MASPINE – NANAS KALENG BERDAUN TANPA DURI

Nanas merupakan tanaman buah-buahan penting di Malaysia terutama dalam perusahaan nanas kaleng. Sumbangan industri nanas kepada negara dari tahun 2000 hingga 2003 adalah berjumlah RM493.098 juta. Dua pertiga (RM328.511 juta) dari jumlah ini adalah dari nanas kaleng, manakala satu pertiga (RM164.587 juta) adalah sumbangan dari export nanas segar.

Walaupun permintaan pasaran nanas dunia kian meningkat, industri nanas Malaysia mengalami pengucupan kebelakangan ini. Keluasan tanaman nanas telah menurun dari 15,000 hektar tahun 1980an kepada 6,434 hektar (2003). Pengeluaran juga turut menurun hinggakan beberapa kilang nanas terpaksa beroperasi di bawah paras keupayaan. Dari lima kilang nanas yang wujud di zaman kegemilangan industri ini, hanya tinggal dua syarikat perusahaan nanas kaleng yang masih beroperasi di negara ini, iaitu Lee Pineapple (Peninsular Plantations) dan Pineapple Cannery of Malaysia (PCM).

Tanaman nanas berkembang pada mulanya di tanah mineral, bersama dengan tanaman getah. Penanaman nanas secara komersil telah bermula pada tahun 1937 dan berkembang pesat di negeri Johor. Kesan hakisan tanah telah mendorong supaya tanaman nanas beralih ke tanah gambut yang tidak sesuai ditanam dengan komoditi lain.

Kebanyakan ladang nanas pada mulanya ditanam dengan nanas jenis Masmerah (1960-1980). Selepas 1980an ladang nanas ditanam pula dengan varieti Gandul. Lain-lain varieti seperti Moris, N36, Sarawak, Selangor Sweet (Cayenne) dan Josapine diusahakan untuk kegunaan segar.

Selama lebih 20 tahun berulang tanam, hasil nanas Gandul di tanah gambut mula menurun secara mendadak. Keadaan ini adalah di antara penyebab utama kemerosotan industri nanas terutamanya dalam perusahaan nanas kaleng. Untuk mengatasi kemerosotan bekalan nanas kaleng dan seterusnya mengujudkan semula daya saing dalam industri nanas, satu varieti baru nanas yang lebih cergas dan produktif, berhasil tinggi lagi berkualiti perlu diwujudkan. Atas keperluan ini varieti Maspine dibangunkan.

Varieti ini berjaya dibangunkan selepas 10 tahun penyelidikan (1993-2004) dan telah diiystiharkan oleh YB Menteri Pertanian & Industri Asas Tani pada 5 Mei 2005 di Stesen MARDI Pontian, Johor.

Sebelum diisytiharkan, Maspine dikenali sebagai titisan ‘73-50’. Maspine adalah hibrid kompleks hasil dari kacukan lima jenis nanas. Maspine tergulung dalam kumpulan nanas ‘Manzanah’, mempunyai ciri istimewa berdaun licin tanpa duri (piping-leaf). Maspine mewarisi kecergasan dari nanas Queen, kandungan gula yang tinggi dari Cayenne, warna kuning keemasan dan bentuk buah dari Singapore Spanish, ketahanan kepada penyakit dari Pernambuco dan berdaun licin tanpa duri dari Perolera. Dengan adanya ciri kesesuaian yang meluas (wide adapatability), Maspine sesuai dalam pelbagai keadaan persekitaran. Diserta dengan ketahanan terhadap penyakit reput teras (Bacterial Heart Rot, BHR), Maspine berpotensi tinggi dikembangkan ke kawasan tanah mineral yang biasanya lebih kondusif kepada penyakit BHR. Ciri positif Maspine ini amat bersesuaian dengan usaha untuk mengembangkan penanaman nanas hingga mencapai 35,000 hektar pada tahun 2010.

Nanas Maspine dapat mengeluarkan hasil yang lebih tinggi, 40% dan 70% lebih tinggi masing-masing daripada varieti Gandul dan Josapine. Hasil yang mampu dicapai Maspine ialah 56 ton/hektar.

Maspine mempunyai ciri pengelangan yang baik. Di antara ciri-ciri pengalengan yang istimewa adalah saiz buahnya yang sederhana besar (1.8 kg) berbentuk silinder dan berkulit nipis dan kadar perolehan (recovery) yang tinggi (lebih 20%) berbanding varieti Gandul (6-18%). Ukuran diameter empulurnya yang kurang dari 30 mm juga membuatnya mudah diterima pihak kilang. Warna isi Maspine kuning keemasan dan warna keemasan ini didapati kekal selepas pemperosesan. Isi Maspine juga tidak mudah pecah apabila dipotong bulat untuk ditinkan. Maspine megandungi pH yang sesuai untuk pengalengan. Kandungan asid Maspine adalah rendah (0.58%) manakala kadar gulanya adalah tinggi iaitu 14-17% ketika segar. Kandungan TSS yang meningkat kepada 16-18% selepas diproses dapat membantu menjimatkan input gula semasa pemprosesan. Maspine berpotensi tinggi dalam industri pengkalengan dan boleh digunakan sebagai varieti alternatif kepada varieti Gandul.

Selain dari nanas yang ditinkan dalam jus, Maspine juga sesuai dibuat jus untuk diminum segar, dikalengkan tanpa gula atau dibotolkan sebagai jus nanas jernih (clarified) berkarbonat atau tanpa karbonat. Imbangan kandungan gula yang tinggi dan asid yang rendah menjadikan cita rasa Maspine manis dan enak ’tanpa gigitan’, sesuai untuk ia dijadikan hidangan pencuci mulut (dessert). Selain dari itu, produk kering dan produk separa kering juga boleh dihasilkan dari Maspine. Dalam pada itu, daun Maspine yang tidak berduri pula berpotensi digunakan sebagai makanan ternakan.

Dengan bercirikan daun tanpa duri, tanaman Maspine senang dikendalikan di ladang. Keadaan ini memudahkan penuaian buah dan seterusnya meningkatkan kecekapan tenaga kerja. Unsur ini dapat mengurangkan kos pengeluaran.

Kandungan gula semula jadi yang tinggi dapat menjimatkan input gula semasa pemprosesan, sekaligus mengurangkan kos pemprosesan dalam industri nanas kaleng.

Dari segi pembiakan benih, Maspine dihasilkan melalui teknik ’quartering’. Kaedah pembiakan vegetatif ini menjamin ketulenan baka Maspine. Sejumlah lebuh 12, 000 sulur telah disediakan pada 2005. Proses pembiakan benih melalui sistem ’quartering’ diteruskan untuk mencapai sasaran 128,000 sulur.

Sebagai langkah untuk mempertingkatkan kerjasama dengan sektor industri, hibrid MASPINE kini telah diperkenalkan kepada syarikat Lee Pineapple dan Pineapple Canery of Malaysia. Sejumlah 500 sulur telah diberikan kepada setiap estet untuk penilaian pada skala yang lebih besar. Agensi-agensi lain yang turut terlibat termasuk IADP Sarawak dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Dengan hasil yang lebih tinggi dan tahan pada penyakit empulur serta dengan kesesuaian di pelbagai persekitaran, Maspine boleh disyorkan di kawasan yang lebih luas. Maspine merupakan satu varieti nanas kaleng alternatif kepada Gandul. Dengan penerimaan tinggi pihak pengilang, Maspine dijangka mampu memperbaiki keadaan industri nanas semasa.

Nanas Maspine yang berkualiti tinggi dijangka akan mendapat harga pasaran yang baik.Ini akan memberi kelebihan untuk Malaysia bersaing dengan negara-negara pengeluar lain. Dengan rangkaian pasaran keluar negeri yang melibatkan 32 buah negara pembeli, adalah mudah bagi industri untuk memasarkan produk nanas dan seterusnya meningkatkan syer pasaran nanas dunia.

Sasaran pasaran ekspot adalah ke negara-negara seperti China, Japun, Timur Tengah dan Eropah

1 thoughts on “MASPINE – NANAS KALENG BERDAUN TANPA DURI

  1. saudara harizamrry, boleh tolong saya…bagaimana nk dptkan figure ttg waste drpd kilang2 pemprosesan hasilan nanas nie yer? kulit & empulur nanas yg tidak dimakan itu adakah dibuang atau ada permintaan dari luar (dijual semula)? Harap saudara dpt membantu. tq in advance.

Tinggalkan komen