Makanan ternakan ruminan yang sedia untuk dipasarkan.


PENGLIBATAN syarikat tempatan dalam industri hiliran atau asas tani bukan sahaja membantu memperkasa sektor pertanian secara langsung tetapi mengelakkan pergantungan sektor tersebut kepada produk import.

Ini kerana, dalam isu bil import pertanian, satu daripada masalah menyebabkan nilainya terlalu tinggi kerana pergantungan kepada makanan ternakan.

Oleh itu, sebahagian usaha yang boleh dianggap dapat membantu mengurangkan pergantungan tersebut ialah menghasilkan sendiri makanan ternakan dalam negara.

Pengeluaran produk domestik untuk sektor pertanian sewajarnya diperkukuhkan, dan usaha ini wajar disokong terutama dalam kalangan mereka yang terlibat dalam industri.

Sebagai contoh, sebuah syarikat yang boleh dianggap baru ’setahun jagung’ dalam pengeluaran makanan ternakan ruminan dan ikan ini sudah mampu berdiri teguh menghasilkan produk domestik yang boleh dibanggakan.

Nuinfra Mutiara Feedmill Sdn. Bhd. (NMF) yang ditubuhkan pada Mei tahun lalu dan beroperasi di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Terengganu dan beribu pejabat di Kuala Lumpur kini memberi sinar baru dalam bidang pengeluaran makanan haiwan ternakan dengan mengeluarkan pelbagai produk.

Produk-produk tersebut ialah palet makanan kambing, lembu pedaging, lembu susu, ikan (untuk permulaan pembesaran dan pengakhir), molasses (gula merah untuk ternakan) serta garam bukit.

Menurut Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan NMF, Mohamad Ikmal Hisham Mohamad Rodzizan, NMF yang mempunyai modal berbayar RM1 juta ditubuhkan bagi membuktikan keupayaan bumiputera dalam menceburi bidang perindustrian di samping mewujudkan perusahaan yang berdaya saing.

”NMF merupakan pengeluar dan pemasar makanan ternakan ruminan dan ikan yang boleh meningkatkan mutu kesihatan dan prestasi ternakan.

”Selain itu, kami menjalankan penyelidikan yang yang teliti bagi menghasilkan produk yang lebih berkualiti,” katanya.

Kata beliau, penyelidikan yang dijalankan itu juga membuktikan bahawa pihaknya mampu menampung kekurangan bekalan bagi produk sedia pada masa kini.

Beliau berkata, kilang syarikat yang bernilai kira-kira RM7 juta siap dibina pada tahun lalu. Kilang beroperasi dengan tujuh kakitangan pengurusan dan 36 orang di bahagian operasi.

Aktiviti utama kilang adalah mengeluarkan makanan lengkap biofeed untuk ternakan ruminan dan ikan.

Produk kilang adalah menggunakan bahan-bahan seperti hampas isirung sawit (PKE), pelepah kelapa sawit (OPF), efluen kilang minyak sawit (POME) dan lain-lain.

Pemakanan ini juga dilengkapkan dengan organisma berguna atau beneficial microbes sebagai aditif.

Menurut Mohamad Ikmal Hisham, syarikat berkemampuan menghasilkan makanan ruminan sebanyak 50 tan sehari atau 18,000 tan setahun. Syarikatnya juga dalam rancangan menambah mesin pengeluaran bagi menampung permintaan yang tinggi.

Ketika ini, produk-produk yang dihasilkan dipasarkan ke seluruh negara.

Syarikatnya juga dalam usaha untuk mengeksport makanan ternakan ke Brunei dan Korea dalam masa terdekat, kata beliau.

Permintaan terhadap produk-produk mendapat sambutan kerana memperoleh sijil halal dan berkualiti.

Tetapi yang penting bagi beliau ialah makanan ternakan dengan jenama Mutiara Feed yang dihasilkan menggunakan formulasi khas dengan pemilihan bahan mentah berkualiti dan menjamin keseimbangan nutrisi yang lengkap.

Mutiara Feed juga mampu meningkatkan selera makan ternakan berdasarkan kepada bau dan rasanya, dan memperbaiki kecekapan pertukaran makanan (FCR) untuk memaksimumkan kenaikan berat ternakan.

Menurutnya lagi, makanan yang mengandungi mikrob itu juga menjadikan haiwan lebih sihat, sekali gus mengurangkan penggunaan ubat-ubatan, mempermudahkan sistem penghadaman serta mengurangkan stres.

Bagi makanan ternakan ikan, Bio Mutiara Fish pula, ia sesuai digunakan untuk ikan patin, keli dan juga tilapia dan mengandungi 32 peratus protein dan vitamin.

Mengenai makanan ikan ini, NMF mampu mengeluarkan sebanyak 700 tan sebulan.

Hasilnya, perusahaan ini diyakini dapat membantu menjana ekonomi Malaysia dalam bidang perindustrian dan memajukan penternak-penternak kecil seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kepada rakyat Malaysia.

NMF juga sedang merancang bagi membuka kilang memproses makanan ternakan dengan kapasiti yang lebih besar bagi menampung keperluan tempatan dan luar negara.

NMF juga menawarkan peluang kepada syarikat dan individu yang berminat menjadi pengedar bagi produk keluarannya. Sebagai mentor, NMF akan membuat pemantauan kepada semua pengedar-pengedarnya bagi memastikan produk keluaran sampai kepada pengguna dan penternak di seluruh Malaysia.

Maklumat syarikat serta senarai pengedar berdaftar boleh didapati menerusi laman web www.nuinframutiara.com.my dan emel: admin@nuinframutiara.com.my atau nombor telefon 04-41496664/09-6670333

Anak-anak nelayan melihat bapa mereka melakukan kerja seharian di Kuala Sungai Baru, Perlis, baru-baru ini. – utusan/Faizal Abu Hassan



KANGAR 30 Nov. – Kira-kira 20,000 anak nelayan Perlis yang terdiri daripada golongan muda memerlukan pelbagai latihan kemahiran secara berjadual terutama berkaitan perikanan laut dalam.

Langkah itu penting dalam usaha kerajaan memiliki tenaga mahir yang cukup, berbanding sekarang sebahagian daripada awak-awak atau pekerja bot bersandarkan kepada buruh asing.

Pada masa sama, anak-anak nelayan terutama golongan wanita pula memerlukan latihan kemahiran dalam industri kecil dan sederhana (IKS) yang berasaskan hasil laut sebagai pekerjaan bagi pendapatan isi rumah.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Ismail Kassim mencadangkan supaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan satu pengajian baru berkaitan perikanan.

Di peringkat awal, katanya, pengajian itu memadai berstatus sijil kemahiran yang berteraskan usaha melatih anak nelayan menjadi pekerja mahir dalam sektor perikanan laut dalam.

“Sehingga kini Perlis mempunyai kira-kira 4,000 nelayan termasuk awak-awak. Secara kasarnya ia mempunyai kira-kira 20,000 anak nelayan termasuk di Kampung Sanglang, Kampung Sungai Baru, Kampung Kurung Tengar dan Kampung Bintong di sini.

“Sehingga kini bilangan anak nelayan yang bekerja sebagai nelayan cuma 800 orang. Bakinya bekerja sendiri kerana tidak memiliki kemahiran yang berkaitan perikanan terutama perikanan laut dalam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Selain KPT, kata Ismail, tiga lagi kementerian yang wajar membantu golongan tersebut adalah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Di peringkat awal, ketiga-tiga kementerian itu wajar memperkenalkan kursus kemahiran berstatus sijil, diikuti peringkat diploma dan ijazah.

“Pusat bagi pengajian peringkat sijil itu memadai dibuat di setiap negeri yang mana lokasi tempat kursus itu berdekatan perkampungan nelayan seperti di Kolej Komuniti,” jelasnya.

Bagi mencapai matlamat tersebut, katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani wajar memainkan peranan lebih besar untuk memastikan permintaan tersebut dapat disegerakan serta selaras dengan permintaan.

Pada masa sama, kata beliau, KBS pula boleh memperkenalkan pengajian perikanan laut dalam dan pengajian IKS berkaitan sumber laut diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Kerajaan akan memberikan subsidi sebanyak 50 peratus daripada kos membeli sebuah motosikal tiga roda yang bernilai RM7,000 kepada mana-mana individu yang berminat untuk menceburkan diri sebagai usahawan tani.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, usaha itu selaras dengan usaha kerajaan yang mensasarkan jumlah peserta sebanyak 5,000 orang dapat dicapai pada tahun depan sekaligus dapat meningkatkan hasil pertanian negara.

“Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi usahawan motosikal tiga roda ini subsidi sebanyak 50 peratus akan kita berikan…jadi mereka hanya perlu membayar RM3,500 untuk sebuah motosikal itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan bulanan kementeriannya dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di sini, hari ini.

Usahawan motosikal tiga roda merupakan satu kaedah yang diwujudkan oleh Fama bagi membantu para petani memasarkan hasil tanaman mereka yang berskala kecil tanpa perlu mengeluarkan modal besar.

Dengan cara ini hasil tani akan dipungut oleh usahawan yang akan bergerak ke kampung-kampung dan kemudian akan dikumpulkan di Agrobazar kedai rakyat dan dari situ ia akan diagihkan kepada peniaga pasar tani dan pemborong. – Bernama

AZIZAH MAAT dan Ahmad Tumin di ladang ubi kayu mereka di Kuang, Selangor.



DARI kejauhan saya melihat, jejeran pohonan ubi kayu menghijau menyapa kedatangan kami. Pucuk-pucuk segar hijau muda itu melambai-lambai dicumbui angin, meliuk lintuk bagai menyatakan ’selamat datang’ ke daerah aman ini.

Dari jauh juga saya dapat melihat sepasang manusia, seorang ibu berkerudung labuh dan seorang anak lelaki berkopiah lengkap berseragam sekolah.

Itulah Azizah Maat, 44, seorang wanita separuh usia yang bagi saya nampak cemerlang wajahnya. Pada sekeping wajah beliau ada rona ceria dan ada sinar bahagia.

Dengan cekatan wanita pertengahan usia yang masih bugar itu mengayuh basikalnya sebelum membukakan palang pagar demi membolehkan kunjungan saya dan wakil media melewati perbatasan ladang ubi kayunya yang subur.

Saat kaki melangkah keluar dari perut kereta, hati saya dipagut rasa selesa. Nyaman berada dalam cempungan sebuah taman yang lapang saujana mata memandang.

Di hadapan saya ada rumah separuh batu separuh papan yang amat sederhana, manakala di kanan saya ada selautan pandangan sebuah ladang ubi kayu yang saujana terbentang.

Saya melemparkan pandangan ke kiri, ada kolam ikan bersaiz sederhana besar yang beralun tenang airnya dipuput bayu. Pokok-pokok pisang, serai dan herba ditanam mengelilinginya.

Saya bersama rakan wartawan dijemput masuk ke rumah. Kemudian Azizah bergegas meninggalkan kami buat sementara, suami beliau harus bersama dalam wawancara santai nanti. Suami beliaulah tulang belakang di sebalik keindahan ini.

Kemudian tidak lama, kami pun diperkenalkan dengan Ahmad Tumin, 56, seorang lelaki berbadan sasa. Wajahnya mempamerkan kecekalan, nada suaranya menyatakan ketegasan. Memang betul, alang-alang manusia pasti kalah mengerjakan tanah seluas 1.5 hektar itu.

Tanah yang asalnya berbanir dan berkematu, kini bersih dan subur dihuni ubi kayu. Tanah yang dahulunya tandus dan kering, kini subur dan basah dengan sumur dan kolam yang hening.

“Suami saya ini memang asalnya orang Kuang. Di sinilah dia lahir, membesar dan di sini jugalah dia memberikan baktinya. Bukan sekejap masa dihabiskan di sini, sudah 30 tahun suami saya berbudi kepada tanah ini,” kata Azizah membuka bicara.

Tutur lembutnya sedap teratur menjadi halwa telinga.

“Saya yang bangunkan kawasan ini. Dulu, semuanya hutan. Kini sudah ada ladang ubi dan kolam ikan. Dalam kolam itu, ada macam-macam ikan. Ada ikan keli, ikan tilapia, ikan kelah dan ikan lampam.

“Isteri sayalah yang rajin mengusahakannya. Kami akan tangkap ikan itu jika ada permintaan. Buat masa ini, usaha kami masih secara kecil-kecilan,” kata Ahmad.

Demi menepati maksud kedatangan, saya menyatakan kami perlu tahu kesusahan mereka. Ia akan dipaparkan sebagai iktibar kepada masyarakat dan yang lebih utama, kami mahu paparkan betapa gigihnya sepasang suami isteri ini membina keluarga.

Ini kerana, sedari awal Ustaz Masrul memaklumkan anak-anak pasangan ini boleh dikatakan semuanya berjaya.

“Benar, kami punya ramai anak. Sebelas orang semuanya. Anak pertama, Nurpaizah, 24, kini di Institut Pertanian Pulau Pinang, kedua Mohamad Fauzi, 23, (Universiti Teknologi Mara mengambil bidang perakaunan). Anak ketiga ialah Nurhayati, 22, belajar bidang perniagaan di Kolej Cybernatic, yang keempat Nurfarhana, 21, sedang mengikuti kursus perhutanan di Universiti Putra Malaysia.

“Anak kelima pula Mohamad Firdaus, 20 (Politeknik Shah Alam). Anak keenam kami Nurhidayah, 17, kini belajar di Maktab Rendah Sains Mara, Alor Gajah, Melaka.

“Anak-anak kami yang lain ialah, Nurhanisa, 15; Mohd. Fariz, 12; Mohd. Farid, 8, dan Mohd. Adib Farhan, 7, yang masing-masing belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuang dan Sekolah Kebangsaan Kuang,” kata Azizah.

Bagaimanakah puan dan suami menguruskan keluarga? Cungkil saya, dan dilanjutkan lagi, apakah saat paling meninggalkan kesan dalam sejarah hidup selama ini?

“Saya dan suami orang susah. Kekadang mengalir air mata ini mengenangkan kesusahan kami sekeluarga. Bayangkanlah, di ladang inilah usia 30 tahun kami hamburkan demi rezeki yang halal, dengan berbekalkan kudrat empat kerat tanpa sedikit pun bantuan luar,” ujar Azizah.

Tersisih

“Kami ini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Asalkan anak-anak dapat meneruskan persekolahan, itu sudah memadai,” sokong Ahmad.

Melihat kepada iras wajah Azizah, saya sudah mengagak beliau seorang wanita yang pastinya berlatar belakangkan baik-baik. Hal ini disahkan sendiri akhirnya oleh beliau, bahawa di dalam keluarganya hanya dia yang tersisih lantaran mencari alternatif sendiri dalam kehidupan.

“Sungguh pun kami susah, namun anak-anak sentiasa menjadi keutamaan. Biar kami kekeringan belanja, maklumlah anak-anak kami ramai; namun keperluan pendidikan adalah mengatasi segalanya,” kata Ahmad.

“Manalah ada kehidupan tanpa cubaan. Sebagai isteri saya merasai sendiri getirnya hidup dalam serba kekurangan membesarkan anak-anak. Belanja sekolah dan pendidikan sekarang semuanya memerlukan wang.

“Kadang-kala apabila tertekan dengan masalah, hanya kepada Allah sahajalah saya mengadu. Saya bersyukur, kerana suami saya juga amat mengerti. Beliaulah penguat semangat, beliaulah penawar duka di hati,” tambah Azizah.

Tidak cukupkah belanja harian hasil lading ubi? Bisik hati kecil saya dan ia seakan terhidu oleh si suami.

“Hasil jualan kian merosot sekarang. Ini ditambah dengan kenaikan kos barangan, termasuklah kos racun dan baja turut meningkat. Jika dahulu kami mampu untung hingga tiga sen setiap kilogram, kini untungnya sudah mengecil kepada satu sen.

“Kini saya hanya mampu membuat keuntungan bersih RM400 sebulan. Ini memang kecil berbanding segala usaha yang dicurahkan,” jelas Ahmad.

Tiadakah usaha lain?

“Itulah sebabnya kami cuba juga menternak ikan air tawar. Itu pun atas bantuan syarikat yang mengambil sebahagian tanah kami bagi pembinaan lebuh raya. Saya diberi pampasan RM30,000.

“Saya tolak wang itu dan minta diganti dengan dua kolam untuk memelihara ikan. Ini kerana, kos membina kolam ikan itu jauh lebih mahal berbanding RM30,000.

“Alhamdulillah, syarikat berkenaan nampaknya amat tahu menjaga hati kami, lalu mereka menghantar jengkaut besar membina dua kolam dan yang terharunya, wang RM30,000 itu tetap disalurkan juga kepada kami,” kata Ahmad lagi.

Bantuan anak-anak?

“Anak-anak memang ada yang menolong. Namun kami kurang galakkan, kecualilah kerja-kerja yang ringan. Kejayaan mereka di bidang pendidikan itulah yang kami harapkan.

“Alhamdulillah, setakat ini mereka memahami keadaan kami. Anak-anak sering berpada-pada dalam berbelanja. Mereka tahu mengukur baju di badan sendiri,” Azizah terus berkongsi cerita dalam kiasan penuh makna.

Namun yang paling utama bagi kedua insan ini ialah didikan agama. Kata Azizah, sedari awal setiap anaknya disemai dengan benih agama. Dengan benih iman yang disemai, mereka tidak akan hilang pedoman pada hari muka.

“Saya paling menekankan soal agama. Akhlak dan disiplin sentiasa dijaga. Solat berjemaah sentiasa diutamakan. Apabila agama dititik beratkan dalam kehidupan, mereka akan menjadi anak-anak yang bertanggung jawab.

“Mereka tahu hukum-hakam, tahu dosa-pahala dan tahu syurga-neraka,” jelas Azizah.

“Di samping itu, saya sentiasa memastikan anak-anak tidak mengabaikan segala kerja sekolah.

“Saya selalu berpesan kepada anak-anak, kita orang susah. Apabila susah, kita tiada sesiapa yang akan datang menolong melainkan diri kita sendiri,” tegas Azizah.

Alhamdulillah, keluarga Azizah dan Ahmad mula mendapat perhatian pihak Lembaga Zakat Selangor (MAIS) pada tahun 2003. Mereka dikategorikan sebagai asnaf miskin yang melayakkan mereka mendapat bantuan zakat secara menyeluruh.

Bukan sekadar bantuan kewangan dihulurkan, bahkan dana pembiayaan pendidikan anak-anak itulah yang diutamakan.

“Kami bersyukur kepada Allah SWT, LZS (MAIS) banyak membantu. Kini kami menerima RM500 wang bulanan di samping bantuan persekolahan anak-anak.

MELIHAT tanaman limau miliknya yang subur menghijau dan berbuah lebat di pinggir rumahnya, Siti Noor Yaacob seolah-olah menjalani terapi bagi penyakit kanser yang dihidapinya.



Lima tahun lalu, apabila diberitahu dia menghidap kanser dan sebelah payu dara perlu dibuang, Siti Noor Yaacob bagaikan tidak bermaya untuk meneruskan kehidupan.

Namun kebimbangannya mengenai penyakit itu lama-kelamaan hilang apabila melihat tanaman limau miliknya yang subur menghijau di pinggir rumah dan mula berputik dengan lebat.

Pemandangan itu baginya bagaikan terapi yang begitu menyegarkan dan menggembirakan hatinya.

Siti Noor, 50, dari Kampung Batu Karang di sini, merasakan harapan terus ada, apatah lagi apabila tanaman buah limau yang diusahakan kemudian mengeluarkan hasil lumayan.

Menganggap ia sebahagian terapi untuk terus menjalani kehidupan, dia makin tabah dan bersemangat kerana dalam tempoh Jun lalu hingga sekarang, dia memperoleh pendapatan melebihi RM20,000.

Dia dan suaminya, Che Ibrahim Che Hamzah, 54, mengusahakan kira-kira 200 pokok limau ‘chokun’ dan langkat’ di kawasan seluas 0.5 hektar yang dimulakan pada 1998.

Dia memilih untuk menanam limau chokun yang merupakan hasil cantuman limau langkat dan limau sunkist kerana pada masa itu merupakan spesies limau yang baru diperkenalkan untuk tanaman secara kebun.

Rasanya pula berbeza dengan limau biasa kerana masam-masam manis dan belum pernah ditanam kecuali di Kelantan.

”Saya berulang-alik ke hospital selama enam bulan bagi menjalani rawatan kemo, dan pada ketika itu tanaman limau mula berputik,” katanya.

Menurutnya, selepas sahaja menjalani rawatan itu, dia kembali menumpukan perhatian menjaga pokok limau itu yang diserang serangga perosak.

”Saya perlu memeriksa setiap pokok dan menyembur racun serangga supaya limau dapat mengeluarkan hasil dengan baik,” katanya.

Tumpuan kepada penjagaan itu, katanya, membuatkan dia lupa tentang penyakit yang dihidapinya itu.

Pada musim limau masak, katanya, setiap hari dia berada di kebun untuk memantau penuaian buah dan mengrednya untuk pasaran.

”Sepanjang masa berada di kawasan luar rumah mendedahkan kepada persekitaran bersih, kemungkinan itu juga menyebabkannya saya cepat pulih,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Mulai Jun hingga November, katanya, kebunnya mengeluarkan lebih 25,000 kilogram buah limau dan masa puncak kutipan adalah pada Oktober lalu.

”Saya berjaya mengutip antara 200 hingga 300 kilogram limau setiap hari pada bulan berkenaan dan menjualnya dengan harga borong RM1.50 sekilogram,” katanya.

Siti Noor memberitahu, dia akan menjalani pemeriksaan susulan pada 6 Disember ini dan mengharapkan disahkan bebas dari penyakit itu.

”Mungkin penyakit itu dugaan daripada Allah dan saya menerima takdir itu dengan hati terbuka, namun begitu saya terus berikhtiar untuk pulih,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana masih berpeluang untuk berubat ketika penyakit itu masih di peringkat awal dan mematuhi arahan doktor untuk mendapatkan rawatan segera.

”Saya sekarang menjadi ahli Kumpulan Sokongan Untuk Pesakit Kanser Barah Payu Dara (Kawan) di bawah pengurusan Persatuan Kesihatan Reproduktif Kelantan (Rehak),” katanya.

Di bawah Kawan, katanya, dia akan melawat pesakit barah payu dara di hospital dan di rumah untuk memberi semangat di samping menunjukkan bahawa mereka tidak keseorangan semasa mengidap penyakit itu.

Menyentuh tentang kehidupannya selama ini, bekas peniaga buah di Pasar Rabu Kampung Pandan Dalam itu memberitahu, pada 1980, dia mengikuti suaminya ke Kuala Lumpur dan bekerja sebagai peniaga ikan.

Mereka berpindah balik ke Kelantan 10 tahun kemudian dan dia bekerja mengambil upah menjahit baju manakala suaminya melibatkan diri mencari emas di Kampung Air Naga, Jeli.

Bagi menyokong minat suaminya, dia sama berhijrah ke kampung berkenaan dan tinggal di sebuah rumah di kawasan Kampung Batu Karang berhampiran hutan kecil.

Semasa kembali di kampungnya pada 1998 itu, di samping kerja menoreh, mereka juga memulih kawasan tanah paya berhampiran rumahnya dan menanamnya dengan pokok cili dan tembikai.

”Kami kemudian mula menanamnya dengan pokok limau setelah kawasan itu dikeringkan dengan membuat parit kecil untuk laluan air,” katanya.

Setelah lima tahun menguruskan kebun limau itu, katanya, dia bersyukur kerana tanaman limau itu kini menjadi sumber pendapatan keluarga.

Sehubungan itu, dia juga melahirkan penghargaan terhadap sumbangan khidmat nasihat dari Pejabat Pertanian Jajahan Pasir Mas di samping sokongan semua anggota keluarga semasa mereka melalui tempoh yang sukar.

SETIU 2 Dis. – Apa sudah jadi dengan Program Skim Untuk Kesejahteraan Petani (Sutratani) di Kampung Telaga Papan di sini yang berharga RM4 juta yang statusnya menimbulkan tanda tanya.

Persoalan ini timbul kerana walaupun projek yang menggunakan kepakaran dan teknologi Belanda itu memulakan operasi sejak dua tahun lalu namun projek berkenaan masih belum menjadi realiti seperti yang diharapkan.

Projek itu dilaksanakan di atas kawasan seluas 5.5 hektar dengan membabitkan 24 peserta termasuk penduduk setempat, belia dan graduan menganggur.

Ia membabitkan penanaman mentimun Jepun, cili kulai merah dan kacang buncis.

Perasmian projek perintis itu dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 18 November 2007.

Di bawah program itu hampir 120 keluarga miskin di Kampung Telaga Papan dikatakan akan dibantu keluar dari kemiskinan melalui projek pertanian itu di mana nilai keseluruhannya sebanyak RM28 juta.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut hari ini mendapati sebahagian besar kawasan berkenaan kelihatan terbiar tanpa pengawasan.

Rumah teduhan yang sepatutnya dipenuhi dengan pelbagai jenis tanaman hanya dipenuhi lalang dan semak-samun manakala gudang pembekalan sayuran juga terbiar walaupun segala kelengkapan disediakan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh ketika itu dalam ucapan perasmian berkata, buat permulaan sebanyak tiga modul program yang menggunakan kepakaran dan teknologi dari Belanda itu telah dilaksanakan dua bulan sebelum itu dengan peruntukan kira-kira RM4 juta.

Idris memberitahu, melihat kepada hasil kejayaan tiga modul ini yang menggunakan kaedah penanaman dalam rumah hijau, sebanyak 17 lagi modul akan dibangunkan oleh TRG Agriculture Development Corporation.

Katanya, pelaksanaan tiga modul pertama itu dijangka mampu mengeluarkan hasil sebanyak 122,500 kilogram bagi mentimun, cili kulai merah sebanyak 85,750kg dan kacang buncis, 24,500kg.

”Program ini dijangka mampu memberikan pulangan modal ke atas pelaburan dalam jangka masa enam tahun,” katanya.

Di bawah program tersebut Utusan Malaysia difahamkan sebanyak 24 peserta tersebut akan bertindak sebagai pelatih inkubator yang akan diberikan bantuan modal untuk mengusahakan modul mereka sendiri sekiranya mencapai standard yang ditetapkan dengan jaminan beli balik oleh TRG Sutratani Sdn. Bhd.

Pada mulanya ia dilaksanakan oleh sebuah syarikat milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) iaitu Terengganu (TRG) Sutratani Sdn. Bhd. pada mulanya mampu menarik minat 30 peserta terdiri daripada siswazah serta golongan belia.

Selain itu, projek tersebut turut dilengkapi dengan bangunan memproses hasil tanaman dan mesin untuk menggred hasil pertanian.

hashim abu bakar menunjukkan klon salak baru serta produk hiliran salak yang berpotensi dikomersialkan.



BUAH salak boleh dikategorikan sebagai tanaman eksotik yang semakin popular ditanam terutama di sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Permintaan terhadap buah salak yang semakin meningkat memberikan peluang kepada petani untuk menambahkan pendapatan.

Bagaimanapun pada masa ini, perkembangan industri salak agak terbantut ekoran kekurangan bekalan bahan tanaman bermutu.

Kaedah tanaman salak masa kini masih menggunakan biji benih tetapi kaedah ini menghasilkan kadar pokok berkualiti yang rendah dan tidak seragam.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan kajian bagi mendapatkan tanaman salak yang berkualiti.

Variasi

Pegawai Penyelidik Kanan, Stesen Penyelidikan MARDI Jerangau, Terengganu, Hashim Abu Bakar berkata, penggunaan biji benih menyebabkan berlakunya variasi pada warna kulit, saiz, bentuk buah dan isinya.

“Kajian menunjukkan penggunaan bahan tanaman tampang memastikan jantina pokok salak serta penghasilan kualiti buah yang tinggi dan seragam,” katanya semasa ditemui di Ibupejabat MARDI, Serdang, Selangor.

Hashim berkata, kajian yang dijalankan bermula sejak tahun 1990, memberikan penekanan kepada dua aspek utama iaitu membangunkan teknik pembiakan salak serta memilih dan menilai baka salak tempatan yang terbaik.

Sejak daripada tarikh berkenaan, pelbagai teknik pembiakan tanaman salak telah berjaya dihasilkan.

“Teknik pembiakan tampang yang dihasilkan termasuk penggunaan anak sulur, teknik keratan batang, teknik belahan dan teknik aruhan.

“Teknik aruhan merupakan teknik pembiakan salak yang terkini dan telah disyorkan bagi membiak salak terpilih untuk tujuan penilaian,” katanya.

Kajian yang dijalankan sejak 19 tahun lalu berjaya menghasilkan tiga klon terbaik yang dikenali sebagai Salak Terengganu iaitu ST1, ST2 dan ST3.

Teknik aruhan dilakukan berasaskan konsep ‘removal of apical dominance‘ dengan membunuh sel-sel meristem pokok induk untuk menggalakkan pengeluaran sulur menggunakan minyak diesel.

Pokok induk, jelas Hashim, merupakan pokok salak yang telah dikenal pasti jantina dan kualiti.

“Pokok induk yang dipilih harus menepati syarat seperti berusia enam hingga lapan bulan, saiz batang dua hingga tiga sentimeter (cm) dan ketinggian 20 hingga 30 cm.” katanya.

Proses aruhan dilakukan dengan mencabut pucuk baru pokok induk bagi membuka ruang untuk dua titik minyak diesel.

Titisan minyak diesel cukup untuk mematikan sel di bahagian meristem dan membantutkan pertumbuhan pokok induk.

Pokok induk

Dalam masa yang sama, jelas Hashim, sulur baru akan keluar dan pokok induk akan mula mengeluarkan lima hingga 10 sulur dalam masa dua hingga tiga bulan selepas diaruh.

Sulur yang telah berakar dan berusia empat hingga enam bulan kemudiannya dipisahkan daripada pokok induk.

“Semua baka yang terpilih dinilai sebagai berpotensi dan sesuai ditanam secara komersial dan usaha perlu dijalankan bagi membiakkan klon ini dan disebarkan kepada petani untuk dikomersialkan,” katanya.

Pada keseluruhannya ketiga-tiga klon baru ST1, ST2 dan ST3 adalah lebih berkualiti berbanding dengan salak tempatan yang dibiak melalui biji benih.

Di samping menghasilkan buah yang seragam, kualiti buah yang dihasilkan jauh lebih baik.

Rasa buah lebih manis dengan isi lebih tebal. Klon ST ini mempunyai cita rasa tiga dalam satu manis, masam dan sedikit kelat serta mempunyai isi yang lebih tebal dan berjus.

Keistimewaan salak klon ini adalah semua bahan tanaman dikeluarkan adalah pokok betina.

Ini dapat menjamin peningkatan hasil berbanding penggunaan biji benih tempatan.

POKOK yang sihat menghasilkan betik berkualiti.



BUAH betik yang kaya dengan vitamin B2, C dan beta-karotene digemari dan dimakan secara segar oleh orang ramai. Buah betik bukan sahaja mendapat permintaan baik dari pengguna tempatan, malah mempunyai potensi untuk dieksport ke luar negara seperti China, Jepun, Eropah dan Amerika.

Kini, tanaman betik dan industri betik negara diancam sejenis penyakit yang dikenali sebagai penyakit mati rosot atau dieback disease.

Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Erwinia papayae dan menyebabkan kerosakan serius pada pokok dan kehilangan hasil buah betik sehingga 100 peratus.

Kesemua varieti betik iaitu Eksotika, Hong Kong, Solo dan Sekaki didapati diserang oleh penyakit mati rosot dan penyakit betik dikesan berlaku di hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia.

Tanda-tanda penyakit

Penyakit mati rosot ini menyerang semua bahagian pokok betik termasuk pucuk, daun, pelepah daun, batang dan buah betik.

Terdapat tanda-tanda yang jelas pada bahagian-bahagian tanaman betik yang diserang oleh penyakit mati rosot ini.

* Pucuk

Terdapat tanda lecuh basah (water-soaked) dan nekrotik kehitaman pada bahagian antara pucuk dan pelepah. Pucuk kemudian reput dan terkulai.

* Daun

Kelihatan tanda lecuh basah pada tepi dan hujung daun. Urat daun dan sepanjang urat daun menjadi nekrotik kehitaman.

* Pelepah daun

Terdapat tanda lecuh basah dan nekrotik kehitaman pada bahagian hujung pelepah. Daun akhirnya terkulai.

* Batang

Terdapat tanda lecuh basah pada batang pokok betik yang diserang oleh penyakit mati rosot ini.

* Buah

Terdapat tompok-tompok hitam pada kulit buah, manakala isi buah kelihatan lecuh basah.

Cara merebak

Bakteria Erwinia papayae ini hidup dalam tanah. Bakteria ini boleh merebak dari satu kawasan ke kawasan lain melalui tanah dan air dan menyerang pokok betik yang sihat.

Punca penyakit atau patogen dalam tanah ini turut boleh dibawa oleh manusia dan kenderaan.

Apa perlu dibuat?

Penyakit mati rosot adalah penyakit yang digazetkan sebagai berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

Petani dikehendaki memeriksa anak benih betik di tapak semaian dan pokok betik yang baru ditanam serta pokok betik besar dan berbuah setiap minggu.

Sekiranya anak benih atau pokok betik menunjukkan tanda-tanda penyakit mati rosot, musnahkan dengan segera.

Tujuannya ialah untuk mengelakkan penyakit tersebut merebak dari satu ladang ke ladang yang lain dan menjadi ancaman kepada industri tanaman betik negara.

Cara memusnahkan pokok berpenyakit

Bagi ladang betik kecil dan pokok yang ditanam di sekeliling rumah, tebang pokok betik yang berpenyakit dan gali keluar bersama akarnya.

Longgokan bahagian-bahagian yang dipotong dan kemudian bakar.

Selain membakar, bahagian-bahagian pokok betik berpenyakit yang dipotong boleh dimasukkan ke dalam satu lubang dan timbus.

Bagi ladang betik yang besar, jentera digunakan untuk menggali keluar pokok betik berpenyakit bersama dengan akar dan kemudian dilonggokkan di satu tempat, dibakar atau dimasukkan ke dalam lubang besar menggunakan jentera dan timbus.

Denda

Mengikut Seksyen 11, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976, petani yang enggan memusnahkan tanaman betik yang diserang oleh penyakit mati rosot dianggap melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000.

Ingin menanam betik?

Sekiranya anda ingin menanam betik, patuhi Amalan Pertanian Baik yang disyorkan.

Pilih satu kawasan penanaman yang tiada penyakit mati rosot dan elakkan menanam di kawasan yang telah mengalami serangan penyakit ini selama setahun.

Pastikan anda menggunakan biji benih dan anak benih betik yang sihat dan bebas dari penyakit mati rosot ini.

Anda dinasihatkan untuk sentiasa memeriksa pokok betik anda dan memusnahkannya segera sekiranya ia didapati diserang oleh penyakit mati rosot ini.

Jangan biarkan buah betik yang gugur dan rosak di ladang kerana ia boleh menjadi punca perebakan penyakit mati rosot ini. Kutip dan musnahkan.

Berikan pokok betik anda pembajaan yang cukup dan buangkan rumpai yang dijumpai dalam ladang supaya pokok betik tumbuh dengan cergas dan sentiasa berada dalam keadaan sihat.

Penyakit mati rosot boleh juga disebarkan melalui peralatan ladang seperti cangkul dan parang.

Oleh yang demikian, ia perlulah dibersihkan dengan bahan pembasmi kuman selepas menggunakannya.

Begitu juga bakul-bakul perlu dibersihkan dengan air sebelum di bawa masuk ke ladang untuk diisikan dengan buah.

Sediakan tapak pencuci yang diisi dengan bahan basmi kuman di pintu masuk ladang bagi membersihkan tayar kenderaan yang memasuki ladang.

Ini adalah kerana penyakit mati rosot ini boleh juga merebak melalui tanah yang terlekat pada tayar kenderaan.

Akhir sekali, jangan benarkan pelawat dan kenderaan yang tidak berkenaan memasuki ladang.

Hubungi Jabatan Pertanian terdekat bagi mendapat maklumat lanjut atau layarai laman sesawang www.doa.gov.my

RONIRAH Kosni menyusun pisang yang turut dijualnya di tapak pasar tani.



ANGGAPAN wanita hanya sesuai dengan kerja-kerja menguruskan rumah tangga atau kerja-kerja ringan pada masa kini tidak lagi relevan. Ini kerana kaum Hawa sebenarnya mampu melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh kaum Adam.

Hakikat ini dibuktikan dengan bakat dan kebolehan yang ditunjukkan oleh Ronirah Kosni yang terkenal dengan jolokan ‘wanita besi.’

Nama beliau memang tidak asing terutama di kalangan para usahawan tani di negeri Johor.

Ini kerana wanita berusia 53 tahun itu memang cukup hebat berikutan kesungguhannya dan minat yang mendalam dalam bidang usahawan tani hingga membolehkan beliau menjejakkan kaki ke kota London dan berjaya menemui Ratu Elizabeth.

Ronirah, yang berasal dari Kampung Parit Hassan, Simpang Renggam, Keluang, Johor merupakan usahawan tani wanita yang begitu aktif dengan menjadikan tanah miliknya seluas 20 hektar sebagai kegiatan ternakan, pertanian dan ladang kelapa sawit.

Apa yang membanggakan ibu kepada lima anak ini, kesemua hasil kegiatan itu dipasarkan di pasar anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor yang dikenali Pasar Tani Mega Larkin.

Katanya, penglibatan secara aktif di pasar tersebut sejak 24 tahun lalu itu, mampu memberikan pulangan cukup lumayan yang secara langsung mengubah corak kehidupan keluarganya kepada lebih bermakna.

Menyorot penglibatannya dalam keusahawan tani, Ronirah berkata, ia bermula pada 1973 dengan tanaman kontan seperti betik eksotika, pisang berangan, sayur sayuran, ternakan termasuk ikan air tawar, kambing, ayam serta tanaman kekal kelapa sawit.

“Sebaik mengeluarkan hasil pada 1984, kesemua hasil tersebut terutama, ayam, buah-buahan dan sayur sayuran di pasarkan ke Singapura menerusi orang tengah.

“Menyedari keuntungan yang dikaut orang tengah cukup banyak, manakala saya yang bertungkus lumus membanting tulang cuma dapat untung tipis, saya mengambil keputusan menjualnya sebaik FAMA membuka pasar tani pertamanya pada 1985, di Jalan Ayer Molek,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang mendapat sokongan daripada suami, Md. Judyar Malik, 59, yang juga seorang usahawan tani berjaya berkata, hasil keuntungan di pasar tani Ayer Molek berlipat kali ganda.

“Contoh kalau jual pisang berangan dengan orang tengah, saya cuma dapat sekitar RM1.20 sen sekilogram (kg).

“Tapi bila saya jual sendiri di Pasar Tani Larkin, saya boleh jual dengan harga RM2 sekilogram berbanding harga di pasaran awam antara RM2.50 sen hingga RM3 sekilogram,” katanya.

Tambah Ronirah, sejak pasar itu berpindah ke Larkin pada 1987 hingga kini dan beroperasi setiap Sabtu, beliau mampu menjual sekitar 18 bakul betik eksotika, 15 bakul pisang serta ikan air tawar terdiri daripada patin, keli dan talapia yang hasil jualannya menjangkau RM3,000 sehari.

Bagi wanita ini antara premis perniagaan yang diberikan oleh FAMA, Pasar Tani Larkin merupakan satu-satunya premis yang cukup disayangi kerana dapat menunaikan fardu kifayah, di mana penjual dan pengguna sama-sama menikmati keuntungan.

“Ini merupakan satu kepuasan yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit,” katanya.

Seperkara lagi yang cukup mengagumkan mengenai wanita besi ini, dalam usia separuh abad, masih berupaya menunggang motosikal bagi memantau kebun dan ternakannya.

Selain itu, Ronirah juga mampu memanjat tangki bekalan air setinggi 10 meter bagi menyelenggara ternakan ayamnya.

Beliau kini mempunyai Syarikat Anurizam Enterprise, dengan melantik anaknya, Zamzarina Md. Judyar, 24, selaku pengurus.

Zamzarina kini bertanggungjawab menguruskan sekitar 200 kambing, 60,000 ekor ayam, lapan hektar kelapa sawit, 1.2 hektar betik dan 4.8 hektar pisang berangan serta 28 kolam ikan air tawar.

Mengenai rancangan masa depan nenek kepada empat cucu ini berkata, syarikatnya dalam proses untuk membuat baja kompos hasil sisa buangan ternakan untuk kegunaan sendiri.

Berkat ketabahan dan kegigihannya dalam bidang usahawan tani, usahanya telah mendapat pengiktirafan dengan dianugerahkan Peladang Jaya peringkat Kebangsaan sebanyak dua kali, manakala Peladang Jaya peringkat Negeri Johor sebanyak tiga kali.

Berikutan itu juga Ronirah sering diberi peluang melawat ke luar negara sebagai hadiah antaranya New Delhi, Thailand dan beberapa wilayah di Indonesia.

“Bagi saya anugerah yang cukup berharga ialah berpeluang menghadiri Hari Penternak, Peladang dan Nelayan di London dengan diraikan oleh tetamu diraja, Ratu Elizabeth.

“Rasanya kalau saya tidak melibatkan diri di bidang usahawan tani ‘mati hidup balik,’ tak merasa ke London,” kata nenek kepada empat cucu ini.

PARA peserta yang menyertai Sidang Kemuncak Alga Asia 2009 di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, baru-baru ini.



SANA sini orang memperkatakan tentang fenomena pemanasan global yang semakin meruncing dan memberi banyak kesan negatif kepada seluruh penduduk dunia.

Tidak cukup dengan suhu panas yang dirasai, bumi kini ditimpa pula dengan pelbagai bencana alam yang menyebabkan banyak kehilangan nyawa serta kemusnahan harta benda.

Mencari jalan terbaik mengurangkan permasalahan itu, pelbagai inisiatif dan langkah menanganinya telah mula diperkenalkan.

Malah, di peringkat antarabangsa juga, banyak negara telah bergabung menjalankan pelbagai bentuk kerjasama sebagai menyokong aktiviti pemulihan itu.

Antara yang diberi perhatian utama adalah usaha mengurangkan pencemaran serta kerosakan yang berpunca daripada sumber tenaga.

Untuk tujuan tersebut, penggunaan beberapa sumber tenaga yang lebih bersifat mesra alam dan boleh diperbaharui seperti angin, solar dan hidro kini semakin diperkasakan.

Tidak ketinggalan, sumber tenaga daripada aktiviti pereputan bahan organik biomas yang dikenali sebagai biofuel juga semakin mendapat perhatian meluas.

Secara asasnya, biomas terdiri daripada bahan semula jadi seperti tumbuhan kayu, bahan buangan pertanian, sisa ternakan dan sebagainya.

Memperkembangkan lagi sumber itu, kini mikroorganisme alga juga telah digunakan sebagai asas kepada penghasilan produk biofuel.

Melihat kepada potensi sumber itu untuk diperluaskan, Taman Teknologi Malaysia (TPM) dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan, Algaetech Group of Companies telah menganjurkan Sidang Kemuncak Alga Asia 2009, baru-baru ini.

Dengan tema Alga Untuk Tenaga, ia menghimpunkan pakar-pakar alga dari seluruh dunia seperti United Kingdom, Thailand, China, Afrika Selatan dan juga Australia.

Matlamatnya adalah untuk memberi fokus kepada perkembangan industri alga di Asia di samping melihat prospek dan hala tuju pembanguan industri tersebut sebagai sumber tenaga alternatif di Malaysia.

Objektif itu secara tidak langsung menyokong usaha TPM yang merupakan organisasi peneraju teknologi tempatan untuk terus memacu pertumbuhan aplikasi sains, inovasi, bioteknologi serta kejuruteraan.

Selain memberi kesan positif dari sudut pasaran dan ekonomi global, perluasan teknologi tersebut juga dilihat mampu menaiktaraf infrastruktur serta perkhidmatan untuk kemudahan rakyat.

Menurut Setiausaha Bahagian, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Badriyah Abd. Malik, pihaknya sentiasa menyokong usaha kajian teknologi berkaitan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

“Pihak kementerian sentiasa memberi galakan kepada agensi kerajaan, sektor swasta serta universiti untuk menganjurkan program dan aktiviti berkaitan tenaga boleh diperbaharui demi manfaat kepada negara.

“Justeru, dana bernilai RM1.5 bilion yang diperuntukkan di bawah bajet 2010 akan digunakan untuk tujuan pembangunan produk teknologi hijau dan industri alga perlu mengambil peluang ini,” katanya.

Bagi tujuan memperkukuhkan industri tersebut, beliau memberitahu, pihak kementerian berharap agar setiap kajian berkaitan teknologi hijau diperluaskan secara komersial.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Algaetech, Datuk Abdul Rahman Daud, berkata, sidang kemuncak itu merupakan platform terbaik untuk pakar-pakar berkongsi idea dan kemahiran sekali gus membantu perkembangan industri alga tempatan.

“Adalah diharapkan, program ini akan dapat menggalakkan lebih banyak aktiviti penanaman dan pembiakan alga pada masa depan,” jelasnya

Penghasilan alga untuk tujuan biofuel sebenarnya tidak memerlukan piawaian ketat dan kos yang tinggi sebagaimana untuk menghasilkan makanan.

Justeru, jika kelebihan itu digerakkan seiring dengan strategi dan perancangan berkesan, industri alga pasti akan membawa keuntungan serta memenuhi keperluan sumber tenaga mesra alam dan bersih.

Persiapan turut dijalankan dalam menjaga orkid di Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, Kluang, Johor yang akan menjadi lokasi Ekspo Agro Johor 2009 mulai Sabtu ini. – UTUSAN/Nasirruddin Yazid



KLUANG 17 Nov. – Penggemar bunga orkid yang ingin mendapatkan benih terbaik boleh berkunjung ke Ekspo Agro Johor 2009 yang berlangsung di Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, di sini mulai Sabtu ini.

Pada ekspo lima hari itu, para pengunjung turut berpeluang melihat dan membeli pelbagai produk keluaran 30 usahawan tani, antaranya aktiviti penanaman orkid yang menjanjikan pendapatan lumayan.

Seorang pengusaha tanaman orkid, Mohd. Ismail Jaafar, 46, berkata, pada ekspo itu pihaknya akan mempamerkan pelbagai jenis spesies orkid di kawasan seluas 0.8 hektar.

Mohamed Ismail Jaafar (kiri), menerangkan kepada Dr. Ahmad Salleh, sambil membelek orkid di Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, Kluang, Johor.



“Dengan keluasan itu, saya kini menanam lapan jenis orkid terpilih sebanyak 10,000 pohon. Daripada jumlah itu 8,000 pohon telah matang dan sebahagian besar orkid berkenaan untuk tujuan eksport,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau yang telah dua tahun membabitkan diri dalam perusahaan itu mengakui ekspo anjuran bersama kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat secara dekat industri orkid yang mampu memberikan pulangan lumayan.

Mohd. Ismail mengakui, beliau kini mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan daripada perusahaan berkenaan.

“Apa yang saya nak kongsikan dengan pengunjung ialah mereka boleh melihat teknologi yang digunakan di samping boleh beli benih terbaik serta bunga orkid yang digemari.

Pengusaha nangka Mazlan Mustakim, menunjukkan hasil tanaman nangka organik yang akan dipamerkan pada Ekspo Agro Johor 2009, Projek Pertanian Moden Ayer Hitam, Kluang, Johor, Sabtu ini.



“Mereka juga boleh mempelajari cara mengusahakan orkid secara komersial, kerana bidang ini amat kurang diceburi oleh kaum bumiputera sedangkan ia menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.

Mengenai benih orkid, Mohd. Ismail berkata, benih-benih berkualiti diperoleh dari Thailand, antaranya dendrubium, mokara, aranda, oncidium, vanda dan aramthera.

Justeru, orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai bunga orkid boleh menghubunginya di talian 019-7107271.

Kajian mengenai alga kini mencakupi pelbagai aplikasi -Gambar hiasan



 

Saintis sedang giat mencuba untuk menukar tumbuhan alga kepada bahan bakar yang baru. Tapi mengapa? Ini kerana, pada waktu ini bahan bakar diperbuat daripada arang, minyak dan gas yang membebaskan karbon dioksida (CO2) dari rumah hijau ke atmosfera.

Majoriti saintis iklim berpendapat bahawa iklim di bumi sedang mengalami perubahan disebabkan oleh manusia.

Perubahan iklim akan memberi kesan kepada kita semua dan ia sudah bermula.

Ia tidak hanya menyebabkan bumi semakin panas atau perubahan cuaca yang ekstrem seperti banjir, kemarau dan ribut tetapi perubahan ini akan memaksa orang ramai untuk keluar dari rumah mereka dan menyebabkan berlakunya penularan penyakit yang memberi kesan yang besar kepada ekonomi.

Kita tidak boleh menghentikan perubahan iklim semalaman. Di Malaysia dan di seluruh dunia, setiap orang akan melakukan perubahan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang baru seperti memperkuatkan benteng untuk menghadapi hujan yang lebat dan juga pertanian untuk menghadapi musim kemarau.

Sekiranya kita ingin memastikan perubahan iklim yang tidak menentu tidak berlaku, ahli politik dan pemain industri perlu memainkan peranan dan melakukan tindakan segera supaya bumi menjadi lebih sejuk.

Teknologi yang mana satu akan memberi kesan yang lebih baik? Terdapat pelbagai pilihan sehinggakan sukar untuk kita memilih teknologi mana yang harus diguna pakai.

Apabila terdapatnya teknologi yang baru, tiga persoalan utama perlu ditanya dalam memastikan keberkesanan teknologi yang diperkenalkan.

  • Adakah teknologi itu benar-benar mampu memperlahankan proses perubahan iklim?
  • Adakah teknologi itu mampu diaplikasikan secara praktikal?
  • Adakah teknologi itu mempunyai lebih banyak kesan negatif daripada positif?
  • Untuk menunjukkan bagaimana ini dilakukan, tiga persoalan yang disebutkan di atas diuji keatas biodiesel untuk masa sekarang dan juga masa depan.

    Biodiesel adalah salah satu teknologi yang berpotensi membantu kita menghapuskan pembebasan gas karbon dioksida dari rumah hijau.

    Ia sangat kontroversi namun anda boleh menggunakan tiga soalan ini untuk menyoroti isu-isu yang paling penting dalam menentukan prinsip anda.

    Adakah biodiesel boleh memperlahankan perubahan iklim yang berlaku?

    Pembakaran bahan bakar fosil akan menyebabkan berlakunya pembebasan karbon yang sudah disimpan lebih jutaan tahun.

    Ini menyebabkan berlakunya penambahan gas karbon dioksida secara mendadak di atmosfera dan jumlahnya sama banyak seperti gas karbon dioksida yang diserap oleh tanaman sewaktu pertumbuhan. Adakah ia sempurna? Jawapannya pasti tidak.

    Biofuel harus dikultivasikan, diproses dan diangkut dan dengan menggunakan bahan bakar fosil untuk melakukan semua ini akan menyebabkan penambahan gas karbon dioksida ke atmosfera. Kita boleh menyebutnya sebagai biodiesel carbon footprint

    Adakah biodiesel boleh digunakan secara praktikal?

    Beberapa penjanaan elektrik sudah menggunakan biojisim sebagai bahan bakar sama ada secara keseluruhannya atau dicampur dengan arang.

    Kereta yang diubahsuai boleh bergerak dengan menggunakan biodiesel atau bio-etanol.

    Sesetengah kerajaan seperti United Kingdom telah menggariskan lima peratus bahan bakar kenderaan yang dijual di stesen minyak perlu menggunakan campuran biodiesel bermula pada tahun 2010. Bahkan biodiesel sudah mampu untuk memberikan saingan di pasaran.

    Dengan menggantikan semua sumber tenaga kita dengan biodiesel akan menyebabkan berlakunya pertumbuhan biojisim dan masalah utama adalah isu kekurangan tanah.

    Biodiesel akan memberikan lebih banyak kesan negatif daripada positif?

    Semakin banyak tanah yang digunakan untuk biodiesel di seluruh dunia akan menyebabkan kekurangan tanah untuk menjalankan tanaman berunsurkan makanan.

    Hal ini telah menyebabkan kenaikan harga makanan di Itali dan Mexico. Persaingan untuk tanah boleh mengakibatkan berkurangnya stok makanan dan masalah kebuluran.

    Di beberapa negara petani menebang hutan untuk menanam tanaman biodiesel dan ini telah mengancam kehidupan hidupan liar dan dalam masa yang sama ini telah menyebabkan peningkatan pembebasan gas CO2 dari rumah hijau.

    Di sisi lain pertumbuhan tanaman biodiesel boleh membantu setiap negara menghasilkan tenaganya sendiri dan boleh menjana pendapatan untuk golongan petani.

    Semua teknologi baru biodiesel mempunyai pro dan kontra. Para saintis sedang berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada untuk kegunaan masa hadapan.

    spesies

    Alga adalah tumbuhan akuatik – sesetengah spesies adalah sangat kecil dan hanya boleh dilihat di bawah mikroskop. Alga menyerap karbon dioksida dan menyimpan karbon sebagai minyak.

    Penghasilan alga dalam jumlah yang besar membolehkan para saintis menghasilkan minyak untuk membuat biodiesel. Adakah alga mampu menyelamatkan dunia?

    Bagaimanakah alga biofuel mampu menjawab tiga persoalan tentang perubahan iklim yang dibincangkan?

    Adakah biodiesel daripada alga boleh memperlahankan perubahan iklim?

    Alga menyerap gas karbon dioksida dari atmosfera sewaktu pertumbuhan dan seperti tanaman yang lain alga juga membebaskan jumlah yang sama ketika biodiesel alga dibakar.

    Tapi biodiesel alga masih memiliki carbon footprint. Proses pertumbuhan dan pemprosesan alga dan pemindahan biodiesel memerlukan tenaga. Jika ini berasal dari bahan bakar fosil penambahan gas tersebut pasti akan berlaku.

    Salah satu daya tarikan besar alga adalah mereka berpotensi menggantikan bahan bakar fosil lebih banyak dari tanaman biodiesel buat masa sekarang.

    Alga tidak memerlukan ruangan yang besar untuk pertumbuhan dan kita boleh menghasilkan lebih banyak biodiesel dengan tanah yang sedia ada.

    Adakah biodiesel daripada alga mampu digunakan secara praktikal?

    Permasalahan utama ialah walaupun alga boleh dihasilkan dalam skala yang kecil namun para saintis yakin bahawa alga boleh dipertingkatkan hasilnya dengan menggunakan skala yang lebih besar untuk kegunaan yang maksimum.

    Sesetengah orang berpendapat kita tidak boleh fokus kepada sesuatu yang belum terbukti padahal kita mempunyai teknologi yang sedia ada dalam mengatasi masalah perubahan iklim yang melanda dunia.

    Apatah lagi untuk menjadi alternatif yang lebih realistik sebagai bahan bakar fosil, biodiesel daripada alga perlu menjadi sesuatu yang boleh dijangkau.

    Keseimbangan akan berubah seperti minyak dihasilkan dalam margin yang kecil atau pembebasan karbon dikenakan cukai, namun baru-baru ini menunjukkan biodiesel alga perlu bersaing dalam menentukan harga di pasaran.

    Biodiesel akan memberikan lebih banyak kesan negatif daripada positif?

    Alga tidak memerlukan ruangan yang besar dan tanah yang subur seperti tanaman biodiesel yang lain.

    Alga boleh dihasilkan dimana-mana seperti kolam atau kilang dan ini boleh mengurangkan kemusnahan habitat dan kurangnya persaingan antara makanan dan minyak.

    Itu sesuatu yan agak menarik untuk dipraktikkan di masa depan tetapi masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki. Bahan bakar utama daripada alga akan menjadi bio-diesel tetapi ujian yang dilakukan menunjukkan terdapatnya peningkatan kepada pencemaran udara yang berbahaya.

Farhana Mohd. Yusof menunjukkan sayur Brokoli yang ditanam secara organik di Ladang Organik Zenxin, di Ayer Hitam, Kluang, Johor, semalam.



KLUANG 15 Nov. – Orang ramai dipelawa mengunjungi Taman Organik Zenxin (ZOP) bagi menyaksikan buah-buahan dan sayur-sayuran organik yang dipamerkan sempena Ekspo Agro Johor 2009 pada 21 hingga 25 November ini.

Penolong Pengurus Ladang ZOP, Farhana Mohd. Yusoff berkata, pada ekspo berkenaan, pihaknya akan membawa pengunjung melawat kebun organik yang terletak di kawasan seluas 40 hektar di Tapak Projek Pertanian Moden Kluang, dekat sini.

Beliau berkata, ZOP akan memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan proses penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran secara organik di situ.

“Kita akan bawa pengunjung melihat kira-kira 30 jenis tanaman seperti kobis, sawi, kangkung, keledek, brokoli, kacang bendi, terung, kacang panjang, labu, markisa, buah naga dan tumbuhan herba.

“Apa yang unik di sepanjang lorong, mereka dapat menyaksikan proses penanaman sayur-sayuran bermula daripada anak benih sehingga besar tanpa menggunakan baja kimia atau disembur racun serangga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Selain itu, mereka juga boleh menikmati makanan organik halal di Restoran Organik Zenxin yang terdapat di ladang tersebut, katanya.

Farhana memberitahu, pihaknya menjual pelbagai jenis sayuran segar dan makanan kering yang berkhasiat dengan harga berpatutan kepada pengunjung.

Demi kemudahan orang ramai terutamanya mereka yang gemar berbasikal, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan sewaan basikal dengan bayaran RM5 bagi dua jam untuk melawat kebun itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai ZOP termasuk ekspo anjuran kerajaan negeri Johor dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu boleh menghubungi 07-7595196 atau 019-7738985.

ke_03.1

TUTTI Frutti bukan sahaja digemari di kalangan kanak-kanak, ia turut digemari setiap lapisan masyarakat.



 

APABILA disebut sahaja tentang yogurt apakah yang terlintas di fikiran – rasanya yang masam, tidak sedap dan menggemukkan.

Sebenarnya ia sekadar pandangan skeptikal bagi golongan yang kurang menggemari produk hasil tenusu ini tanpa mengetahui ia kini semakin popular sebagai dengan kepelbagaian rasa dan dan cara sajian.

Terbaru, yogurt Tutti Frutti, jenama terkenal dalam segmen manisan dingin lembut dari Amerika Syarikat yang kini memenuhi selera orang Malaysia dengan pelancaran cawangan terbarunya di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor.

Menurut Pengurus Besarnya, Zain Azrai Azhar Simin, cawangan Tutti Frutti pertama itu berkonsepkan layan diri yang menyediakan sajian yogurt melalui mesin dengan menawarkan 18 perasa yogurt serta 36 bahan tambahan untuk menyedapkan lagi makanan tersebut.

”Konsep layan diri ini dijangka menarik minat setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan muda kerana ia merupakan pilihan snek yang sihat dan enak.

”Tutti Frutti memiliki ramuan berkualiti tinggi tanpa kandungan bahan pengawet atau perasa tiruan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pembukaan cawangan pertama di Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Kerjasama yang membabitkan pelaburan bernilai RM3.5 juta antara Kumpulan Naza dengan syarikat pengasas Tutti Frutti, Well Spring Inc., memperlihatkan Kumpulan Naza menjadi pemegang lesen utama bagi rangkaian Tutti Frutti di Malaysia, Singapura, Thailand dan India.

Yogurt dingin lembut tersebut ternyata lebih unik kerana kini boleh didapati dalam pelbagai perisa buah segar. Antaranya mangga, strawberi, kiwi dan blackcurrent dan ditambah pula dengan bahan tambahan seperti kiub laici, buah nanas, buah tembikai, biskut, cip coklat , jeli dan banyak lagi.

Di samping itu, ia juga kaya dengan sumber protein, kalsium, riboflavin dan vitamin B12.

Menawarkan harga pada RM0.58 bagi setiap 10 gram, yang pasti, kehadiran Tutti Frutti menggembirakan peminat-peminat yogurt selain kanak-kanak.

Jika dilihat hasil penyelidikan sebelum ini, kandungan khasiat untuk minuman yogurt lebih tinggi kerana ia direka sebagai minuman bagi seisi keluarga.

Mungkin ramai yang tidak tahu yogurt mampu mengenyangkan perut selain melancarkan penghadaman.

Dikatakan mula diinovasi sejak lebih 4,000 tahun lalu di Asia Barat secara tidak sengaja sewaktu pedagang melintasi padang pasir.

Hari ini yogurt bukan sahaja menjadi antara menu wajib bagi mereka yang menitikberat penjagaan kesihatan bahkan ia boleh dimakan begitu sahaja.

Selain itu, bagi penggemar yogurt di luar kawasan Lembah Klang, jangan bimbang kerana menjelang tahun 2010, sebanyak 25 buah cawangan akan dibuka di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, Kumpulan Naza dijangka mengendalikan lima cawangan manakala bakinya akan ditawarkan kepada usahawan tempatan di bawah program pelesenan yang membabitkan modal minimum sebanyak RM150,000.

Hari ini, dengan kehadiran pelbagai produk yogurt baru, yogurt pastinya akan terus kekal popular di rak produk tenusu pasar raya seluruh dunia.

 

wt_01.1

Seorang penduduk memegang ikan kelah antara spesies yang mahal di Kampung Pengau, Tembeling, Jerantut, Pahang, baru-baru ini. – UTUSAN/ HARIS FADILAH AHMAD



 

JERANTUT 9 Nov. – Percaya atau tidak, seorang peniaga ikan Sungai Tembeling dekat sini mampu meraih pendapatan sehingga RM400 sehari!

Bayangkan jika dalam sebulan, pendapatannya mungkin boleh mencecah sehingga RM12,000 dengan hanya menjual ikan darat yang disalai di tepi-tepi jalan atau di pasar tani.

Begitulah hakikatnya bagi seorang penduduk Kampung Tempan dekat sini, Adenan Nipah, 56, yang menjalankan perniagaan ikan sungai salai secara komersial berikutan permintaan yang amat tinggi di pasar-pasar tani dan pekan sehari di bandar Jerantut.

Menurutnya, ikan air tawar Sungai Tembeling merupakan antara menu utama bagi penduduk di sini terutama bagi juadah tengah hari atau malam.

Katanya, keenakan ikan-ikan sungai itu memberi peluang kepada peniaga untuk memperoleh pendapatan yang berbaloi.

‘‘Syukurlah, setiap hari sebanyak 20 hingga 30 ekor ikan salai habis dijual dengan memperoleh pendapatan hampir RM400 sehari.

‘‘Itu tidak termasuk yang ditempah oleh pengusaha resort di Taman Negara, Kuala Tahan untuk dimasak kepada pelancong yang gemar masakan kampung,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Tempan, Tembeling, baru-baru ini.

Menurut bapa kepada lapan anak itu, ikan salai Sungai Tembeling boleh dimasak lemak pedas, asam tempoyak, dibakar atau digoreng sehingga rangup.

Adenan memberitahu, aktiviti menangkap ikan sungai biasanya dilakukan selepas solat subuh setiap hari.

Beliau akan turun ke Sungai Tembeling untuk menangkap ikan yang terdiri daripada ikan patin, jelawat, kelah, temoleh, lawang dan lampam.

Bagi sesetengah nelayan sungai, mereka tidak menjual hasil tangkapan sebaliknya dibawa pulang untuk dimasak pais tempoyak, gulai asam tempoyak, asam rom, masak lemak cili api, pekasam, salai atau goreng.

‘‘Masakan ini cukup menyelerakan apatah lagi menjadi hidangan pada majlis kenduri, berbuka puasa dan meraikan orang kenamaan.

‘‘Ikan sungai salai mendapat perhatian di kalangan mereka yang gemar masakan kampung untuk hidangan tengah hari dan majlis-majlis jamuan meraikan orang kenamaan yang singgah ke kampung kami,” katanya.

Di daerah Jerantut, jelas Adenan, masakan berasaskan ikan air tawar jenis patin, jelawat, kelah, lawang dan temoleh juga boleh ditemui di pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

‘‘Jika ingin membeli gulai asam tempoyak ikan kelah dan patin di restoran di sekitar bandar Jerantut, poket perlulah tebal dengan duit.

‘‘Ini kerana, harga seketul ikan kelah dicampur masakan asam tempoyak mencecah antara RM25 hingga RM30. Begitu juga masakan ikan sungai yang lain, tidak kurang juga mahalnya,” ujarnya.

Adenan memberitahu, petua untuk makan ikan air tawar di restoran bandar Jerantut dan Taman Negara Kuala Tahan, seseorang itu perlu bertanya dahulu sama ada ikan tersebut diternak di kolam atau yang ditangkap di Sungai Tembeling.

Menurutnya, perbezaan habitat ikan air tawar itu memberi kesan daripada segi harga dan kelazatan isinya.

‘‘Kebiasaannya, ikan air tawar yang ditangkap di Sungai Tembeling lebih mahal harganya,” katanya.

Adenan menambah, menangkap ikan di Sungai Tembeling tidak boleh dilakukan sesuka hati kerana ia bersalahan dari segi undang-undang.

Sehubungan itu, katanya, beliau memohon lesen daripada pihak yang berkenaan bagi membolehkan aktiviti tersebut dilakukan di Sungai Tembeling.

Seorang suri rumah dari Kampung Bantai, Siti Khatijah Ahmad, 60, berkata, masakan pais ikan Sungai Tembeling antara sajian tengah hari di rumahnya kerana makanan berkenaan cukup menyelerakan.

‘‘Saya menyediakan pais ikan sungai dan masakan asam tempoyak untuk hidangan tengah hari. Maklum sajalah, hendak ke bandar Jerantut membeli ikan basah (laut) jauh dari kampung ini,” katanya.

Menurut Siti Khatijah, memasak pais ikan berkenaan memang mudah dengan hanya menyediakan ikan, daun pisang, asam tempoyak dan bahan-bahan lain untuk menyedapkan masakan itu.

Rakannya, Azizah Embong, 61, pula berkata, sejak dari turun-temurun lagi, masakan tradisional Pahang berasaskan ikan air tawar menjadi menu utama mungkin kerana faktor tempat tinggal penduduk yang berdekatan sungai.

‘‘Wanita di sini juga boleh mendayung perahu dan menangkap ikan di sungai, bukan hanya orang lelaki sahaja. Setiap kali turun selepas subuh, tangkapan yang diperoleh sudah cukup untuk menyediakan hidangan sekeluarga itu hari tersebut,” katanya.

« Laman SebelumnyaLaman Berikutnya »