Pameran ternakan besar-besaran

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu bercadang menganjurkan pameran haiwan ternakan secara besar-besaran tahun depan dalam usaha memperkenalkan pelbagai jenis baka yang dihasilkan oleh penternak di negeri ini ke pasaran terbuka.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat berkata, kertas cadangan mengenai program tersebut sedang disiapkan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Terengganu.

“Terengganu sememangnya kaya dengan pelbagai baka haiwan ternakan tetapi ia tidak diketengahkan sehingga menjadi budaya penternak hanya sekadar menternak di kawasan rumah sahaja.

“Padahal ternakan mereka mempunyai nilai komersial yang tinggi, apatah lagi ramai penternak kita yang pakar dalam sistem permanian beradas,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Sukan dan Kebajikan Veterinar Terengganu (Kesuvet) di sini semalam.

Mengulas lanjut Rozi berkata, pihaknya yakin pameran itu akan mencetuskan proses jual beli haiwan ternakan secara berkesan sekali gus membuka ruang perniagaan lebih luas kepada penternak.

”Keunikan penternak Terengganu ialah ramai di kalangan mereka yang pakar dalam melaksanakan proses permanian beradas tanpa bergantung kepada pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan.

“Kepakaran ini jarang ada dan dilakukan oleh penternak di negeri lain dan ia juga dapat menjana pendapatan sampingan kepada mereka,” ujarnya.

Telaga ikan diwujud bantu nelayan

SUNGAI PETANI: Persatuan Nelayan Kedah Darulaman (Nekad) berjaya mewujudkan beberapa kawasan telaga ikan di kawasan perairan negeri itu bagi membantu kehidupan nelayan mencari rezeki. Pengerusi Nekad, Datuk Jusoh Awang berkata, projek usaha sama pihaknya dengan Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan tersebut dijalankan baru-baru ini, dengan peruntukan khas kerajaan sebanyak RM10 juta.

Katanya, sebanyak 54 buat bot nelayan yang tidak digunakan lagi telah ditenggelamkan di dasar lautan bagi membentuk tukun dan telaga ikan tersebut.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada nelayan tidak lama lagi. Melalui kaedah ini, kita telah menjadikan kawasan tangkapan ikan bagi nelayan pantai lebih luas iaitu 12 batu nautika dari pesisir pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-23 Nekad yang disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed di sini, malam kelmarin.

Menurut Jusoh, kawasan telaga ikan tersebut juga merupakan usaha kerajaan dan pihaknya untuk membantu kehidupan kira-kira 8,000 nelayan pantai dan tradisi di seluruh Kedah.

“Berdasarkan situasi kini, hasil ikan dan laut yang ditangkap bagi setiap nelayan makin berkurangan.

“Keadaan ini disebabkan berlakunya persaingan hebat di kalangan nelayan tempatan dan juga pencerobohan nelayan asing,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Nekad sedang merancang satu program pemindahan nelayan laut ke darat melalui projek ternakan ikan air tawar di Tasik Pedu tidak lama lagi.

Menurutnya, melalui kaedah tersebut, sebahagian nelayan laut yang sebelum ini hidup dalam kedaifan akan diberikan peluang untuk menternak ikan dalam sangkar di Tasik Pedu.

“Projek ini telah dipersetujui Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Pusat. Kira-kira 1,000 sangkar ikan akan diwujudkan di situ.

“Selain membantu meningkatkan taraf hidup nelayan, program ini juga boleh mengurangkan persaingan di kalangan nelayan untuk turun ke laut ekoran kawasan tangkapan ikan makin terhad,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Jusoh berkata, Nekad berjaya memperoleh keuntungan kira-kira RM700,000 hasil pelbagai perniagaan yang dijalankan persatuan itu sepanjang tempoh tahun lalu.

Katanya, lebihan keuntungan tersebut akan digunakan persatuan untuk membantu kebajikan ahlinya yang dianggarkan kini lebih 8,000 orang.

Nelayan perlu bilik beku simpan stok ikan

ROSAK: Sebahagian daripada stok ikan yang rosak dan sukar untuk dipasarkan kerana masalah ketiadaan sistem penyimpanan bilik penyejuk beku yang sempurna di Jeti LKIM Kuala Perlis.

Kemudahan perlu disediakan LKIM bagi elak hasil tangkapan busuk atau dijual di negara jiran

KANGAR: Jumaat lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Utara menahan tujuh nelayan termasuk dua warga Thai bersama sebuah bot nelayan pukat hanyut sarat dengan muatan lebih 2,000 kilogram ikan pelbagai jenis di perairan Kuala Perlis.

Ketika kejadian, bot dengan tujuh awak-awak berusia antara 21 hingga 42 tahun itu dilihat sedang memecut laju di perairan terbabit menghala sempadan Malaysia-Thailand di sini, kira-kira jam 5.30 pagi.

Hasil pemeriksaan, mereka dikesan cuba menyeludup 2,225 kilogram ikan bernilai hampir RM5,000 ke negara jiran melalui perairan Kuala Perlis. Semua mereka kemudian ditahan, manakala bot serta ikan pula dirampas untuk tindakan lanjut.

Bagi sesetengah pihak, tindakan tujuh awak-awak terbabit terutama lima nelayan tempatan yang ditahan dilihat seolah-olah perbuatan pengkhianat yang cuba mengaut keuntungan cepat hasil daripada kegiatan jenayah penyeludupan.

Selain itu, tidak kurang pula yang menganggap kumpulan nelayan ini seperti penyangak yang cuba mencuri hasil laut negara demi kepentingan sendiri, tanpa mengambil kira sama ada tindakan diambil menyalahi undang-undang.

Namun, di sebalik senario itu, tidak ramai yang tahu golongan nelayan terutama di sekitar Kuala Perlis berdepan seribu satu masalah termasuk yang sudah bertahun lamanya dihadapi.

Malah, Berita Harian ketika menyusuri kehidupan kumpulan nelayan di sekitar Kuala Perlis, baru-baru ini, turut terkejut apabila ada antara mereka mengaku tidak pilihan kecuali membawa hasil ikan yang diperoleh ke negara jiran, bagi mengelak daripada rugi teruk.

Paling membimbangkan, ada kalangan mereka terpaksa berbuat demikian semata-mata untuk mengelak daripada kehilangan mata pencarian dan tindakan membawa keluar ikan terbabit diambil bukan bertujuan mengaut keuntungan cepat, tetapi lebih kepada menyelamatkan periuk nasi masing-masing, terutama untuk mengisi perut anak mereka yang kelaparan.

Difahamkan, kumpulan nelayan di sekitar Kuala Perlis menghadapi masalah penyimpanan stok sejak sekian lama sehingga menyebabkan hasil yang dibawa pulang cepat rosak.

Ini kerana, pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) gagal menyediakan tempat penyimpanan stok yang sempurna di jeti pendaratan ikan, menyebabkan banyak ikan yang dibawa pulang cepat rosak kerana tidak dapat disimpan dalam keadaan baik.

Malah, pemborong juga enggan mengambil stok ikan yang sudah rosak, kecuali dengan harga yang rendah sehingga 40 sen atau 50 sen sekilogram dan nelayan tidak dapat berbuat apa-apa kecuali menerima tawaran itu, bagi mengelak kerugian.

Seorang nelayan, Isnan Zubir, 21, berkata isu ketiadaan bilik penyejuk beku di LKIM sebenarnya bukan perkara baru, malah sudah lama dialami nelayan Kuala Perlis sejak 10 hingga 20 tahun lalu.

Katanya, ketiadaan bilik penyejuk beku menyebabkan ikan sukar dipasarkan dan atas sebab itu juga LKIM enggan menerima ikan dalam jumlah banyak, sedangkan stok berkenaan sudah mulai rosak sehingga sukar untuk dipasarkan.

Apabila ini berlaku, nelayan terpaksa mencari pemborong yang sanggup membeli ikan dalam kuantiti kecil iaitu antara 100 hingga 200 kilogram dan bayangkan berapa banyak pemborong yang perlu dicari bagi menghabiskan sejumlah lebih 2,000 kilogram ikan.

“Sudahlah kita berdepan masalah penyimpanan, kini terpaksa pula mencari pemborong sendiri untuk memasarkan stok sedangkan ikan semakin lama semakin reput. Justeru, ramai di kalangan nelayan memilih untuk membawa stok ikan ke negara jiran,” katanya.

Rakannya, Mohd Yazid Razi, 29, berkata ada di kalangan nelayan yang terpaksa menghantar stok ikan mereka ke negara jiran bagi mengelak daripada mengalami kerugian.

Katanya, ketiadaan sistem penyejuk beku yang sempurna menyebabkan nelayan berperang dengan masa apatah lagi semakin lama ikan di luar tanpa penyimpanan sempurna, semakin cepat ia rosak.

“Kita terpaksa membawa ikan ke negara jiran secara haram kerana tidak dapat menunggu waktu pejabat untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa.

“Bayangkan nelayan pulang ke jeti jam 4 atau 5 pagi dengan stok ikan yang banyak. Tanpa sistem penyimpanan sejuk beku yang baik, ikan akan busuk jika tidak dijual segera,” katanya yang sudah beberapa kali menanggung nasib sama.

Difahamkan, nelayan pukat hanyut di Kuala Perlis memerlukan modal antara RM400 hingga RM500 untuk setiap kali ke laut. Jika ikan yang dibawa pulang tidak dapat dipasarkan, maka modal mereka akan hilang dan kerja mereka seharian menjadi tidak berbaloi.

Justeru, nelayan di sini, meminta LKIM mencari jalan penyelesaian terutama menyediakan sebuah bilik penyimpanan sejuk beku yang sempurna, selain memikirkan alternatif pemasaran, bagi mengelak mereka menyeludup ikan ke negara jiran.

Ini kerana, mereka yang dikesan menyeludup ikan ke negara jiran boleh didakwa mengikut Peraturan 4A(3) Peraturan-peraturan Pemasaran Ikan 1973 (Pindaan 1988) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 17(1) Akta Lembaga Kemajuan Ikan. Selain itu, mereka juga boleh didakwa mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa barangan tanpa kelulusan Kastam Diraja Malaysia.

Nelayan buka industri keropok

TEKUN: Antara pekerja Roslan melakukan kerja harian menyiang ikan di Kampung Nenasi Pantai di Pekan, Pahang.

Perniagaan diusaha Roslan di Kampung Nenasi Pantai beri pendapatan lumayan, bantu jiran dapat pekerjaan sampingan

Keperitan hidup sebagai keluarga nelayan yang bergantung sepenuhnya terhadap hasil tangkapan harian untuk perbelanjaan keluarga menyebabkan seorang anak nelayan di Kampung Nenasi Pantai dekat sini, terbabit dalam industri pembuatan keropok ikan tamban.

Perniagaan dilakukan Roslan Awang, 44, dengan bantuan isterinya, Noreda Mustafa, 38, itu walaupun masih berkaitan kehidupan nelayan, memberi pendapatan lumayan kepada keluarga berkenaan dengan pendapatan kasar berjumlah kira-kira RM11,000 sebulan.

Pendapatan itu nyata bukan saja mampu mengubah hidup Roslan sekeluarga malah turut membantu keluarga nelayan lain di sekitar kampungnya meningkatkan ekonomi keluarga mereka.

Roslan berkata, industri kecil-kecilan yang dilakukannya sejak 14 tahun lalu itu memberi pekerjaan kepada 12 penduduk kampung, khasnya isteri dan anak nelayan.

Beliau berkata, dia membeli ikan tamban segar seberat satu tan berharga RM2,000 setiap dua atau tiga hari sekali, bagi menghasilkan kira-kira 5,000 batang keropok lekor, selain 20 kilogram keropok kering sehari.

Katanya, produk makanan menggunakan jenama `Keropok Nenasi’ itu dihantar ke seluruh negara, termasuk Perlis, Johor dan Singapura.

“Saya tidak mahu mewarisi kerjaya keluarga menjadi nelayan, sebaliknya berusaha terbabit dalam perniagaan untuk mengubah ekonomi keluarga tetapi bidang diceburi ini masih berkait rapat dengan kehidupan nelayan.

“Saya bangga kerana perniagaan membuat Keropok Nenasi ini turut memberi peluang isteri dan anak nelayan di sekitar kampung ini menambah pendapatan dengan bekerja secara sambilan dengan saya.

“Mereka bekerja pada waktu petang untuk membersihkan ikan tamban dan bayaran diberi mengikut jumlah ikan dibersihkan iaitu 40 sen bagi setiap sekilogram. Secara purata, mereka mampu memperolehiRM15 sehari dalam tempoh kira-kira empat jam bekerja,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Proses pembuatan keropok ikan tamban bermula dengan menyiang dan membersihkan ikan sebelum isi ikan disimpan dalam peti sejuk.

Selepas disimpan selama 12 jam, isi ikan akan dimesin hancur dan digaul dengan tepung untuk dijadikan keropok lekor dan keropok kering.

Roslan yang mendapat sokongan Mardi, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam memajukan industri itu, berkata permintaan terhadap produk keluarannya sangat membanggakan, malah adakalanya dia gagal memenuhi permintaan berikutan kekurangan bahan mentah.

“Bagaimanapun, saya terkilan kerana terpaksa menghasilkan keropok ini di bangsal milik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang disewa RM400 setahun sejak 14 tahun lalu.

“Saya sudah memohon mendapatkan tempat lebih selesa untuk memperluaskan lagi perniagaan ini tetapi belum mendapat maklum balas sehingga sekarang.

“Sebenarnya, saya bercadang menghasilkan keropok beku untuk dipasarkan di seluruh negara tetapi terpaksa menyimpan hasrat itu kerana tiada tempat operasi yang luas,” katanya yang masih mengikuti kursus kemahiran dua kali sebulan.

Bagi Semek Muda, 44, dia mampu memperoleh pendapatan hampir RM500 sebulan sejak bekerja di situ, tujuh tahun lalu.

“Pendapatan ini boleh membantu keluarga kerana pendapatan suami sebagai nelayan tidak menentu.

“Pada waktu petang, saya menyiang dan membersihkan ikan dan pagi esoknya pula, akan membantu memesin ikan untuk dijadikan keropok,” katanya.

Rakannya, Habsah Muda, 54, berkata kerja sambilan membersihkan ikan tamban yang dilakukannya empat kali sebulan sejak dua tahun lalu, membolehkan dia memperoleh pendapatan tambahan bulanan kira-kira RM200.

“Saya tidak bekerja dan peluang membantu Roslan mengusahakan perniagaan keropok ikan tamban ini, sekurang-kurangnya dapat mengisi masa lapang dan menambah pendapatan keluarga.

“Biasanya, kami bekerja bermula jam 2 petang dan saya hanya bekerja empat kali sebulan,” katanya yang memiliki enam anak.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nenasi, Kamaruzaman Nordin, berkata dia mula mengambil upah menyiang dan membersihkan ikan tamban di situ sejak tiga tahun lalu.

Katanya, dia bekerja sambilan selepas tamat waktu persekolahan iaitu bermula jam 3.30 petang hingga 6 petang dan setiap jam 8 pagi hingga 6 petang pada Sabtu serta Ahad.

“Saya tidak rasa jijik bergelumang dengan ikan setiap hari dan membuat kerja yang biasanya dilakukan wanita ini kerana saya anak nelayan.

“Lebih baik saya melakukan kerja berfaedah seperti ini daripada membuang masa, malah wang yang diperoleh di sini, digunakan untuk membeli buku dan disimpan untuk membiayai kursus `catering’ yang akan saya ikuti kelak,” katanya yang juga anak kelima daripada lapan beradik.

FAKTA: Keropok Lekor Nenasi

# Keropok lekor (basah) yang dikeluarkan Roslan dijual kepada peniaga dan kantin sekolah di sekitar Rompin dan Pekan setiap hari.

# Sering menerima jemputan mengadakan pameran produk berasaskan ikan daripada Jabatan Perikanan di seluruh Pahang.

# Dalam tempoh sehari, 20 kilogram keropok kering dihasilkan selain 5,000 batang keropok lekor.

# RM2,000 dibelanjakan untuk membeli satu tan ikan tamban segar untuk bahan asas Keropok Nenasi setiap dua atau tiga hari.

Wan Seng kongsi petua kejayaan peniaga Cina

“BANGUN seawal Subuh kerana sumber rezeki bermula awal pagi. Suruhan ini dititikberatkan dalam Islam, tetapi masyarakat Cina turut mengamalkannya,” kata pakar motivasi perniagaan, Ann Wan Seng ketika berkongsi petua kejayaan masyarakat Cina dalam perniagaan.

Mereka yang tidak mempunyai pendidikan tinggi, tapi mempunyai semangat untuk terus maju juga boleh cemerlang dalam perniagaan dan yang penting jangan sekali-kali menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuk mengecapi kejayaan.

Beliau yang sudah menghasilkan 30 buku motivasi termasuk berjudul Rahsia Perniagaan Orang Cina berkata, petua lain ialah seseorang peniaga itu perlu bersikap mesra, ‘ringan mulut’, kemahiran berkomunikasi yang baik, hormat dan tidak kedekut senyum.

Katanya, peniaga juga perlu sentiasa mesra ketika melayani kehendak pelanggan walaupun baru pertama kali bertemu kerana ia akan membuatkan pelanggan berasa selesa dan berminat mendapatkan perkhidmatan ditawarkan.

Paling penting, katanya, peniaga perlu sentiasa meminta maaf kepada pelanggan jika terlambat, tersilap, kehabisan barang atau perkhidmatan kurang memuaskan supaya pelanggan ‘sejuk hati’ dan sedia bertolak ansur dengan peniaga.

“Modal pula bukan faktor utama untuk berjaya dalam perniagaan kerana modal ada di mana-mana dan ia terpulang kepada kebijaksanaan dan keinginan individu mendapatkannya,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam segmen Bicara Tokoh – Rahsia Perniagaan Orang Cina sempena Gerak Usahawan peringkat Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) Parlimen Tanjung Karang, baru-baru ini.

Wan Seng memeluk Islam kira-kira 12 tahun lalu dengan mendaftarkan Ann Abdullah sebagai nama Islam, tetapi selesa dikenali dengan nama Cina hingga kini.

Beliau berkata, Allah SWT membekalkan sumber rezeki di sepanjang jalan seperti botol kosong yang boleh dijual bagi mendapatkan modal memulakan perniagaan dan batu di tepi jalan juga boleh mendatangkan hasil jika dikumpul dan dibuat jalan tar.

Katanya, begitu juga dengan minat orang ramai ketika ini yang mengumpul batu kristal dan batu berbentuk ganjil yang dijual di pasaran hingga sanggup mengeluarkan wang banyak untuk itu. Namun, batu itu diperoleh peniaga dari gua atau kawasan strategik secara percuma dan diproses bagi menonjolkan keindahannya.

Beliau menegaskan kemahiran yang dipelajari secara teori iaitu melalui bahan bacaan serta tunjuk ajar semata-mata tidak akan membantu peniaga mencapai kejayaan sebaliknya kemahiran terbaik hanya diperoleh apabila teori itu dipraktikkan.

“Kemahiran akan bertambah jika seseorang peniaga pernah gagal kerana ia akan membantunya memperbaiki kesilapan dan 99 peratus ahli perniagaan yang berjaya ketika ini pernah gagal hingga ada yang hampir muflis.

“Risiko dalam perniagaan sering ditakuti peniaga, tetapi mereka sebenarnya tidak patut takutkan risiko kerana ia amat membantu dalam perniagaan. Masyarakat Cina berani mengambil risiko dalam perniagaan dan bagi mereka, lebih banyak risiko bermaksud lebih banyak keuntungan akan diperoleh, tetapi kena bijak, ada perancangan serta sentiasa ingin maju,” katanya.

Wan Seng berkata, bersaing secara sihat adalah faktor kejayaan dalam perniagaan, tetapi kebanyakan masyarakat lain gemar bersaing secara ‘kotor’ dan dengki melihat orang lain maju serta cuba menjatuhkannya hingga sanggup menggunakan ilmu hitam.

Katanya, jika seorang sudah membuka gerai pisang goreng, keesokannya akan ada sebuah lagi gerai menjual pisang goreng di sebelah hingga wujud beberapa gerai menjual makanan sama selepas itu dan sikap ini perlu dikikis kerana ia mengehadkan pemasaran serta jualan.

“Sepatutnya jika sudah ada gerai pisang goreng, peniaga kedua perlu menjual kuih lain dan gerai seterusnya menjual mi supaya kawasan itu menjadi tumpuan pelanggan kerana mereka ada banyak pilihan dan pada masa sama, pendapatan serta keuntungan akan diperoleh setiap peniaga di situ.

“Berbeza dengan masyarakat Cina yang akan berusaha mencari bentuk perniagaan berlainan apabila ingin membuka premis di kawasan sama dengan peniaga lain,” katanya sambil memberi contoh apabila sebuah kedai di kawasan deretan bengkel Cina menawarkan perkhidmatan membaiki enjin, kedai sebelah membaiki pendingin hawa, kedai ketiga memasang tayar dan kedai seterusnya, membuat pendawaian.

Beliau seterusnya berkata, masyarakat lain perlu mempunyai sikap tolong-menolong jika kedai di sebelah tidak mempunyai barang yang diperlukan pelanggan ketika itu kerana ia sebenarnya membantu memajukan bangsa mereka sendiri serta merapatkan perhubungan.

Masalah lain yang menyebabkan pelanggan tidak lagi pergi ke sesebuah premis ialah sikap peniaga itu sendiri yang tidak menyimpan wang tukaran jika pelanggan membayar dengan wang besar.

Bukan saja di kedai Cina, malah kedai mamak adalah contoh terbaik kedai yang akan menyediakan tukaran wang secukupnya dan tidak merungut jika pelanggan membayar menggunakan wang besar untuk jumlah barang yang sedikit.

Amalan sedemikian perlu kerana ia akan mewujudkan keyakinan dan keselesaan pelanggan kepada kedai dan menambahkan bilangan pelanggan. Apa yang sering berlaku ialah peniaga membelanjakan keuntungan hari itu untuk membeli barang keperluan harian sehingga tidak mempunyai wang tukaran keesokannya.

Bagi peniaga Cina, mereka bijak menguruskan wang dengan membuat kira-kira keuntungan setiap hari dan menyediakan wang tukar secukupnya untuk berniaga keesokan harinya. Peniaga juga mesti rajin berniaga dan tidak ambil kisah jika tidak mempunyai masa yang banyak untuk rehat.

Selain itu, katanya, setiap individu yang menceburi bidang perniagaan perlu mengikis sikap malu kerana jika keterlaluan, ia bukan saja gagal melariskan jualan, malah perniagaan mereka tidak akan maju.

Graduan Universiti Malaya yang memeluk agama Islam pada 1996 ketika berusia 28 tahun itu berkata, beliau kini giat mengadakan ceramah motivasi terutama mengenai bidang perniagaan.

“Sesetengah peniaga kurang menyedari kesilapan mereka dalam perniagaan. Mereka hanya tahu menyalahkan pihak lain tanpa menuding jari kepada diri sendiri jika gagal dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berharap ceramah motivasi dan buku yang diterbitkannya dapat membantu peniaga terutama masyarakat Islam mencapai kejayaan dalam perniagaan ke arah meningkatkan ekonomi diri dan keluarga, seterusnya memartabatkan bangsa.

Kaji ubi setelo ganti nasi – Mustapa

BESUT 25 Mei – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diminta menjalankan kajian terperinci berhubung cadangan menjadikan Vitato iaitu sejenis ubi keledek sebagai satu daripada makanan mengganti nasi bagi rakyat Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, Vitato yang juga lebih dikenali di Kelantan dan Terengganu sebagai ‘ubi setelo’, ternyata lebih berkhasiat jika dibandingkan dengan tepung gandum dari segi diet, vitamin C dan karotena.

Katanya, kajian terperinci seharusnya dijalankan segera, terutama dalam aspek tanggapan dan kehendak pengguna sendiri, sama ada ia boleh dijadikan makanan gantian sekiranya khasiatnya tidak banyak berbeza dengan beras.

”Bukan mahu ganti sepenuhnya dengan nasi yang kini menjadi makanan asasi rakyat Malaysia tetapi untuk kajian mendapatkan tindak balas daripada pengguna itu sendiri,” katanya selepas melawat projek penanaman Vitato di Kampung Gong Macang dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Rahim Ahmad; bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh; Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri, Datuk Wan Zakaria Wan Abdul Rahman dan beberapa pemimpin masyarakat.

Projek penanaman Vitato di Gong Macang diusahakan di kawasan seluas 50 hektar dengan membabitkan 47 peserta.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, pihaknya membuat cadangan ini berikutan harga beras di pasaran dunia sekarang melambung tinggi.

Bagaimanapun katanya, di negara ini kerajaan membuat keputusan mengekalkan harga kawalan beras Super Tempatan 15 peratus antara RM1.65 sekilogram hingga RM1.80 sen sekilogram yang ditetapkan mengikut zon.

Mengenai Vitato, beliau berkata, Kelantan dan Terengganu bakal menjadi pengeluar terbesar di negara ini sekiranya semua petani menyahut seruan kerajaan mengusahakan tanaman itu secara besar-besaran.

Katanya, antara kawasan dikenal pasti sesuai untuk penanaman Vitato termasuk Bachok Utara, Besut, Setiu dan beberapa kawasan lain.

Menurutnya, tanaman Vitato juga sesuai dijadikan tanaman ganti kepada tembakau yang kini dikurangkan penanaman di negara ini walaupun ia dari segi pendapatan kepada petani adalah kurang.

Limau madu tawan Jeli

Mustapa Mohamed (tengah) bersama Ketua Pengarah Pertanian, Roseley Khalid (kanan) meninjau ladang limau madu di Kampung Legeh, Ayer Lanas, Jeli, baru-baru ini.

JELI 25 Mei – Tanah lazimnya dikaitkan dengan simbol kekayaan tetapi ia tidak memberi sebarang nilai jika terbiar begitu sahaja, malah pemiliknya kerap berada dalam lingkaran kemiskinan.

Justeru usaha memulihkan tanah terbiar sentiasa diberi penekanan pihak berkuasa bagi membantu membangunkan kehidupan seseorang individu atau kelompok masyarakat.

Ia diharap agar taraf kehidupan mereka dapat ditingkatkan dengan bertambahnya pendapatan yang lebih terjamin dan berterusan daripada pelbagai punca.

Kampung Legeh di Jeli merupakan salah satu contoh tanah terbiar dan 50 hektar daripadanya dikenal pasti oleh Jabatan Pertanian sesuai untuk tanaman limau madu.

Setelah berjaya meyakinkan penduduk setempat, seramai 38 peserta yang merupakan penoreh getah sepenuh masa menyertai projek tanaman berkelompok di bekas tanah sawah yang ditinggalkan kira-kira 20 tahun lalu.

Projek yang digerakkan di bawah Program Khas Pembangunan Pertanian Parlimen Jeli yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed itu dimulakan pada tahun 2005.

Sehingga kini, tiga fasa tanaman telah dibangunkan melibatkan keluasan 30.4 hektar dengan keseluruhan tanaman berjumlah 8,208 pokok.

Menurut Penolong Pegawai Pertanian Jeli, Mat Hussein Jusoh, selepas empat tahun, semua pokok tersebut boleh dituai untuk tujuan pasaran pada penghujung tahun depan.

”Mengikut jangkaan, hasil pertama akan dikeluarkan pada akhir 2009 dengan tuaian sebanyak 8 tan metrik bagi satu hektar. Tuaian akan dilakukan sebanyak dua kali setahun dengan harga RM2,000 setan.

”Tuaian pertama disasarkan sebanyak 246.4 tan metrik dengan nilaian hampir RM500,000 juta ringgit dan akan memberi pulangan sebanyak sejuta ringgit bagi tuaian kedua dalam setahun.

”Hasil akan meningkat mengikut kematangan pokok dan dijangkakan, tahun pertama, setiap hektar mampu mengeluarkan 12 tan melalui tuaian dua kali setahun.

Sebelum tanaman berkelompok dimulakan di Legeh, sejumlah 17 penduduk di kampung bersebelahan iaitu Ayer Lanas telah merintis penanaman itu di kawasan seluas 14.5 hektar.

Para peserta terlebih dahulu dibawa melawat secara berkala ke kawasan tanaman limau madu yang berjaya untuk meninjau sendiri tanaman dan melihat hasilnya di samping mendengar pengalaman mereka yang mengusahakannya.

”Selain sesi penerangan, kursus teknikal dan motivasi, jabatan pertanian juga memberi subsidi dalam bentuk anak benih yang dijual dengan harga RM1 sepokok.

”Kawasan tanaman juga dilengkapi dengan sistem pengairan dan perparitan, jalan ladang di samping dibekalkan bahan-bahan input seperti baja dan racun,” ujarnya.

Pokok limau dapat mengeluarkan hasil selama 15 tahun dan sepanjang hanyatnya, sepokok boleh menghasilkan 100 kilogram, namun ia bergantung kepada penjagaan pokok dan keupayaan menghindarkan serangan serangga perosak.

”Pasaran pula akan dibincangkan dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri apabila tiba masanya kelak,” katanya.

Kawasan tanaman itu turut dilawati oleh Mustapa baru-baru ini dan beliau berharap para peserta akan terus berusaha menjadikan Jeli sebagai lembah limau madu di negeri ini.

Menurut Mustapa, Jeli akan diberikan tumpuan yang lebih berdasarkan jajahan tersebut antara empat daerah iaitu Pagoh di Johor, Seberang Prai Utara di Pulau Pinang, Sik di Kedah yang akan dijadikan model pertanian negara.

”Penglibatan saya sebagai pengerusi jawatankuasa memajukan pertanian Jeli dua tahun lalu kini semakin menampakkan hasil terutama dalam projek limau madu.

”Tumpuan diberikan kepada pertanian kerana Jeli mempunyai banyak tanah yang belum diusahakan.

”Projek khas ini selaras dengan program Pembangunan Koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dibangunkan oleh kerajaan,” katanya

Bagi melancarkan pertanian dalam pelbagai aspek di Jeli, sebuah pusat sehenti akan dibina di kawasan rawat dan rehat Gemang tidak lama lagi.

”Pusat itu akan beroperasi pada sebelah petang bagi memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada masyarakat tani dan orang ramai yang berminat dengan penglibatan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan,” ujarnya.

”Jajahan Jeli akan dijadikan model projek khas pertanian bagi membolehkan jajahan itu terkenal sebagai pusat pembekalan makanan untuk Kelantan dan negara,” ujarnya.

Projek berkelompok lumayan penoreh

JELI 25 Mei – Waktu tidak lagi banyak terluang seperti selalunya setiap hari bagi 38 penduduk Kampung Legeh dekat sini yang kebanyakannya penoreh getah apabila mereka menyertai projek berkelompok tanaman limau madu.

Projek yang digerakkan oleh Jabatan Pertanian negeri tiga tahun lalu itu memberi harapan baru buat mereka yang memerah tenaga apabila tanaman mereka sudah mulai berputik sekarang.

Mereka tidak lagi bersandarkan dengan susu getah semata-mata untuk menjalani kehidupan ‘seada-adanya’ sedangkan keperluan untuk menampung keluarga semakin meningkat.

Lebih 30 daripada 50 hektar tanah terbiar di kampung itu sejak 20 tahun lalu telah diusahakan dengan tanaman itu secara berperingkat.

Ketua peserta, Adam Salleh, 65, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu penduduk setempat memanfaatkan tanah dengan menyediakan pelbagai kemudahan.

Walaupun sudah lanjut usia, dia dan isteri Rofeah Ismai 60, yang dilantik sebagai bendahari, tetap bersemangat mengerjakan tanah tersebut kerana yakin projek itu akan mencapai kejayaan.

”Walaupun kudrat makin sedikit, tetapi saya suka terlibat sama. Kalau berjaya boleh tunjuk kepada orang muda, rezeki ada di mana-mana, tak perlu pergi jauh kalau kita berusaha,” katanya.

Rofeah pula berkata, sejak program membangunkan tanah terbiar itu dijalankan, persekitaran kampung yang penuh semak samun kini dulunya semakin kelihatan tersusun.

Malah anak-anaknya juga telah menunjukkan minat untuk tinggal di kampung apabila keadaan kelihatan lebih selesa dan membuka lebih banyak peluang mencari rezeki.

”Projek ini memberi peluang pekerjaan di ladang kepada penduduk kampung termasuk empat daripada sembilan anak kami,” ujarnya.

Seorang peserta, Zakaria Ishak, 58, memberitahu, selepas bersara sebagai buruh di sebuah sekolah di Jeli, dia menyertai projek tersebut kerana mahu membangunkan tanah bendang yang tidak memberikan sebarang hasil.

”Hampir 20 tahun bekas bendang ini dipenuhi semak samun dan terbiar begitu sahaja. Memang ada cita-cita untuk membangunkan semula tetapi modal tidak mencukupi.

”Langkah yang dibuat oleh jabatan pertanian amat dialu-alukan, selain membangunkan tanah terbiar ia akan menambahkan punca pendapatan apabila hasilnya dinikmati nanti,” ujarnya.

Menurut Zakaria, tanahnya seluas 1.6 hektar di Kampung Legeh dapat ditanam 130 pokok limau dengan bantuan subsidi berupa benih, pengairan, baja dan racun selain tunjuk ajar oleh pegawai-pegawai pertanian.

”Selepas menoreh di kebun, kebanyakan peserta akan ke ladang limau pada sebelah petang untuk kerja-kerja pembersihan ladang, membaja, meracun serangga serta merawat pokok yang diserang kulat,” ujarnya.

Gula apong Sarawak popular

Produk diusaha secara tradisional oleh generasi tua dapat pasaran tinggi tetapi pengusaha tak mampu penuhi permintaan

ASAJAYA: Jika Melaka terkenal dengan gula Melaka atau gula merah, Sarawak pula terkenal dengan gula apong, yang juga hampir menyerupai gula merah.

Bezanya, gula Melaka dihasil menggunakan nira pokok kelapa, sedangkan gula apong dihasil menggunakan nira pokok nipah, yang sememangnya banyak di Sarawak.

Pokok Nipah adalah sejenis palma yang tumbuh di lingkungan hutan bakau atau daerah pasang-surut dekat tepi laut, juga dikenali sebagai buyuk di Indonesia.

Di Sarawak, daun nipah juga dimanfaat secara tradisional sebagai atap, dinding, tikar kajang, topi dan aneka keranjang anyaman. Satu masa dulu di Indonesia, pucuk daun nipah muda dijadikan daun rokok dan amalan itu turut diikuti masyarakat di Sarawak.

Penggunaan gula apong oleh penduduk tempatan pula sangat popular sebagai bahan untuk membuat pelbagai jenis kuih muih tradisional masyarakat Sarawak dan ia juga dijadikan perisa bagi menambah kelazatan sesuatu makanan atau masakan.

Selain itu, gula berkenaan dipercayai mempunyai kelebihan untuk mengelak serta mengurangkan penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Antara kampung yang terbabit dalam menghasilkan gula apong di Sarawak ialah Kampung Tanjoi dalam Daerah Asajaya. Ini berikutan terdapat banyaknya pokok nipah yang menjadi bahan mentah utama bagi menghasilkan gula berkenaan, di sepanjang tebingan sungai di kampung terbabit.

Bagaimanapun rata-rata pengusaha gula apong di kampung itu menggunakan kaedah tradisional dalam menghasilkan produk berkenaan, yang sekali gus menyebabkan kapasiti pengeluaran terhad dan tidak dapat memenuhi peningkatan permintaan.

Lebih membimbangkan, pengusaha gula apong di kampung terbabit juga hanya terdiri daripada golongan tua, sedang golongan muda tidak berminat mewarisi kepakaran berkenaan.

Seorang pengusaha gula apong sepenuh masa di kampung Tanjoi, Mohamad Bengoh, 62, berkata beliau menjalankan perusahaan itu sejak 20 tahun yang lalu.

Katanya, gula apong adalah gula yang dihasilkan daripada air nira nipah juga dikenali sebagai air sadap oleh penduduk di Sarawak dan ia diperoleh daripada batang dan mayang pokok nipah.

Bapa kepada dua anak ini berkata, proses penghasilan gula apong sangat rumit kerana ia memerlukan kesabaran dan ketabahan pengusaha.

Beliau mewarisi kepakaran menghasilkan gula apong daripada bapanya, dan ia adalah sumber pendapatan keluarganya sejak dulu lagi.

“Pendapatan bulanan saya hasil daripada penjualan gula apong adalah sekitar RM800 hingga RM1,500 sebulan. Dengan pendapatan inilah saya menanggung perbelanjaan keluarga,” katanya ditemui di lokasi pemprosesan gula apong di Kampung Tanjoi.

Mohamad berkata, pada jam 3 petang setiap hari beliau akan menadah air sadap menggunakan bekas buluh dengan meletakkannya di setiap batang pokok nipah dan membiarkannya semalaman untuk memastikan bekas buluh tadi penuh.

Pada keesokan harinya seawal jam 7 hingga 9 pagi, beliau melakukan kerja mengambil air sadap.

“Apabila selesai mengambil air sadap daripada buluh berkenaan, air sadap itu seterusnya di masak menggunakan kawah besar dan mengambil masa selama kira-kira lima hingga enam jam. Ia perlu digaul supaya masak sepenuhnya.

“Selalunya saya hanya dapat menghasilkan sekitar 15 hingga 20 kilogram gula apong sehari,” katanya.

Mohamad berkata, gula apongnya akan diambil oleh seorang pemborong dua atau tiga kali seminggu, dengan harga RM2.40 sekilogram.

Sementara itu, Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Bahagian Samarahan, Kemin Rantap, berkata gula apong adalah satu produk eksotik Sarawak yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak, memandangkan ia mempunyai rasa yang sedap dan berbeza daripada gula lain.

Beliau berkata, permintaan gula apong sebenarnya tinggi, tetapi perusahaan itu kurang diminati dan hanya dijalankan oleh golongan berusia.

Mengakui proses membuat gula apong agak sukar dan memerlukan kesabaran, beliau berkata, sebenarnya pihak Fama ada cadangan menyediakan pondok kecil untuk membuat gula apong kepada pengusaha terbabit.

Bagaimanapun hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana pengusaha berpendapat ia tidak begitu praktikal memandangkan proses membuat gula apong tidak tetap di satu-satu tempat saja.

Justeru buat sementara waktu, Fama hanya menyediakan bekas bagi meletakkan gula apong, selain membantu pengusaha meluaskan pemasaran terhadap gula berkenaan ke pasaran luar daerah ini.

Kemin berkata, permintaan gula apong semakin meningkat dari semasa ke semasa dan bagi membantu menggalakkan pengusaha terbabit dalam industri itu, pihaknya akan membantu dari segi pemasaran serta pembungkusan gula apong.

Antara Januari hingga April lalu, Fama sudah mengambil sebanyak 21,904.65 kilogram gula apong daripada pihak pemborong untuk pasaran dalam negeri, selain turut menghantar gula berkenaan untuk pasaran ke Brunei.

Bagaimanapun, penghantaran gula apong ke Semenanjung agak sukar dilaksanakan kerana bekalan sekarang hanya mencukupi bagi menampung pasaran dalam negeri saja, selain sedikit dihantar ke Brunei.

Justeru beliau berpendapat sudah sampai masanya pihak tertentu seperti Fama, Jabatan Pertanian Negeri Sarawak dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menjalankan kajian mendalam mengenai perusahaan gula apong, selari dengan potensi gula berkenaan sebagai satu identiti produk Sarawak.

Mungkin satu hari nanti gula apong boleh dijadikan ‘signature product’ atau produk tersohor bagi Bumi Kenyalang.

RM420 untuk setiap 12 gram

TATKALA menaip perkataan ‘gaharu’ di laman web, bersusun alamat laman web dari Indonesia pada skrin komputer. Masing-masing mempromosikan minyak gaharu atau lebih dikenali sebagai agarwood oil di peringkat dunia.

Minyak yang menghasilkan aroma yang mewangi ini mendapat permintaan yang amat tinggi di Timur Tengah, terutamanya Arab Saudi dan Dubai, berikutan adat masyarakat di sana yang gemarkan wangi-wangian. Ia sama ada dicampur dengan minyak lain untuk menghasilkan minyak wangi atau minyak atar, atau dijual tulen.

Malaysia sebaliknya lebih cenderung untuk mengeksport hasil kayu ini dalam bentuk kepingan kayu karas atau damar gaharu berbanding minyak yang diekstrak.

Malah sehingga tahun 1997, Lembaga Perkayuan Malaysia (MTC) melaporkan bahawa negara ini pernah mengeksport gaharu dalam bentuk kepingan bernilai lebih RM50 juta dalam tempoh lima tahun.

“Saya sudah terlibat dalam perniagaan karas-gaharu ini sejak 18 tahun lalu. Tujuh tahun pertama saya mulakan dengan menjual kepingan kayu karas dan damarnya sahaja, sama ada ke pasaran Thailand ataupun tempatan.

“Tetapi setelah melihat cara kayu-kayu ini diproses serta pulangan yang cukup lumayan daripada penjualan minyaknya, saya memutuskan untuk pergi lebih jauh,” ujar Mazalan Mohamed, 40, yang ditemui di kilang memproses minyak gaharunya yang terletak di Kampung Star Baru, Gua Musang, Kelantan.

Mazalan turut beroperasi tanpa orang tengah, selain mengubah pendekatan perniagaan dengan menjual minyak gaharu berbanding sekadar kepingan kayu karas.

Jika sebelum ini Mazalan hanya memenuhi permintaan Thailand dan tempatan, kini minyak gaharu keluaran PMW Enterprise sudah berada dalam pasaran Dubai, Arab Saudi dan Bahrain.

Menjenguk kilang-kilang pemprosesannya, bahang yang berkuap di dalam dirian sederhana itu tidak sedikit pun melunturkan semangat krew EKSTRA untuk meninjau lanjut.

Kedatangan yang disambut dengan pemandangan dua wanita berusia yang sedang mencincang kepingan kayu karas yang memenuhi ruang lantai menambah lagi keinginan untuk meneroka.

Biarpun bertubuh kurus dan sudah berusia, kedua-dua wanita ini pantas saja melakukan kerja. Sekali-sekala melemparkan senyuman ke arah kami, tangan mereka terus menghentak parang dalam genggaman.

Potongan kayu karas itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah mesin pengisar yang berdiri tegap di satu sudut. Kongsi Mazalan, mesin itu berharga tidak kurang daripada RM12,500 sebuah.

“Hasil kisaran kemudiannya diperam di dalam air selama dua minggu. Selepas itu ia akan dikeringkan. Untuk karas gred rendah, kami asingkan untuk dijual bagi membuat colok.

“Hasil daripada karas gred bermutu lebih tinggi akan dimasak di dalam dapur antara lima hingga 10 hari, bergantung kepada gred, untuk mengekstrak minyaknya,” jelas anak kelahiran Kampung Chasi, Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan ini.

Bahagian pemprosesan yang menggunakan teknologi yang ‘diimport’ dari Thailand ini memperlihatkan 60 dapur berbaris panjang dengan setiap satunya dilengkapi tong gas sendiri. Kata Mazalan, kos keseluruhan pembinaan dapur ini ialah RM50,000.

“Satu pusingan memasak serbuk kayu karas untuk gred C rendah, yang mengambil masa lima hari, menghabiskan sehingga dua tong gas 16.5 kilogram.

“Tetapi untuk gred C tinggi dan ke atas yang dimasak sehingga 10 hari, empat tong gas yang sama diperlukan,” tambah bapa kepada empat orang anak ini.

KOS pembuatan dan pemasangan dapur ini mencecah RM50,000.

Selepas lima hari, minyak gaharu akan terkumpul di dalam tabung suling dan terapung di lapisan atas permukaan air. Ekstrak ini akan ‘dikutip’ pada setiap lima hari mengikut jadual yang ditetapkan.

Mendirikan tiga buah kilang, dengan sebuah di Bukit Beruntung, Selangor, Mazalan berkata pemprosesan dijalankan 24 jam sehari. Ini kerana jika api dapur dimatikan, proses pemanasan akan menggunakan lebih banyak gas dan memakan masa.

Untuk tujuan eksport, Mazalan menyimpan minyak gaharu yang telah dikumpul ke dalam botol aluminium bermuatan 1.2 liter. Dalam sebulan, dapur itu dapat menghasilkan enam botol aluminium minyak gaharu.

“Minyak ini dijual pada harga RM420 setiap 12 gram, iaitu menyamai satu botol tolal.

“Kami dapat menjual pada harga ini kerana kami dapat menyediakan minyak gaharu yang pekat sebagaimana diminta pembeli,” katanya yang menjelaskan, semakin pekat minyak gaharu, semakin tinggi nilainya.