Tanaman labu dikomersial



PROJEK BARU: Hasim dan beberapa pemilik tanah mendengar penjelasan mengenai kawasan terbiar yang akan dibangunkan daripada Noor Hazlan di Seremban, semalam.

SEREMBAN: Jika Lenggeng, dekat sini terkenal dengan kawasan penanaman serai terbesar di negeri ini, satu lagi kampung berhampiran bandar ini, Labu akan tersohor dengan tanaman labu apabila projek komersial mengeluarkan sayur-sayuran itu diusahakan di tanah sawah terbiar seluas kira-kira 120 hektar tidak lama lagi.

Tanaman itu dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labu, Datuk Hasim Rusdi yang mahu memperkenalkan kawasan itu sebagai pusat pengeluaran labu terbesar di negeri ini, sekali gus sinonim dengan namanya.

Hasim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri mengakui ramai ketawa apabila beliau mencadangkan tanaman itu diusahakan, tetapi sebenarnya mereka tidak tahu mengenai potensinya.

“Selain gulai, labu juga boleh dibuat kuih, kerepek dan bahan kraf tangan. Ramai tidak tahu labu boleh dijadikan bahan campuran membuat cat hasil teknologi terkini. Jadi, saya melihat potensi besar tanaman itu sekali gus dikomersialkan bagi menambah pendapatan penduduk,” katanya.

Beliau sebelum itu bertemu pemilik tanah terbiar berkenaan di Balai Raya Kampung Pulau, dekat sini pada majlis yang turut dihadiri Penolong Pegawai Pertanian Daerah, Noor Hazlan Jamlus serta meninjau sawah terbiar yang dicadangkan sebagai tapak pengeluaran labu terbesar itu.

Hasim berkata, pertemuan berkenaan adalah peringkat awal bagi mendapatkan persetujuan pemilik tanah terutama di kampung terbabit yang setakat ini menempatkan kira-kira 58 hektar tanah sawah terbiar untuk diusahakan dengan tanaman itu.

“Hasil pertemuan itu, saya dapati majoriti pemilik tanah memberi maklum balas positif terhadap cadangan untuk mengusahakan tanah mereka dengan labu. Jika kita mengusahakan kawasan itu dengan tanaman padi semula, ia tidak sesuai,” katanya.

Tinggalkan komen