Hasil sayur RM23.19 juta



BERPUAS HATI: Ali (tengah) melihat hasil tanaman ulam pucuk pegaga selepas merasmikan kempen Bumi Hijau Peringkat Negeri Melaka, di Kampung Bukit Katil, semalam.

Kempen Bumi Hijau akan dilaksana semua DUN di Melaka

MELAKA: Seramai 499 pekebun di negeri ini yang aktif mengusahakan tanaman sayur membabitkan kawasan seluas 348 hektar menyumbang sebanyak 12,000 tan sayuran bernilai RM23.19 juta, tahun lalu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, jumlah pekebun yang direkodkan pada tahun itu adalah mereka yang terbabit dalam kegiatan penanaman sayuran komersial dan bertaraf sara diri dengan pendapatan bersih antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

“Antara jenis sayuran popular yang ditanam adalah bayam, bendi, cili, kacang buncis, sawi hijau, sawi putih, kacang panjang, kailan, kangkung, peria, petola, sawi bunga terung, timun dan tomato.

“Seramai 1,692 pekebun pula terbabit dalam penanaman buah-buahan dengan keluasan kawasan membabitkan 1,230.6 hektar, manakala 251.9 hektar pula mengeluarkan hasil buah-buahan sebanyak 744,967 kilogram bernilai RM1.49 juta,” katanya selepas merasmikan Kempen Program Bumi Hijau Peringkat negeri di Bukit Katil, dekat sini.

Kempen itu adalah yang pertama di negeri ini selepas pelancarannya pada peringkat nasional oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya, pada 29 Jun lalu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidzhir Abu Hasan; Timbalan Ketua Pengarah Pertanian merangkap Setiausaha Jawatankuasa Urusetia Bumi Hijau Peringkat Kebangsaan, Sabtu Selamat dan Pengarah Pertanian Negeri Melaka, Nooridah Ahmad.

Mohd Ali berkata, kempen yang dilaksanakan itu juga adalah selaras langkah yang diambil kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi menggalakkan penduduk di bandar dan desa mengeluarkan sendiri sayur-sayuran sekali gus membantu meningkatkan bekalannya dan menjamin bekalan makanan.

Beliau berkata, kempen Program Bumi Hijau itu mengandungi empat komponen membabitkan tanaman, ternakan, akuakultur dan pembangunan sosial akan diteruskan ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya masyarakat dapat merasai kesannya.

“Kita perlu mempunyai keazaman untuk menanam sayuran di kawasan sekeliling rumah masing-masing dan jadikanlah aktiviti ini sebagai satu budaya berkekalan supaya setiap keluarga mendapat bekalan sayur-sayuran yang segar dan berkhasiat.

“Ini sekali gus dapat menjaga kesihatan dan mengurangkan kos harian perbelanjaan dapur kerana walaupun program ini kelihatan kecil, ia memberi impak yang besar kepada perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Tanah, Kewangan dan Perancang Ekonomi negeri turut meminta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Majlis Bandaraya Melaka (MBMB) membeli lebihan sayur-sayuran daripada pekebun untuk dijadikan nilai tambah.

“Misalnya, cili dibuat halwa dan sayur sawi dijadikan jeruk masin dan disimpan untuk jualan. Selain itu ulam-ulaman juga boleh dikomersilkan.

“Selain itu, kerajaan negeri menggalakkan penduduk yang mempunyai tanah lapang supaya mengusahakan tanaman sayuran yang tahan lama seperti pandan, serai wangi dan halia yang akan dibeli kerajaan untuk dijadikan produk nilai tambah. Serai wangi boleh diekstrak minyaknya untuk kegunaan dalam bidang perubatan manakala daun pandan boleh digunakan untuk membuat wangian seperti rampaian wangian kering,” katanya.

Tinggalkan komen