja Roslan melakukan kerja harian menyiang ikan di Kampung Nenasi Pantai di Pekan, Pahang.

    Perniagaan diusaha Roslan di Kampung Nenasi Pantai beri pendapatan lumayan, bantu jiran dapat pekerjaan sampingan

    Keperitan hidup sebagai keluarga nelayan yang bergantung sepenuhnya terhadap hasil tangkapan harian untuk perbelanjaan keluarga menyebabkan seorang anak nelayan di Kampung Nenasi Pantai dekat sini, terbabit dalam industri pembuatan keropok ikan tamban.

    Perniagaan dilakukan Roslan Awang, 44, dengan bantuan isterinya, Noreda Mustafa, 38, itu walaupun masih berkaitan kehidupan nelayan, memberi pendapatan lumayan kepada keluarga berkenaan dengan pendapatan kasar berjumlah kira-kira RM11,000 sebulan.

    Pendapatan itu nyata bukan saja mampu mengubah hidup Roslan sekeluarga malah turut membantu keluarga nelayan lain di sekitar kampungnya meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

    Roslan berkata, industri kecil-kecilan yang dilakukannya sejak 14 tahun lalu itu memberi pekerjaan kepada 12 penduduk kampung, khasnya isteri dan anak nelayan.

    Beliau berkata, dia membeli ikan tamban segar seberat satu tan berharga RM2,000 setiap dua atau tiga hari sekali, bagi menghasilkan kira-kira 5,000 batang keropok lekor, selain 20 kilogram keropok kering sehari.

    Katanya, produk makanan menggunakan jenama `Keropok Nenasi’ itu dihantar ke seluruh negara, termasuk Perlis, Johor dan Singapura.

    “Saya tidak mahu mewarisi kerjaya keluarga menjadi nelayan, sebaliknya berusaha terbabit dalam perniagaan untuk mengubah ekonomi keluarga tetapi bidang diceburi ini masih berkait rapat dengan kehidupan nelayan.

    “Saya bangga kerana perniagaan membuat Keropok Nenasi ini turut memberi peluang isteri dan anak nelayan di sekitar kampung ini menambah pendapatan dengan bekerja secara sambilan dengan saya.

    “Mereka bekerja pada waktu petang untuk membersihkan ikan tamban dan bayaran diberi mengikut jumlah ikan dibersihkan iaitu 40 sen bagi setiap sekilogram. Secara purata, mereka mampu memperolehiRM15 sehari dalam tempoh kira-kira empat jam bekerja,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

    Proses pembuatan keropok ikan tamban bermula dengan menyiang dan membersihkan ikan sebelum isi ikan disimpan dalam peti sejuk.

    Selepas disimpan selama 12 jam, isi ikan akan dimesin hancur dan digaul dengan tepung untuk dijadikan keropok lekor dan keropok kering.

    Roslan yang mendapat sokongan Mardi, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam memajukan industri itu, berkata permintaan terhadap produk keluarannya sangat membanggakan, malah adakalanya dia gagal memenuhi permintaan berikutan kekurangan bahan mentah.

    “Bagaimanapun, saya terkilan kerana terpaksa menghasilkan keropok ini di bangsal milik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang disewa RM400 setahun sejak 14 tahun lalu.

    “Saya sudah memohon mendapatkan tempat lebih selesa untuk memperluaskan lagi perniagaan ini tetapi belum mendapat maklum balas sehingga sekarang.

    “Sebenarnya, saya bercadang menghasilkan keropok beku untuk dipasarkan di seluruh negara tetapi terpaksa menyimpan hasrat itu kerana tiada tempat operasi yang luas,” katanya yang masih mengikuti kursus kemahiran dua kali sebulan.

    Bagi Semek Muda, 44, dia mampu memperoleh pendapatan hampir RM500 sebulan sejak bekerja di situ, tujuh tahun lalu.

    “Pendapatan ini boleh membantu keluarga kerana pendapatan suami sebagai nelayan tidak menentu.

    “Pada waktu petang, saya menyiang dan membersihkan ikan dan pagi esoknya pula, akan membantu memesin ikan untuk dijadikan keropok,” katanya.

    Rakannya, Habsah Muda, 54, berkata kerja sambilan membersihkan ikan tamban yang dilakukannya empat kali sebulan sejak dua tahun lalu, membolehkan dia memperoleh pendapatan tambahan bulanan kira-kira RM200.

    “Saya tidak bekerja dan peluang membantu Roslan mengusahakan perniagaan keropok ikan tamban ini, sekurang-kurangnya dapat mengisi masa lapang dan menambah pendapatan keluarga.

    “Biasanya, kami bekerja bermula jam 2 petang dan saya hanya bekerja empat kali sebulan,” katanya yang memiliki enam anak.

    Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nenasi, Kamaruzaman Nordin, berkata dia mula mengambil upah menyiang dan membersihkan ikan tamban di situ sejak tiga tahun lalu.

    Katanya, dia bekerja sambilan selepas tamat waktu persekolahan iaitu bermula jam 3.30 petang hingga 6 petang dan setiap jam 8 pagi hingga 6 petang pada Sabtu serta Ahad.

    “Saya tidak rasa jijik bergelumang dengan ikan setiap hari dan membuat kerja yang biasanya dilakukan wanita ini kerana saya anak nelayan.

    “Lebih baik saya melakukan kerja berfaedah seperti ini daripada membuang masa, malah wang yang diperoleh di sini, digunakan untuk membeli buku dan disimpan untuk membiayai kursus `catering’ yang akan saya ikuti kelak,” katanya yang juga anak kelima daripada lapan beradik.

    FAKTA: Keropok Lekor Nenasi

    # Keropok lekor (basah) yang dikeluarkan Roslan dijual kepada peniaga dan kantin sekolah di sekitar Rompin dan Pekan setiap hari.

    # Sering menerima jemputan mengadakan pameran produk berasaskan ikan daripada Jabatan Perikanan di seluruh Pahang.

    # Dalam tempoh sehari, 20 kilogram keropok kering dihasilkan selain 5,000 batang keropok lekor.

    # RM2,000 dibelanjakan untuk membeli satu tan ikan tamban segar untuk bahan asas Keropok Nenasi setiap dua atau tiga hari.

    Rezeki daripada madu lebah

    PERCAYA dengan falsafah, sesuatu perniagaan yang berjaya selalunya bermula daripada skala kecil menyebabkan Zulkurnain Yunus, 43, tidak pernah menyesal dan malu bermula dari bawah dan menumpukan pada pasaran tempatan sebaik mengambil keputusan muktamad bergelar usahawan.

    Bagi Pengarah Urusan syarikat pengeluar produk berasaskan madu lebah yang didaftarkan dengan nama TLH Product Industries ini, apa yang penting ialah menimba seberapa banyak pengalaman, membina jaringan perniagaan serta mengukuhkan imej syarikat dan memperoleh kepercayaan pelanggan, sebelum melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan.

    Wartawan ZUARIDA MOHYIN bersama jurufoto HALIM KHALID menemuramah Zulkurnain tentang produk terkini syarikat beliau semasa berlangsungnya Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia ke-5 (MIHAS 2008) di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    MEGA: Bagaimana saudara mula berkecimpung dalam dunia perniagaan dan terangkan serba ringkas tentang produk-produk dari syarikat saudara?

    ZULKURNAIN: Ketika bekerja sebagai Eksekutif Pembelian di PSC-Naval Dockyard Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, apabila ada masa terluang, saya selalu berjalan-jalan di sekitar Jalan Masjid India dan mengikuti perkembangan peniaga herba di situ dan yang paling menarik ialah peniaga madu lebah.

    Bertitik-tolak daripada minat saya berkaitan produk berasaskan madu, saya mula membuat kajian mendalam bersama pegawai-pegawai dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

    Berdasarkan pengamatan daripada peniaga-peniaga itu, didapati cara pembungkusan madu juga masih di tahap lama atau tradisional. Lalu timbul satu idea, bagaimana sekiranya ia dibungkus secara lebih komersial. Dari situlah bermulanya produk keluaran pertama kami.

    Disebabkan masih bekerja ketika itu, maka pembungkusan produk hanya dilakukan di rumah sahaja dan dibantu oleh isteri, Wan Azila W. Ismail.

    Antara produk kami ialah madu yang diimport dari Iran, Taiwan di samping madu tempatan (Madu Tualang), Madu Apple Cider, Honey Sticks dan terkini diberi nama Green Propolis.

    Nampaknya saudara telah banyak melabur untuk memasarkan produk paling baru syarikat iaitu TLH Green Propolis. Mengapa?

    ZULKURNAIN: Setelah lapan tahun berkecimpung dalam bidang pengeluaran produk berasaskan lebah dan menerusi pelbagai kajian, saya dapati ada satu produk yang amat berkesan bagi tujuan rawatan penyakit dan sebagai satu makanan tambahan bagi mereka yang mengutamakan kesihatan iaitu Green Propolis.

    Ia amat popular di Jepun, dan negara itu adalah pengimport paling besar di dunia.

    Disebabkan itulah saya memberanikan diri memperuntukan RM200,000 untuk kajian dan penyelidikan, pembangunan produk serta program pemasaran terancang. Kajian dan penyelidikan dijalankan sejak beberapa tahun lalu. Ini termasuklah aspek keselamatan penggunaan produk tanpa kesan sampingan.

    Selain itu, Green Propolis masih kurang dikenali masyarakat Melayu akan khasiat-khasiatnya dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia terutama bangsa Cina. Oleh itu, sebagai usahawan bumiputera, saya ingin mengetengahkannya demi kesihatan bersama.

    Apakah yang menjadikan produk TLH Green Propolis begitu popular dan apakah kelebihannya?

    ZULKURNAIN: Sejak dipasarkan, produk ini sebenarnya menjadi penantian mereka yang menginginkan satu produk semula jadi daripada lebah.

    Produk ini dijangka mencipta kejutan baru disebabkan oleh keberkesanan khasiat yang amat bermanfaat untuk kesihatan manusia.

    Di sini terdapat beberapa fakta daripada mereka yang telah membuat kajian terperinci mengenainya.

    Pertama: “Kandungan flavonoids di dalam propolis amat berkesan untuk mencegah pembiakan sel kanser”. (Laporan perubatan yang mengejutkan dunia perubatan, Persatuan Berita Ekonomi, Jepun tahun 1991).

    Kedua: “Tiada bakteria, fungus dan virus dapat hidup di dalam sarang lebah sekalipun diletakkan bangkai atau mayat reput”. (Kajian Profesor Dr. Remy Chauvin, Perancis tahun 1968).

    Ketiga: “Propolis mengandungi 149 komponen bioaktif , puluhan jenis flavonoids, vitamin A,B,F,C,E,H,P dan 10 jenis mineral, asid amino dan asid lemak”. (Kajian Universiti Oxford British tahun 1987).

    Propolis kebanyakannya dihasilkan oleh spesies Lebah Afrika, kerana spesies ini alah kepada jangkitan dan serangan berbanding dengan lebah jenis lain. Oleh itu, spesies lebah ini memerlukan propolis sebagai satu pertahanan untuk diri sendiri, koloni dan sarang mereka daripada sebarang bentuk jangkitan seperti bakteria, virus, kulat (fungus) dan sebagainya.

    Boleh dikatakan terdapat pelbagai jenis propolis di pasaran, namun Green Propolis adalah yang terbaik. Ia mengandungi 34 jenis flavonoids yang kaya dan unik berasal dari Minas Gerais, Brazil (kawasan bebas pencemaran Hutan Amazon).

    Disebabkan tingginya khasiat Green Propolis, syarikat mengorak langkah untuk mengetengahkan produk ini di pasaran Malaysia, di samping dapat memberi manfaat kesihatan kepada pengguna.

    TLH Green Propolis diekstrak dengan teknologi terkini dan terbaik tanpa menggunakan alkohol melalui proses penggunaan mesin yang canggih, Super-Fluid Critical Extraction iaitu kaedah yang menggunakan angin bagi menukar propolis mentah kepada cecair.

    Produk ini berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (MAL No: 04112727T), disahkan halal serta dihasilkan dari kilang yang bertaraf (Good Manufacturing Practice Product) GMP.

    Apakah strategi pemasaran dan bagaimana ia dilaksanakan?

    ZULKURNAIN: Sebagai permulaan syarikat akan memasarkan jualan sebanyak 5,000 botol dan melantik stokis dan pengedar di seluruh negara. Kempen mendapatkan stokis dan pengedar sedang rancak dijalankan. Buat masa ini sesetengah tempat dan negeri sudahpun mempunyai stokis ataupun pengedar terutamanya di Lembah Kelang.

    Untuk layak menjadi pengedar, mereka yang berminat hanya perlu menyediakan RM500 bagi mendapatkan sedozen pek TLH Green Propolis bersama risalah. Bagi stokis, stok pembukaan adalah 150 botol, disertakan pula risalah, poster dan bunting bagi tujuan promosi.

    Syarikat berharap, melalui kaedah ini dapat membantu usahawan sama ada sambilan atau tetap bagi meningkatkan pendapatan mereka.

    Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 03-5191 1516 atau e-mel: zulhoney@tm.net.my.

    Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang mengendalikan perniagaan berasaskan madu lebah ini?

    ZULKURNAIN: Pelbagai halangan dan cabaran yang timbul ketika mula-mula menjalankan perniagaan. Antaranya, lokasi pembungkusan yang terhad, masa yang singkat kerana pembungkusan dijalankan selepas waktu kerja.

    Dari segi pemasaran pula tidak semua pelanggan dapat menerima dengan mudah produk-produk keluaran syarikat pada peringkat awalnya.

    Apatah lagi, apabila tidak mampu menggaji pekerja, maka saya sendiri terpaksa memasarkan produk tersebut ke farmasi individu dan kedai-kedai ubat tradisional selepas waktu kerja dan pada cuti hujung minggu.

    Alhamdulillah, kini produk-produk kami semakin mendapat tempat di hati para pelanggan, di samping mempunyai pelanggan tetap.

    Coklat diabetis Zyraz

    AZIAN Razak bangga dengan produk coklat berkualiti yang diusahakannya.

    SETELAH tiga nama dikatakan tidak serasi, Azian Razak akhirnya memilih untuk menggabungkan nama ibu dan bapa tercinta sebagai jenama produk coklat keluaran syarikatnya, Zyraz.Nama itu bukan saja percantuman nama ibunya, Zaiton Mahmud dan bapanya, Razak Ujang, yang sedap disebut, malah memberi impak baik buat perniagaan yang dijalankan.

    Sejak mengambil keputusan untuk menjadi usahawan, Azian sememangnya tidak menoleh ke belakang lagi.

    Bahkan, beliau menggunakan segala pengalaman yang ada ketika berkhidmat sebagai eksekutif penyelidikan di sebuah syarikat pemprosesan minyak kelapa sawit, untuk menghasilkan produk coklat buatan sendiri.

    Kesungguhannya untuk menjadi usahawan telah meyakinkan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk memberi modal serta bimbingan perniagaan.

    Berbekalkan minat dan tekad, Azian menghasilkan coklat resipi tempatan untuk pasaran tempatan juga antarabangsa.

    Istimewanya, coklat yang dihasilkan diadun menggunakan resipinya sendiri dan dipertingkatkan menerusi kajian yang dijalankan bersama institusi berkaitan pembangunan makanan.

    “Sebagai usahawan saya tahu perniagaan memang banyak persaingan, justeru saya cuba mencipta kelainan dengan memberi nilai tambah supaya ia bukan sahaja lazat malah terkandung khasiat dan manfaat bagi yang menikmatinya,” jelas Azian ketika ditemui di Pameran Halal Antarabangsa, di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Ke arah matlamat itu, Azian yang baru tiga tahun dalam industri ini sedang dalam kajian untuk menghasilkan coklat yang mengandungi enzim.

    Di samping itu, beliau juga telah bekerjasama dengan Lembaga Koko Malaysia menghasilkan coklat diabetis.

    Menurutnya, coklat tersebut agak istimewa kerana menggunakan gula malthitol dan isomald, iaitu manisan bukan berasaskan gula tebu yang sesuai diambil oleh pesakit kencing manis.

    Azian yang pada mulanya hanya beroperasi dari rumah, kini bersyukur kerana diberi sebuah pusat inkubator oleh Jabatan Pertanian untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran dan kualiti coklat.

    “Sejak beroperasi di Pusat Pemprosesan Makanan di Pusat Pertanian Ampang Tinggi, Negeri Sembilan, saya berjaya menghasilkan 200 keping coklat bersamaan kira-kira 20 kilogram coklat sehari,” ujar graduan ijazah sarjana muda industri kimia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini.

    Jenama yang telah mendapat cop dagang ini dibungkus dalam pek menarik dan dipantau oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM). Ia boleh didapati dalam tiga kategori iaitu yang dipek 50 kilogram dengan inti badam, berbentuk bar dan yang mengandungi inti manisan di tengah-tengah.

    Dari segi pemasaran pula, Azian memilih untuk memasarkan produknya menerusi sistem ejen, selain mengikuti promosi bergerak di pusat membeli belah dan koperasi sekolah.

    Sebagai perancangan masa depan, Azian mahukan agar produknya diterima semua peringkat dan dapat menembusi pasaran kedai serbaneka di seluruh negara.

    Selain itu, Azian juga mengambil tempahan untuk hadiah korporat, majlis perkahwinan dan lain-lain lagi. Bagi yang berminat boleh menghubungi talian 017-2231546.

    Petua pengusaha lebah madu

    Cekal dan menghayati kerja memelihara serangga diamalkan Omar untuk terus kekal sebagai pembekal secara komersial

    BAGAN DATOH: Walaupun terdedah kepada sengatannya yang berbisa tetapi madunya yang penuh berkhasiat tidak menghalang 0mar 0sman, 64, terus setia sebagai pengusaha madu lebah sejak 22 tahun lalu.

    Pada peringkat awalnya, beliau hanya mempunyai 30 peti tempat pemeliharaan lebah, tetapi sekarang bertambah kepada 100 peti dan beroperasi di kawasan kebun kelapa sekeliling rumahnya seluas 2.4 hektar di Kampung Tebuk Imam, Tasir Selekoh dekat sini.

    0mar adalah antara 700 pengusaha lebah madu di Perak yang mula mengusahakannya sejak 1986 tetapi hingga sekarang hanya tiga pengusaha saja kekal dengan kerjaya itu.

    Dua lagi pengusaha itu masing-masing tinggal di Kampung Sungai Ular/Sungai Betul dan Kampung Tebuk Imam, Tasir Baruh mukim Rungkup.

    “Hanya kami bertiga saja yang terus kekal dengan kerja ini selepas melalui kursus asas dan kursus lanjutan,” katanya di ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

    0mar berkata, kecekalan dan penghayatan yang serius dalam kerjaya ini menjadi syarat mutlak untuk berjaya sebagai pengusaha lebah madu.

    “Kami mendapat bimbingan dan khidmat nasihat serta bekalan lebah daripada Jabatan Pertanian Daerah Hilir Perak (PPDHPk).

    “Saya tertarik hati menjalankan perusahaan ini kerana mendapati kawasan kebun kelapa sekeliling rumah saya sesuai untuk ternakan serangga ini,” katanya yang dibekalkan lebah jenis cerana yang banyak mengeluarkan madu.

    Malah, di sekeliling rumahnya turut ditanam pokok belimbing, kelapa, koko, pisang, jambu, gelam, bunga pengantin dan pokok kembang pagi yang menjadi sumber makanan lebahnya.

    0mar berkata, setiap peti mempunyai antara 800 hingga 1,500 ekor lebah termasuk 300 ekor lebah betina, sementara selebihnya terdiri daripada lebah jantan yang berfungsi sebagai pengawan ratu, pengeluar madu, pengawal ratu dan lebah yang bekerja membuat sarang.

    Katanya, setiap peti boleh mengeluarkan madu dalam tempoh sebulan antara 500 hingga 700 gram yang beroperasi dalam sarangnya dikenali sebagai `glodok’.

    “Glodok dimasukkan ke dalam mesin bagi mengeluarkan madunya dan selepas itu ia disimpan semula dalam peti untuk operasi pengeluaran pada bulan berikutnya,” katanya.

    Beliau berkata, antara khasiat madu lebah ialah boleh mengubati sakit lelah, kencing manis, lemah otot, lenguh badan, selain istimewa bagi wanita yang bersalin kerana memberi tenaga.

    0mar yang dibantu isterinya Zabedah Shariff, 56, menghasilkan kira-kira 30 kilogram manisan sebulan dalam dua jenis iaitu Lebah Madu Tani untuk 250 gram yang dijual pada harga RM12 sebotol, Lebah Madu Ginseng yang bercampur dengan 108 jenis rempah ratus berukuran 500 gram dijual dengan harga RM28 sebotol.

    Beliau memperoleh pendapatan antara RM1,500 hingga RM1,800 sebulan hasil jualan madu lebah.

    “Semua urusan pasaran saya serahkan kepada Jabatan Pertanian Daerah Hilir Perak, selain tujuh pengedar yang saya lantik bergerak di Lembah Klang dan Lembah Kinta,” katanya.

    0mar yang sering kali menyertai pelbagai pameran ekspo pertanian dan perdagangan peringkat negeri dan kebangsaan berkata, beliau belum bercadang menggunakan peralatan canggih untuk memproses madu lebah.

    “Saya berasa lebih selesa mengeluarkan madu lebah mengikut cara tradisional kerana ia lebih asli selain menguji ketabahan dan kecekalan kerana kerjaya ini memerlukan banyak kesabaran.

    “Saya bersedia memberi khidmat bimbingan kepada mereka yang berminat menjadi pengusaha lebah madu,” katanya yang boleh dihubungi menerusi telefon 05-6488928.